BBB, 25 Rabiul Awwal 1434 = 06 Februari 2013 (Rabu):
Dalam hubungan untuk membangunkan Masjid Al-Umm kami telah
berjumpa dengan pihak MPKj dan JAIS-MAIS bagi mendapat kelulusan syarat-syarat
yang ada hubungan dengan jabatan-jabatan berkenaan. Kami dapati adalah wajar
juga bagi kami menemui pihak Kontroler PKNS, oleh kerana PKNS mempunyai
hubungan yang rapat dengan pembangunan BBB dan Masjid Al-Umm sebagai satu kawasan
di bawah pembangunan PKNS. Bahkan tapak bagi Masjid Al-Umm ditentu dari awal
oleh pihak PKNS sebagai Pemaju pembangunan Bangi sejak 1975 lagi..
Atas hasrat untuk mendapat pandangan, nasihat dan
peluang-peluang dari PKNS, maka pihak AJK Masjid Al-Umm membuat temujanji
dengan pihak Kontroler Wilayah Selatan (Bangi) Tuan Haji Lokman Bin Haji Abd.
Kadir pada hari ini. Hadir bersama pada jam 10.00 di Pejabat PKNS ialah:
YB. Dr. Shafie Abu Bakar
- Pengerusi JK Pembinaan Masjid Al-Umm
Tuan Haji Lokman Hj. Abdul Kadir Kontroler PKNS Wilayah
Selatan (Bangi)_
Tuan Haji Mohd Nor Yasin
Bendahari JK Pembinaan Masjid Al-Umm
Tuan Haji Abdul Rahman Daud – AJK
Sdr. Adham bin Anwar – Setiausaha Kerja.
Sebelum masuk kepada perbincangan, kami bercakap dan
berkenalan. Tuan Haji Lokman Lulusan UITM dan Master dari Amerika (N.
Hampshire) adalah anak kepada Hj. Abdul Kadir Bekas Pensyarah di Kolej Islam
dan kemudian di Fakulti Islam UKM (Guru kepada Tuan Haji Mohd Nor Yasin). Tuan
Haji Lokman adalah menantu kepada Bekas Mufti Kerajaan Negeri Selangor Dato`
Ishak Baharom. Kami berbincang mengenai perkara-perkara berikut:
1) PKNS
sebagai Perbadanan memajukan hartanah & rumah dan banyak pengalaman, maka
kami berharap mendapat khidmat nasihat dari segi landscaping, seni taman dan dekorasi
dalaman Masjid Al-Umm. Menurut Tuan Haji Lokman tidak ada masalah dan beliau
sedia bekerjasama di atas perkara kebajikan. Apa lagi Masjid Al-Umm adalah di
dalam Wilayah Kemajuan Bangi.
2) Mendapat
maklumat Dewan Orang Ramai dekat Tapak Masjid Al-Umm mungkin diroboh untuk
pembangunan. Kami berharap tapak itu menjadi sebahagian dari kawasan Masjid.
Jika tidak diroboh, pihak Masjid sedia mengambil alih dan meletakkannya di
bawah pentadbiran Masjid. Tuan Haji Lokman berjanji meneliti dan memastikan
kedudukan sebenarnya sebelum perbincangan lanjut diadakan.
3) Berhubung
dengan rumah semi-D 6 unit baru siap. Y.A.B Dato` Menteri Besar semasa melawat
Tapak Masjid Al-Umm pada 6 Januari 2013 ada bertanya mengenai perumahan ini dan
jika dapat pihak Masjid mendapat satu unit daripadanya untuk kuater Masjid.
Berbincang dengan Tuan Haji Lokman sekiranya tidak dapat satu unit percuma dari
PKNS (Pemaju Anak Syarikat PKNS), pihak Masjid berminat untuk membelinya jika
ditawarkan dengan harga minima (harga satu unit difahamkan RM1.2 juta).
