December 8, 2012

Aqiqah, Khatam Al-Qur'an Dan Berkhatan Disekalikan

Surau Damai, Seksyen 2, BBB, 22 Muharram 1434 = 06 Disember 2012 (Khamis):


Program yang dijalankan oleh Surau Damai, Seksyen Dua Bandar Baru Bangi pada malam ini agak unik. Tiga dalam Satu, iaitu pada malam ini dijalankan tiga program serentak. Aqiqah, Khatam Al-Qur`an dan Khatan. Yang terlibat adalah anak-anak dan murid-murid sekolah rendah yang tinggal di sekitar Seksyen 2, BBB. Adun Bangi dijemput oleh Pengerusi Surau Ustaz Ahmad Hasbullah dan Imam Ustaz Hashim mulai dari Maghrib dan Adun hadir berjamaah Maghrib bersama dengan ibu bapa dan anak-anak. Adun dimaklumi seramai 3 orang diaqiqah, 5 orang khatam Al-Qur`an dan berkhatan seramai 6 orang (mengikuti upacara, tetapi berkhatan pada hari berikutnya).

Dari segi kegiatan persediaan Adun dimaklumi kerja-kerja gotong royong adalah bermula dari pagi. Yang lelaki antaranya ke Seri Putra memotong lembu aqiqah dan bawa balik ke Surau Damai. Kemudian ramai-ramai, yang lelaki memotong dan menyiang daging, yang perempuan menyediakan rempah ratus dan memasak hingga ke petang. Kembali kepada program selepas solat Maghrib Adun diminta bercakap kepada hadirin sebelum meyampaikan sumbangan. Adun berterima kasih di atas jemputan. Adun sukacita melihat kerjasama di antara penduduk terutama gotong royong sejak pagi. Bagi anak-anak dengan mengikuti program yang dianjurkan seperti tadarus dan Khatam Al-Qur`an dapat menggunakan masa tutup Sekolah dengan baik, syabas kerana telah menamatkan pembacaan Al-Qur`an.


Diharap bacaan akan diteruskan secara berterusan. Bagi yang berkhatan, kalian berubah dari alam anak-anak ke alam remaja, Anak-anak diiktiraf sebagai orang dewasa dan dalam solat anda tidak lagi diragui bila berjamaah bersama dalam saf orang dewasa. Kita mengharapkan anak-anak yang diaqiqah akan diberi kesihatan oleh Allah dan insya dapat membesar seperti anak-anak yang khatam Al-Qur`an dan yang berkhatan. Adun menyampaikan peruntukan kepada Penganjur (Surau) dan juga kain-kain pelikat kepada yang berkhatan esok. Pihak surau juga menyediakan peruntukan kewangan bagi setiap anak-anak yang terlibat dengan acara-cara. Selepas itu Majlis bermula dengan bacaan Al-Qur`an diikuti dengan khatam Al-Qur`an. Setiap murid daripada lima orang perempuan dan lelaki secara bergilir-gilir membaca Al-Qur`an dari Surah Wadduha hingga ke surah al-Nas dan membaca doa khatam Qur`an. Kemudian para hadirin berdiri marhaban dan berselawat ke atas Nabi dan anak-anak yang diraikan bagi aqiqah dibawa ke hadapan bagi digunting (potong Jambul) sambil itu bunga telur dan bauan rampai diedarkan kepada hadirin.


Sesudah upacara yang disifatkan sebagai ringkas, hadirin bersolat Isya’ berjamaah dan selepas daripada itu, hadirin dijamu secara buffet. Manakala para jemputan dihidang satu meja untuk dimakan bersama tamu-tamu jemputan.

Mengadakan upacara secara serentak - aqiqah, khatam dan khatan, bukan saja meriah walaupun ringkas, tetapi ekonomik. Ianya membentuk budaya murni di dalam masyarakat yang mengamalkan gotong royong. Apa yang menarik surau menjadi induk bagi kegiatan masyarakat setempat. Surau bukan saja menjadi tempat ibadat, tetapi kegiatan keilmuan dan kemasyakatan serta menyatupadukan masyarakat setempat itu sendiri.

Didoakan semua insya Allah dalam taufik Allah dan selamat sejahtera.

Sekian.

No comments:

Post a Comment