July 19, 2010

Muhasabah Sempena Perlantikan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan - Penggal Kedua

BBB, 07 Syaaban = 19 Julai (Isnin):

Sudah lebih dua tahun Ahli Majlis Kerajaan tempatan dilantik. Mereka telah dinilai. Kini pada bulan ini sebahagian besar dari kalangan mereka dilantik kembali, tetapi sebahagian dari mereka digugurkan. Tidak semua yang digugurkan kerana tidak berkemampuan menjalankan tugas. Setengah memerlukan penggantian kerana ada yang menarik diri dan setengahnya terpaksa dikeluarkan atas polisi dan kehendak parti, kerana memberi peluang kepada pimpinan yang sepatutnya diberi ruang mengisi quota yang memang terhad.

Kerajaan Tempatan, juga dipanggil PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah adalah penting. Kerajaan Tempatan, berkedudukan ketiga dari segi pemerintahan selepas Kerajaan Federal dan Kerajaan Negeri. Terdapat 22 Kerajaan Tempatan di Selangor dengan setiap Ahli Majlis adalah berjumlah 24 orang. Mereka diberi kuasa mentadbir sesebuah Majlis Bandaraya/Majlis Perbandaran/Daerah diketuai seorang Dato` Bandar/Yang Dipertua dengan peruntukan yang relatifnya besar (bergantung pada cukai didapati oleh sesebuah Majlis) yang melibatkan ratusan juta ringgit yang setengah Majlis mempunyai asset ratusan juta ringgit pula. Kerana pentingnya Kerajaan Tempatan ini, ada pendapat pemilihan ahlinya seharusnya bukan secara lantikan, tetapi hendaklah melalui pilihanraya. Ini pernah dilakukan sejak awal kemerdekaan tanahair hingga akhir 1960an.

Pada masa Kerajaan Selangor dibawah pemerintahan BN, ADUN-ADUN pemerintah dilantik menjadi sebahagian dari Ahli Majlis, bahkan mempunyai kuasa mempengerusikan Majlis Mesyuarat sebagaimana YDP. Antara tujuan mereka berada di dalam Kerajaan Tempatan, ialah untuk menjaga polisi Parti dan Kerajaan selari dengan polisi Kerajaan Negeri dan Federal. Apabila Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan di negeri Selangor Mac 2008, polisi dibuat, bahawa Wakil-Wakil Rakyat (ADNS-ADNS) dari Kerajaan Pakatan Rakyat tidak dilantik menjadi Ahli Majlis atas dasar ketelusan dan mengelak dari salah guna kuasa.

