October 31, 2010

Adun Bangi Sampaikan Peruntukan RM30,000 Kepada SRJK Tamil, West Country

West Country, 21 Zulkaedah = 29 Oktober (Jumaat):
Adun Bangi pada malam ini menyampaikan cek bernilai RM30,000 kepada Pengerusi PIBG SRJK Tamil Encik Murthy bertempat di SRJK Tamil West Country. Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi En. Sivakumar, AJK PIBG, Pemangku Guru Besar Cikgu Ganith, Ketua Dewan Himpunan Serdang saudara Ari Krishnan, Dr. Subranium, saudara Sam, saudara. Abu Bakar, Shahrum dan ibu bapa yang berjumlah 30 orang.
Peruntukan sedemikian telah disalurkan kepada Sekolah Tamil, Cina dan Sekolah Agama Rakyat sejak tahun lepas, tetapi bagi Sekolah-sekolah Tamil pada tahun lepas disalurkan melalui sebuah syarikat menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dari pihak Sekolah-Sekolah Tamil, oleh kerana peruntukan tidak sampai ke Sekolah dan digunakan bukan untuk kepentingan Sekolah Tamil, bahkan digunakan bagi kepentingan luar dari Sekolah Tamil Negeri Selangor. Akibat dari tidak puas hati ini membawa kepada satu pertemuan diadakan di kalangan pentadbir-pentadbir Sekolah Tamil dan Y.B. Dr. Xavier bertempat di Annex, Dewan Negeri Selangor. Perbalahan berlaku dan hampir mencetuskan insiden pertentangan fizikal, tetapi dapat ditenteramkan. Satu keputusan diambil, bahawa peruntukan hendaklah disalurkan terus kepada pihak Sekolah dan Peruntukan hendaklah dilakukan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi, dan Pembangunan Modal Insan yang pada malam itu turut hadir – Y.B. Dr. Halimah Ali bersama Y.B. Dr. Xavier Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin. Maka pada malam ini peruntukan secara terus disampaikan melalui Adun Bangi. Begitulah bagi Sekolah-sekolah yang lain melalui Adun di mana Sekolah itu berada. Peruntukan tahunan ini digunakan oleh Sekolah bagi kepentingan Sekolah.
SRJK Tamil West Country di Jalan Reko, Bangi ini mula berpindah ke West Country (Timur) sejak 1995 dari Sekolah Ladang (sejak 1950an). Sekolah ini mempunyai 430 murid (termasuk murid Tadika) dengan 30 orang guru. Sekolah terletak di atas kawasan seluas 6 ekar di tempat yang strategic. Sekolah ini tidak mendapat bantuan penuh dari Kerajaan Persekutuan, tetapi Bantuan Modal berdasarkan per-head. Sekolah ini dianggap antara salah sebuah Sekolah Tamil yang besar dan maju berbanding dengan seluruh SRJK Tamil di negeri Selangor yang berjumlah 97 buah.
Pengerusi PIBG Encik Murthy mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Adun Bangi di atas peruntukan yang diberi. Menurutnya peruntukan yang diberi akan diguna dengan sebaik-sebaiknya bagi kepentingan Sekolah dan murid-murid.

Adun Bangi yang diberi peluang bercakap sebelum menyerahkan cek menyatakan pihak Kerajaan Negeri Selangor mengambil berat tentang persekolahan Sekolah-sekolah di negeri Selangor, khususnya Sekolah-sekolah rakyat yang selama ini tidak diberi perhatian oleh kerajaan Pusat. Banyak lagi kemudahan pelajaran yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri seperti bantuan pelajar miskin, insentif kepada pelajar yang masuk universiti dan pinjaman pelajaran bagi pelajar yang masuk ke Universiti. Adun Bangi setiap tahun memberi insentif kepada pelajar-pelajar cemerlang, disamping membantu pelajar-pelajar miskin. Adun Bangi berharap SRJK Tamil West Country menjadi antara Sekolah terbaik di Hulu Langat, atau sekurang-kurangnya terbaik di antara Sekolah-sekolah di Bangi.


Dalam hubungan dengan SRJK Tamil di West Country, ini bukanlah kali pertama bantuan kepada Sekolah dilakukan. Pada tahun 2009 Adun Bangi telah mendirikan sebuah Pondok Pengawal Sekolah – Sekolah ini mempunyai pengawal-pengawal 24 jam. Selama ini mereka tidak mempunyai tempat khusus. Pondok pengawal itu didirikan di sebelah kiri pintu masuk Sekolah tersebut.

Baru-baru ini Adun Bangi juga menyediakan peruntukan membaiki pintu-pintu kelas Sekolah yang telah rosak. Sebanyak 14 buah pintu digantikan dengan yang baharu. Selepas penyerahan cek dan minuman Adun Bangi dibawa melihat pintu-pintu kelas yang diganti baharu, disamping ditunjukkan beberapa tingkap bilik yang rosak dimakan anai-anai yang memerlukan peruntukan untuk membaikinya. Adun meminta ditulis surat menyatakan peruntukan yang diperlukan bagi membaiki tingkap-tingkap yang rosak itu.


Sekian.

No comments:

Post a Comment