December 16, 2012

Menyertai Pelancaran Hari Mahasiswa (12.12.12)

Dewan Jubli Perak, Shah Alam, 28 Muharram 1434 = 12 Disember 2012 (Rabu):



Tarikh 12.12.12 telah dipilih sebagai Hari Mahasiswa. Bagi melancar dan menyempurnakan Hari Mahasiswa berkenaan pelajar-pelajar dari berbagai universiti dalam dan luar Negara dijemput hadir bagi pelancaran hari tersebut. Adun Bangi yang turut dijemput hadir sebelum Maghrib dan menyertai perhimpunan selepas itu. Majlis dianjur oleh pihak Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.



Hadir pada malam ini Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor, Y.B. Dr. Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Y.B. Iskandar Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Y.B.Dr. Ahmad Yunus Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, YB Dr Rani Osman, ADUN Meru, Profesor Dr. Anwar Ahmad Naib Canselor UNISEL, Prof. Dr. Zainal Abidin Kidam Timbalan Naib Canselor UNISEL, Dato` Maidin Presiden Inspen, Wakil dari KUIS, saudara Mohd. Azam Safar Presiden GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam), pegawai-pegawai dan mahasiswa/i.

Majlis bermula dengan makan malam yang sebelumnya dimulai dengan lagu Selangor, Negaraku dan persembahan diserikan dengan nyanyian oleh Muaz. Dua orang mahasiswa menyampaikan pidato yang seorang daripadanya mewakili Mahasiswa OKU. Sebelumnya, iaitu pada 9 Disember mahasiswa telah mengadakan Konvoi ke Dataran Dewan Negeri Selangor bagi memungut derma membantu Rakyat Palestin. Sejumlah RM10,667/= telah dapat dipungut. Dan pungutan berterusan sehingga ke malam ini.



Dalam Ucapan bagi Majlis Pelancaran Yang Amat Berhormat Dato` Menteri Besar menyatakan, ``Mahasiswa golongan penting sebagai modal insan dan pimpinan masa hadapan. Mahasiswa perlu melengkapkan modal insan dengan ilmu, kepimpinan , disiplin dan keagamaan. Kerajaan Selangor terus menyediakan peluang pelajaran dan menyediakan ruang dan peluang kepada mereka pada masa hadapan.`` Menurut Y.A,B. Dato` Menteri Besar, ``Sejak 2008 hingga kini Kerajaan Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM31.7 juta bagi memperkembangkan potensi pelajar Selangor sejumlah 31,931 orang.`` Y.A.B. Dato` Menteri Besar mengingatkan pelajar-pelajar jangan leka dan seronok, sebaliknya hendaklah merangka strategi bagi masa depan untuk kepentingan diri, negeri, Negara, bangsa dan agama. Dato` Menteri Besar Selangor mau mahasiswa berjiwa besar dan berjasa dengan memberi contoh seperti B.J. Habibie yang melawat Selangor pada 5 Disember yang lepas. Mahasiswa patut mencontohinya sebagai Negarawan, Pemikir dan Engineer terkemuka.



Sebelum daripada itu Y.B. Dr. Halimah Ali selaku Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan menyatakan, ``Cadangan untuk mengadakan Hari Mahasiswa telah dibincangkan sejak 6 bulan yang lepas. Tarikh 12,12.12 adalah dipersetujui antaranya dengan Majlis Permuafakatan Mahasiwa Selangor (MPMS). Mahasiswa berperanan antaranya menjadikan Selangor negeri Idaman, Maju Dan Sejahtera. Hari ini sebagaimana kehadiran pada malam ini tidak saja disertai oleh mahasiswa dari universiti dan pengajian tinggi di bawah negeri Selangor, tetapi juga dari semua IPTA dan IPTS di negeri Selangor, bahkan pelajar-pelajar dari luar Negara. Beliau bergembira mahasiswa Selangor dapat diletakkan sebuah `Payung Persatuan` yang dikenali dengan Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor. Beliau berharap mahasiswa dapat sama membantu di dalam membina Modal Insan di negeri Selangor bagi pembangunan negeri Selangor. Melalui MPMS memudahkan kerajaan menyalurkan dana dan bantuan bagi kepentingan pelajar Selangor. Lebih dari itu melalui MPMS mahasiswa dapat menyalurkan idea dan pandangan yang bernas yang dapat dimanfaatkan oleh negeri Selangor.

Sekian.

No comments:

Post a Comment