Dalam Sidang Dewan Negeri terawal Pakatan Rakyat 2008, pada peringkat awal ini ADNS Bangi pernah menyuarakan pandangan agar Wakil-Wakil Rakyat dari PR perlu dilantik untuk memastikan perjalanan polisi Parti dan Kerajaan Negeri dapat dikawal. Tetapi dijawab oleh Exco Kerajaan Tempatan, bahawa kita mempraktikkan polisi ini (tidak dikemuka dan dibahaskan di dalam Dewan Negeri) sebagai percubaan dalam tempoh setahun, kemudian akan membuat penilaian kembali. Ternyata dengan tidak adanya Wakil-Wakil Rakyat yang mewakili kawasan PBT ada ahli-ahli Majlis bertindak sebagai pembangkang – mungkin juga tidak faham, seolah-olah mereka bukan dilantik oleh pihak pemerintah. Ada golongan dari NGO mau mengendalikan pentadbiran berkecuali dari politik negeri dan Federal sebagaimana mereka menjalankan pentadbiran NGO yang bersifat berkecuali. Ada keputusan yang diambil berdasarkan suara majoriti ahli Majlis dilantik bercanggah sama sekali dengan polisi Parti dan Kerajaan. Pendekatan ini merugikan Parti, Kerajaan dan Wakil Rakyat yang PBT berada di dalam kawasannya. Sebagai kesan juga, oleh kerana Wakil Rakyat bagi kawasan PBT tidak berada di dalam Majlis, kalau hadir hanya sebagai pemerhati, wakil Rakyat berkenaan bukan saja terpinggir/dipinggir oleh ketua PBT dan ahli-ahli, bahkan keputusan penting yang diambil bukan saja tidak dirujuk bagi kepentingan Parti dan Kerajaan, tetapi amat bercanggah dengan kepentingan Parti dan Kerajaan seperti diperkatakan di atas. Bahkan ada ahli-ahli boleh membuat satu keputusan bagi zon yang diwakili bercanggah dengan kehendak Parti dan Wakil Rakyat bagi kawasan berkenaan. Mereka lupa bahawa semua ahli PBT yang dilantik melalui pilihan dan saringan Wakil Rakyat bagi kawasan PBT berkenaan. Pilihan ini hanya boleh berubah atas kehendak kepimpinan tinggi parti atas quota yang diperuntukkan bagi Parti. Baik YDP dan ahli-ahli yang dilantik sebenarnya adalah pelaksana dasar Parti, Kerajaan dan Wakil Rakyat yang mendokong Parti dan Kerajaan yang diwakili. Kerana YDP dan ahli-ahli yang dipilih adalah menjalankan polisi atas kehendak Parti, Kerajaan dan Wakil Rakyat yang mendukung Parti dan Kerajaan, maka sebarang tindakan yang mempunyai kepentingan bagi Wakil Rakyat atau menjejaskan kepentingan Wakil Rakyat yang bererti menjejaskan Parti dan Kerajaan perlulah dirujuk kepada Wakil Rakyat setempat. Misalnya setelah Ahli-Ahli Majlis dilantik, maka apabila hendak ditentukan zon-zon yang diwakili oleh Ahli Ahli Majlis berkenaan perlu dirujuk kepada Wakil Rakyat setempat, ini kerana ianya memberi kesan kepada kepentingan Parti, Pentadbiran dan kepentingan Wakil Rakyat setempat. Sewajarnya upacara mengangkat sumpah bagi Ahli-Ahli Majlis yang baru dilantik perlu dijemput sama Wakil-Wakil Rakyat setempat untuk mewujudkan hubungan baik antara Wakil Rakyat setempat dengan ahli-ahli Majlis yang dilantik di samping boleh dibincangkan kesesuaian zon yang wajar diwakili oleh ahli Majlis yang dilantik dan bidang-bidang yang sesuai untuk diketuai atau menjadi ahli bagi ahli-ahli yang baru dilantik di dalam satu-satu jawatankuasa atau mungkin dibuat adjustment dengan bidang-bidang yang diberi kepada yang dikekalkan keahlian mereka. Pandangan yang diutarakan bukan bertujuan untuk menunjukkan betapa pentingnya kedudukan Wakil Rakyat yang agak dipinggir, tetapi untuk menjaga kepentingan Parti, Kerajaan dan kepentingan pengaruh Wakil Rakyat dikawasan PBT yang diwakilinya. Sebenarnya menyedari kepincangan dan pengalaman yang dihadapi oleh ADNS Bangi sebagai Wakil Rakyat di kawasan berkenaan, setelah cukup setahun polisi mengasingkan Wakil Rakyat dari Kerajaan Tempatan, ADNS Bangi membangkitkan kembali di dalam Dewan Negeri Selangor tentang penilaian setelah tempoh setahun percubaan berlalu, kemungkinan diberi hak kepada ADNS-ADNS berada di dalam pentadbiran PBT. Tetapi jawapan yang diberi oleh pihak Exco Kerajaan Tempatan, bahawa polisi berkenaan diteruskan. Atas keputusan ini kita mematuhi keputusan dibuat.

Memandangkan Kerajaan Tempatan amatlah penting. Di situ pusat pentadbiran. Di situ sumber cukai dan peruntukan serta pembangunan. Di situlah juga tinggalnya golongan pengundi yang berpengaruh yang menentukan kalah menangnya Parti, maka jika pengaruh Wakil Rakyat terasing dari polisi Kerajaan Tempatan, terasing dari peruntukan dan pembangunan yang harus dilihat dari polisi Parti, Kerajaan dan Wakil Rakyat berkenaan, sedangkan ahli-ahli yang dilantik tidak menyedari mereka dipilih oleh Wakil Rakyat berkenaan dihantar dan dibincang bersama pada peringkat negeri dan disaring pada peringkat tertinggi parti, lebih malang jika mereka tidak menyedari mereka dari peringkat YDP membawa kepada ahli-ahli yang dilantik dituntut menjalankan polisi Parti, Kerajaan dan Wakil Rakyat yang mewakili Parti dan Kerajaan, maka pembetulan adalah wajib dilakukan sebelum polisi Parti, Kerajaan dan kedudukan Wakil Rakyat terus terhakis dari segi pengaruh dan sokongan. Tidak ada maknanya bagi pihak yang menuntut supaya diadakan pilihanraya Kerajaan Tempatan bagi mendapat kekuasaan melalui mandate yang sebenarnya, jika kekuasaan yang ada tidak kita kendalikan. Lebih sia-sia lagi jika dengan peruntukan yang besar terpaksa dibelanjakan bagi mengadakan pilihanraya tempatan, tetapi bila kuasa didapati, kita serahkan kepada pihak lain atas nama ketelusan ! Begitulah analoginya kita telah berusaha memenangi kawasan dan berkuasa, tiba-tiba bila menang, kita serahkan kekuasaan pada orang lain atas alasan untuk ketelusan. Sebenarnya penyelewengan boleh berlaku sama ada berada di dalam Kerajaan Tempatan atau di luar Kerajaan Tempatan.

