December 5, 2012

Karnival Wanita Sihat Di Seri Kenari, Sg. Ramal Luar

Taman Seri Kenari, Sg. Ramal Luar, 18 Muharram 1434 = 02 Disember 2012 (Ahad)


Karnival di atas adalah anjuran Masjid Sungai Ramal Luar bersama Ahli MPKj Sungai Ramal Luar berfokus kepada Amalan Sihat bagi Wanita, khususnya bagi penghuni-penghuni rumah pangsa di sini. Walaupun Karnival berfokus kepada wanita, tapi turut dihadiri kaum lelaki. Tamu yang hadir Tuan Haji Yusof Bachik Ahli MPKj kawasan Kenari, Ustaz Shafie Ngah juga Ahli MPKj, Tuan Haji Mohd Yusof Abdul Kadir Ketua kampong Sungai Ramal Luar, Puan Norlela Ketua Latihan Kursus dan Puan Salbi Nasihon Wakil pihak Masjid.



Semasa Adun tiba, Majlis telah bermula dan telah berucap Tuan Haji Yusof Bachek Ahli MPKj di sini yang baru pulang dari menunaikan Haji di Makkah. Semasa berucap untuk perasmian Adun mengucapkan terima kasih di atas jemputan dan tahniah di atas kejayaan mengadakan karnival yang disertai masyarakat setempat, khususnya bagi penduduk di rumah-rumah pangsa di sini. Adun juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Doktor dan pembantu-pembantu yang sudi datang menyempurnakan majlis. Juga terima kasih kepada Darul Shifa` yang diketuai Saudara Azemi Ahmad dan saudara Faisal. Adun menyebut, ``Sihat tidak saja dari segi fizikal, tetapi seharusnya melibatkan Mental, rohani dan jiwa.`` Bagi memenuhi keperluan ini, maka pada hari ini, diadakan pemeriksaan kesihatan, mendengar ceramah motivasi, pameran dan acara memasak. Adun berharap penduduk di rumah-rumah pangsa hidup dalam damai. Kesihatan keluarga dan kedamaian hidup dapat memberi kesan yang baik bagi pembinaan keluarga bahagia. Mungkin dari pemeriksaan kesihatan pada hari ini ada sebahagian terutama ibu-ibu menyedari penyakit yang dialami, sebab itu berusahalah untuk pemulihan kesihatan, agar kesihatan diri dapat dikekalkan. Dan kehidupan normal – tanpa penyakit dapat dikekalkan.


Selepas daripada menyempurnakan Majlis perasmian Adun menyampaikan bantuan kepada lebihkurang 30 orang dan kemudian bersama-sama melawat Bahagian Kesihatan dan ramai dari pengunjung datang memeriksa kesihatan. Turun sama dikunjungi ialah Perubatan Darul Shifa` yang juga begitu ramai yang menunggu mengikut giliran untuk diperiksa.


Selepas dari melawat tempat-tempat pemeriksaan kesihatan Adun bersama Tuan Haji Yusof Bachik dibawa melawat perumahan untuk dibuat aduan beberapa masalah yang dihadapi oleh penduduk. Antaranya ialah kerosakan lift. Menurut jurucakap, ``Sekarang Cuma satu lift sahaja yang dapat digunakan, manaka yang lain sudah rosak (4 bangunan). Adun dan Tuan Haji Yusof Bachek juga menerima aduan berhubung dengan saluran air yang telah pecah, kerana mendap.. Menurut Tuan Haji Yusof Bachek, ``Kita mempunyai peruntukan untuk pembaikan, tetapi masalah penduduk di sini tidak mempunyai persatuan. Sebab itu banyak masalah yang sepatutnya dapat diselesaikan melalui persatuan tidak diambil tindakan kerana tiada persatuan. Contoh bangunan Dewan yang agak besar dan selesa tidak dapat diselenggara dengan baik dan hampir terbengkalai. Tuan Haji Yusof Bachek meminta penduduk menubuhkan persatuan atau tubuh JMB untuk mewakili penduduk bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi dan menjadi saluran bagi bantuan, khususnya kewangan.


Sekian.

No comments:

Post a Comment