March 7, 2011

Taman Seri Mewah Kajang Dan Impian Kajang, Bangi Dapat Keizinan Diri Surau

Kajang, Utama, 30 Rabiul Awwal = 05 Mac (Sabtu):

Sudah tiga tahun penduduk Taman Seri Mewah Dan Bukit Mewah Fasa 8A berusaha untuk mendapat tapak tetap surau bagi kedua-dua taman di atas dan Adun Bangi pernah datang mengenalpasti tapak yang dipohon, namun selama ini penduduk masih tetap menggunakan Surau Sementara di bawah bangunan rumah pangsa yang diberi dinding dan tidak begitu selesa digunakan. Namun di sinilah penduduk mendirikan sembahyang jamaah, sembahyang tarawih dan mengadakan sambutan-sambutan keagamaan dan perayaan..

Menurut Mejar (B) Adnan Awang Long Pengerusi Surau At-Taqwa, al-Hamdulillah dan bersyukur kepada Allah akhirnya permohonan tapak surau begitu lama ditunggu akhirnya diluluskan, iaitu melalui surat JAIS. SEL PPM/01/0157 (14) bertarikh 11 Februari 2011. (JAIS SEL.bpm/01/034/340 dibenar keizinan untuk memungut derma. Menurut Mejar (B) Adnan dana yang diperlukan bagi membina Surau yang diberi nama Surau At-Taqwa dalam lingkungan RM250,000.

Maka pada pagi ini dengan rasa kesyukuran kepada Allah dan memohon kurnia daripadaNya dijalankan dua acara – Penentuan arah Kiblat bagi pembinaan Surau At-Taqwa dan Pelancaran Derma. Menyertai acara yang berkat pada pagi ini, selain dari Adun Bangi ialah Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj, Mejer (B) Adnan Awang Long Pengerusi Surau, Tuan Haji Azhar Pengerusi Surau Al-Muhajirin Kajang Utama, Ustaz Jazlan dari JAIS, Encik Ibrahim Martibi Pengerusi Rukun Tetangga, Kajang Utama, Saudara Yusri Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Mewah, ahli-ahli jawatankuasa surau dan penduduk setempat.

Bagi menepati arah Kiblat pihak AJK Surau menjemput Pegawai dari Jabatan Mufti yang diketuai oleh Ustaz Jazlam mengukur ketepatan arah kiblat, di atas tanah lebih kurang suku ekar luasnya, iaitu pada kedudukan:




Berdasarkan pada ukuran matahari tetap 99 darjah 32 minit dan 19 saat
Daripada kedudukan sebelum buka Kiblat 292 darjah 35 minit dan 50 saat
Hasil dari latitude dan longitude khattul istiwa 2 darjah 58 minit
Longitude Green weech 101 darjah 48 minit 09 saat
Maka bacaan Kiblat 292 darjah 35 minit 50 saat’
Dengan penentuan kiblat dipacak kayu yang dipaku di atasnya sebagai arah ukuran. Kemudian kedudukan kayu yang dipacak ini diseminkan agar tidak bergerak dan berubah. Ukuran dari sudut ke sudut juga dibuat.

Selesai Adun merasmikan tapak dan arah kiblat, berikutnya dilancarkan derma.



Sementara itu pada sebelah petangnya Adun juga menghadirkan diri bagi perasmian melancarkan derma bagi mendirikan Surau Al-Ittifaqiyyah di Taman Impian Kajang, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi. Pihak AJK telah mendapat kelulusan tapak bagi membina surau, iaitu tapak yang disediakan oleh pemaju. Sempena pelancaran derma ini digabungkan beberapa acara seperti sambutan Maulid Ar-Rasul (petang terakhir Rabiul Awwal), tahlil dan jamuan sempena pemergian Encik Marzuki dan sahabatnya ke Makkah untuk menunaikan umrah dan ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Fazrul bin Ismail. Hadir sama di dalam majlis petang itu ialah Ustaz Nasir Al-Hafiz Pengerusi Surau, Ustaz Zaki Imam Surau, Ustaz Azli Haji Yusuf Pengerusi Persatuan Penduduk, turut hadir Saudara Khairuddin Haji Othman Setiausaha Pas Negeri yang tinggal di kawasan tersebut. Mereka bersama jamaah berada di bawah khemah-khemah yang di pasang khas tiap kali diadakan sambutan.

Majlis bermula pada petang jam 6.30 dengan membaca Yasin, dikuti dengan tahlil dan ucapan ringkas termasuk dari Adun tentang sadaqah dan derma dan Adun optimis bagi penduduk Impian Kajang tidak bermasaalh bagi menghimpun derma yang target jumlahnya RM700,000 itu berikut dari pelancaran derma. Selepas menunaikan fadhu Maghrib bersama Adun memohon diri untuk menghadiri program di tempat lain.

Sekian.

2 comments:

  1. YB Wakil Rakyat BBB,
    TOLONG bertindak menaikkan taraf infrastruktur dan kebersihan, setidak-tidaknya pun bermula dengan kebersihan kawasan kediaman terutama sekeliling bangunan perniagaan serta rumah-kedai. Prestasi tuan dalam hal berusaha kearah membaikpulih keterampilan wajah bagi persekitaran BBB bagi saya & kaum kerabat BBB adalah Z E R O .

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,
    saya menghantar anak ke SMK Datok Abu Bakar Baginda dr Seksyen 4 BBB malangnya jalan dr traffic light perpustakaan hulu langat menuju kilang Denso gelap dengan pohonnya yg rendang dan lampu jalan yg malap di campur lagi semak di seberang jalan yg tidak terurus dan banyak lori2 yg diletakkan di tepi2 ... minta tolong terangi jalan2 tersebut.

    ReplyDelete