September 5, 2012

Hujan Amat Lebat, Banjir Banyak Tempat: Melawat Sungai Ramal Luar Dan Dalam

BBB, 17 Syawal 1433 = 04 September 2012 (Selasa):
Hujan mulai turun secara nipis, semasa Adun pulang dari Shah Alam bersama saudara Azizi, namun setiba kami ke Pejabat di Bangi ketika bang Asar mulai didengungkan, maka hujan mulai lebat dan bertambah lebat hingga waktu Maghrib. Walau bagaimana terasa adalah sebagaimana biasa yang kini setiap petang sering hujan. Namun sebaik azan Isya` dikumandangkan, Adun menerima telefon dari Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, bahawa Sungai Ramal Luar mengalami banjir dan tempat yang paling teruk katanya ialah Kampong Paya.

Adun mengucap terima kasih di atas maklumat yang diberi dan berjanji akan pergi ke Sungai Ramal Luar. Setelah selesai menunaikan fardu Isya` Adun bertolak berseorangan menuju ke Kajang Utama, setelah membuat hubungan dengan saudara Azizi untuk mengajaknya sama ke Sungai Ramal Luar. Adun bertolak untuk ke Kajang Utama melalui Jalan Reko. Tiba berhadapan dengan Seksyen 4 Tambahan, Adun menerima telefon dari saudara Azizi, ``Jangan lalu ikut Jalan Reko, banjir, banyak kereta terperangkap !`` Lantas Adun membuat U Turn ke Bulatan Cempaka melalui Seksyen 7 dan terus ke Taman Putra Kajang dan melalui tol dan U Turn ke Kajang Utama. Persepsi Adun dalam minda bahawa banjir tak seberapa, dan berpendapat, memang biasalah Kampong Paya banjir, kerana kampong berkenaan bertanah lembah dan rendah berubah bila mendapat maklumat bahawa Jalan Reko juga banjir.

Tiba di hadapan Madrasah Talabiah (Surau), kelihatan kereta-kereta berjejar di tepi jalan, kerana pemilik-pemiliknya mengalih ke tepi jalan untuk mengelak dari tenggelam.
Orang ramai juga berada dijalan antara Madrasah Talabiah sehingga jalan ke Masjid Sungai Ramal Dalam. Adun menemui dan bersalam dengan orang kampong yang sebahagian adalah mangsa-mangsa banjir, kerana rumah mereka ditenggelami air dan tak dapat berada di dalam rumah untuk keselamatan.
Adun menemui Ketua Kampong yang kelihatan basah kuyup berhujan dan mengharungi ke rumah-rumah ditenggelami air.

Ketika ditanya anggaran rumah yang mengalamiu banjir di Kampong Paya, menurut Ketua Kampong, ``60 buah rumah,`` tambahnya, yang paling teruk ialah rumah-rumah di Lorong 2 dan 3, kerana di situ tanah rendah dan bersebelahan dengan Sungai bagi Sungai Ramal. Adun dibawa melihat rumah-rumah yang mengalami banjir diikuti saudara Azizi. Lorong 2 paling teruk. 8 buah rumah kebanjiran dan di Lorong 3 sebanyak 10 buah rumah, manakala yang lain tidak seteruk sebagaimana rumah di Lorong 2 dan 3.
Menurut Hajjah Surani pemilik rumah bahagian hadapan Jalan 2, air dalam rumahnya sampai ke dada. Menurutnya, `Tidak sempat angkat dan selamat barang-barang, semuanya tenggelam.` Kerosakan sedemikian dialami hampir semua rumah yang berada terutama di Lorong 2 dan 3.`
Menurut Tuan Haji Mohd Yasin bin Haji Ahmad, `Ini pertama kali banjir besar setelah lama tidak banjir sebegini. Iaitu sejak tahun 1965.``
Adun juga melihat larian air di bawah jambatan Sungai Ramal yang meluncur garang dengan gemuruh bunyinya meredah laluan.

Difahamkan air banjir di sini datangnya dari kawasan UPM dan Balakong melalui Sungai Ramal bagi menuju ke Sungai Langat. Banjir di sini antaranya disebabkan tanah Kampong Paya ini rendah sama level dengan aras sungai. Jadi bila aras sungai naik, maka larian air terhenti, bahkan menolak air masuk ke dalam. Sebab itu air di kawasan perumahan Kampong Paya, kelihatan tidak berlari, ditambah dengan setengahnya membina pagar konkrit. Di samping itu perparitan di sini bersifat bottleneck yang seharusnya diperluas dan diperdalamkan.

Adun berbincang dengan Ketua Kampong sebelum tiba ke sini dan bersetuju untuk membekalkan nasi bungkus kepada penduduk yang mengalami banjir. Kami akan menggunakan peruntukan yang sesuai. Menurut Ketua Kampong 300 bungkus nasi telah disorder dari kedai. Adun bersama ketua Kampong sempat membahagikan nasi bungkus berkenaan. Selepas ini tindakan lanjut akan diambil.

Sementara itu Adun menerima maklumat Sungai Ramal Dalam juga mengalami banjir, Adun bersama saudara Azizi dan saudara Abu Bakar yang tiba berasingan bertolak bersama ke Sungai Ramal Dalam. Di sana ada Tok Latif Manan Ketua Kampong Sungai Ramal Dalam. Turut ada bersama Ustaz Shafie Ngah, Encik Yusof Bachek yang kedua-duanya Ahli MPKj, saudara Shukor Atan dan penduduk setempat. Rumah yang teruk mengalami banjir ialah rumah Ustaz Asnami dan rumah-rumah berdekatan. Ada halangan culvert di Lot 1658 yang menyekat larian air yang wajar dipecahkan oleh pihak JPS. Menurut Tok Latif Ketua Kampong, ``Terdapat 30 buah rumah di Jalan Nazir yang mengalami banjir ringan, tapi kini sudah surut.

Sementara itu dimaklumkan 6 buah kenderaan terperangkap di Jalan Reko yang mengalami banjir kilat, sementara Highway Plus dilempahi air dari kolam takungan UPM di tepi Highwayberhadapan dengan kawasan Perumahan Country Height menyebabkan laluan Highway berkenaan terganggu.``
Kampong-kampong yang turut mengalami banjir, iualah West Country di Jalan Reko dan Kampong Jambu di pinggir Pekan Kajang.

Sementara itu Adun yang tiba di rumah jam 11.30 malam dapati anakanda Adun yang pulang dari bertugas di Hospital Kuala Lumpur (G.H.) baru tiba ke rumah sebelum sedikit dari masa Adun tiba. Beliau terperangkap dalam perjalanan pulang selama 6 jam !
Sekian.

No comments:

Post a Comment