August 19, 2014

Sambutan Idul Fitri Surau Al-Umm Sederhana Tapi Meriah

BBB, 21 Syawal 1435 = 17 Ogos 2014 (Ahad):


Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, maka pada tahun ini Surau Al-Umm turut mengadakan  sambutan Hariraya Idul Fitri pada tarikh di atas. Majlis adalah secara ringkas mulai jam 5.15 petang hingga jam 6.45 petang dihadiri lebih kurang dua ratus penduduk kariah Al-Umm kecil besar bertempat di padang permainan di tengah perumahan kawasan 1/3. Tidak ada jemputan dari luar, kecuali Dr. Abdul Rahman Qiraish Pengerusi Rumah Anak-Anak Yatim Dar al-Ruqiyyah untuk menerima sumbangan dari Surau Al-Umm. Hadir pada Majlis Sambutan ini Penulis selaku Pengerusi AJK Surau Al-Umm, Tuan Haji Suib bin Haji Maulud selaku Setiausaha, AJK-AJK, Tamu Khas Imam Supaat bin Abdul Rahman Bekas Imam Masjid Al-Hasanah serta Imam dan Guru Surau Al-Umm dan ahli-ahli kariah. Pihak Surau menyediakan minu utama, iaitu sate, hadiah-hadiah dan cenderamata. Manakala penduduk membawa makanan-makanan dan buah-buahan untuk dinikmati bersama.
Majlis bermula dengan doa disampaikan oleh Ustaz Anas, berikutnya Pengerusi Majlis saudara Amir bin Haji Khalil menjemput Penulis menyampaikan ucapan alu-aluan.


Penulis mengucapkan terima kasih dan bersyukur  kepada Allah kerana pada tahun ini program ibadat Ramadhan di Surau Al-Umm berjalan lancar; Kehadiran para jamaah berterusan, walaupun sedikit berkurangan pada bahagian akhir, kerana sebahagian daripada penduduk balik kampong. Dua Imam tempahan – Imam Ashraf dan Hafiz menjalankan tugas dengan lancar. Pihak Surau juga mengadakan khatam Qur`an yang tadarrusnya dilakukan oleh jamaah Surau. Kumpulan Muslimat juga mengadakan tadarrus berasingan.  Pihak Surau juga mengadakan Yasin tujuh Mubin – kebiasaan tahunan yang dipimpin oleh Ustaz Salleh Kassim dan malam raya diadakan ziarah dan takbir dari rumah ke rumah lebih kurang 15 rumah dari jam 9.00 hinggah 12.00 tengah malam. Pengerusi merasa gembira dengan makin meningkatnya anak-anak muda dengan kegiatan surau. Beliau berharap keterlibatan sedemikian makin bertambah selari dengan pertambahan kegiatan surau dari segi ceramah dan pengajaran, khususnya di kalangan wanita.


Pengerusi mengucapkan terima kasih kepada pasukan yang menyediakan minu khusus dan minuman dan barang-barang hadiah iaitu Tuan Haji Suib, Haji Rusli, Haji Jamaluddin, Haji Shamsuddin dan Haji Anuar dan beberapa kaum ibu yang sejak jam 3.00 petang berada di khemah menyiapkan persediaan.
Dengan sedikit rasa duka Pengerusi memaklumkan, bahawa kemumgkinan inilah sambutan Idul Fitri terakhir yang diadakan oleh Surau Al-Umm, kerana jika apa yang dijangkakan bahawa Masjid Al-Umm dijangka siapa pada pertengahan bulan Mei 2015 dan jika tidak ada aral melintang insya Allah Masjid akan digunakan sebelum bulan Ramadhan 1436, walau bagaimana kata Pengerusi, penduduk bagi kawasan 1/3 boleh mengadakan sambutan seperti ini atas nama Penduduk kawasan 1/3, tetapi Masjid akan mengadakan sambutan secara lebih luas bagi kawasan Masjid yang melibatkan kawasan di bawahnya berpuluh-puluh surau.


Menyebut tentang Masjid Pengerusi Surau Al-Umm yang juga Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm memaklumkan bahawa pembinaan Masjid Al-Umm sedang berjalan lancar. Setakat ini menurutnya hamper 7% pembangunan telah berjalan. Sekarang ini pekerja sedang memasang sarang bagi tiang-tiang bagi tingkat tiga yang mungkin mulai esok sarang-rang tiang bercerocok besi ini akan diisi dengan semin. Pembinaan menurut jadual dan tidak terlewat. Walaupun bangunan Masjid sedang dalam pembinaan, pihak AJK telah mengadakan perbincangan dan seminar bagi mengisi kegiatan di Masjid Al-Umm. Misalnya pada 16 Sya`ban 1435 = 14 Jun 2014 diadakan seminar Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu yang sebahagian daripadanya membincangkan tentang pengajian yang akan diadakan di Masjid Al-Umm dan pada 21 September 2014 nanti akan diadakan bengkel mengenai Pengisian Pengajian Masjid Al-Umm. Masjid insya Allah akan mengadakan kegiatan dan pengajian yang lebih banyak yang melibatkan semua peringkat masyarakat dari warga emas, orang tua, golongan muda, wanita dan anak-anak. Pengerusi berharap semua pihak akan mengambil bahagian sama di dalam kegiatan-kegiatan keilmuan yang akan ditawarkan dan mana-mana yang berkelayakan mengajar, diharap dapat member tenaga mengajar.


Merujuk kepada peruntukan membina Masjid Al-Umm, bahawa peluang bagi orang ramai untuk menderma masih terbuka, kita masih kekurangan dana dan Pengerusi berharap penduduk merebut peluang bagi menanam modal akhirat, Menurut Pengerusi, setakat ini dana yang dijanjikan oleh pihak negeri masih belum turun lagi.
Akhirnya Pengerusi mengucapkan terima kasih di atas kehadiran penduduk yang agak memuaskan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan sambutan.  Beliau memohan maaf zahir dan batin.


Selepas ucapan alu-aluan jamuan bermula dengan kaum wanita mendahului kaum lelaki. Dalam masa jamuan sambil itu Pengerusi menyampaikan Cenderamata kepada Bilal-Bilal Ramadhan dan peserta-peserta Tadarrus Al-Qur`an  bagi kumpulan lelaki dan Kumpulan Wanita yang tadarrus mereka berlainan masa disampaikan oleh Ustazah Mu`minah Guru Pembimbing. Berikutnya Pengerusi menyampaikan Derma Anak Yatim yang diterima oleh Pengerusi  Anak Yatim Dar Al-Ruqayyah Sungai Merab Dr. Abdul Rahman Quraish. Suasana riang di wajah anak-anak apabila Bendahari Surau Tuan Haji Anuar menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang datang berbaris secara beramai-ramai.
Manakala pihak veteran pula bergembira menerima cenderahati  bila cabutan bertuah diadakan. Jamuan diteruskan hingga jam 6.45 petang dan majlis bersurai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment