February 25, 2013

Maulidur Rasul Di Pasar Bandar Baru Bangi - Siri Terakhir Sambutan

-->
BBB, 12 Rabiul Akhir 1434 = 23 Februari 2013 (Sabtu):


Hari ini cukup sebulan sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1434H. Adun Bangi terlibat dengan beberapa siri Sambutan Maulidur-Rasul sejak 12 Rabiul Awal 1434 yang lepas. Ada yang telah dilapurkan di dalam blog ini, tetapi lebih banyak tidak dilaporkan. Apa yang dapat dikatakan bahawa berbagai-bagai cara sambutan diadakan bagi membesar dan melahirkan kecintaan terhadap Rasulullah s.a.w. seperti sambutan secara berarak dari Stadium ke Masjid Jami` Kajang bagi peringkat Daerah Hulu Langat pada Sabtu 21 Rabiul Awwal 1434 = 02 Februari 2013 sempena Karnival Al-Qur`an yang diadakan selama tiga hari di Pekarangan Masjid Kajang. Ada yang menyambut secara berceramah seperti yang diadakan di Masjid Sungai Ramal Luar pada 15 Rabiul Awwal. Ada yang menyambut secara dialog seperti yang diadakan oleh Pertsatuan Penduduk Taman D` Cempaka berdekatan Masjid Al-Hasanah pada 21 Rabiul Awal (21 Februari). Pada petang yang sama diadakan sambutan di Surau Al-Ukhuwwah, Seksyen 8, BBB dengan mengadakan ceramah jemputan dari Syria dan disertai dengan nasyid bermuzik di bahagian depan ruangan solat (mungkin lebih sesuai di bahagian belakang). Ada yang secara bernasyid dan ceramah bagi melancarkan derma bagi membeli bangunan seperti yang dilakukan oleh Sekolah Tahfiz di Teras Jernang dan ada yang menjemput penceramah selebriti berceramah (Ustazah Nur Bahiyyah dan suami) selepas mengadakan perarakan seperti yang diadakan oleh Persatuan Penduduk di Taman Sutera, Kajang pada 6 Rabiul Akhir (17 Februari).


Sambutan Maulidur-Rasul di Pasar BBB pada hari ini sebagai siri akhir sambutan adalah sebagai salah satu kegiatan Persatuan Peniaga Pasar BBB yang AJKnya baru dilantik dengan kerjasama Pejabat Adun Bangi. Mengadakan sambutan dan ceramah sedemikian bukan perkara baru, kerana kuliah, ceramah dan tazkirah telah banyak kali diadakan di Pasar BBB sejak Adun Bangi dilantik. Kegiatan tidak mengganggu perjalanan perniagaan di pasar. Mereka menjalankan kegiatan seperti biasa, di samping mengikuti ceramah, kuliah adan tazkirah sebagai panduan dan amalan. Kegiatan sedemikian adalah sesuai dengan slogan Bangi Bandar Ilmu.


Bagi menjayakan Maulidur Rasul pada pagi yang ramai dengan pengunjung-pengunjung dijemput penceramah Ustaz Khairil Qushayri dari Pusat Islam UKM, pasukan Kompang setempat (seksyen 1) juga dijemput dan Kaunter menyimak Pendaftaran Pengundi juga dibuka. Majlis bermula dari jam 9.30 pagi dengan perarakan masuk dari luar pagar bagi pintu masuk utama pasar. Solawat dikumandangkan dengan diketuai Adun sendiri  bersama Tuan Haji Hashim Che Da, AJK, saudara Azemi Ahmad Ketua Lajnah Agama dan lain-lain. Perarakan berhenti di hadapan anjung pasar tempat diadakan majlis.

Majlis yang dipengerusikan oleh saudara Azemi menjemput Tuan Haji Hashim Che Da menyampaikan ucapan alu-aluan. Menurut Tuan Haji Hashim, ``Ini adalah kegiatan pertama diadakan oleh Persatuan Peniaga Pasar sejak dilantik,`` Beliau mengucapkan terima kasih di atas kerjasama dan bantuan daripada Adun bagi menjayakan Majlis pada hari ini. Menurutnya, Tujuan diadakan majlis bagi mengingati Rasulullah dan mengikuti pengajarannya. Rasulullah seorang peniaga. Kita berniaga menurut Sunnah dan seharusnya berniaga dengan jujur. Beliau juga berharap dengan kegiatan yang diadakan lebih memeriahkan suasana dan menceriakan hadirin.

Adun di dalam ucapannya merasa gembira kerana dapat bekerjasama dengan Persatuan Peniaga mengadakan majlis Sambutan Maulidur Rasul di Pasar pada hari ini. Menurut Adun, bagi mengingati Rasulullah tidak bermusim, bukan hanya dalam masa bulan Maulid, tetapi bila-bila masa. Tanda kecintaan kita kepada Rasulullah ialah mengikut apa yang dibawa Rasulullah s.a.w. mengenai suruhan Allah dan menjauhi dari larangan. Adun menyatakan hasratnya, mau menjadikan perniagaan di pasar menurut ajaran Islam, iaitu menunaikan kifayah keperluan orang ramai dan menjalankan perniagaan dengan betul. Menyediakan barang-barang yang baik, suci dan halal.`

Ustaz Khairil dalam ceramahnya melahirkan rasa gembiranya, melihat suasan Ilmu di Bangi, bukan saja bersemarak di masjid-surau, tetapi hingga ke pasar. Menurutnya Rasulullah s.a.w. mengutamakan ahli ilmu mengatasi ahli ibadat sebagaimana mengatasi cahaya bulan purnama ke atas bintang-bintang. Katanya mencintai Rasulullah menandakan ke sempurnaan iman. Kita hendaklah mengikuti Rasulullah sebagai contoh tauladan dan ikutan kita. Dan Rasulullah mencintai umatnya. Tanda mencintainya hendaklah kita banyak bersalawat kepada baginda. Ustaz Khairil juga menceritakan berbagai-bagai cerita yang mencerminkan keunggulan Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya tidak diutuskan baginda, melainkan untuk Rahmat kepada sekalian alam.

Majlis kemudian sekali lagi bersalawat di samping beberapa orang bergerak – termasuk Adun mebahagikan bunga-bunga telur kepada hadirin.

Majlis diakhiri dengan jamuan ringan.

Terima kasih kepada semua yang menjayakan Majlis.

Sekian.

No comments:

Post a Comment