Kajang, 28 Muharram = 24 Disember (Sabtu):
Selama ini ke mana saja Adun Bangi pergi melaksanakan khidmat masyarakatnya, kecuali hari kerja, maka saudara Azizi bersama, bukan setakat berperanan sebagai pengiring dan mempastikan keselamatan Adun, tetapi juga bertindak sebagai jurufoto professional. Tetapi sejak sebulan mutakhir, saudara Azizi mengalami sakit lutut dan cara jalan beliau tidak begitu selesa, setelah memaklumkan kepada Adun dan terlebih dahulu berbincang dengan keluarganya, maka pada Selasa 20 Disember lepas, beliau masuk Hospital Swasta (KPJ) di Kajang dan terus menjalani pembedahan lutut.
Sememangnya ketiadaan saudara Azizi, Adun Bangi bagai kepatahan kaki. Memang ada yang mengganti, tetapi tiada seperti saudara Azizi sanggup mengikuti Adun kadang-kadang dua hari berturut-turut padat dengan program mengiringi Adun memenuhi program harian, terutama pada hari Sabtu dan Ahad. Bahkan malam-malam beliau juga turut serta, walaupun siangnya hari bekerja. Beliau sebenarnya sering teruji dengan ungkapan oleh sesetengah pihak, ``Apalah faedah mengikut Adun berterusan ?`` Tetapi itu adalah antara ujian yang dihadapinya.
Lantaran kesakitan yang dialami saudara Azizi dan bertujuan untuk memberi rehat kepada saudara Azizi – walaupun beliau mahu turut sama, tetapi kadang kala Adun mendapat khidmat pengiring sementara lain bagi mengurangkan tugasnya. Tanpa beliau dan kadang-kadang Adun berseorangan di dalam menjalankan khidmat, maka Adunlah bertindak sebagai pemandu, menjaga keselamatan diri, sebagai jurufoto dan sekaligus sebagai wartawan.
Jika pada kebiasaan Sdr. Azizi mengepalai rombongan ziarah, sambil mengambil foto, maka pada hari ini kami rombongan Lajnah Kebajikan diketuai Tuan Haji Rushdi mengunjungi beliau di Hospital KPJ Kajang. Setibanya kami, saudara Azizi berada di atas katilnya sambil duduk dengan kaki kanannya yang sudah berjaya dibedah terlantar di atas katil. Isteri dan anak beliau ada bersama menunggu. Setelah bersalam dan bertanya khabar Adun berkata, ``Alhamdulillah saudara Azizi selamat dibedah.`` Kata saudara Azizi, ``Alhamdulillah, Cuma ada rasa sengal lagi sikit-sikit.`` Adun mencelah,``Tapi ni dah ada dua tongkat (tersandar di dinding), dah boleh jalan?`
``Dah,`` jawab isteri beliau, tapi bertongkatlah,`` Kata Adun, ``Kalau begitu wah cepat betul sembuh ya?`` kata Adun melahirkan kegembiraan.
Secara bergurau Adun katakan pada isteri saudara Azizi, ``Tapi kami mohon maaf kepada Puan, antara sebab sdr. Azizi sakit lutut, ialah kerana banyak berjalan mengiringi Adun!” Yang hadir ketawa.
``Tidak,`` jawab isteri saudara Azizi bersungguh-sungguh, ``Sebenarnya sakitnya sudah lama, kalau tidak iring YB dia berjalan juga!`` jawab isterinya, kami ketawa beramai-ramai.
``Tapi bila baik nanti jangan merayau tak tentu pasal sudahlah,`` gurau Adun lagi.
``Harap dia boleh solat dengan sempurna,`` jawab isteri beliau. ``Insya Allah,`` kata Adun. Sejak sakit lututnya bertambah saudara Azizi terpaksa bersolat menggunakan kerusi.
Saudara Azizi menunjukkan lutut kanannya yang dibedah, ``Doktor kata, selepas baik lutut kanan ini, tak perlu dibedah lutut kiri, masih OK katanya,`` kata saudara Azizi. Sebelum ini saudara Azizi pernah memaklumkan bahawa selepas bedah lutut kanannya akan disusuli dengan pembedahan lutut kiri.
Sedang kami berbual, Tuan Haji Hassan Basri AJK Lajnah Kebajikan yang naik lift lebih kemudian tiba, beliau juga sakit lutut dan kurang selesa dari segi perjalanan. Bila beliau masuk, Adun bergurau lagi. ``Yang mengiringi Adun memang banyak berjalan bagi menyampaikan bantuan kebajikan kepada rakyat dan ramai sakit lutut, lihat Tuan Haji Hasan !`` kata Adun dan menambah,
``Tuan Haji Hasan datang hari ini pun nak meninjau kemungkinan nak bedah lutut beliau, berikut dari kejayaan saudara Azizi, ya tak?`` Tanya Adun.
``Mungkin juga, tapi sakit saya sakit otot-otot, bukan tempurung lutut, mungkin lebih kepada terapi dan urut. Setakat ini memang saya ke Hospital UPM setiap minggu menjalani tarapi,`` tambah Haji Hasan. ``Walau bagaimana Sdr. Azizi tidak bermasalah dari segi kos, kerana majikannya adalah Petronas, tapi saya persendirian tentu berat. Tapi kata Dr. sakit saya tidak perlu kepada pembedahan.`` kata Haji Hasan.
