February 24, 2013

Lajnah Kebajikan Menziarah Keluarga Al-Marhum Ustaz Bashir Alias

-->
Teras Jernang, 12 Rabiul Akhir 1434 = 23 Februari 2013 (Sabtu):

Bersama Jamaah Kebajikan diketuai Adun Bangi YB Dr. Shafie Abu Bakar dan Isteri dan Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah dan AJK Kebajikan yang terdiri dari 10 orang menziarahi keluarga Ustaz Bashir bin Alias (1966-2013) di rumah di Kg. Rahmat Teras Jernang mulai jam 3.00 petang ini. Jamaah Kebajikan disambut oleh Ustaz Ismail bin Alias adik al-Marhum bersama Ustaz Salah dan beberapa jiran tetangga yang tinggal di Kampung Rahmat di sini yang kesemua termasuk muslimat berjumlah lebih kurang 20 orang.


Ustaz Bashir Pensyarah di Maktab Perguruan Ilmu Khas Cheras yang juga Ketua Ulama` Pas Serdang meninggal dunia pada hari Khamis 21 Februari lepas dengan cara agak mengejut dipercayai mengalami serangan jantung dan dkebumikan di tanah perkuburan Sungai Merab pada petang hari tersebut yang turut diziarahi di perkuburan oleh YB. Tuan Guru Dato` Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Pas.


Ustaz Bashir yang berasal dari Pulau Serai Dungan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan di kampungnya dan kemudian di Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, Dungun, kemudian di Kolej Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, melanjutkan pelajaran bagi Ijazah Pertama di UKM dan Ijazah Sarjana Di UM, beliau berusaha dalam masa berkhidmat membuat Ijazah Ph. D. tapi masih belum tamat. Beliau pernah berkhidmat di Mindef sebagai tenaga pengajar sebelum ditukarkan ke Maktab Perguruan Khas di Cheras. Ustaz Bashir bersama isterinya seorang guru di Sekolah Menengah Jalan Reko di sini mempunyai 7 orang cahaya mata – 3 lelaki dan empat perempuan. Yang tua sedang menuntut di Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan yang bungsu di darjah dua di Bangi. Ustaz Bashir mendalam dalam bidang Islam, sebab itu beliau dilantik sebagai Ketua Ulama bagi Kawasan Serdang. Kedalaman beliau di dalam bidang Islam melayakkan beliau dilantik sebagai Nazir di Masjid As-Salihin Teras Jernang (2010-2012). Dalam masa pentadbirannya Masjid As-Salihin yang dahulunya dianggap malap dari segi pentadbiran dan perjalanan menjadi sebuah Masjid yang giat dengan pengajian dan berbagai kegiatan seganding dengan Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi dan Surau An-Nur.



Dalam ziarah petang itu Adun bercakap ringkas, bahawa kedatangan rombongan jamaah adalah atas nama Kebajikan menyampaikan Simpati dan Takziah kepada Puan Nur Zaidah dan anak-anak di atas pemergian Ustaz Bashir. Kami mengharapkan Puan Nur Zaidah dan anak-anak bersabar. Semoga roh al-Marhum dicucuri Rahmat Allah dan diletak Allah dikalangan para salihin – Insya Allah.


Pada pertemuan itu Adun mencadangkan jamaah bertahlil ringkas dan Majlis Tahlil dipimpin oleh Ustaz Salah yang juga pernah menjadi AJK Masjid As-Salihin yang menjaga antaranya bidang pendidikan dan pengajian. Selepas Majlis Tahlil Ustazah Mu`minah bt. Yusoff isteri Adun bagi pihak rombongan jamaah menyampaikan sedikit tanda hati dan simpati jamaah kepada Puan Nur Zaidah. Adun juga berkesempatan bercakap-cakap dengan anak-anak al-Marhum Ustaz Bashir dan isteri memberi semangat kepada mereka dan berharap mereka belajar bersungguh-sungguh dan menyambung pengajian ke peringkat tertinggi. Al-Marhum Ustaz Bashir dan keluarga masih belum mempunyai rumah sendiri. Menurut Ustaz Salah al-Marhum Ustaz Bashir suka tinggal di rumah sewa dua tingkat bagi 6 kelamin di sini yang dibina al-Marhum Tuan Haji Hamid Aktivis Pas di sini yang mewakafkan tapak dan surau bagi kegiatan ibadah dan Pasti di bahagian bawah di sini. Rangkaian rumah di Kampung Haji Hamid di sini – Kampung Rahmat terkenal dihuni jamaah yang kuat mendukung cita-cita keislaman.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas arwah Ustaz Bashir dan juga Tuan Haji Hamid.

Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment