October 20, 2012

Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2012 Peringkat Kebangsaan Di Pahang

Pekan, 01 Zulhijah 1433 = 17 Oktober 2012 (Rabu):

Sambutan Hari Muzium Antarabangsa peringkat Kebangsaan 2012 dtajakan oleh negeri Pahang telah diadakan di Muzium Negara, Kuala Lumpur 17 Mei 2012. Sambutan ini diteruskan di negeri Pahang bertempat di Pekan bermula dari 16 hingga 22 Oktober 2012 yang di dalam masa tersebut diadakan berbagai program, antaranya yang kemuncak ialah Majlis Penjenamaan Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan Pahang yang bakal dikenali `The Intellectual Garden` di samping mengadakan Seminar `Museum In A changing World, iaitu tema bagi sambutan Muzium Antarabangsa bagi tahun 2012.

Setiap Muzium Negeri dalam Malaysia dan Muzium Institusi menghantar perwakilan masing-masing. Turut menghantar perwakilan ialah negeri Selangor yang perwakilan berjumlah 15 orang. Adun Bangi selaku Pengerusi Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) turut sama hadir. Adun bertolak pada Rabu 17 Oktober dan berada di Kuantan dan; Pekan hingga 19 Oktober. Tenaga Petugas PADAT bertolak lebih awal bagi menyiapkan, terutama pameran di Pekan. Semua kegiatan adalah berlaku di Pekan, tetapi semua menginap di Kuantan.

Melihat kepada program yang diatur bolehlah disifatkan Program keseluruhan Sambutan Hari Muzium Antarabangsa peringkat kebangsaan yang berlangsung di Pekan hampir seminggu ini sebagai Sambutan Kekeluargaan Antara Pegawai-pegawai dan Pekerja-Pekerja Muzium seluruh Negara. Mereka mengadakan kegiatan yang mengukuhkan hubungan silaturrahim dan perbincangan bagi kebaikan muzium pada masa mendatang. Melihat kepada aturcara sebahagian besar adalah bersifat hiburan, kemesraan dan Pertandingan. Sebagai contoh pertandingan bowling antara Pengarah-Pengarah Muzium di Malaysia, Pertandingan Sukan Rakyat, Pertandingan Memancing, Karnival Laying-Layang, Persembahan Kebudayaan, Larian Hari Muzium Antarabangsa 2012. Ada satu dua yang bersifat seni seperti Pertandingan Seni Silat, Persembahan Wayang Kulit Kelantan dan Ghazal Johor. Manakala yang agak sederhana contoh Karnival Makanan, pameran-pameran, persembahan dan puncak ialah seminar dan pembukaan dan penjenamaan semula Muzium Sultan Abu Bakar.

Selepas ketibaan di Pekan, program penyertaan Adun ialah pada sebelah malam, iaitu menghadiri `Majlis Makan Malam Kesejahteraan Muzeum` yang dikatakan bermula selepas Maghrib, tetapi bermula agak lewat selepas jam 9.00 malam. Majlis agak tidak teratur dan pengisian tidak menonjolkan budaya negeri-negeri kecuali negeri Sarawak dan Sabah. Pengisian lebih kepada lagu-lagu moden, bahkan lagu barat. Boleh disifatkan ianya benar-benar berupa hiburan. Program yang sedikit berat ialah Seminar Musium in A Changing World, tiga panel dijemput, tapi dua sahaja yang hadir, iaitu kertas satu dibentangkan oleh Mr. Omar Hijazi Managing Partner Digital Daya dan kertas Dua dibentangkan oleh Dato` Ibrahim bin Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia. Seminar pada pagi ini dirasmikan oleh Tengku Puan Pahang Tengku Hajah Azizah Bt. Al-Marhum Sultan Iskandar. Hadir ke seminar ini ialah Dato` Seri Muhammad Ismail Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato` Haji Shafiq Fauzan Sharif Pengarah Muzium Negeri Pahang, Dato` Kamal Ibrahim Pengarah Muzium Negara, Pengerusi-Pengerusi dan Pengarah-Pengarah Muzium-Muzium Negeri. Merasmikan Seminar Tengku Puan Pahang menyatakan, Muzium amat rapat dengan jiwanya, bahkan beliau dibesarkan di Muzium Sultan Abu Bakar Johor. Menurutnya, Muzium adalah institusi pendidikan bagi semua pihak, tidak kira kecil, besar dan orang dewasa. Mereka perlu melihat ke belakang bagi menuju masa hadapan. Sejarah negeri-negeri adalah sejarah sultan-sultan dan muzium memperkukuhkannya dari segi artifek dan dokumen-dokumen. Dalam hubungan dengan tema `Museum In A Changing World kata Tengku Puan Pahang, ``Jika kita tidak dapat menandingi perubahan sertai sama dengan perubahan itu.``

Mr. Omar Hijazi menekankan bahawa dalam zaman sains dan teknologi alat komunikasi moden melalui computer mendekatkan hubungan secara global, muzium seharusnya menggunakan kemudahan ini bagi perkembangannya.

Manakala Dato` Ibrahim berpendapat, muzium bukan semata-mata tempat menyimpan bahan-bahan lama, tetapi seharusnya menjadikannya sesuatu yang hidup dan menarik pengunjung. Antaranya peningkatan dari segi pentadbiran, mempromosi muzium secara agresif dan menggunakan peralatan dan teknologi moden.

Majlis dibuka kepada pertanyaan sebelum ditutup dan penyampaian cenderamata.

Sekian.

No comments:

Post a Comment