ADNS Bangi berpendapat, sempena dengan perlantiakn ahli-ahli PBT bagi penggal kedua ini, maka kedudukan, perjalanan, fokus, visi dan misi PBT mesti dipermuhasabah, diperbetul dan diperkemaskan. Kita masih mempunyai mekanisme bagi memperbaiki dan membetulkan perjalanan yang selama ini tidak menguntungkan polisi Parti, Kerajaan dan kedudukan Wakil-Wakil Rakyat. Untuk ketelusan dan perimbangan kita telah mewujudkan mekanisme check and balance melalui AJK-AJK seperti Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Bagi Dewan Negeri Selangor dan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan – Selcat (Special Select Committee On Competence , Accountability and Transparency).

Mekanisme yang paling sesuai ialah dengan menggunakan peruntukan yang ada di dalam jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan yang memang diwujudkan bagi pembaikan perjalanan Kerajaan Tempatan yang dikenali sebagai Pihak Berkuasa Tempatan. Banyak perkara dapat dilakukan oleh Jawatankuasa ini bagi tujuan di atas, antaranya meneliti, mengkaji dan mengambil tindakan:

  1. Apakah kepimpinan dan perjalanan Pihak Berkuasa Tempatan menepati kehendaki Parti dan Kerajaan Negeri.
  2. Adakah perlantikan Ahli-Ahli PBT melalui penilaian dan pemilihan sewajarnya.
  3. Apakah mereka yang dilantik adalah mereka yang layak, mempunyai rekod perkhidmatan yang baik, bersih dari jenayah dan memberi faedah kepada Parti, Kerajaan dan rakyat.
  4. Adakah mereka yang dilantik berkepentingan dan mencari peluang untuk kepentingan diri dan kroni
  5. Adakah mereka yang dilantik boleh bekerjasama dengan Wakil Rakyat yang melantik mereka bagi zon kawasannya
  6. Adakah Ahli yang dilantik boleh diterima oleh rakyat setempat
  7. Mampukah Ahli yang dipilih turun padang berkhidmat bagi kepentingan rakyat atau hanya pandai bercakap di dalam Majlis Mesyuarat sahaja
  8. Adakah Ahli yang dilantik mempunyai masa yang dapat diberi bagi khidmat di PBT di samping tugas hakikinya
  9. Mampukah yang dipilih menjalankan tugas di dalam jawatakuasa-jawatakuasa kecil yang dilantik.
  10. Adakah yang dilantik membawa imej yang positif bagi Majlis atau membawa beban.

Dan banyak lagi soalan boleh ditimbul dan ditambahkan untuk diteliti, dikaji dan diambil tindakan.

Pihak Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan boleh membuat kajian dan penyelidikan mengenai aspek-aspek di atas bagi mempastikan perjalanan PBT-PBT melaksanakan polisi kehendak Parti, Kerajaan dan kepentingan Wakil Rakyat bagi kawasannya. Jika ada sebarang kesalahan, maka pihak Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan boleh berperanan sebagai penasihat, lebih keras dari itu menegur dan jika berlaku penyelewengan dan kesalahan yang serius boleh bertindak secara hukuman – misalnya disyor dipecat dari lantikan keahlian dan jika lebih berat melibatkan jenayah seperti rasuah maka diserah kepada pihak berkuasa perundangan Negara.

Polisi Parti, Kerajaan dan Wakil Rakyat hendaklah dijaga, dalam masa kita bersifat telus, sebarang penyelewengan berlaku, hendaklah diambil tindakan tegas bagi menjaga kepentingan Parti dan Kerajaan – bersih dari penyelewengan dan tertegaknya keadilan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment