Jam 7.00 pagi penulis bersama saudara Azizi bertolak dari Bangi ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak. Tiba jam 8.15 pagi tanpa masalah. Pemergian bertujuan untuk membentang kertaskerja di dalam Konferensi Himpunan Ilmuan Sastera Malaysia (HISMA) anjuran Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI dengan kerjasama Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka bertempat di Dewan Konvensyen Bangunan E-Learning, UPSI. Konvensyen berlangsung sejak kelmarin (2 Disember). Penulis hanya hadir hari kedua menurut jadual masa (8.30 pagi) bagi pembentangan kertas kerja berjudul, `Gagasan PESURAT Pelengkap TAKMILAH: Bangi Makmal Menyerlah` dalam sesi terakhir pembentangan bersama Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana) yang kertaskerjanya berjudul Menilai Semula Sastera Islam Di Malaysia dan SN Dato` Dr. Hj. Ahmad Kamal bin Abdullah (Sasterawan Negara Ke 11) dengan kertaskerjanya yang berjudul Estetika Puisi Melayu-Islami: Kesan Pengalaman Kerohanian dan Keinsanan.
Kehadiran penulis ke UPSI pada pagi ini sebenarnya ditenggelami rasa gembira dan bahagia, lebih dari peluang membentang kertaskerja. Ini ialah sebaik tiba ke sini penulis disambut oleh ketiga-tiga pelajar penulis yang penulis juga menjadi penyelia tesis mereka pada peringkat Dr. Falsafah dan juga pada peringkat sarjana. Semasa tiba jam 8.15 pagi di lobi, Dato` Dr. Hj. Ahmad Kamal bin Abdullah (SN) sudah tiba dan beliau menyambut penulis. Ahmad Kamal Abdullah adalah pelajar Ph. D di Jabatan Persuratan Melayu, UKM, penulis adalah Penyelia beliau yang menulis tesis berjudul:
Simbolisme Dalam Puisi Islam Di Malaysia (1970-1990)
Beliau menamatkan penulisan pada tahun 2000 dan selepas itu berkelayakan menerima Ijazah Dr. Falsafah. Penulis amat bergembira dengan kejayaan Ahmad Kamal Abdullah, bahkan berikutnya beliau menerima gelaran Dato` dari Kerajaan Negeri Selangor dan pada tahun 2011 pula diumumkan sebagai Sasterawan Negera ke 11. (Beliau adalah Sasterawan Negara Kedua yang menulis tesis Ph. D. di bawah penulis). Ketika bercakap bersamanya di lobi sementara menunggu 2 tuan rumah yang datang, penulis bertanya Dato` Dr. Ahmad Kamal Abdullah mengenai tugasnya kini. Menurutnya, ``Sekarang saya menjadi Karyawan Tamu di UPM.`` UPM adalah universiti utama yang penulis mempunyai pelajar Ph. D. yang mendukung Teori Takmilah dan memperkembangkannya di UPM.``
Sedang kami berbual, dua Tuan Rumah yang ditunggu tiba serentak mengalu-ngalukan kedatangan kami di lobi, mereka ialah Dato` Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin Pelajar peringkat Sarjana UKM. Semasa mengikuti Kursus tentang puisi di bawah pengajaran penulis pada peringkat Sarjanamuda, penulis menasihatinya agar melanjutkan pelajaran pada peringkat Sarjana dan mencadangkan kepada beliau agar membuat kajian tentang Teromba – Puisi yang berhubung dengan perundangan adat di Negeri Sembilan. Penulis sendiri menjadi Penyelia. Penulis masih ingat pada hari peperiksaan viva bagi tesis sarjananya ini, beliau memakai baju Melayu Adat Negeri Sembilan. Kerana tesisnya asli dan baik beliau lulus dengan cemerlang. Tesisnya ini telah diterbitkan (2009) dengan judul:
Teromba Dalam Puisi Melayu Tradisional
Semasa berbual, penulis bertanya kepada Dato` Mohd Rosli Saludin, ``Apakah tajuk Tesis Ph. D. yang ditulis di Universiti Malaya, menurutnya:
``Tesis saya ialah perlanjutan tesis Sarjana, iaitu mengenai Teromba juga (2004).``
Dato` Mohd. Rosli Saludin sekarang adalah Profesor Madya dan menjadi Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI (Dekan ialah Prof. Madya Dr. Nor Azmi bin Mostafa). Oleh kerana Dato` Mohd. Rosli mendalami tentang Teromba, beliau digelar sebagai Raja Teromba. Beliau terlibat di dalam bidang yang berkait dengan adat dan upacara-upacara di Negeri Sembilan
Pelajar penulis semasa di UKM yang tiba serentak meraikan penulis dan Dato` Dr. Ahmad Kamal Abdullah (SN) ialah Dr. Abdul Halim Ali yang berasal dari Merchang, Terengganu. Semasa di Jabatan Persuratan Melayu UKM, beliau menulis tesis peringkat sarjana di bawah penyeliaan penulis berjudul:
Ciri-Ciri Pasca Moden Dan Pertentangan Dengan Islam (1998)
Tesis pada peringkat Ph. D. ditulis di UPSI berjudul:
Kerangka Teori Estetika Bersepadu
Nyatalah saudara Abdul Halim menjadi Pakar Bidang Teori dan Kritikan di UPSI. Beliau sekarang berjawatan Profesor Madya Kesusasteraan Melayu di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi di UPSI. Beliau pernah memegang jawatan Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu dan Timbalan Dekan Pengurusan dan Penyelidikan, Fakulti Bahasa UPSI .Beliau kini memegang jawatan Presiden Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN), iaitu sebuah persatuan bahasa dan kesusasteraan tertua di Malaysia yang diwarisi sejak Pendita Za`ba di UPSI (dulu Jabatan Karang Mengarang & MPSI). Dalam percakapan bersama mereka terluah dari penulis kemungkinan diadakan pertemuan dengan Bekas Pelajar Berjaya dan Pendukung Teori Takmilah dari UPSI, UPM dan UM. Cadangan ini segera disambut dan disokong oleh Dato` Rosli Saludin dan beliau sendiri sedia mengambil inisiatif, tapi penulis berkata, ``Tengok keadaan dan kesesuaian terlebih dahulu. Kita bincang kemungkinannya kemudian kelak.``
Di tengah kemesraan dan kebahagiaan bertemu dengan pelajar-pelajar, kami dijemput ke tingkat atas untuk minum pagi di restoran. Di sini kami dipertemukan dengan ramai tokoh-tokoh. Antaranya Profesor Madya Dr. Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana), sahabat satu Jabatan di UKM dan pernah menjadi Pesyarah di Universiti Di Singapura dan kini berkhidmat di UPSI di sini, Profesor Dr. Mohd. Bukhari Lubis juga sahabat berasal dari Fakulti Islam, UKM dan kini Profesor di UPSI, Profesor Ameritus Dr. Ishak Harun Profesor di Fakulti Pendidikan di UPSI , Dato` Dr. Mansur Abdullah yang mewakili GAPENA, Dr. Naffi Mat Pensyarah di Fakulti Pendidikan di UPSI dan lain-lain.
Sementara menunggu sidang bermula, kami terus bercakap tentang berbagai-bagai topik dengan penuh mesra dan bahagia hinggalah kami dijemput ke sidang yang dijalankan. Sesungguhnya Sidang ini memberi peluang bagi penulis menampilkan dapatan dan tambahan mutakhir bagi melengkap dan memantap Teori Takmilah Dalam Rangka Gagasan PESURAT.
Sekian.
Saya berharap sangat dapat berjumpa dan mengenali Dato` Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin dengan lebih dekat. Harap sudi kongsikan juga latar belakang kerana maklumat di internet sangat terhad berkaitan Dato` Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin
ReplyDeleteSaya berharap sangat dapat berjumpa dan mengenali Dato` Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin dengan lebih dekat. Harap sudi kongsikan juga latar belakang kerana maklumat di internet sangat terhad berkaitan Dato` Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin
ReplyDelete