March 27, 2011

Dinar (Emas) Matawang Paling Terjamin

Teras Jernang, 21 Rabiul Akhir = 26 Mac (Sabtu):

Pagi ini Adun berada di Balai Raya Teras Jernang, Bandar Baru Bangi kerana merasmikan penerangan mengenai Dinar Emas oleh Saudara Zakaria dari RP Gold Trading. Seminar ini dianjur oleh Nisa` Serdang. Kehadiran agak sederhana. Lebih kurang 30 orang hadir.


Dalam ucapan Adun antaranya menyebut bahawa kesedaran tentang nilai Emas wujud sejak manusia bertamadun. Perniagaan asas adalah bersifat tukaran barang yang dikenali dengan barter trade, kemudian dengan menggunakan konsep cagaran sebagai jaminan nilai bagi barangan. Emas adalah nilai bermutu dan paling kukuh sebagai cagaran di dalam urusan berjual beli. Bahkan Emas itu sendiri adalah barangan komoditi bernilai dan diakui al-Qur`an tentang nilainya:

Al-Qur`an menyebut tentang kedudukan Emas. Antaranya ayat yang bermaksud:

Dihias pada diri manusia suka (bernafsu) kepada wanita, mempunyai anak-pinak, memiliki harta yang banyak daripada emas dan perak, tunggangan yang selesa, mempunyai ternakan yang banyak dan kebun yang luas. Itulah harta kekayaan dunia. Kepada Allah sebaik-baik perkembalian (Ali Imran, 3 : 14).

Disebut di dalam ayat al-Qur`an bahawa emas juga menjadi hiasan hidup di dalam syurga. Ayat bermaksud:

Bergerak berkeliling hidangan antara mereka pinggan-pinggan daripada Emas dan bekas-bekas. Padanya apa yang diingini diri dan sedap mata memandang. Dan kamu di dalamnya kekal (al-Zukhruf, 43:71).

Di dalam tradisi pemerintahan, pentadbiran dan ekonomi Islam Emas adalah menjadi sandaran utama di samping perak. Istilah dinar dan dirham merupakan sinonim dengan Emas dan perak. Kini juga matawang asas bagi setiap Negara adalah berasaskan Emas. Namun matawang ini tidak berlegar di dalam pasaran, tetapi disimpan sebagai cagaran. Bagi menggantikannya dikeluarkan resit yang kita kenali sebagai wang kertas. Wang ini tidak berharga tanpa cagaran. Dia juga akan hilang harga jika ditarik atau berlaku bencana kepada Negara seperti kalah perang dan bankrupt. Contohnya tidak berharganya wang Pokok Pisang Jepun di Negara ini bila negera Jepun kalah dalam perang Dunia Kedua.

Mungkin kita tak boleh simpan wang dinar dengan banyak, kerana keselamatan, tetapi boleh memiliki sebagai cenderahati atau sebagai barang hiasan. Walau apa pun kita berterima kasih kepada saudara Zakaria dari RP Gold Trading yang sudi datang memberi penerangan tentang Dinar Emas.

Dalam penerangannya saudara Zakaria mnerangkan:


``Emas lambang kekayaan dan kekuasaan.`` Menurutnya,
``Amerika mempunyai stock cagaran Emas sebanyak 800 ton, manakala Malaysia mempunyai hanya 40 ton.`` Menurutnya, ``Jumlah ini tentulah lebih kecil dari harta kekayaan yang beredar di dalam Negara.`` Contoh:

Dengan 40 ton emas cagaran di dalam Negara Malaysia, maka 40 ton dibahagi dengan jumlah 28 juta rakyat Malaysia, maka harta kekayaan bagi setiap rakyat Malaysia hanya lebih kurang satu gram. Pada hakikatnya rakyat Malaysia mempunyai harta lebih dari itu.

Menurutnya Amerika memang mempunyai sandaran emas bagi dolarnya. Bagi 35 dolar Amerika boleh ditukar bagi satu auns Emas, tetapi selepas 1970an bila Presiden Nixon memerintah dolar Amerika diapungkan. Kekuatan dolar itu sendiri sebagai nilai. Kebanyakan mata wang lain bergantung pada nilai dolar. Setiap Negara yang menggantungkan nilai pada dolar memberi keuntungan kepada Amerika. Amerika makin kaya dan ianya sebagai jaminan. Dolar dianggap lebih kukuh dari pound British atau yen Jepun. Tetapi andainya sesuatu terjadi yang membawa keruntuhan Amerika, maka nilai matawang yang bersandar kepadanya akan runtuh.

Di dalam negera sendiri, nilai matawang kertas yang kita miliki, juga tidak tetap nilainya. Biasanya ia terus merosot dengan kenaikan harga barang seperti minyak, gula dan susu. Gaji yang kita dapati juga terus merosot dan kuasa belinya makin menurun. Misalnya dulu harga rumah teres RM80,000, kini berharag RM240,000. Ini bererti tiga kali ganda kuasa beli wang kita merosot.

Jalan sebaik-baiknya mengekalkan nilai wang atau harta kita dengan nilai Emas yang mutu dan harganya tetap utuh dan biasanya makin meningkat dari segi harganya. Atas dasar inilah Syarikat RP Gold Trading menggalakkan mereka yang berminat menanam modal di dalam dinar Emas yang nilainya lebih terjamin dan lebih selamat dari mengalami inflasi dan kemerosotan. Idea menggunakan Dinar Mas ini antaranya dicetuskan oleh kerajaan Negeri Kelantan. Perak turut tiru dari Kelantan. Tapi menurut Saudara Zakaria. Mutu wang Emas negeri Perak lebih rendah dan tidak setara dengan nilai dinar Kelantan!

Sekian.

No comments:

Post a Comment