December 9, 2012

Masjid Hishamuddin Dan Jabatan Zakat Sepang Anjur Majlis Berkhatan

Pekan Salak Tinggi, 24 Muharram 1434 = 08 Disember 2012 (Sabtu):


Masjid Hishamuddin, Sepang pagi ini menganjurkan Majlis Berkhatan dengan kerjasama Pejabat Zakat Daerah Sepang bertempat di Masjid Hishamuddin, Sepang, mulai jam 8.00 pagi. Adun Bangi dijemput merasmikan Majlis Berkhatan tersebut. Seramai 70 orang anak-anak mendaftar untuk berkhatan atas tanggungan Pejabat Zakat Daerah Sepang. Hadir sama pada pagi ini ialah Keptan (B) Haji Jaafar Pangat YDP Pas Sepang, Ustaz Nasruddin bin Jaafar Wakil Pejabat Zakat, Tuan Haji Idris Imam Besar Masjid Hishamuddin, Encik Shukur Ketua Pasukan Perubatan, Encik Rusnaidy bin Tamin Ketua Pasukan Bomba, pegawai masjid, Zakat, ibu bapa dan anak-anak yang diraikan.


Majlis bermula dengan perhimpunan pegawai-pegawai, ibu bapa dan anak-anak yang akan berkhatan diraikan. Mereka semua duduk bersila dalam Dewan Masjid, kecuali beberapa tamu duduk berkerusi di atas pentas. Ustaz Haji Idris mewakili Masjid menerangkan bahawa upacara khatan hari ini dibuat dalam masa singkat, iaitu dalam dua minggu. Namun kerana adanya kerjasama dari banyak pihak, maka majlis hari ini menjadi mudah dan berjaya. Beliau berkata ini adalah Majlis Berkhatan kali kedua di adakan di Masjid ini. Majlis kali pertama ialah pada tahun lepas 2012. Beliau memaklumkan bahawa anak-anak yang mengambil bahagian dalam berkhatan pada hari ini adalah seramai 70 orang. Mereka kebanyakan ialah anak-anak asnaf – mereka adalah anak-anak kepada ahli-ahli yang menerima zakat tahunan. Menurut Tuan Haji Idris lagi, beliau berterima kasih kepada pihak Persatuan Doktor Perubatan Negeri Selangor yang dapat menghantar tenaga seramai 12 orang, beliau juga berterima kasih kepada pihak Bomba yang menghantar 7 orang tenaga yang diketuai En. Rusnaidy bin Tamin. Beliau juga berterima kasih kepada pihak Zakat Selangor yang menaja upacara berkhatan.


Adun Bangi dalam ucapan perasmian mengucap terima kasih di atas jemputan. Pada penggal tutup Sekolah ini, kata Adun memang paling sesuai diadakan Majlis Khatan sebagaimana yang diadakan pada hari ini. Tahniah kepada anak-anak terpilih. Anak-anak akan berhijrah dari alam kanak-kanak kepada alam dewasa dan dapat menunaikan ibadat dengan sempurna. Selepas berkhatan biasanya anak-anak akan lebih lekas membesar, kita harap anak-anak membesar dengan sihat agar dapat menumpukan perhatian pada pelajaran pada masa akan datang. Adun juga memuji pihak masjid mengadakan berbagai-bagai kegiatan yang bukan saja semata-mata bersifat ibadat, tetapi juga pendidikan dan kemasyarakatan antaranya seperti Majlis berkhatan. Adun menarik perhatian, bahawa masjid dan surau di negeri Selangor begitu makmur dengan kegiatan keilmuan, Adun berharap kepada anak-anak yang berkhatan di masjid ini, terutama yang dekat, janganlah datang ke Masjid untuk berkhatan sahaja, tetapi seharusnya juga datang berterusan untuk beribadat dan menimba ilmu. Begitu juga kepada ibu bapa jangan hanya datang untuk menghantar anak untuk berkhatan sahaja, tetapi seharusnya turut memakmurkan masjid dengan menyertai majlis ilmu dan kegiatan kemasyarakatan. Adun berharap Masjid Hishamuddin sebagai Masjid Daerah akan terus berdaya maju sehingga menjadi Masjid Contoh dan terkenal bukan saja di Sepang, bahkan seluruh negeri Selangor.
Selepas Majlis Perasmian, Anak-anak yang hendak berkhatan, ibubapa dan pegawai-pegawai dikehendaki beratur di laman masjid dengan disertai Pasukan Kompang. Mereka semua berarak ke luar dari kawasan masjid dan masuk kembali ke dalam kawasan masjid. Sepanjang perjalanan mereka berselawat ke atas Nabi. Bila anak-anak tiba di hadapan masjid kembali, mereka dikehendaki bersedia untuk dimandikan. Adun diberi peluang menyiram dan memandikan anak-anak berkenaan yang nampaknya seronok dapat mandi dari pancutan air bomba. Mereka kemudian diberi kad giliran dan masuk ke Bilik Berkhatan menurut giliran seramai lima, lima orang. Adun berkesempatan bersama dengan anak-anak  paling awal dikhatankan. Menurut Dr. yang mengendalikan khatan, bahawa kaedah khatan yang digunakan ialah secara lazer. Menurutnya penggunan cara ini lebih baik dari clamp dan kurang berdarah dan dapat sembuh dalam masa yang singkat.


Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Majlis Khatan berama-ramai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment