December 18, 2011

Kem Remaja Salih/Salihah Canggih Anjuran Surau Al-Kauthar

Surau Al-Kauthar BBB, 21 Muharram = 17 Disember (Sabtu):

Surau Al-Kauthar, Seksyen 4, BBB antara surau yang giat dengan berbagai aktiviti, termasuklah yang melibatkan remaja. Surau ini dua tahun yang lepas telah menubuhkan skuad remaja dan pada musim cuti Sekolah ini Surau Al-Kauthar juga mengadakan aktiviti remaja yang berjudul Kem Remaja Soleh/Solehah Surau Al-Kauthar. Penganjurannya agak canggih, iaitu dengan mengadakannya di resort luar kawasan – di Kem PLKN Princess Haliza, Sg. Pelik, Sepang. Penginapan di Kem ini disponsor pemiliknya Tan Sri Kamil yang tinggal di sekitar Surau Al-Kauthar. Manakala pengisian aktiviti di Kem tersebut diserah kepada:

Fitrah Power Resources, iaitu Syarikat Motivasi terkenal di bawah pengendalian Ustaz Shukri Yusof yang juga merupakan ahli jamaah Surau Al-Kauthar.

Penyusunan program bermula dari Subuh berjamaah diikuti dengan ceramah pra-pelepasan peserta-peserta. Adun Bangi diberi kepercayaan mengisi slot subuh ini dari mengimami solat Subuh dan menyampaikan ceramah ringkas – Anak-Anak Kita Pemata Hati Kita, perlu dididik dan diperkembangkan bakat dan potensi mereka secara seimbang.

Paling sebok mempastikan perjalanan program secara lancar ialah Ustaz Ismail Hashim selaku Pengarah. Turut sama ialah Tuan Haji Nazri Pengerusi Surau, Tuan Haji Zulkifli selaku Setiausaha Surau. Turut sama Tan Sri Kamil dan Ustaz Shukri dan AJK-AJK.

Pendaftaran peserta yang telah membuat booking sebelumnya seawall jam 7.00 pagi. Difahamkan oleh Ustaz Ismail jumlah peserta dihadkan kepada 120 orang, tetapi saat-saat akhir pendaftaran bertambah hingga 200 orang, tapi difahamkan jumlah yang hadir seramai 150 orang. Semua mereka diterima yang dijangka dapat dimuatkan ke dalam 4 buah bas yang telah ditempah. Semua peserta, jamaah dan ibu bapa yang datang menghantar anak-anak mereka ke surau disediakan sarapan pagi – nasi lemak.

Menurut Ustaz Ismail Hashim pada permulaan penyertaan dicadangkan dikenakan bayaran minimum, tetapi memandangkan pihak penganjur mendapat sponsor – termasuk dari Kerajaan negeri di bawah Program SPISE dan beberapa pihak yang lain turut memberi sponsor termasuk Kem PLKN, maka pihak AJK membuat keputusan penyertaan adalah percuma, tapi tidak menghalang sesiapa yang menderma bagi Tabung Surau sebagai Penganjur.

Pelajar-pelajar yang terdiri dari separuh Sekolah rendah lelaki dan perempuan dan Sekolah menengah lelaki dan perempuan diberi taklimat ringkas oleh Ustaz Ismail yang mau hasrat menjadikan anak-anak salih/salihah benar-benar menjadi realiti. Beliau mau pelajar-pelajar membuktikannya sejak mula langkah pertama anak-anak ke Kem Motavasi, manakala Ustaz Shukri memberi penerangan perhubung dengan aktiviti bakal disertai pelajar-pelajar. Beliau mau semua peserta dapat mengikuti sepenuhnya semua program yang diaturkan.

Program ini pada asalnya dijangka YB Dr. Halimah Ali Exco pendidikan, pendidikan Tinggi dan Modal Insan yang akan melepaskan peserta-peserta, tetapi waktu terlampau pagi, maka YB Dr. Halimah tidak dapat hadir, maka Adun Bangi disifatkan sebagai mewakili negeri bagi pihak YB Dr. Halimah. Dalam ucapan pelepasan Adun Bangi memaklumkan bahawa aktiviti yang diadakan adalah selari dengan polisi pendidikan Negeri di bawah SPISE, sebab itu pihak Exco di bawah Dr. Halimah mengeluarkan peruntukan bagi kem motivasi ini. Adalah diharapkan dengan penyertaan Kem Motivasi anak-anak kita diberi penekanan bagi menjadikan mereka anak-anak Salih/salihah. Mereka akan didedahkan dengan modul-modul terkini yang menggerakkan potensi dan kreativiti diri mereka.

Selepas perasmian, pelajar-pelajar beratur menurut kategori tahun yang lelaki berasingan dari perempuan menaiki bas-bas yang disediakan dan mereka dilepaskan dengan lambaian harapan bahawa mereka akan menjadi anak-anak salih/salihah. Sementara itu ibu bapa yang berminat untuk menyaksikan kegiatan mereka boleh sama-sama ke sana, terutama menyertai Majlis Penutup di sana petang esok.

Sekian.

No comments:

Post a Comment