March 10, 2011

3 Tahun Pemerintahan Pakatan Rakyat: Kritikan Dan Harapan

Bandar Baru Bangi, 04 Rabiul Akhir = 09 Mac (Rabu):



Ceramah yang dianjur oleh Pas Serdang di bawah kendalian Lajnah Penerangan Pas Serdang ini bertempat di Kompleks Sukan, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi. Ceramah adalah sempena 3 tahun Pakatan Rakyat memerintah. Untuk menyempurnakan sambutan tiga orang penceramah dijemput khas. Mereka ialah Tuan Haji Mohd. Sabu AJK Pas Pusat, YB saudara Tony Puah Ahli Parlimen PJ Utara yang juga selaku Setiausaha Publisiti DAP, YB Saudari Fuziah Salleh Ahli Parlimen Bandar Kuantan yang juga selaku Naib Presiden PKR. Turut hadir Tuan Haji Shafie Ngah Timbalan YDP Pas Serdang, Tuan Haji Mazwan Johar Naib YDP Pas Serdang,Puan Zuryati Yasin Ketua Muslimat dan Sdr. Hamidi Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Serdang. Kehadiran amat menggalakkan. Berdasarkan pungutan derma menunujukkan kehadiran lenih kurang 2,500 orang.

Secara seturutnya majlis dimulai dengan ucapan alu-aluan dari Tuan Rumah – YB Dr. Shafie Abu Bakar yang mengucapkan terima kasih terutama kepada penceramah-penceramah yang sudi hadir menyempurnakan ceramah 3 Tahun Pakatan.


Beliau mengimpikan politik pemerintahan yang mematuhi Perlembagaan Negara, Demokratik, telus dan adil yang memberi hak kepada rakyat memilih secara bebas. Tapi menurutnya keadilan tidak berlaku. Beliau mencontohi pilihanraya kecil Merlimau, Melaka dan Kerdau di Pahang (6 Mac 2011- serentak) tidak berjalan secara adil. Pihak pemerintah menggunakan saluran maklumat kerajaan, peralatan dan kakitangan kerajaan. Menyekat kebebasan berkempen seperti di kawasan Felda. Jadi mereka menang secara tidak demokratik. Beliau bertanya, mengapa Umno-Bn mendapat dokongan di kampong dan di Felda ? Kerana mereka diberi maklumat satu pihak dan menyekat dari pihak lawan BN. Tetapi mengapa Pakatan Rakyat lebih mendapat sokongan dari kalangan pemuda-pemudi kawasan taman, di kawasan semi Bandar dan Bandar ? Kerana mereka terbuka kepada maklumat baru, bukan maklumat yang dikawal oleh kerajaan sahaja. Sebab itu kita menekankan pembinaan masyarakat berilmu, kebebasan maklumat, kebebasan bersuara, telus, adil dan tidak rasuah, kerana semua ini membantu rakyat membuat pemilihan yang betul dan dapat membina masyarakat secara adil, telus dan demokratik.

Menurut Dr. Shafie, kita menawarkan pakej yang lebih baik kepada rakyat. Contoh di Selangor dari Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor, Pakej Kebajikan, prehatin, pendidikan dan pembinaan Insan. Beliau juga menyedut maklumat dan tawaran-tawaran Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga (termasuk tindakan 100 hari pertama jika diberi mandate memerintah Negara) dan penyelewengan-penyelewengan oleh BN selama ini dan meminta rakyat menilaikan semua secara saksama.


YB saudara Tony Puah terus mendedahkan penyelewengan-penyelewengan yang berlaku di dalam pemerintahan BN, iaitu janji tender terbuka, tetapi tidak berlaku, sebaliknya dilakukan secara rundingan terus dengan kroni:

1) Peruntukan RM36 bilion bina jalan MRT yang diberi kepada Granada MMC. Bila ditanya jawapan tak munasabnah, kerana Granada beri cadangan terawal.
2) Pembinaan Pusat Pameran Terbesar seharga RM628 juta diberi kepada Nazar yang bidang kepakaran dalam penjualan kereta. Alasan juga sama seperti di atas.
3) Pembelian 6 buah kapal peronda seharga RM6 bilion. Sedang kapal yang lebihkurang sama Ireland beli satu unit seharga RM100 juta, New Zealand beli yang lebih baik hanya RM210 juta satu unit. Yang terbaik dibeli Israil satu unit hanya RM800 juta tak samapi RM1 bilion.
4) Beli kereta perisai 257 buah berharga RM7.6 bilion, sedang Portugal beli seunit hanya RM4 juta, kita beli satu umit RM30 juta. Sedangkan kereta perisai canggih keluaran General Dynamic hanya RM9.8 juta, sedang kerajaan beli RM30 juta
5) Pembelian kapal selam yang tidak menyelam yang diberi kepada DRB Hi-Com dengan harga begitu mahal iaitu RM7.6 bilion.

Begitulah harga yang diberi secara rundingan terus yang memberi komisen berganda agar kroni-kroni mendapat keuntungan. Tindakan yang boleh memufliskan Negara yang pernah disebut kemungkinan berlaku pada tahun 2019.



YB saudari Fuziah Salleh mengalih topic kepada Hari Wanita Sedunia yang disambut pada hari kelmarin 8 Mac. Beliau mau diktiraf tentang peranan wanita yang menyediakan 42% tenaga kerja di Negara ini. Kita memerlukan 30% wanita di dalam menentukan polisi dan dasar di Negara ini. Kita memberi cuti 90 hari kepada wanita bersalin. Beliau memuji Selangor yang membeli air, tetapi memberi percuma kepada rakyat sebanyak 40 kubik meter. Beliau mendedahkan, walaupun pengundi di Felda disekat, ada kawasan-kawasan undi meningkat menyokong Pakatan Rakyat. Beliau juga mendedahkan bagaimana Kerajaan Pahang membenarka Syarikat Australia mendirikan kilang Red-Earth yang mengendalikan radio aktif yang boleh membahayakan kesihatan dan mencacatkan keturunan. Kempen sedang dijalankan bagi menarik balik kilang dari beroperasi di Pahang yang diberi poengecualian cukai itu.



Penceramah terakhir Tuan Haji Mat Sabu yang mendedahkan ketakutan Dato` Seri Najib dan Tan Sri Mahyuddin dari kesan revolusi yang sedang berlaku di Negara-negara Arab. Mereka takut kesannya akan sampai ke Malaysia. Mereka berhujah, keadaan tidak sama, Malaysia mengamalkan system pilihanraya. Tetapi jika tekanan melampau tidak mustahil akibatnya boleh menimbulkan kemarahan rakyat. Beliau mengambil contoh jika ratusan ribu ahli Rela diberi hak mengundi Pos, maka tidak mustahil tindakan sewenang-wenang bagi kepentingan BN itu akan mencetuskan penentangan rakyat.

Saudara Mat Sabu menyebut tidak ada Negara-negara Arab mengamalkan pilihanraya. Tetapi jika diadakan maka kecenderunagan seorang pemimpin di sana, apabila naik memerintah akan mewariskan pemerintahan kepada turunan mereka. Ini berlaku seperti di Syria, cadangan Mubarak untuk melantik anaknya sebelum revolusi, juga Gaddafi di Lybia dan banyak daripada negeri Arab mewarisinya secara monarchy. Perubahan pemerintahan di sana adalah melalui revolusi.

Tuan Haji Mat Sabu mau pemerintah Malaysia mengamalkan demokrasi sebenar dan tidak menggunakan hak Negara dan rakyat bagi kepentingan parti seperti yang digunakan oleh BN. Beliau mengambil contoh Indra Gandhi disaman rakyat biasa kerana menggunakan kemudahan pengangkutan dari harta kerajaan dau beliau disabitkan kesalahan . Di Negara kita harta dan hak milik Negara seolah-olah menjadi milik BN. Beliau mau semua pihak mengambil iktibar, akibat gila kuasa menjatuhkan Shah Iran, Ali Zainal Abidin di Tnnisia, Mubarak di Mesir, Ghadafi sedang tergugat di Lybia dan Markus di Filipina. Sebab itu pihak pemerintah perlu ingat dan jangan menekankan rakyat ke batas luar dari kewajaran. Untuk menyekat dari tekanan dan penyelewengan beliau menyebut rancangan Pakatan untuk mengadakan `Gerakan Bersih Dua`.



Sekian.

No comments:

Post a Comment