Bertindak segera di atas maklumat yang disampaikan kepada Adun pada pagi ini jam 11.00 pagi, kebetulan Sdr. Azizi datang ke Pejabat Adun, beliau bercuti, Adun bersamanya segera keluar menuju ke rumah mengalami benteng runtuh, iaitu No. 35, Jalan Utama, Kajang Jaya. Tiba jam 11.30 Adun dapati keruntuhan adalah pada benteng pagar rumah berkenaan yang lemah – hanya dari susunan batu bata dan akibat hujan lebat tanah lembut menyebabkan benteng runtuh. Adun menemui ibu bagi Tuan Rumah (Puan Rani), dan mahu jumpa anak lelakinya, tetapi tidak begitu memberi respon, ``Mahu tidur!`` diberitahu ibunya. Kehadiran Adun atas komen yang dibuat oleh Tuan rumah terhadap MPKj dan maklumat ini disampaikan oleh MPKj kepada Adun. Benteng berkenaan nyata dalam kawasan rumah dan pemiliknya perlu bertanggungjawab membaikinya.
Alang-alang membuat kunjungan, Adun bersama sdr. Azizi membuat lawatan lanjut ke rumah En. Lim yang runtuh sejak setengah tahun yang lepas di tepi Projek Perumahan ARA ASA Sdn. Bhd. Dan didapati rumah berkenaan belum dapat dibaiki, walaupun beliau pernah memohon dari MPKj melalui Adun untuk memperbaikinya. Melihat tembok bagi kawasan perumahan ARA ASA yang begitu tinggi – lebih kurang 40 kaki, Adun membuat penelitian terhadap tembok. Alangkah terkejut Adun, tembok yang baru didirikan sudah mengalami retak-retak yang boleh membawa kepada runtuh dan membahayakan rumah-rumah berdekatan – jika runtuh boleh tertimbus. Keretakan ini dalam masa projek sedang dijalankan bagi pembinaan 70 buah rumah bersambung tiga tingkat. Kalau sekarang tembok sudah retak, maka kemungkinan runtuh dan amat membahayakan boleh berlaku selepas projek tamat atau akan berlaku dalam masa jangka panjang. Adun juga menyelinap ke bahagian belakang dari projek berkenaan dan didapati deretan rumah di belakang benteng yang boleh runtuh dan membahayakan. Kita mempersoalkan pihak MPKj bagaimana boleh membiarkan projek ini tanpa membuat pantauan, terutama dari segi keselamatan. Kita berharap sebelum berlaku tembok runtuh dan sebarang kemalangan yang bukan boleh merosakkan harta benda, tetapi nyawa, pihak MPKj dan semua yang berkenaan perlu mengambil tindakan keselamatan.
Untuk makluman projek perumahan ARA ASA Sdn. Berhad ini sudah banyak mengundang aduan dan protes penduduk dari segi gangguan menggunakan jalan taman perumahan, merubah jalan, membuat tembok yang tidak menyenangkan penduduk, membuat bumper, menyalurkan air yang mengganggu kawasan perumahan. Untuk makluman kawasan di sini adalah kawasan yang paling banyak dengan kes-kes tanah runtuh, rumah runtuh, benteng runtuh, bukit runtuh dan tidak mustahil akan berlaku tembok runtuh.
Diharap pihak berkenaan, terutama MPKj mengambil perhatian dan tindakan sebelum berlaku malapetaka yang mengancam nyawa dan keselamatan harta benda.
Sekian.
No comments:
Post a Comment