October 13, 2010

Dialog Kepimpinan Penduduk Desa Surada Dengan Adun Dan Ahli MPKj

Desa Surada, 01 Zulkaedah = 10 Oktober (Sabtu):


Dialog tersebut dianjur secara bersama oleh Parti Pas Cawangan Desa Surada yang diwakili Setiausahanya Tuan Haji Omar, Persatuan Penduduk yang diwakili oleh Encik Ahmad bin Man (Pengerusinya Mejar (B) Mohd. Halim) dan Surau yang diwakili Timbalan Pengerusinya Encik Mohd Safi (Pengerusinya Sdr. Shukor Atan). Perbincangan berlangsung pada malamnya selepas Isya` bertempat di Dewan Datuk Sidek Fadzil. Tujuan diadakan Majlis Dialog ialah bagi membincangkan kepentingan penduduk di Desa Surada dan masalah-masalah yang dihadapi dari berbagai segi. Atas tujuan tersebut, maka dijemput Adun Bangi Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar dan Ahli Majlis MPKj Zon 21 Saudara Yusof Bachik.


Desa Surada dari segi sejarahnya adalah Taman Perumahan yang telah dibangunkan pada akhir tahun 1980an. Pernah pada peringkat awal dianggap sebagai kawasan terbengkalai, kerana masalah yang dihadapi Pemaju Perumahan di situ – Pemaju Rombas. Bila dihuni pada 1997, banyak masalah dihadapi penduduk. Misalnya jalan masuk dari Sungai Ramal Dalam tidak sempurna. Nama Surada kependekan dari SU (Sungai) RA (Ramal) DA (Dalam) = SURADA. Belum ada surau seperti sekarang, jalan yang tidak sempurna (terputus dari BBB – tiada jalan), ketiadaan sistem perparitan, pembentungan yang tidak sempurna, tiada tempat rekreasi dan tiada perkhidmatan memungut sampah. Masalah pada masa itu turut dihadapi oleh Adun Kajang pada masa itu – Dr. Shafie (1999-2004). Rumah di sini terdiri dari rumah berkembar dua tingkat, berkembar setingkat dan rumah teres. Jumlah semua melebihi 200 buah.


Berkat kerjasama penduduk yang memang bersatu sejak awal, maka masalah dapat diatasi satu persatu. Kejayaan yang paling menonjol ialah dengan terdirinya Surau Al-Mujahidin yang indah atas inisiatif penduduk yang menjadi land` mark` utama di Desa Surada dan menjadi pusat kegiatan penduduk di samping wujudnya balai komuniti yang agak sederhana binaannya. Jika sebelumnya pengurusan infra-struktur dan pemungutan sampah diurus secara swasta, maka sejak beberapa tahun lepas Desa Surada telah dengan rasminya menjadi sebahagian dari Bandar Baru Bangi dan penjagaan Desa Surada termasuk di bawah MPKj.


Dialog pada malam ini ditimbulkan oleh penduduk, perlunya wujud perwakilan dari tiga komponan yang menjadi pengantara antara penduduk dengan Wakil Rakyat dan juga Wakil dari MPKj (Ahli Majlis) dan ini disetujui. Mekanisme dari persetujuan ini akan dibincangkan secara lanjut oleh perwakilan pada masa hadapan. Adun Bangi dan Encik Yusof bersetuju bahawa peruntukan dan perhatian terhadap Desa Surada sama diberi keutamaan sebagaimana di tempat-tempat yang lain. Perkara ini memang dilakukan selama ini.


Perkara utama yang ditimbulkan ialah jalan masuk dari Sungai Ramal Luar melalui ABIM ke Surada. Jalan ini menjadi rosak, kerana digunakan oleh kenderaan awam sebagai jalan pintas yang juga berlaku kesesakan waktu puncak. Setakat ini peruntukan diluluskan bagi pembaikan jalan masuk ke ABIM dan pembaikan akan dilakukan, tetapi bagi penaikan taraf bagi keseluruhan memerlukan pengambilan tanah dan peruntukan yang lebih besar dan isu ini terus dibawa samada melalui Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan di Pejabat Daerah Hulu Langat dan juga MPKj.


Perbincangan juga menyampaikan hasrat penduduk agar tanah lapang di bahagian belakang perumahan yang seluas 3 ekar dilengkapkan dengan keperluan rekreasi seperti taman permainan, padang, court takraw dan badminton. Penduduk juga berharap dapat dipohon status tanah sekarang ditukar dari pajakan kepada freehold dan jalan-jalan keseluruhannya diturap kembali. Perkara-perkara lain ditimbulkan ialah berkenaan penggunaan Dewan Komuniti – perlu dinaiktaraf, pagar keselamatan, lampu isyarat, rumput panjang sepanjang jalan yang tidak dipotong (bawah JKR, belum diserah kepada MPKj?), mewujudkan kelas tahfiz, perkhidmatan bas yang tak menepati waktu, penjualan arak di kedai, masalah remaja dan maksiat yang pada dasarnya di Desa Surada adalah terkawal.


Segala apa yang ditimbulkan akan diambil perhatian oleh Adun dan Ahli MPKj. Dialog bersetuju pihak perwakilan perlu menjadi penghubung berterusan agar semua masalah dapat diselesaikan secara berencana.


Dialog juga memaklumkan akan diadakan di Desa Surada:

Program: Gotong Royong Perdana

Tarikh: 23 Oktober 2010 (Sabtu)

Tempat: Seluruh Desa Surada

Jam: 7.30 pagi – 1.00 tengahari

Terlibat: Adun, Ahli MPKj dan Pimpinan Setempat dan Penduduk

Sekian.

No comments:

Post a Comment