December 30, 2012

Tawaran Tanah (Borang 5A) Dan Insentif Kepada Pelajar Cemerlang Di Teras Jernang, BBB

Teras Jernang, BBB, 15 Safar 1434 = 29 Disember 2012 (Sabtu):


Seramai 12 orang di Teras Jernang, Bandar Baru Bangi hari ini ditawarkan Borang 5A, yang membolehkan mereka yang ditawarkan memiliki tanah di Kampung Teras Jernang. Tawaran daripada Kerajaan Negeri Selangor disampaikan oleh Adun Bangi Y.B. Dr. Shafie bin Abu Bakar kepada mereka yang layak bertempat di Balai Raya, di Kampung Teras Jernang pagi ini. Hadir bagi meraikan mereka ialah En. Rushdi bin Ruslan Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat (Bahagian Tanah), Encik Shukor bin Jantan Ketua JKK dan Ketua Kampung Teras Jernang, Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampung Sungai Ramal Luar, Tuan Haji Zakaria bin Bujang Ketua Kampung Bangi, Encik Jamal Ketua Kampung Jambu, Kajang, Puan Ruslina bt. Abdul Majid dan Puan Hajah Norita dari Pejabat Tanah, Pejabat Daerah Hulu Langat, Penerima-Penerima Tawaran Borang 5A, pelajar-pelajar diraikan dan tamu-tamu jemputan.


Berucap dalam majlis berkenaan Adun Bangi memaklumkan bahawa 12 orang yang ditawarkan adalah merupakan pilihan daripada 48 pemohon. Mereka ditapis melalui interview dan Lawatan Tapak, Tanah yang ditawarkan adalah berhampiran tepi Sungai Langat jalan masuk ke Teras Jernang dari Pekan Bangi , yang dikenali dengan `Kampung Teluk Lebai Cili` (antara peneroka awal menananm cili). Walau bagaimana bagi mereka yang telah lama mendirikan rumah, tetapi termasuk dalam tanah reserve JPS dan tidak dapat ditawarkan geran kekal, ditawarkan tanah tol. Jumlah mereka dalam kategori ini ialah seramai 6 orang. Adun mengucapkan tahniah kepada semua mereka yang menerima tawaran.


Sementara itu menurut Adun Bangi, sejak Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Negeri Selangor, ramai mereka yang telah menduduki tanah kerajaan sejak berpuluh tahun ditawarkan borang 5A bagi pemilikan tanah. Di bawah adalah statistik pemilikan tanah yang telah ditwarkan.


Jumlah tawaran tanah pada peringkat negeri Selangor ialah seramai 6,998 orang. Pecahan kaum dari jumlah diatas adalah sebagaimana berikut:

Melayu = 3,833 orang
Cina = 1,994 orang
India = 1,171 orang

Dilihat dari segi daerah maka Daerah Hulu Langat adalah paling tinggi dari segi tawaran pemilikan tanah, iaitu seramai 1,328 orang. Pecahan dari segi kaum ialah:

Melayu = 680 orang
Cina = 400 orang
India = 248 orang


Jumlah mereka yang ditawarkan pada peringkat DUN Bangi adalah sebagaimana berikut:

Kampung Bahagia Bangi = 50 orang
Pinggiran Desa Seroja = 36 orang
Sungai Ramal Luar = 4 orang

Terdapat permohonan dalam proses pemanggilan untuk ditemu duga di DUN Bangi dalam masa terdekat. Tahniah kepada semua yang mendapat tawaran. Adun menasihatkan semua yang mendapat tawaran memakmurkan tanah dan jangan dijual.


Sementara itu Adun juga mengucap tahniah kepada pelajar-pelajar cemerlang yang diraikan pada pagi ini, iaitu 8 pelajar peringkat UPSR dan 4 pelajar PMR. Acara sedemikian bersifat tahunan dan Adun menghadirinya setiap tahun. Pada acara ini juga Adun sampaikan sejumlah 20 beg Sekolah kepada pelajar-pelajar terpilih.

Sementara itu menurut Ketua Kampung En. Shukor, dalam ucapan sebelumnya menyatakan, tanah yang dipohon dan diluluskan pada hari ini telah diteroka oleh penduduk sejak 1995. Usaha untuk mendapat pemilikan dipohon dari Pejabat Tanah beberapa tahun selepas itu. Selepas 17 tahun menunggu dan hanya pada masa pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat, maka baru mendapat tawaran pemilikan tanah berkenaan. En. Shukor juga memaklumkan insentif kepada pelajar adalah program tahunan. Peruntukan biasanya mendapat tajaan dari pihak syarikat dan Badan-badan tertentu, selain dari peruntukan JKK.


Pada kemuncak Majlis, Adun bersama Encik Rushdi Penolong Pegawai Daerah dan En. Shukor Ketua Kampung menyampaikan Borang 5A kepada 12 orang yang terpilih dan juga menyampaikan insentif dan beg kepada pelajar-pelajar sekolah. Adun juga menyampaikan cenderahati kepada Encik Rushdi, Puan Ruslina, Ketua Kampung En. Shukor dan Imam Masjid Teras Jernang (Haji Mat Din bin Abdul Hamid) dua naskhah buku setiap orang dari Pejabat Khidmat Masyarakat Adun Bangi iaitu buku - Gagasan Bangi (baru diterbitkan) dan buku Bangi Bandar Ilmu.

Majlis berakhir dengan jamuan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment