Perhimpunan Bulanan Pegawai-Pegawai Jabatan Kerajaan Negeri Selangor pagi ini bertempat di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz adalah giliran ditaja oleh Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT). Ketibaan YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim disambut secara lain dari biasa, iaitu secara berpancak silat dan didahului pemandu-pemandu beradat ke Dewan Rehat, sementara persediaan acara bermula. Mengiringi YAB ke pentas, ialah YB. Dato`Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Pengerusi Padat YB. Dr. Shafie Abu Bakar dan Puan Hajah Azlinda Azman Ketua Pegawai Eksekutif PADAT. Turut hadir ialah Ahli-Ahli Exco YB. Dr. Ahmad Yunus Hairi, YB. Puan Hajah Rodziah Ismail, YB. Tuan Dr. Haji Yaakob Sapari, YB. Tuan Dr Xavier Jayakumar, YB Puan Teresa Kok, YB Tuan Iskandar Abdul Samad dan YB Tuan Ean Yong. Juga turut sama hadir YB. Dato` Mohd Arif Pegawai Kewangan Negeri Selangor, YB. Dato`Nordin Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Dato`-Dato` Bandar YDP-YDP PBT dan pegawai-pegawai jabatan yang berjumlah lebih kurang seribu orang. Selepas menyanyikan lagu Negeri Selangor dan Negaraku maka sempena Bulan Kemerdekaan Koir PADAT mengalunkan lagu `Bahtera Merdeka`.


Seterusnya YAB Dato` Menteri Besar membicarakan intisari sebuah buku tentang management yang dihasilkan penulis Steven Cobey yang menyebut 7 prinsip yang membawa kepada kejayaan dalam management, iaitu:
1) Bersifat pro-aktif
2) Merealisasikan apa yang tercetus dalam minda kepada kenyataan.
3) Mendahulukan apa yang utama sebagai priority
4) Berfikir mengatasi permasalahan supaya semua pihak menikmatinya secara `win win situation`
5) Usaha memahami sesuatu sebelum mengarah orang lain melakukannya
6) Bertindak sebagai satu pasukan atau berjamaah
7) Bersedialah dengan peralatan yang membantu menjayakan tindakan.
Akhirnya YAB Dato` Menteri Besar memuji dan berterima kasih kepada PADAT di atas usaha-usaha yang dilakukan dan kejayaan menjadi Penaja Perhimpunan Bulanan pada hari ini.
Sebelumnya dalam menyampaikan ucapan alu-aluan Puan Azlinda Azman Ketua Pegawai Executive PADAT menggalurkan perkembangan PADAT dan pencapaian-pencapaian sejak diperbadankan (ditubuh 18 Jun 2009). Fungsi PADAT ialah:
Mengumpul segala maklumat Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor
Bertanggungjawab menyelamat, memelihara dan mengembangkan Adat Melayu dan Warisan negeri Selangor
Memperkasakan Adat Melayu dan Warisan negeri Selangor
Mewujudkan Pusat Maklumat dan Rujukan berkaitan Adat dan Warisan Melayu Serantau
Mendekatkan masyarakat umum kepada institusi permuziuman.

Selepas daripada menyampaikan ucapan YAB Dato`Menteri Besar Selangor YAB melancarkan buku terbitan PADAT – Warisan Masjid-Masjid Lama Di Selangor bermula dengan pukulan ketuk secara tradisi dan pelancaran secara moden. YAB juga melancarkan mascot PADAT yang diberi nama `Adat & Warisan`.
Mengakhiri perhimpunan para tamu dihidangkan dengan makanan tradisi Selangor seperti `Nasi Ambang` dan kuih-kuih tradisi Selangor.
Sekian.
No comments:
Post a Comment