4) Pihak
Masjid memohon dan bercadang untuk membangun kembali Tapak Warung-Warung Medan
Usahawan yang agak terbiar dengan membina bangunan tiga tingkat atau lebih yang
akan memuatkan Perpustakaan untuk Masjid Al-Umm, rangkaian surau bagi Pusat Pengajian
Wadi Ilmu, kegunaan Sekolah-Sekolah berdekatan dan juga orang awam. Sebuah Galeri
Seni Islam, Dewan Seminar dan pejabat-pejabat juga diadakan. Pada bahagian
bawah adalah ruang perniagaan, seperti kedai buku, pakaian, makanan dan sebagainya.
Kompleks yang berciri Seni Bina Islam ini adalah menjadi rangkaian Masjid
dihubung dan ditadbir oleh Masjid.
5) Surau
Al-Umm No. 7 Jalan 1/3G yang dipinjamkan oleh PKNS dan digunakan sejak akhir
1970an itu diharap akan diserahkan kepada Masjid Al-Umm sebagai rumah Imam atau
kakitangan Masjid. Jika pihak PKNS berkeberatan untuk memberi secara percuma
diharap ianya dijual kepada Masjid dengan harga asal pada 1970an dahulu.
6) Pihak
Masjid berharap mendapat khidmat nasihat dari PKNS mengenai aspek Ukur Bahan, Hiasan
Dalaman Masjid, Pemilihan Kontrektor dan dari segi Costing. Juga kewajaran
harga bagi Masjid Al-Umm (tiga tingkat) ialah RM11.2 milion.
7) Padang
Awam yang ada antara Sekolah Rendah Kebangsaan di Jalan 2 dan Masjid hendaklah
dikekalkan dan dinaiktaraf sebagai Padang Awam, tetapi hendaklah diintegrasi
dan ditingkatkan dari segi seni taman hingga kelihatan masjid dan kelilingan
berada di dalam taman yang indah, menarik dan harmoni.
8) Tanah
Reserve TNB yang berdekatan dengan Masjid dan Sekolah akan digunakan sebagai
sebahagian dari kawasan parking.
Adun dan rombongan berterima kasih kepada Tuan Haji Lokman
yang menjanjikan pihak PKNS Bangi akan memperuntukkan sejumlah antara RM100,000
hingga RM200,000 dari duit Cooporat Responsible Services (CRS) untuk Masjid
Al-Umm.
Adun juga berterima kasih pihak PKNS membenarkan pihak
Masjid memungut derma untuk Masjid dari warga kerja PKNS dan membenarkan untuk
diletakkan Tabung Derma di Bangunan PKNS dengan ingatan soal keselamatan Tabung
perlu difikirkan.
Walau bagaimana Tuan Haji Lokman berharap peluang untuk
menderma dan mendapat pahala perlu diutamakan kepada penduduk di Bandar Baru
Bangi di samping peluang kepada penduduk luar dari Bangi.
Adalah diharapkan Masjid Al-Umm dan lokasi sekelilingnya
yang indah dan menarik menjadi salah satu landmark yang menjadi tarikan bagi
kehadiran jamaah dan orang ramai, termasuk dari luar ke Masjid Al-Umm. Adalah
juga diharapkan kawasan seksyen Satu BBB yang terawal dan tertua ini akan pulih
dan berdaya maju dengan adanya Masjid Al-Umm dan pembangunan sekeliling dan sekitarnya.
Perbincangan di atas adalah dengan kefahaman bahawa
persoalan-persoalan yang ditimbulkan di atas tidak saja berhubung dengan PKNS,
tetapi juga dengan jabatan-jabatan, agensi-agensi, bahkan pada peringkat
negeri. Rundingan lanjut akan diadakan dengan jabatan-jabatan dan agensi-agensi
berkenaan dari masa ke masa – Insya Allah.
Terima kasih di atas penerimaan kunjungan yang amat
bermanfaat.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment