September 3, 2012

Istimewanya Sambutan Eidul Fitri Dun Bangi Dan Kawasan Serdang Kali Ini

Kompleks Sukan, Seksyen 15, BBB, 15 Syawal 1433 = 02 September 2012 (Ahad):

Sambutan Eidul Fitri bagi Dun Bangi dan Kawasan Serdang bagi tahun 1433/2012 adalah dianggap istimewa, kerana pada penghujung Majlis sambutan jam 3.30 petang tiba dua orang Tokoh Jemputan Istimewa Pas pada peringkat Negeri Selangor, iaitu YB Khalid Samad Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor Ahli Parlimen Shah Alam yang baru tiba dari Lapangan Terbang Subang sekembalinya dari Sabah kerana menyertai Perhimpunan Hijau di sana. Lebih kurang 10 minit dari ketibaan YB Khalid Samad sampai pula Tamu Yang Lebih istimewa, iaitu YB Dr. Abd. Rani Osman Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor yang juga Adun Meru yang dalam siri kunjungan raya – termasuk ke Semenyih dan terus ke Bangi. Majlis yang kelihatan reda dengan kehadiran pengunjung selepas hujan lebat pada jam 2.00 petang itu menjadi cergas kembali dengan kehadiran kedua-dua tokoh berkenaan.

YB Khalid ketika diminta bercakap, mengulas apa yang dikatakan oleh Dr. Mahathir bahawa lebih baik memilih syaitan yang kita kenal dari malaikat yang kita tidak kenal. Mahathir menurutnya mengiktiraf tentang kesyaitanan pihak BN, sebaliknya beliau mempersoalkan tentang Pas yang telah begitu lama dalam politik Negara, apakah masyarakat masih tidak mengenalinya. Mahathir bercakap sesuatu yang memasalahkan BN yang sepatutnya lebih baik diam dari bercakap daripada memasalahkan pemerintahan BN. Beliau juga mempersoalkan pendapat Mahathir bahawa Putrajaya dibangunkan semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan pihak Pakatan Rakyat adalah tidak layak menduduki Putrajaya. Beliau mempersoalkan duit siapa digunakan, adakah duit Mahathir sendiri ?

YB Dr. Abd. Rani Osman yang dijemput bercakap selepas YB. Khalid Samad (beliau tiba semasa YB Khalid sedang berucap) menyebut tentang isu semasa. Misalnya masalah hudud, beliau berpendapat isu ini sengaja ditimbulkan oleh pihak lawan untuk mengalihkan pandangan terhadap isu-isu besar yang dihadapi pemerintah. Bagi orang Islam menurutnya wajib menerima hukum hudud. Barang siapa menafi atau menolaknya boleh membawa kepada kekufuran. Namun beliau menasihatkan biarlah orang yang faham sahaja yang bercakap tentang hudud. Beliau berdukacita berhubung dengan isu ini, ada pertikaian sesama sendiri yang bukan saja menunjukkan ketidakfahaman, tetapi juga boleh membawa kepada kekeliruan dan kerugian.

YB Dr. Abd. Rani melahirkan rasa sukacitanya, bahawa pada masa yang lepas, orang Cina dan India, tidak mau mendekati orang-orang Islam, khususnya orang Pas, kerana menganggap orang Pas sebagai ekstreem dan sukar didekati, tapi menurutnya persepsi yang bukan Islam terhadap Pas dan pimpinan telah berubah dan kini mereka mendekati dan bekerjasama dalam berbagai aspek. Contoh yang baik dapat dilihat dari kerjasama bagi menghadapi pilihanraya dan berbagai-bagai kegiatan yang lain.


Hari Terbuka Dun Bangi dan Kawasan Serdang bermula jam 12.00 tengahari hingga jam 3.00 petang, tetapi kehadiran ke Kompleks Sukan Seksyen 15, BBB mulai jam 11.00 pagi. Oleh kerana telah disediakan makanan diberbagai gerai, maka jamuan bermula dari jam 11.00 pagi. Tetapi Majlis Rasmi bermula jam 12.00 selepas kehadiran YDP Pas Ustaz Shafie Ngah, Adun Bangi, YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Sdr. Mazwan Johar Timbalan YDP, Sdr. Adram Musa Ketua Pemuda Pas Serdang, Puan Zuryati Yassin Ketua Muslimat Pas Serdang. Turut hadir ialah Tuan Haji Zulkifli Timbalan YDP MPKj, En. Rashidi Timbalan Pegawai Daerah, Tuan Haji Sufi Munassir YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Tuan Dr. Hj Tajul Ariffin Noordin Mantan YDP Persatuan Penduduk Bandar Barui Bangi dan ahli-ahli MPKj.

