October 11, 2010

Pertandingan Futsal Belia Teras Jernang

BBB, 03 Zulkaedah = 10 Oktober (Ahad):

Tiga Badan bersatu tenaga menganjurkan peraduan Futsal Remaja Teras Jernang pada pagi ini bertempat di Aktif Futsal, Seksyen 13, Bandar Baru Bangi. Ketiga-tiga badan yang dimaksudkan ialah Biro Belia Masjid As-Salihin Teras Jernang, JKKK Teras Jernang dan Unit Sukan dan Rekreasi, Pejabat Adun Bangi.


Hadir pada pagi ini Wakil sebagai Penganjur ialah Adun Bangi, Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar, Ustaz Bashir Alias Nazir Masjid As-Salihin dan Tuan Shukor bin Jantan Ketua Kampung Teras Jernang.


Menurut Saudara Faisal Ketua Biro Masjid, ``Peraduan ini bersifat tertutup dan khusus bagi belia-belia Masjid Teras Jernang sahaja.``
Menurut Pengarah Pertandingan Saudara Mohd Radhi, ``Sebanyak 10 pasukan bertanding pada pagi ini mulai dari jam 8.30 pagi ini hingga jam 1.00 tengahari. Dua gelanggang ditempah bagi pertandingan serentak bagi 10 pasukan berkenaan. Dua orang Pengadil Profesional dijemput mengadili pertandingan. Mereka ialah Encik Farid dan Encik Nazrul. Tuan Nazir dan Ketua Kampong berucap ringkas mengalu-ngalukan pertandingan.


Adun Bangi diberi penghormatan merasmikan pertandingan, mengucap tahniah kepada pihak masjid dan Ketua Kampong yang prihatin terhadap golongan muda di Kampong Teras Jernang bagi menjinakkan belia ke masjid dan bersyakhsiah yang baik. Menurut Adun,
``Saya difahamkan, tanpa peraduan yang dianjurkan pada hari ini, belia-belia Kampong Teras Jernang, memang pada setiap hujung minggu menempah dan datang bermain futsal di sini sejak beberapa bulan yang lalu. Pihak masjid dan Ketua Kampong menanggung kos sewaan padang futsal. Melihat kepada minat dan keterlibatan anak-anak muda ini, maka ketiga-tiga pihak menganjurkan pertandingan pada pagi ini bagi menjadikan permainan futsal yang dilibati pemuda-pemuda Teras Jernang lebih teratur, berinisiatif dan lebih menarik.``
Tambah Adun Bangi, ``Saya difahamkan pertandingan lebih besar dan terbuka akan dianjurkan pada masa hadapan.``

Kata Adun Bangi lagi, ``Saya berharap pasukan-pasukan dari Kampong Teras Jernang akan mendahului kawasan-kawasan yang lain di dalam permainan futsal, apalagi padang-padang futsal di Seksyen 13 ini memang dekat dengan Kampong Teras Jernang dan padang baru yang baru disiapkan oleh MPKj di Kompleks Sukan, Seksyen 15 juga berdekatan dengan Kampong Teras Jernang. Dengan kemudahan yang sedemikian wajarlah pasukan-pasukan futsal dari Teras Jernang mendahului dan memenangi berbagai pertandingan futsal yang dianjurkan.``

Mengakhiri ucapan beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang menjayakan pertandingan pada pagi ini.


Membuka pertandingan Adun Bangi menyepak bola ke gol yang penjanga golnya ialah Ketua Kampong Teras Jernang. Kemudian Adun Bangi pula menjadi penjaga gold dan bola disepak oleh Ketua kampong. Masing-masing tidak dapat menyumbat gol, kerana masing-masing berjaya menghalang bola dari menembusi gawang gol !


Sekian.

No comments:

Post a Comment