February 14, 2013

Menghangat Suasana Menjelang Pilihanraya Di Sungai Ramal Luar

-->
Sungai Ramal Indah, 29 Rabiul Awwal 1434 = 10 Februari 2013 (Ahad):


Tarikh pilihanraya hampir tiba, semua pihak berkenaan menunggu-nunggu tarikh pembubaran Parlimen. Namun dalam masa penungguan, khususnya bagi orang politik tidak mensia-siakan masa. Persediaan menghadapi pilihanraya berjalan dan kehangatan suasana terasa. Apa tidak pihak BN menggunakan sepenuhnya segala media yang mereka kuasai berkempen dan menyibarkan maklumat sebelah pihak. Senjata utama mereka bukan membentang dan meminta rakyat menilai apa yang dilaksanakan mereka selama hampir lima tahun diberi mandate – sebenarnya tidak banyak, sebaliknya menggunakan wang Negara membahagi-bahagikan secara langsung atau secara mentah sebagai umpan memancing undi – Bukan menjana ekonomi. Apabila dilihat umpan berkenaan makin termakan, maka janji dibuat BRIM akan  diberi setiap tahun, bahkan beberapa kali setiap tahun ! Secara tidak langsung kerajaan BN mau menggalakkan `Orang Pencen` sebelum waktunya. Demikian polisi ekonomi Negara. Dasar ekonomi Negara apa namanya ini ? DEKRUN (Dasar Ekonomi Runtuh Negara) agaknya. Bayangkan jika 4 Brim setahun mencecah RM10 bilion, maka bagi satu penggal 5 tahun, bererti RM50 bilion ditambah dengan hutang Negara sedia ada RM50 bilion bererti rakyat menanggung beban RM100 bilion pada penggal akan datang – jika kuasa terus diberi kepada BN. Bagi BN demi kuasa, biar bankrupt Negara ! Kadang-kadang terfikir juga apakah wang dicetak sebagai duit Jepun ? Boleh merosakkan ekonomi Negara. Kalau kerakyatan boleh digadai kepada orang luar, demi kuasa peduli dengan inflasi Negara ! Barangkali itu pendapat mereka.


Untuk memberi penerangan dan menyanggah tuduhan, segala kesempatan yang ada digunakan oleh Pakatan Rakyat – termasuklah menggunakan cara berceramah. Antara ceramah yang diadakan ialah di Sungai Ramal Indah, Dun Bangi yang dianjurkan oleh Bahagian Penerangan Pas Serdang dengan kerjasama Pejabat Adun. Penceramah yang dijemput pada malam tersebut ialah Y.B. Tuan Firdaus Jaafar Ahli Parlimen Jerai, Al-Fadhil Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman AJK Pas Pusat. Ustaz Shafie Ngah selaku Tuan Rumah mengalu-ngalukan hadirin dan berterima kasih kepada AJK Penerangan yang berjaya mengadakan ceramah pada malam ini. Beliau meminta masyarakat membuat penilaian tentang prestasi Pakatan dan meminta mereka terus memberi sokongan kepada Kerajaan Pakatan. Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman mengimbau selama lebih dari setengah abad memerintah, menurutnya BN tidak dapat memberi kesan ketara kepada kemajuan – terutama orang Melayu. Merujuk kepada Melaka, orang Melaka menurutnya tidak seharusnya berbangga dan berfikiran serta bermegah Melaka sebagai benteng Umno yang sukar ditembus pembangkang. Sebaliknya orang Melaka hendaklah berfikiran dan bertanya, mengapakan kebanyakan negeri-negeri, terutama yang maju sanggup berubah dan menyelidik apa faedah yang mereka dapati, mengapa Melaka tidak  mau turut sama berubah, apakah orang Melaka ketinggalan dan apakah kerugain-kerugian yang mereka alami. Masa masih belum terlambat untuk mereka turut sama berubah bagi kebaikan.


Adun Bangi bercakap lebih kepada memfokuskan tentang peruntukan yang dibelanjakan oleh Adun bagi tahun 2012 sebagaimana dilaporkan dalam Buletin Bangi yang mulai diedarkan pada malam itu dan juga tentang Merakyatkan Ekonomi Selangor seperti Skim Tawas, Tabung Anak-Anak Pekerja Ladang, Tuisyen Rakyat, Hadiah Anak Masuk Universiti,, Pusat Khidmat Krises sehenti, Skim Kesihatan Wanita, Pusat dilesis Rakyat, Kemudahan Cuti Tambahan, Skim Mikrokredit, Mimbar, Mesra Usia Emas, Air Percuma yang diguna di bawah 20 kubik meter dan Hasil Batuan dan Mineral.  Adun juga bercakap tentang prestasi wakil-wakil rakyat dari Pakatan di dalam Dewan Negeri berbanding dengan wakil-wakil rakyat dari BN yang selalu ponteng. Adun menganjurkan penilaian hendaklah dibuat kepada kerja-kerja yang dibuat untuk rakyat sejak diberi mandate bukan apa yang baru cuba dilakukan sekarang. Adun berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan dakwaan sebahagian kecil yang masih belum dapat air percuma, kerana pihak Syabas enggan memasang meter berasingan. Walau bagaimana sebagai penyelesaian sementara mereka digantikan dengan sistem kopun.


Y.B. Firdaus Jaafar bercakap tentang Kedah mampu mendirikan universiti KUIN sebagaimana Selangor mendirikan universiti dan mendapat sanjungan dan pengiktirafan. Juga beliau bercakap tentang kejayaan negeri Kedah membina 2 Loji Air, sebuah berkapasiti 25 juta liter meter padu dan sebuah lagi berkapasiti 50 juta liter meter padu yang kos adalah RM330 juta, tetapi jika menurut projek BN, maka harga boleh meningkat melalui pinjaman kepada RM2 bilion. Kini pihak BN kehilangan modal untuk mengkritik berkenaan air sebagaimana dilakukan sebelumnya. Beliau juga bercakap tentang rancangan untuk menurun harga kereta jika kerajaan Pakatan Rakyat menang, juga penghapusan bayaran tol. Beliau juga mengecam pihak yang mengatakan, kerajaan negeri menggondol bukit-bukit di Kedah. Sebenarnya katanya ``Mereka kehabisan modal. Kita mempunyai perancangan yang teratur bagi kepentingan ekonomi negeri Kedah dan bukan melakukan penebangan secara sewenang-wenang. Menurutnya Kedah mampu berdikari, walaupun dianggap kurang dengan hasil-hasil negeri. Dengan kejayaan Pakatan memerintah Kedah, beliau berharap rakyat Kedah akan terus memberi sokongan kepada pemerintahan Pakatan bagi meneruskan kemajuan.


Sekian.

No comments:

Post a Comment