Dalam bercakap itu antara kami mencadangkan agar diambil gambar kenangan, apalagi kemungkinan saudara Azizi akan keluar dari wad pada petang ini juga, tapi antara kami tidak membawa kamera, kecuali kamera handphone sahaja, tentulah gambarnya tidak seelok kamera canggih dimiliki saudara Azizi. Gambar-gambar yang diambilnya terang dan bermutu. Gambar-gambarnya juga selalu digunakan oleh akhbar-akhbar Selangor Kini, Harakah dan Sinar Harian. Walaubagaimana, meskipun saudara Azizi tidak membawa kamera canggihnya, tetapi beliau membawa bersamanya I-Pad Samsung yang baru dibelinya. Menurut saudara Azizi, ``Mutu gambarnya tidak kurang dari kamera digital biasa. `` Tapi untuk mengambil gambar bersama saudara Azizi, maka saudara Azizi meminta Isteri dan Anaknya mengambil gambar. Mereka berdua beranak sama mahir menggunakan Kamera pada I-Pad Samsung. Adun bergurau lagi, ``Keluarga saudara Azizi adalah `Keluarga IT`, Adun banyak bergantung, bukan saja mengiringi, tetapi juga pada kepakaran IT.``
Setelah agak lama berbual dengan saudara Azizi dan keluarganya, kami memohon diri untuk melihat seorang lagi pesakit (En. Jailani) – suami kepada seorang ahli Lajnah Kebajikan (Puan Nuraini) yang kami tahu sakitnya, bila tiba ke sini yang kebetulan sama satu aras.
Bila kami sedang bercakap dengan Encik Jailani, tiba-tiba saudara Azizi dengan bertongkat masuk sama ke dalam bilik En. Jailani yang kami ziarahi. Melihat keadaannya yang sudah boleh berjalan, kami gembira dan memberi semangat dan perangsang agar beliau akan segera sembuh dan akan kembali bergiat bersama kami. Insya Allah.
Sementara itu, pada satu majlis anjuran Khidmat Masyarakat Adun, iaitu selepas sehari melawat Sdr. Azizi dan saudara Jailani, Adun bertembung dengan En. Jailani bagi jamuan makan selepas tutup majlis. Terkejut Adun, spontan Adun bertanya,
``Encik Jailani dah sihat macam biasa?`` Jawab En. Jailani, ``Alhamdulillah selepas YB melawat terus sihat! Dan esoknya terus Dr. discharge saya dari Hospital!``
``Ooi, nampaknya ada penawar dari YB melawat sdr. Azizi, terus dapat keluar dari hospital dan selepas itu melawat En. Jailani, terus segar dan dapat keluar esok hari!``semua bersama Adun ketawa. En. Jailani menambah, ``Nampaknya YB kena banyak menziarah pesakit di hospital untuk memberi keyakinan psikologi dan harapan kepada Allah untuk sembuh!``. Adun berkata, ``Nampaknya begitulah!``.
Tanya Adun kepada En. Jailani, ``Apa sebenarnya sakit hingga beberapa hari tinggal di Hospital Pakar yang memang tinggi bayaran itu?``
Menurut En. Jailani, ``Dr. kata keracunan makanan!``
``Tapi sekarang makan berat - Nasi ayam, tak takut keracunan ke?``
Secara bergurau pula En. Jailani menjawab, ``Makan sama YB, insya Allah tak keracunan lagi!`` jawab En. Jailani. Puan Nuraini isteri En. Jailani yang bersama turut menambah,
``Duit YB beri semasa lawatan itu, kami membeli sesuatu yang istimewa sebagai kenangan lawatan YB,`` kata Puan Nuraini. Adun menjawab secara terkejut, ``Ya ke?, tanpa menanya apa yang dibeli Puan Nuraini, bahkan Adun sendiri tak tahu berapa jumlah wang yang dimasukkan ke dalam sampul oleh Tuan Haji Rushdi.
Apa yang kami alami ziarah dari kawan ke kawan yang sama bergiat memberi semacam kesegaran dan mengukuhkan ukhuwwah di kalangan kami. Ini agaknya memberi kesan kegembiran kepada saudara Azizi dan sdr. Jailani yang sakit, sehingga mereka sembuh lebih awal dari sepatutnya. Alhamdulillah.
Menurut En. Jailani, ``Dr. kata keracunan makanan!``
``Tapi sekarang makan berat - Nasi ayam, tak takut keracunan ke?``
Secara bergurau pula En. Jailani menjawab, ``Makan sama YB, insya Allah tak keracunan lagi!`` jawab En. Jailani. Puan Nuraini isteri En. Jailani yang bersama turut menambah,
``Duit YB beri semasa lawatan itu, kami membeli sesuatu yang istimewa sebagai kenangan lawatan YB,`` kata Puan Nuraini. Adun menjawab secara terkejut, ``Ya ke?, tanpa menanya apa yang dibeli Puan Nuraini, bahkan Adun sendiri tak tahu berapa jumlah wang yang dimasukkan ke dalam sampul oleh Tuan Haji Rushdi.
Apa yang kami alami ziarah dari kawan ke kawan yang sama bergiat memberi semacam kesegaran dan mengukuhkan ukhuwwah di kalangan kami. Ini agaknya memberi kesan kegembiran kepada saudara Azizi dan sdr. Jailani yang sakit, sehingga mereka sembuh lebih awal dari sepatutnya. Alhamdulillah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment