October 24, 2012

Penangan Ikan Patin: Masakan Ikan Patin Isteri Lebih Sedap Dari Masakan Ikan Patin Yang Lain - Anekdot

Shafie Abu Bakar – Rabu 08 Zulkaedah 1433 = 24 Oktober 2012.

Tiba di Temerloh dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang pada tengahari Rabu 17 Oktober 2012 kerana menghadiri Program Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Negeri Pahang Darul Makmur terlintas di minda Penulis tentang kemasyhuran Temerluh dengan produk `Ikan Patin`, spontan itu juga Penulis teringat kepada Ustaz Haji Ismail Pengerusi Surau Al-Kauthar Bandar Baru Bangi yang suka mengadakan jamuan nasi berlauk Ikan Patin bila ada satu-satu majlis yang penting di surau itu. Penulis sendiri sebagai Adun di Bangi sering dijemput ke majlis-majlis berkenaan dan berpeluang makan lauk Ikan Patin yang lemak dan enak itu yang diorder dari kenalan Tuan Haji Ismail di Temerluh. Keenakan lauk Ikan Patin ini melekat dalam ingatan dan sentiasa mengidam untuk memakannya. Ikan dari Sungai Pahang ini pada peringkat awal dulu begitu mahal. Ada diceritakan ada yang singgah di Pekan Temerluh dan makan nasi lauk Ikan Patin, bila hendak dibayar sesudah makan, yang makan lauk Ikan Patin terkejut, kerana begitu mahal dan tidak kecukupan duit. Ada yang menggadai jam dan juga barang kemas. Lantas selepas itu untuk mengelak kejadian sedemikian diminta pihak penjual di restoran meletakkan tanda harga pada lauk Ikan Patin.


Oleh kerana sudah berada di Temerluh dan ingatan spontan terhadap keenakan Ikan Patin, Penulis yang ditemani saudara Azizi, berkata kepada saudara Azizi, ``Kita singgah makan ikan Patin di Temerluh !`` kata Penulis. ``Boleh`` jawab saudara Azizi. Penulis menjangka akan singgah hanya di Hentian R & R di Jalan Highway Baru dari Temerluh ke Kuantan dan sekadar makan `seketul kecil` dari lauk Ikan Patin, tetapi saudara Azizi melencong perjalanan masuk ke Bandar Temerluh yang sudah lama kami tidak masuik dan begitu berubah. Kami meneruskna perjalanan menurut jalan lama sambil mencari warung makan yang dijangka ada menyediakan lauk Ikan Patin.


Dalam tercari-cari itu, kami tidak menemui warung yang dijangka menyediakan lauk `Ikan Patin` sehinggalah kami menyeberangi Jambatan Lama Temerluh. Di sebelah kiri kami ternampak kedai singgahan bas express dan lain-lain sebelum adanya jalan baru. Dengan jangkaan kedai makan di sini menyediakan nasi berlauk Ikan Patin, kami pun singgah. Tapi dukacita, kedai yang kami singgah bukan lagi sebagai kedai makan diperjalanan, tetapi bertukar menjadi Kedai Mamak yang menawarkan nasi berlauk kari dan pekerja-pekerjanya kebanyakannya warga Bangladish. Kami tanya juga kalau ada gulai atau sop kambing – kegemaran saudara Azizi, tetapi tiada dan kami membuat keputusan tidak mau makan di kedai itu.

Kami bergerak melalui jalan lama dan lebih kurang dua kilometer dari jambatan kelihatan beberapa warung di sebelah kiri yang ramai dengan orang yang sedang makan tengahari dan kami singgah dan mendapati warung di sini mempunyai lauk Ikan Patin. Kami makan dengan hanya beberapa lauk, termasuk sayur dan pucuk ulam Ceylon dan mentimum bersama sambal belacan. Kami hanya memilih sekerat Ikan Patin sebelah ekor yang sederhana besarnya. Kami tidak ambil lebih dari sekerat, takut terperangkap dengan harga yang mahal. Namun sesudah makan, kami dapati tidaklah mahal sangat. Cuma seharga RM29.00 makan dua orang dan kami rasa puas.


Selepas makan Ikan Patin di Temerluh ini kami teruskan perjalanan melalui jalan lama sehinggalah ke Maran baru kami keluar ke jalan Highway hinggalah kami tiba di Kuantan mencari Hotel persinggahan yang sedia ditempah oleh PADAT (Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor).

Pada keesokan harinya (Khamis), kami berdepan dengan Ikan Patin lagi, iaitu ketika menghadiri Karnival Makanan di Sungai Lembing. Sebagaimana telah disebutkan dalam karnival ini Tengku Puan Pahang (Tengku Azizah) mendemonstrasikan antaranya memasak Ikan Patin. Penulis sendiri sama menyaksikan demonstrasi Masakan Ikan Patin. Sebenarnya ramai pemasak memasak Ikan Patin dalam Karnival Masakan berkenaan secara berkuah dan ada yang bakar (Ikan Patin Bakar Tempoyak) di samping masakan ikan tilapia.


Namun apabila tiba waktu makan tengahari jam 12.30 tengahari tidak ada hidangan masak Ikan Patin yang menjadi identiti negeri Pahang. Hidangan yang disediakan bagi tetamu lauk biasa. Ini mengurangkan selira kami dan merugikan negeri Pahang dari segi promosi. Jika kami di Kajang, dalam majlis-majlis ditonjolkan Sate Kajang sebagai identiti kami. Walau macam mana semasa makan, kami harapkan juga dihantar Ikan Patin yang dimasak dalam pertandingan. Untuk mengharapkan Ikan Patin yang dimasak oleh Tengku Puan Pahang, memang tidak layak dengan kedudukan kami untuk menikmatinya walaupun meja kami berdekatan dengan meja Tengku Puan Pahang dan lauk Ikan Patin yang dimasak oleh Tengku Puan Pahang dibawa ke mejanya. Pendeknya kami tidak menikmati makan Ikan Patin, baik di Sungai Lembing, di Kuantan maupun di Pekan. Dimaklumkan Pekan juga ada ternakan Ikan Patin, tapi khabarnya tidak sebaik dan seenak Ikan Patin Temerloh.

Walau macam mana pada tengahari Jumaat, selepas menghadiri Seminar Museum In A Changing World di Pekan, kami terus bertolak pulang ke Bangi (solat Jumaat di Masjid Tepi Jalan Dekat Gambang) juga melalui jalan lama hinggalah tiba di Temerluh dan singgah di gerai yang kami singgah dulu. Sesungguhnya selepas makan pagi di Hotel Zenith yang kami menginap di Kuantan, kami tak makan apa-apa hinggalah sampai di Temerloh jam 3.00 petang. Bayangkan kami agak lapar pada masa itu. Di warung di sini sekali lagi kami makan tengahari secara lewat dengan mengambil seekor penuh gulai Ikan Patin (kerana kami dapat jangka harganya), ikan kembung bakar cicah asam, serai kayu cicah sambal belacan. Kami makan sungguh sedap dan kenyang hingga semua habis apa yang kami ambil.


Kalau masa singgah makan semasa menghala ke Kuantan, kami tidak bercakap banyak dengan tuan kedai, maka kali ini kami agak releks dan bercakap-cakap dengan anak perempuan penjual kedai dan ibunya. Dari mereka kami dapat tahu, tempat yang kami singgah adalah Paya Besar dan adalah kawasan Dun yang dimenangi Pas sejak zaman Ustaz Idris (1999-2004) dan kini diwakili Syed Hamid yang juga Wakil Rakyat Pas. Saudara Azizi memaklumkan kepada Tuan Kedai bahawa Penulis adalah Adun Bangi dari Pas.- Kami rasa lebih rapat kerana sealiran ! Kami juga dimaklumi bahawa Ikan Patin yang dimasak adalah Patin Sungai yang dipelihara di Sungai Pahang (Temerluh) dan boleh dibeli dan ada dijual secara hidup di dalam kolah di hadapan warung yang kami makan. Berbetulan pada petang ini dihadapan warung ada Pasar Tani.

Barangkali oleh kerana kami sealiran dan juga waktu sudah petang (lauk hujungan) harga makan tengahari kami lebih murah dari dahulu, iaitu sebanyak RM19.00 – lebih murah RM10.00 dari yang kami makan sebelumnya. Kami ke kolah tempat menjual Ikan Patin hidup. Kami dimaklumi harga sekilo Ikan Patin hanya RM10.00, begitu murah dan luar jangkaan. Penulis minta timbang dua ekor dan harganya hanya Rm22.00. Ikan ini dibersih perutnya dan setiap ekor dibalut dengan akhbar dan diletak dalam kereta dalam suhu sejuk aircond. untuk mengelak dari rosak.


Berikutnya kami bertolak pulang keluar dari Jalan Lama Temerluh ke Jalan Highway. Perjalanan kami baik pergi dan balik tidak bermasalah. Pada ketika menurun dari Bukit Tinggi Banjaran Titiwangsa Radio Ikim yang kami buka, menyiarkan maklumat tentang kegiatan masjid-surau seluruh Negara. Secara kebetulan kami mendengar pengumuman Surau Al-Kauthar Bandar Baru Bangi, Ustaz Haji Ismail Pengerusi memaklumkan kegiatan yang akan dilakukan di Surau Al-Kauthar dan memaklumkan juga `Jamuan Lauk Ikan Patin` disediakan. Penulis dan saudara Azizi yang memang kenal dan rapat dengan Ustaz Haji Ismail ketawa kecil berhubung dengan pengumuman itu. Surau Al-Kauthar memang terkenal dengan hidangan Lauk Ikan Patin istimewa. Penulis berkata kepada saudara Azizi,
``Biasanya jika ada kegiatan penting di Surau Al-Kauthar dan ada jamuan berlauk Ikan Patin saya dijemput !``
``Sekali lagilah dapat makan Ikan Patin,`` kata saudara Azizi.
``Belum tentu,`` kata penulis.

Sehari dua berikutnya Penulis tidak menerima apa-apa jemputan dari Surau Al-Kauthar. Tapi Penulis tidak kisah dan tidak kesal, kerana kali ini Penulis sendiri mempunyai Ikan Patin (seekor untuk saudara Azizi).

Semalam isteri Penulis memasak lauk Ikan Patin gulai tempayak ! Aromanya memikat dan rasanya amat sedap. Lebih lazat dari masakan Ikan Patin yang Penulis pernah makan ! Resipinya istimewanya, selain dari menggunakan daun kunyit, daun kesum dan bahan-bahan biasa yang lain, isteri Penulis memasukkan dalam masakan belimbing buluh menggantikan asam gelugur tanaman kami di tepi rumah ! Rasanya amat enak, mengatasi masakan Ikan Patin yang lain.

Sekian.


2 comments:

  1. Mungkin Dr Shafie masih ingat pd saya - bekas pelajar 1980. Kali terakhir kita berbual di KLIA. Sebut fasal ikan patin, di Seksyen 15 Shah Alam pun ada di jual di restoran yang dikenali sebagai Restoran Temerluh".

    ReplyDelete
  2. ingin merasai kenikmatan ikan patin di ttdi shah alam..belakang politeknik shah alam..nama restoran ikan laga.ikan patin semua diambil dari temerloh..restoran ikan laga menyedia ikan patin,patin buah sangkar,patin buah liar,krai dan aneka jenis ikan sungai..

    ReplyDelete