Jam 12.00 bila majlis dimulakan kehadiran mulai memenuhi ruang hadapan di bawah khemah-khemah. Saudara Shukor Atan Naib YDP Pas yang menjadi Pengerusi Majlis menjemput sudara Azmi Ahmad membaca doa dan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ustaz Shafie Ngah yang mengucap terima kasih kepada hadirin. Beliau menyebut menu pada hari ini berbagai yang disediakan oleh 24 cawangan dengan 40 jenis makanan. Para hadirin boleh memilih apa jenis makanan yang disukai. Adun Bangi pula dalam ucapannya menyebut bahawa kita menghadapi tiga raya, iaitu Raya Eidul Fitri, Raya Sambutan Kemerdekaan dan pilihanraya. Menurutnya Raya bagi Pilihanraya adalah penting dalam menentukan pemerintahan Negara akan datang. Beliau menyebut berbagai program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dari Merakyatkan Ekonomi, peruntukan pembangunan jalan dan perparitan, pembinaan Sekolah-sekolah, pemberian pemilikan tanah, skim-skim pinjaman dan berbagai lagi projek yang dijalankan. Menurutnya Selangor menjadi model pemerintahan yang yang akan dipertingkatkan kepada peringkat negera jika Pakatan Rakyat berkuasa di Putera Jaya. Beliau meminta rakyat membuat penialain kejayaan Pakatan Rakyat. Kistimewaan yang didapati akan hilang jika berlakunya pertukaran pemerintahan. Sebaliknya banyak lagi program akan dijalankan jika peluang pemerintahan diberi kepada kerajaan Pakatan Rakyat. Pihak Pakatan Rakyat akan menjalankan amanah dan tidak mengamalkan rasuah.



YB Teo Nie Ching menarik perhatian hadirin, kerana ini adalah pertama kali beliau muncul di dalam majlis selepas melahirkan anak sebulan yang lepas dan ini adalah kali pertama beliau berucap selepas menjadi seorang ibu. Menurut YB Teo Nie Ching, beliau sukacita dapat menyertai Hari Raya bersama hadirin selepas lama tidak dapat bersama. Beliau menyebut bahawa, tugas kita yang penting selepas ini ialah menghadapi pilihanraya bagi kali ke 13. Kita perlu bekerjasama lebih erat bagi menjaminkan kemenangan. Namun beliau menyatakan, kita kecewa, hingga kini kita tidak tahu bilakah tarikh sebenar pilihanraya. Secara bergurau kata beliau, tarikh ini yang benar-benar tahu ialah Rosmah Isteri Dato` Seri Najib. Beliau berpesan agar semua pihak tidak lalai dari persediaan menghadapi pilihanraya.

Oleh kerana kawasan sambutan Eidul Fitri kebanjiran kehadiran, maka untuk mengurangkan kesesakan disampaikan duit raya kepada kanak-kanak agar mereka dan ibu bapa bersurai lebih awal. Kanak-kanak diminta beratur dan duit raya disampaikan oleh 4 orang, iaitu Adun Bangi, YB. Teo Nie Ching, Ustaz Shafie Ngah dan saudara Adram Musa. Lebih dari RM2,200 menurut saudara Abu Bakar Pengarah Program disampaikan kepada lebih dari 1.100 orang kanak-kanak. Manakala 250 warga emas dan orang kurang upaya disampaiakan bantuan berupa barangan dan beras. Majlis terhenti sementara apabila hujan turun mulai jam 2.00 petang dengan agak lebat, tetapi kehadiran dan jamuan raya disambung semula selepas hujan reda pada jam 3.00 petang. Majlis kembali rancak dengan kehadiran YB Dr. Abd. Rani Osman dan YB Khalid Samad. Kehadiran dijangka mencecah 15,000 dan majlis berakhir pada jam 4.00 petang. Terima kasih
kepada semua yang telibat menjayakan sambutan yang boleh disifatkan amat berjaya.

Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment