March 18, 2011

Sekolah Agama Bandar Baru Bangi (LEPAI) Giat Menghimpun Dana

Bangunan PKNS, BBB, 07 Rabiul Akhir = 12 Mac (Sabtu):

Sekolah Agama BBB sedang giat menghimpun dana bagi meningkatkan bangunan yang ada dari satu tingkat kepada tiga tingkat. Dengan demikian dapat menampung jumlah pelajar lebih ramai. Pada asalnya pihak AJK bercadang membinanya sebanyak dua tingkat sahaja. ADUN menasihatkan oleh kerana tanah yang ada begitu terhad dan tempat begitu strategic, maka untuk kebaikan masa hadapan wajar dibina sebanyak tiga tingkat. Bangunan asal tidak diroboh, tetapi ditambah bahagian atas dengan struktur baru yang sesuai. Dengan binaan tiga tingkat kos bagi membinanya meningkat kemungkinan kepada tiga juta ringgit. Hasrat ini mau direalisasikan oleh AJK. Ybhg Dr. Tajul Ariffin Noordin sebagai Pengerusi Lembaga Tadbir yang merupakan Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dengan Saudara Hj. Ahmad Sufi Munasir sebagai Pengarah Projek dan AJK bekerja keras bagi menjayakan projek.

Berbagai cara diusahakan antaranya memohon dana dari kerajaan negeri, setakat ini telah disalurkan sebanyak RM200,000, kutipan Tabung hari Jumaat di Surau An-Nur, derma dari Kuliah Wanita di Surau An-Nur dan derma orang perseorangan. Antara usaha yang dilakukan ialah melancarkan Karnival Usahawan Cemerlang 2011 di Tingkat Bawah Bangunan PKNS. Caranya ialah pihak Lembaga Tadbir menyewa ruang bawah PKNS. Ruang-ruang ini dipetak-petak dan diberi sewa kepada usahawan-usahawan dalam tempoh tertentu.Keuntungan dari sewa dimasukkan ke dalam Tabung Pembinaan Sekolah. Malam ini ADUN dijemput melancarakan Karnival Usahawan berkenaan. Hadir sama selain dari ADUN ialah Tuan Haji Mohd. Ghazali Abbas Bendahari yang juga selaku Timbalan YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi merangkap Pengerusi Surau An-Nur, Ustaz Zul Nurain Pengetua Sekolah, Tuan Haji Mohd Bukhari Bachok Pengerusi Karnival, Ustaz Saifuddin Amran yang dijemput khusus bagi menyampaikan ceramah dan para jemputan.

Dalam ucapan alu-aluannya Tuan Haji Ghazali memaklumkan, setakat ini dana bagi bangunan telah dapat dihimpunkan sebanyak RM451,000. Pembinaan dijangka selepas Mac, iaitu selepas cuti Sekolah. Pihak Lembaga juga menurut Tuan haji Ghazali melancarkan derma dengan mewaqafkan jualan tapak kepada unit-unit. Harga bagi seunit ialah RM50.00. Ianya dibuka kepada dermawan-dermawan untuk membeli dan wewaqafkan. ADUN Bangi dalam ucapannya memuji kegigihan pihak Lembaga dan AJK menghimpun dana. Beliau percaya hasrat murni akan dapat terlaksana dalam masa terdekat.



Pihak kerajaan negeri menyokong dan akan terus menyalurkan bantuan pada masa akan datang. Dengan terbina bangunan baru kelak, ADUN berharap kegunaannya bukan setakat untuk Sekolah Lepai yang pengajiannnya tiga hari seminggu, tetapi hendaklah diperluaskan. Misalnya memikirkan bagi diadakan pengajian pada peringkat Sekolah Agama Menengah yang amat diperlukan pada masa ini. Kekurangan tempat di Sekolah sedemikian amat ketara. Hanya 20% daripada pelajar yang lulus pada peringkat mumtaz dapat menyambung pengajian di Sekolah agama menengah. Di Hulu Langat Sekolah agama menengah hanya sebuah sahaja. Tempat ini juga diharap menjadi pusat kegiatan ilmiah di mana wacana-wacana ilmiah juga akan dilaksanakan di sini, sesuai dengan Bangi Bandar Ilmu.





Dari segi sejarahnya Sekolah Agama Lepai ini mula beroperasi sejak 1987 dengan menggunakan silibus JAKIM dan didaftarkan di bawah JAIS. Sekolah ini terletak di Lot 10616, Jalan 6C/6, 43650 Bandar Baru Bangi. Cadangan pembangunan fizikal 3 tingkat dilakukan mulai awal 2010 dengan mendapat peruntukan awal dari Kerajaan Negeri Selangor dan penyerahan bantuan awal dilakukan oleh YB Dr. Halimah Ali selaku Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan pada 25 September 2010 sebanyak RM100,000 dan diikuti penyerahan kedua melalui ADUN Bangi pada 13 November 2010 sebanyak RM100,000 lagi. Dari jumlah ini usaha menambahnya terus dilakukan..Bangunan berbentuk U ini akan ditingkatkan menjadi tiga lapis dan akan diberi atap bagi ruang tengah U bagi kawasan perhimpunan pelajar dan juga sebagai tempat bagi berbagai-bagai kegiatan. Ustaz Saifuddin pada malam itu telah menyampaikan ceramah berjudul Derma dan Infaq sebagai Saham Akhirat.

Kita berharap Sekolah Agama Bandar Baru Bangi ini akan terus berkembang menjadi salah sebuah Sekolah agama terkenal di Bandar Baru Bangi dan negeri Selangor yang mampu mengeluarkan pelajar-pelajar cemerlang yang berkhidmat kepada agama, umat dan Negara.





Sekian.

1 comment:

  1. salam
    sy mohon 'copy' beberapa info utk jayakan page di fbook
    tolong war-warkan derma untuk sekolah lepai ni.

    ReplyDelete