October 23, 2012

Melawat Pesakit Di Rumah Pangsa Dengan Dr. Perubatan

BBB, 05 Zulhijah 1433 = 21 Oktober 2012 (Ahad):

Pagi ini pihak Lajnah Kebajikan mengatur kunjungan ke rumah-rumah pangsa di Seksyen 16. Kunjungan dibahagikan kepada beberapa pasukan dan Adun memimpin satu pasukan. Bersama pasukan Adun seorang Dr. Perubatan, iaitu Dr. Kamizi bin Aziz dengan pembantunya, iaitu pelajar perubatan dari IPTA. Dr. Kamizi berkhidmat dengan bahagian perubatan, Sukan Negara. Beliau dan pelajar berkenaan dengan sukarela menyertai pasukan kebajikan kami bagi melawat pesakit-pesakit di sini. Turut sama dengan rombongan Adun ialah Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan Adun, saudara Harun Al-Rashid Setiausaha Surau Al-Istiqamah di sini, dua muslimat yang juga pelajar dan beberapa yang lain.

Untuk pagi ini kami diperuntukkan 3 pesakit dari tiga Blok rumah pangsa, iaitu Blok 4 dan 8. Kami turun naik rumah pangsa lima tingkat dari sebuah blok ke sebuah blok yang lain dan ada satu Blok (4) yang diziarahi dua orang. Dr. yang mengikuti kami dan pengiringnya membawa peralatan untuk pemeriksaan. Rumah pertama yang kami lawati dari Blok 4 ialah Puan Rusnah bt. Mat Isa (30) yang tinggal bersama suaminya En. Hamdan bin Mat Ali (33) dan seorang anaknya (5). Puan Rusnah mengalami sakit Rapuh Tulang. Peha kiri dan kanannya patah dan sekarang betisnya pula patah. Kerana sakit ini Puan Rusnah tidak dapat bergerak. Menurut Dr. Kamizi, ianya merupakan penyakit turunan, selain dari kurang kalsium. Dr. Kamizi turut memeriksa Puan Rusnah dan menasihatinya mengambil ubat. Menurut Puan Rusnah, memang beliau makan berjenis-jenis ubat setiap hari.

Masalah tambahan yang dihadapi keluarga ini bahawa suami Puan Rusnah mengalami hypertesis C dan beliau juga tidak dapat bekerja. Bila ditanya berhubung dengan makan minum dan rumah. Beliau menyatakan rumah sudah habis dibayar. Mereka sekeluarga hidup dari tanah pesaka yang disewakan yang mencukupi perbelanjaan bulanan mereka. Anak En. Hamdan dan Puan Rusnah Mohd. Imam Rashdan (12) bersekolah darjah 6 di BBB. Kami menyampaikan simpati dengan menghulurkan sedikit bantuan kepada keluarga ini.

Pesakit kedua ialah Puan Noraini bt. Nordin (55) yang tinggal bersama suaminya En. Jailani bt. Miskam (58) yang bekerja di UKM. Puan Noraini mengalami sakit buah pinggang sejak 16 tahun yang lepas dan menjalani rawatan dailisis sebanyak 3 kali seminggu di Pusat Dailisis UKM. Pasangan suami isteri ini mempunyai 5 orang anak dan dua daripadanya sudah bekerja. Apabila ditanya, tidakkah mereka memohon sebarang bantuan, misalnya zakat. En. Jailani menyatakan mereka tidak perlu memohon setakat ini. Rumah yang didiami sudah habis dibayar. Puan Noraini juga turut diperiksa oleh Dr. Kamizi. Kami juga menyampaikan simpati dan cenderahati kepada keluarga ini.

Pesakit ketiga ialah Encik Mohd Adam bin Yahya (39) yang tinggal bersama ibunya Puan Zaiton bt. Mohd Amin dan dua anaknya yang lain. Suami Puan Zaiton (En. Yahya bin Borhan) telah meninggal, bekas pekerja UKM sebagai Pengawal. Yang sakit ialah Mohd Adam yang mengalami stroke pada tahun 2008. En. Mohd Adam pernah berkeluarga, tetapi berpisah dan tidak mempunyai anak. En. Mohd Adam mengalami penyakit darah tinggi sejak berumur 22 tahun. Kolerterolnya tinggi dan perlu memakan ubat sebanyak 9 jenis ubat sehari.

Ibu kepada Mohd Adam iaitu Puan Zaiton bin Mohd Amin seorang yang periang. Kami ketawa memanjang akibat kelakar dan percakapan lucu puan Zaiton.Terima kasih kepada semua, khususnya Dr. Kamizi dan pembantu-pembantu yang memberi sokongan di atas projek kami.

Lawatan terakhir kami yang diluar dari jadual yang diaturkan ialah melawat rumah Puan Nabilah bt. Ahmad Pegawai di Pejabat Adun Bangi. Suaminya yang mengajar di Sekolah Menengah Kota Damansara berulang dengan motor setiap hari. Pada 15 Oktober lepas suaminya En. Hasyim mengalami kemalangan terjatuh motor dalam perjalanan pulang ke Bangi. Beliau mengalami luka-luka yang agak banyak dan diberi cuti oleh pihak kesihatan sehingga Raya Haji nanti. Kami menziarah suami Puan Nabilah yang tinggal di Apartment Tanjung 5.4.1. Semasa kehadiran kami En. Hasyim masih sukar berjalan. Kami mendoakan En. Hasyim segera sembuh dan dapat kembali berkhidmat seperti biasa.

Sekian.

No comments:

Post a Comment