June 8, 2017

AL-`UBUDIYYAH: BERBAGAI MAKSUD PECAHAN ISTILAH


BBB, 12 Ramadhan 1438H. = 07 Jun 2017M. (Rabu):
Al-`Ubudiyyah dapat diterjemahkan kepada maksud `Kehambaan` atau `Penyembahan``.
Al-Qushairy memulakan  pembicaraan berhubung dengan bab ini dengan memetik firman Allah:
``Wa u`bud rabbaka hatta ya`tiyaka al-yaqin.`` (Al-Hijr: 99).
Bermaksud: Dan hendaklah engkau sembah Tuhan engkau sehingga mendatang kepada engkau keyakinan.`` (Al-Hijr: 99).
Berhubung dengan Hadith Nabi AL-Qushairi memetik:
Mengkhabarkan kepada kami Abu Hasan al-Ahwazi berkata, mengkhabarkan kami Ahmad ibn `Ubaid al-S*aqqar berkata, bercakap kepada kami `Ubaid bin Sharik berkata, bercakap kepada kami Yahya berkata, bercakap kepada kami Malik daripada Habib bin `Abd al-Rahman bin Hafs* bin `As*im daripada `Umar ibn al-Khat*t*ab daripada Abi Sa`id al-Khudri dan Abi Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Tujuh orang yang dilindungi oleh Allah di bawah lindunganNya pada hari yang tidak ada lindungan  melainkan lindunganNya:
Imam `adil, dan pemuda yang dididik dengan beribadat kepada Allah Ta`ala dan lelaki yang hatinya tertakluk di masjid, apabila dia keluar daripadanya hingga dia kembali kepadanya, dan dua lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, dia berhimpun kerana yang demikian dan  berpisah kerananya, dan lelaki yang mengingati Allah Ta`ala secara sembunyi, maka mengalir air mata dari kedua matanya dan lelaki yang diseru oleh perempuan yang mempunyai keindahan dan kecantikan, maka dia berkata, ``Aku takut kepada Allah Tuhan sekalian alam, dan lelaki yang bersadaqah dengan sadaqah, maka disembunyinya sehingga  tidak mengetahui tangan kirinya apa yang dinafkah oleh tangan kanannya.``
Aku mendengar Al-Ustadz Aba `Ali al-Daqqaq r.h.a. berkata,
``Al-`ubudiyyah lebih sempurna daripada ibadah, maka yang pertama ialah ibadah, kemudian `ubudiyyah, kemudian `abudah. Maka `ibadah ialah bagi awam daripada kalangan mu`minin, dan al-`ubudiyyah bagi kalangan khawas*s* dan `abudah adalah khas bagi khas.``
Dan aku mendengarnya berkata, ``Ibadah bagi yang baginya `ilmu al-yaqin, dan al-`ubuiyyah bagi yang baginya `ayn al-yaqin dan `abudah bagi siapa yang baginya haqq al-yaqin.``
Dan aku mendengarnya juga berkata, ``Al-`ibadah bagi orang-orang yang bermujahadah dan `ubudiyyah bagi orang-orang yang sangat kental mengalami kesukaran dan al-`abudah ialah sifat ahli al-mushahadat, siapa yang dirinya tidak memiliki, maka dia sahib ibadat, dan siapa yang tidak menjamin dengan hatinya, maka dia sahib `ubudiyyah, maka siapa yang tidak bakhil daripadanya rohnya, maka dia sahib `abudah.``
Dan dikatakan al-`ubudiyyah ialah mendirikan segala haqq ketaatan dengan syarat melaksanakan keperluan dan pemerhatian dan menyaksikan apa yang terhasil dari manaqib engkau daripada apa yang ditakdir.``
Juga dikatakan al-`ubudiyyah ialah meninggalkan ikhtiar daripada apa yang nyata daripada taqdir. Dan dikatakan al-`ubudiyaah tiada daya dan kekuatan dan iqrar dengan apa yang diberi kepada engkau dan dikatakan `ubudiyyah berpegang dengan   apa yang disuruh engkau dengannya dan berpisah daripada apa yang ditegah daripadanya.
Disoal Muhammad bin Khafif, tentang bila sahnya `ubudiyyah, katanya, ``Apabila engkau menyerahkan semuanya kepada maulah dan sabar bersamanya di atas segala ujian (balwa).
Aku mendengar Shaykh Aba `Abdul Rahman al-Sulami berkata, aku mendengar Aba al-`Abbas al-Baghdadi berkata, aku mendengar Ja`far bin Muhammad bin Nus*air berkata, aku mendengar Ibn Masruq berkata, aku mendengar Sahl bin `Abdullah berkata,
``Tidak s*ahh Ta`abbud bagi seseorang sehingga ia mengalami empat perkara, lapar, kurang pakaian, faqir dab hina.``
Dan dikatakan daripada alamat `ubudiyyah ialah meninggalkan tadbir dan menyaksikan taqdir.``
Berkata Dzu al-Nun al-Mis*ri, ``Al-`Ubudiyyah bahawa engkau adalah hambaNya di dalam tiap hal. Sebagaimana  Dia Tuhan engkau di dalam tiap-tiap hal.``
Aku mendengar Al-Ustadz  Aba `Ali al-Daqqaq berkata, aku mendengar Al-Nas*r Abadzi berkata,
``Harga hamba dengan ma`budnya, sebagaimana kemuliaan `arif dengan ma`rifatnya.
Dan berkata Abu Hafs*, Al-`Ubudiyyah hiasan kehambaan, siapa yang meninggalkannya maka tertangguh dari hiasan.``.
Aku mendengar al-Ustadz Aba `Ali al-Daqqaq berkata,
``Tidak ada sesuatu yang lebih mulia daripada `al-`ubudiyyah` dan tidak ada ma`na yang lebih sempurna bagi seorang mu`min daripada dinamakan dengan `al-`ubudiyyah`, kerana demikian Allah Subhanahu wa Ta`ala mensifatkan Nabi s.a.w. pada malam Mi`raj dan dia adalah semulia-mulia waktunya di dunia.``
``Maha Suci yang menjalankan waktu malam dengan hambanya daripada Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqs*a yang Kami berkatnya kelilingnya  bagi kami memperlihatkan ayat-ayat Kami dan Dia Amat Mendengar lagi Amat Melihat. ( Al-Isra`: 1).
Dan firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Maka Allah mewahyukan kepada hambaNya apa yang diwahyukan.`` (Al-Najm: 10).
Demikianlah istilah ``abd` (hamba) dipecahkan kepada pecahan-pecahan istilah yang diberi huraian maksudnya sebagaimana difahami dan dihurai oleh kalangan sufi.

Sekian.

June 7, 2017

REDHA: RELA DENGAN KETENTUAN


BBB, 11 Ramadhan 1438H. = 06Jun 2017M. (Selasa):
Tahap jiwa yang tiba pada kerelaan di atas yang ditentukan Allah dan baginya penyerahan tanpa kekesalan. Redha adalah berada di bawah kategori maqam.
Berhubung dengan redha ini Al-Qushairy memetik firman Allah bermaksud:
``Allah meredha mereka itu dan mereka itu meredhakanNya.`` (Al-Ma`idah : 119 & Al-Bayyinah: 8).
Berhubung dengan Hadith Nabi berkait  dengan redha:
Mengkhabarkan kami `Ali bin Ahmad al-Ahwazi berkata, bercakap kepada kami Ahmad bin `Ubaid al-Basri berkata bercakap kepada kami al-Karimi berkata, bercakap kepada kami Ya`kub bin Isma`il al-Salali berkata, bercakap kepada kami Abu `As*im al-`Ibadati daripada al-Fudhail bin `Isa al-Ruqashi daripada Muhammad bin al-Munkadir daripada Jabirah berkata:
Bersabda Rasulullah s.a.w.:  ``Dalam keadaan ahlu al-jannah di dalam satu majlis memancar  ke atas mereka itu cahaya dari pintu syurga. Maka mereka mengangkat kepala mereka. Tiba Allah Ta`ala mengangkat ke atas mereka. Maka berfirman , Wahai ahlu al-Jannah. Pohonlah apa yang kamu mahu, Mereka berkata, kami mohonkan keredhaan kepada kami. Maka berfirman Allah Ta`ala, KeredhaanKu aku telah menempatkan kamu di dalam rumahKU dan bagi kamu kemuliaanku ini dan peralatan. Berkata mereka itu, ``Kami mohon pertambahan. ... (hingga akhir maksud Hadith) (Hadith Riwayat Ibn al-Najjar dan al-Bazzar).
Berbagai pendapat tentang redha,
``Redha menurut Al-Sarraj, ialah pintu Allah yang besar. Syurga di dunia, dia adalah hati hamba tenang di bawah hukum Allah Ta`ala.``
Ditanya Al-Junayd r.a. tentang redha, maka katanya, ``Mengangkat ikhtiar.``
Disoal Al-Qanad r.h.a tentang al-redha, maka katanya,
``Tenang hati dengan laluan qadha`.``
Demikian kata Ibn `At*a` r.a. ``Redha ialah melihat hati kepada qadim ikhtiar Allah Ta`ala kepada hamba. Kerana dia mengetahui Dialah yang memilih baginya dengan perkara yang lebih afdhal, maka dia redha dengannya  dan meninggalkan andaian.
Dan berkata Abu Bakar al-Wasit*i  r.h.a.
Gunakan redha sebagai kesungguhan engkau dan jangan jadikan redha menggugat engkau dia boleh menutup engkau daripada melihat hakikat.
Aku mendengar Al-Ustadz `Ali al-Daqqaq berkata,, berkata seorang murid kepada ustaznaya, ``Adakah seorang hamba yang Allah meredhakannya ? Maka katanya, ``Tidak !`` Bagaimana dia tahu sedang persoalan redha adalah ghaib. Maka kata murid, ``Al-Waliyy mengetahui yang sedemikian. Bagaimana dia tahu hati aku redha daripada Allah Ta`ala dan mengetahui aku bahawa Ia redha daripadaku. Maka kata ustadz, engkau bagus. !
Mengkhabarkan kami Al-Shaykh `Abdul Rahman al-Sulami r.h.a. berkata, mengkhabarkan kami Abu  Ja`far al-Razi, berkata, bercakap kepada kami al-`Abbas bin Hamzah berkata,, bercakap kepada kami Ibn Abi al-Hawari, katanya, aku mendengar Aba Sulaiman al-Darani berkata,, ``Apabila  seorang hamba membebaskan dirinya ingatan terhadap hawa nafsu, maka dia adalah dalam redha.
Dan aku mendengarnya berkata, aku mendengar Al-Nas*r Abadzi berkata:
``Siapa yang berkehendak sampai kepada tempat redha, maka hendaklah melazimkan diri yang menjadikan Allah meredhainya.
Berkata Al-Harith al-Muhasibi, ``Redha ialah tenang hati di bawah larian hukum.``
Dan berkata Dhu al-Nun al-Misri, ``Redha ialah gembira hati dengan larian takdir.``
Dan berkata Ruym. ``Redha ialah  menerima hukum-hukum dengan gembira.``
Berkata Sufyan ketika bersama Rabi`ah,
``Wahai Tuhanku redhalah daripadaku.``
Maka kata Rabi`ah, ``Adakah engkau tidak malu memohon redha dari yang belum pasti meredhakan engkau ?
Berkata Sahl bin `Abdullah,  ``Apabila berhubung  jiwa dengan keredhaan, maka datanglah ketenangan, maka bahagianlah mereka dan baik perkembalian.
Aku mendengar Al-Ustadz Aba `Ali al-Daqqaq berkata,

``Jalan bagi salikin lebih panjang, dia adalah tariq al-riyadhah dan jalan khawass lebih dekat akan tetapi lebih payah, dia hendaklah amalan engkau bergantung pada redha dan redha engkau dengan qadar.
Redha adalah perkara yang berkait dengan dalaman dan tidak mudah menerima sesuatu dengan kerelaan, tanpa didikan jiwa yang panjang yang memahami tentang kemahuan diri yang dapat diserap dan diserahkan kepada ketentuan Ilahi dan menerimanya dengan kerelaan hati. Dia tidak mungkin terjadi tanpa kekuatan akidah dan percaya dengan kehendakNya adalah mengatasi  segala kehendak, maka apakah yang lebih baik menerima ketentuan yang tidak boleh  ditolak, maka redha adalah penerimaan terbaik dan perlu pula dari jiwa yang ikhlas.

Sekian.

June 6, 2017

MURAQABAH: BAGAIMANA MEMURNI DAN MENEPATI


BBB,  10 Ramadhan 1438H. = 05 Jun 2017M. (Isnin):
Muraqabah adalah berasal dari istilah `qurb` dekat.,  manakala muraqabah bermaksud usaha mendekati, atau prehatin dengan cara-cara yang dapat mendekati Allah Ta`ala. Ialah adalah terletak di bawah `Hal` yang merupakan salah satu suasana kejiwaan di dalam usaha bermuraqabah.
Al-Qushairy mengambil firman Allah yang berhubung dengan istilah muraqabah, iaitu firman Allah bermaksud:
``Dan Allah bagi setiap suatu itu Amat Mengawasi.`` (Al-Ahzab: 52).
Adapun tentang Hadith Rasulullah s.a..w. tentang `al-Muraqabah`  ialah Hadith, bahawa Jibril datang menemui Rasulullah s.a.w. dalam bentuk seorang lelaki yang bertanya Rasulullah tentang Iman, Islam dan Ihsan. Setelah Baginda menjawab tentang iman, Islam, Baginda juga menjawab tentang Ihsan.
``Al-Ihsan, bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, jika pun engkau tidak dapat melihatNya, maka sesungguhnya Dia Melihat engkau. Dia berkata `Benar engkau`.. Soal jika engkau tidak melihatNya, maka Dia melihat engkau adalah konsep `Muraqabah.``
Aku mendengar Al-Shaykh Aba `Abd al-Rahman al-Sulami berkata, aku mendengar Aba Bakr al-Razi berkata, aku mendengar Al-Jariri berkata,
``Siapa yang tidak berhukum di antaranya dan di antara Allah Ta`ala dengan  taqwa dan muraqabah tidak sampai kepada kashaf.``
Berkata Al-Junayd,  ``Siapa yang tahqiq di dalam al-muraqabah, adalah dibimbangi dia kehilngan peluang dari Allah Sunhanahu wa Ta`ala.``
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Aba al-`Abbas al-Baghdadi berkata, aku bertanya Ja`far bin Nasir tentang al-muraqabah, maka katanya,
Menjaga rahsia di dalam bermulah*azah  dengan Allah Subhanahu wa Ta`ala dalam setiap lintasan (khat*ar).
Dan aku mendengarnya  berkata, aku mendengar Aba al-Husain  al-Farabi berkata, aku mendengar Al-Jariri berkata, ``Aku disuruh di atas dua perkara.
Melazimkan diri dengan bermuraqabah kepada Allah Ta`ala dan berpegang dengan ilmu secara zahir engkau.``
Aku mendengarnya berkata, aku mendengar  Aba al-Qasim al-Baghdadi berkata, aku mendengar Al-Murta`ish berkata,
``Al-muraqabah menjaga rahsia di dalam bermulah*az*ah dengan yang ghaib bersama tiap-tiap lahz*ah dan lafz*ah``.
Dan disoal Ibn `At*a` tentang, `` Apakah seafdhal-afdhal taat``, maka katanya,
``Muraqabah al-Haqq di dalam penerusan waktu.``
Dan berkata Ibrahim al-Khawwas bagi menjaga penerusan muraqabah, Dan al-muraqabah mewariskan keikhlasan di dalam sirr dan `alaniyyah  dengan Allah Ta`ala.``
Aku mendengar Shaykh `Abd al-Rahman al-Sulami berkata, aku mendengan Al-Shaykh `Abd akl-Rahman al-Maghribi berkata,
`Seafdhal-afdhal yang melazimi  manusia bagi dirinya ialah  muhasabah dan muraqabah dan siasah dari segi keilmuan.
Dan aku mendengarnya berkata, aku mendengar,  Abdullah al-Wazi berkata, aku mendengar Aba `Uthman berkata, dan berkata kepadaku oleh Abu Hafs*:
``Apabila engkau berada di dalam majlis yang ramai orang hendaklah engkau sebagai wa`iz  bagi hati dan diri engkau. Dan jangan mengangkat diri engkau di alam jama`ah bersama engkau, kerana mereka menyaksikan muraqabah zahir, sedang Allah Ta`ala muraqabah dari segi batin engkau.
Dan aku mendengarnya berkata,, aku mendengar Muhammad bin `Abdullah berkata, aku mendengar Aba Ja`far al-S*aydalani berkata, Aku mendengar Aba Sa`id al-Kharraz berkata, berkata kepada kami setengah shaykh-shaykh kami,
``Berkewajipan ke atas engkau mura`at dari segi sirr dan muraqabah.``
Dan sebagai kesimpulan sebagaimana dikatakan oleh Al-Sarraj di dalam Al-Luma`,
``Al-Muraqabah, adalah bagi hamba yang mengetahui dan yakin, bahawa Allah Ta`ala adalah memerhati apa yang ada di dalam hatinya dan dhamirnya sebagaimana Dia juga memerhati lintasan-lintasan yang keji di dalam hatinya.
Sebagaimana kata Sulaiman al-Darani r.a.a., ``Bagaimana boleh tersembunyi apa yang ada di dalam hati dan tidak ada di dalam hati, melainkan apa yang dicampaknya di dalam hatinya.
Berhubung dengan persoalan muraqabah, bahawa tidaklah diragukan bahawa semua apa yang terlintas di dalam hati dan hati kecil diketahui Allah Ta`ala, bahkan Dialah yang mencampak dan menggerakkan segala sesuatu. Persoalannya bagaimana hamba mau menjurus dan memurnikan muraqabah pada diri yang diketahui Allah itu. Bagaimana tidak berlaku penyimpagan dari yang dituntut dan melazimkan diri dengan murni muraqabah yang harus didokongi dan memurnikan pembawaan diri.

Sekian.

June 5, 2017

SABAR UJIAN KETAHANAN SEBELUM KEJAYAAN


BBB, 09 Ramadhan 1438H. =  04 Mei 2017M. (Ahad):
Sabar ialah situasi yang dihadapi jiwa yang mengalami ujian dan tekanan. Kemampuan menghadapinya  dikenali dengan `sabar`. Ia adalah tergolong di bawah `maqam`. Sabar adalah sifat mulia. Al-Qushairy memetik firman Allah tentang sabar bermaksud:
``Hendaklah engkau sabar, dan tidaklah sabar engkau melainkan dengan pertolongan Allah`` (Al-Nahl: 127).
Firman Allah lagi berhubung dengan sabar bermaksud:
``Adapun dibalas orang-orang sabar itu dengan pahala mereka itu  tak terhisab.`` (Al-Zumar: 10).
Dan dari hujah Hadith:
``Mengkhabarkan kami oleh `Ali bin Ahmad al-Ahwazi, berkata, mengkhabarkan kami Ahmad bin `Ubaid al-Basri berkata, bercakap kepada kami Ahmad bin `Ali al-Kharraz berkata, nercakap kepada kami, Asyad bin Zaid, berkata, bercakap kepada kami Mas`ud bin Sa`ad daripada Al-Zayyat daripada Abi Hurairah, daripada `A`ishah  r. `anha menuturkannya daripada Rasulillah s.a.w.:
``Bahawa kesabaran ialah pada ketika menghadapi  ujian pertama.`` (Hadith Bukhari, Tirmidzi dan Nasa`i).
Mengkhabarkan kami `Ali bin Ahmad berkata, mengkhabarkan kami oleh Ahmad bin `Ubaid berkata, bercakap kepada kami oleh Ahmad bin `Umar berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin Mirdas berkata, bercakap akan  kami Yusuf bin `It*iyyah daripada `At*a` bin Abi Maimunah daripada Anas bin Malik berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Sabar dengan ujian pertama. Kemudian sabar ada beberapa bahagian.
Sabar atas apa yang diusahakan bagi hamba dan sabar di atas apa yang tidak diusahakan.
Maka sabar atas apa yang diusahakan dua bahagi. Sabar terhadap apa yang disuruh Allah Ta`ala dengannya dan sabar terhadap apa yang dilarang daripadanya. Adapun sabar di atas apa yang tidak diusahakan hamba, maka sabarnya  di atas kekerasan apa yang sampai kepadanya daripada hukum Allah dengan apa yang dialami daripada mashaqqah.
Aku mendengar Al-Shaykh Aba `Abd al-Rahman al-Sulami berkata, aku mendengar Al-Husain bin Yahya berkata, aku mendengar Ja`far bin Muhammad berkata, aku mendengar Al-Junayd berkata,
``Perjalanan daripada dunia ke akhirat mudah bagi orang yang beriman dan perjalanan diri dalam menuju Allah Ta`ala adalah sukar dan perjalanan dari nafs kepada Allah Ta`ala sangat payah dan sabar bersama Allah Ta`ala teramat sukar.``
Dan dia disoal berkenaan sabar, maka katanya, menghirup kepahitan tanpa perubahan muka (masam).
Berkata `Ali bin Abi T*alib k.a.w. ``Sabar daripada iman ialah sebagai kepala daripada tubuh.
Aku mendengar  Al-Shaykh `Abd al-Rahman al-Sulami berkata, aku mendengar Abi Ja`far al-Razi berkata, aku mendengar `Iyasha berkata, aku mendengar Ahmad berkata, aku bertanya Aba Sulaiman daripada sabar, maka katanya;
``Demi Allah kalau engkau tidak sabar di atas perkara yang engkau kasih, bagaimana engkau dapat sabar daripada perkara yang engkau benci ?``
Berkata Dzu al-Nun al-Mis*ri,  ``Sabar ialah menjauhi daripada pertentangan, tenang mengingati peristiwa berlalu, kaya jiwa dan tidak menunjukkan keperluan di dalam menghadapi kehidupan.
Berkata ibn `At*a, ``Sabar ialah mendepani bala dengan meyelesaikan sebaik adab.``
Berkata Ruym, ``Sabar ialah meninggalkan pengaduan.`
Dan berkata Dzu al-Nun al-Mis*ri, ``Sabar ialah memohon pertolongan daripada Allah Subhanahu wa Ta`ala.``
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata,, aku mendengar `Ali bin `Abdullah al-Bas*ri berkata, seorang lelaki berdiri berdepan dengan Al-Shibli. Dia bertanya, Apakah sabar yang amat bersangat ke atas orang-orang  yang sabar, maka katanya `Sabar pada Allah. Kemudian daripadsa itu ialah `Sabar bersama Allah, Dan kemudian daripada itu ialah bersabar beserta Allah Ta`ala.`

Demikianlah berbagai-bagai pendapat berkenaan sabar. Tetapi kelahiran apa yang dinamakan sabar, ialah selepas melalui ujian. Sabar adalah hasil dari ujian. Tiada sabar tanpa ujian. Makin tinggi ujian, makin bernilainya ujian. Kejayaan-kejayaan yang dicapai adalah selepas ujian. Sabar adalah diibaratkan sebagai ujian. Ujian sama ada berjaya atau gagal. Banyak kejayaan yang dicapai adalah selepas ujian dan kebaran yang dihadapi oleh  yang sabar. Kejayaan yang dicapai ialah selepas menghadapi kesabaran. Manakala sebahagian yang lain adalah menghadapi kegagalan dan tidak berjaya.`
Kegagalan dan kejayaan adalah dua cermin perbandingan. Gagal bererti tidak berjaya. Ia adalah sesuatu yang mau dielakkan, maka yang berjaya adalah yang sabar menghadapi  dugaan dengan sabar menghadapi rintangan sebelum mencapai kejayaan yang menuntut kesabaran.
Sabar adalah  ujian bagi kejayaan dan tidak sabar mengakibatkan kegagalan.
Sabar adalah tangga kejayaan.

Sekian.

June 4, 2017

YAQIN ADALAH KEBENARAN DAN KEKUATAN


BBB,  08 Ramadhan 1438H. = 03 Mei 2017M. (Sabtu):
Yaqin adalah istilah yang penting dari segi  akidah, tasawuf, keilmuan, bahkan di dalam kehidupan. Ianya merupakan tahap tertinggi maklumat, kepercayaan dan kebenaran. Yaqin berada pada tahap tertinggi dan tidak sama dengan waham, syak dan z*ann yang ketiga-ketiganya tidak boleh diterima sebagai ilmu. Pegangan akidah misalnya hendaklah `Yakin.``
Tentang keyakinan ini, memulakan pembicaraan mengenainya Al-Qushairi bertolak dari ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan mereka itu beriman dengan apa yang diturunkan kepada engkau dan apa yang diturunkan daripada sebelum engkau dan dengan akhirat mereka yakin.`` (Al-Baqarah: 4).
Bersabda Nabi s.a.w. bermaksud:
``Mohonlah kepada Allah keampunan, afiyah, dan yakin di dunia dan akhirat (al-Luma`: 102).
Yakin ialah terserlah (mukashafah) yakin, sama ada dilihat secara ilmu al-yaqin, `ayn al-yaqin dan haqq al-yaqin`.
Ditanyai Al-Junayd tentang yakin, maka katanya, ``Yaqin yang tiada padanya sebarang syak.``
Berkata Abu Bakar bin T*ahir, Ilmu sebelum terbukti mungkin berdepan dengan ragu (syak), tetapi `Yaqin` tiada sebarang syak padanya.
Bahawa `Yaqin` adalah solid keyakinan tanpa sebarang kekurangan atau pengurangan. Berlaku penggunaan istilah ke arah keyakinan adalah penilaian luaran dan bukan pada keyakinan dan apa yang diyakinkan.
Katanya, aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, kata setengah daripada mereka:
Seawal maqamat ialah ma`rifat, kemudian yakin (ma`rifat dan perkara yang diyakin seharusnya sama), kemudian tas*diq, kemudian ikhlas, kemudian shahadah, kemudian taat dan iman, kata Al-Qushairi, adalah nama yang menghimpun semua ini seluruhnya
Yaqin tiada perubahan adapun berlaku perubahan istilah adalah proses luaran bukan perubahan keyakinan. Mengisyarat dengan kata ini bahawa,
Seawal-awal yang wajibat ialah ma`rifat dengan Allah Subhanahu wa Ta`ala. Dan ma`rifat tidak terhasil melainkan didahului oleh syarat-syaratnya, iaitu kaedah penelitian yang betul, kemudian apabila diikuti dengan dalil-dalil yang menghasilkan bayan, menjadikan pencerahan dan penglihatan sehingga tidak perlu kepada penelitian burhan. Dan dia adalah hal yang yaqin, kemudian tas*diq dengan Haqq Subhanahu wa Ta`ala. Penghuraian tentang sifat dan af`al yang mengukuhkan tas*diq shahadah, taat dan ikhlas.
Berkata Dzu al-Nun al-Misri, tiga bukti yaqin dengan yaqin, bahawa,
Melihat hanya kepada Al;lah Ta`ala pada tiap-tiap sesuatu dan kemali kepadaNya pada tiap-tiap perkara dan memohon permohonan pada tiap-tiap hal.
Berkata Al-Junayd, `Al-Yaqin ialah berterusan ilmu yang tidak berubah dan tidak bertukar dari yang asal.``
Kata Al-Junayd lagi, ``Al-Yaqin ialah terangkatnya keraguan oleh penyaksian yang ghaib (sebelumnya).
Katanya, aku mendengar `Abdullah bin `Ali berkata, aku mendengar Aba Ja`far al-As*bahani berkata, aku mendengar `Ali bin Sahl berkata,
``Hadhir (mendepani kenyataan) adalah lebih afdhal daripada yaqin, kerana ia lebih dari yaqin, kerana hadhir ialah berdepan. Sedangkan yaqin ialah lintasan-lintasan (khat*arat).
Berkata Al-Nuri, ``Al-Yaqin ialah al-mushahadah.``
Katanya, aku mendengar Mansur bin `Abdullah berkata,, aku mendengar Al-Nahrajuri berkata,
``Apabila sempurna hamba dengan haqiqat al-yaqin, jadilah apa yang dianggap bala sebagai ni`mat dan kelawasan sebagai musibah.``
Berkata Abu Bakar al-Warraq,  ``Yaqin ada tiga wajah, yaqin khabar, yaqin dalalah (dalil) dan yaqin mushahadah.``
Berkata Abu Turab, ``Aku melihat seorang bermusafir tanpa bekalan, maka kataku, ``Wahai  yang bermusafir, bagaimana engkau musafir tanpa bekalan.
Maka kata lelaki itu,  ``Angkatlah kepala dan pandang kelilingan, apakah yang engkau saksikan secara yaqin pada  kelilingan. Dialah yang meyakinkan daku dalam persafiran.
Yaqin adalah kebenaran dan kebenaran adalah kekuatan yang mengalahkan segala kebatilan.

Sekian.

June 3, 2017

SHUKUR - PENGLAHIRAN TERIMA KASIH DI ATAS KURNIAAN


BBB, 07 Ramadhan 1438H. = 02 Mei  2017M. (Juma`at):
Shukur adalah hal jiwa dan kesan luaran daripadanya sebagai penglahiran terima kasih di atas kurniaan diberi Allah, misalnya memahami ilmu yang dipelajari, mendapat rezeki halal dan nikmat kesihatan. Maka sebagai pernyataan shukur digandakan amalan seperti dengan meningkatkan sadakah dan meningkatkan ibadat solat dan sebagainya. Shukur adalah kebalikan dari situasi atau hal seperti sabar di atas ujian-ujian yang diterima. Sebagaimana shukur jalan bagi mendapat pahala, maka demikian juga dengan sabar. Shukur dan sabar dua aspek kerohanian yang popular dibicarakan di dalam ketasawufan.
Membicarakan persoalan shukur, Al-Qushairi bertolak dengan memetik firman Allah bermaksud:
``Sekiranya kamu bershukur, nescaya kutambahkan kepada kamu.`` (Ibrahim: 7).
Tentang Hadith, bahawa `Aishah r.`anha menggambarkan Rasulullah seorang yang kuat ibadat dan bersolat, sehingga `Aishah pernah menanyakan Baginda, yang  menangis dalam ibadat (solat malam), sedangkan,  Allah telah mengampunkan dosa-dosa Baginda yang dahulu dan akan datang. Baginda menjawab, ``Tidakkah sepatutnya aku menjadi hamba bersyukur?``
Berkata Al-Ustadz, haqiqat shukur kepada ahli al-tahqiq ialah i`tiraf dengan ni`mat kepada Pemberi Ni`mat di atas wajah khdhu`. Berdasarkan qawl ini disifatkan Al-Haqq Subhanahu wa Ta`ala yang benar-benar haq diberi kesyukuran secara luas dan maknanya Dia membalas kepada hamba yang bersyukur. Maka dinamakan balasan shukur itu `keshukuran`. Sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Dan dibalas kejahatan dengan kejahatan seumpamanya.`` (Al-Shura: 40).
Dan dikatakan `shukurnya, kerana pemberiannya banyak daripada pahala. Di atas amalan yang sedikit.
Dan dipegang , bahawa haqiqat shukur ialah  pujian terhadap yang membuat baik dengan menyebut keihsanannya.
Maka shukur hamba kepada Allah Ta`ala ialah memujinya kepadaNya dengan menyebut ihsanNya kepadaNya. Dan shukur yang haqq Subhanahu wa Ta`ala kepada hamba ialah memujinya dengan menyebut ihsanNya baginya.
Kemudian ihsan hamba ialah ta`atnya kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala dan ihsan Al-Haqq bersifat am kepada hamba dengan taufiq dengan keshukuran kepadaNya. Dan shukur hamba dari segi haqiqat ialah dengan menyebut melalui lisan dan iqrar dengan hati dengan am kepada Allah Ta`ala.
Dan shukur terbahagi kepada:
Shukur dengan lisan, iaitu mengi`tiraf dengan  menyebut ni`mat dengan secara tenang, dan
Shukur dengan badan dan anggota, iaitu bersifat secara bersamaan dengan khidmat, dan
Shukur dengan hati, iaitu i`tiqaf dengan shuhud secara terbuka dengan berterusan menjaga kehormatan.
Aku mendengar Al-Shaykh Aba `Abd al-Rahman al-Sulami  berkata, aku mendengar al-Ustadz Ab Sahlal-S*a`luqi berkata, aku mendengar Al-Murta`ish berkata, aku mendengar Al-Junayd berkata,, ``Adalah aku bersama  Al-Sari bermain, umurku pada masa itu tujuh tahun dan pada masa itu  mereka bercakap tentang shukur, maka dia berkata kepadaku, ``Wahai ghulam, apa itu shukur ?``
Maka kataku, ``Engkau tidak melakukan dosa terhadap Allah dengan ni`matNya. Maka katanya, Ia adalah kurniaan dari Allah akan kemampuan lisan engkau.
Berkata Al-Shibli, ``Shukur ialah melihat kepada Yang Memberi Ni`mat dan bukan pada ni`mat.``
Aku mendengar Al-Sulami berkata, aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Al-Husain bin Yahya berkata, aku mendengar Ja`far berkata, aku mendengar Al-Junayd berkata, ``Adalah Al-Sari apabila dia berkehendak daripadaku, dia bertanya. Pada satu hari dia berkata kepadaku, ``Wahai Aba al-Qasim, ``Apakah itu shukur ? Maka kataku, ``Bahawa engkau tidak memohon pertolongan daripada sesuatu daripada ni`mat melainkan dari Allah. Maka kataku dari mana  pendapat ini ?, Maka kataku, dari majlis Tuan.``
Satu rombongan berkunjung kepada `Umar bin Abdil `Aziz, seorang dari peserta rombongan ialah seorang pemuda. Dia berkhutbah, maka kata `Umar, Yang lebih tua ! Yang lebih tua. Maka kata Pemuda, ``Wahai Amir al-Mu`minin, ``Kalaulah dikira dari segi tua, mescaya lebih ramai lagi dari kalangan mu`minin mereka yang lebih tua daripada engkau ! Maka kata `Umar bercakaplah.  Maka kata pemuda itu, ``
``Rombongan kami tidak membawa sebarang permohonan dan tidak juga dari segi membawa sebarang ancaman. Adapun dari segi keinginan, maka sesungguhnya telah disampaikan kepadsa kami adapun dari segi tiada ancaman sesungguhnya kami telah menerima dari segi keadilan engkau. Maka bertanya Khalifah, ``Siapa kamu semua ini ?`` ``Katanya, ``Kami adalah rombongan keshukuran., kami datang bershukur dan kami berlalu.
Sesungguhnya shukur adalah istilah yang banyak mempunyai prlapisan makna. Ianya adalah istilah tasawuf, ibadat, istilah adab, akhlak dan sosial. Ianya digunakan di dalam situasi yang berbagai yang mencerminkan suasana  mesra dan berbagai situasi.
Dari segi tasawuf penglahiran  mesra kerohanian terhadap Pemberi ni`mat di atas keni`matan dikurniakan. Shukur dari segi ibadat ialah rasa  mesra kerana dapat melahirkan kepatuhan terhadap suruhan Allah. Dari segi adab, bahawa antara ciri kemurniaan adab, bahawa yang menerima kurnia, seharusnya dari segi adab melahirkan terima kasih  kepada Pengkurnia dan lebih daripada itu, adalah dikira berakhlak jika sesuatu kebaikan yang diterima dilahirkan shukur dan terima kasih, bahkan di dalam kehidupan sosial, memberi, menolong dan apa saja penerimaan yang baik diiktiraf oleh masyarakat sebagai amalan sosial yang baik dan diberi pengiktirafan. Dengan segala pengiktirafan di dalam berbagai lapisan ini kembali kebaikan kepada Allah dan insya Allah mendapat balasan dan ganjaran.

Sekian.

June 2, 2017

TAWAKKAL TIADA BEZA ANTARA `AQIDAH DAN TASAWUF


BBB, 06 Ramadhan 1438H. = 01 Jun 2017M. (Khamis):
Apa yang dibicarakan oleh Al-Qushairy  seterusnya, termasuk selepas membicarakan tentang nafsu, ialah mengenai konsep-konsep tasawuf. Termasuk berhubung dengan konsep ini ialah `Tawakkal`. Konsep ini dibicarakan oleh semua kitab tasawuf termasuk oleh Al-Sarraj di dalam Al-Luma` dan oleh Al-Kalabadzi di dalam Al-Ta`arruf. Sebagaimana telah dibicarakan. Namun bagi melihat pendekatan atau sekurang-kurangnya cara pembicaraan bagi setiap kitab, maka ianya dibicarakan.
Bagi memulakan pembicaraan tentang tawakkal Al-Qushairy bertolak dari ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Dan siapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Dia akan mencukupkan keperluannya.`` (Al-T*alaq: 3).
Dan firman Allah lagi bermaksud:
``Dan kepada Allahlah bertawakkal orang-orang yang beriman.`` (Ali `Imran: 160).
Dan firman Allah lagi bermaksud:
``Dan kepada Allahlah mereka bertawakkal, sekiranya mereka orang-orang beriman.`` (Al-Ma`idah: 23).
Tawakkal adalah pancaran keyakinan seorang mukmin terhadap ketentuan Allah dan di atas keyakinan ini apa yang dilakukan dengan sepenuh ikhtiar diserah kepada Allah, kerana dialah Penentu dan pemilih terbaik terhadap apa yang kita lakukan. Tidak ada kekhilapan di sisi Allah dan apa yang dianggap tidak tepat dengan kehendak itu adalah tidak tepat dari kita.
Hujah dari Hadith Rasulullah s.a.w.:
Mengkhabarkan kami Al-Imam Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan bin Furik berkata, mengkhbarkan kami `Abdullah bin Ja`far bin Ahmad al-As*bahani berkata, bercakap kepada kami Yunus bin Habib bin `Abd al-Qahir berkata, bercakap kepada kami Abu Da`wud al-T*ayalisi berkata, bercakap kepada kami Hammad bin Salamah daripada `As*im bin Bahdalah daripada Razin Hubaysh daripada `Abdullah bin Mas`ud, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
``Adakah kamu tidak melihat umat-umat dalam pertukaran musim, maka engkau melihat umatku mereka memenuhi lembah dan bukit, maka mereka menghairankandaku dengan banyaknya mereka dan kepelbagaian keadaan mereka, maka dikatakan kepadaku, ``Adakah Tuan redha ?``, Maka kataku ``Ya``. Dan Baginda bersabda, ``Bersama dengan mereka tujuh puluh ribu yang masuk syurga tanpa hisab. Mereka tidak pernah mencari obat, tidak menilik dan tidak mencuri dan kepada Tuhan mereka  bertawakkal.
Maka berdiri `Akashah bin Muhs*in al-Asadi, maka katanya, Ya Rasulallah, ``Doakan kepada Allah menjadikan daku salah seorang daripada mereka itu. Maka bersabda Rasulullah s.a.w. ``Wahai Allah jadikan dia salah seorang daripada mereka. Maka berdiri yang lain, maka katanya, ``Mohonkan kepada Allah supaya menjadikan daku salah seorang daripada mereka itu. Maka bersabda Rasulullah s.a.w. akan dijadikan dengannya `Akashah.
Aku mendengar `Abdullah bin Yusuf al-As*bahani berkata, aku mendengar Aba Nas*r al-Sarraj berkata, bercakap kepadaku Abu Bakar al-Wajihi berkata, kata Abu `Ali al-Rudzbari, ``Aku berkata bagi `Amrin bin Sinan, ``Hikayatkan kepadaku tentang Sahl bin `Abdullah satu hikayat, maka  katanya, bahawasanya berkata, ``Alamat orang yang bertawakkal tiga, ``Dia tidak memohon, dia tidak menolak dan tidak menyekat.``
Aku mendengar Al-Shaykh `Aba `Abdil Rahman al-Sulami berkata, aku mendengar Mansur bin `Abdullah berkata, aku mendengar Aba `Abdillah al-Shiradzi berkata, aku mendengar,  Aba  Musa al-Dailami berkata, ``Dikatakan kepada Abi Yazid, ``Apa itu tawakkal ?`` Maka katanya kepadaku, ``Apa pendapat engkau ? Katanya, bahawa sahabat-sahabat kita berkata,
``Kalau binatang buas dan ular-ular berbisa di kanan dan di kiri engkau, maka tidak berubah yang demikian sirr engkau. Maka berkata Abu Yazid, ya ini daripada yang dekat, akan tetapi kalau bahawa ahli al-jannah di dalam syurga menikmati dan ahli neraka di dalam neraka kena azab, kemudian jatuh kepada engkau perbezaan antara keduanya, maka dia tidak terkeluar dari jumlah tawakkal.``
Dan berkata Sahl bin `Abdullah, ``Seawal maqam bagi tawakkal ialah, bahawa hamba berdepan dengan Allah `Azza wa Jalla, seperti mayat berdepan dengan pengurusan yang dia boleh membalik-baliknya mengikut dikehendaki dan tiada baginya gerak dan tadbir. Dan berkata Hamdun, tawakkal ia bergantung kepada Allah sepenuhnya.``.
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Aba Bakr Muhammad bin Ahmad al-Sulami berkata, aku mendengan Muhammad bin Hamid berkata, aku mendengar Ahmad bin Khadhrawaih berkata, berkata seorang lelaki kepada  Hatim al-As*amm.  ``Daripada mana engkau mendapat makan. Maka dijawab dengan ayat Al-Qur`an, bermaksud:
``Dan bagi Allah itu khazanah di langit dan di bumi. Tetapi orang-orang munafik  tidak memahami.`` (Al-Munafiqun:  7).
Kata Al-Qushairy, ``Ketahuilah bahawa tempat bagi tawakkal ialah hati. Dan gerak pada zahir tidak menafikan tentang tawakkal selepas tahqiq hamba bahawa taqdir ialah daripada Allah Subhanahu wa Ta`ala. Dan jika kesukaran dengan sesuatu, maka dengan taqdir dan jika bermuafakat dengan maka adalah kemudahan.``
Demikianlah persoalan tawakkal bukan saja persoalan tasawuf, tetapi ianya adalah persoalan akidah, persoalan yang berhubung dengan iman. Ia berkait dengan persoalan taqdir, qadha` dan qadar. Bagi akidah Islam, bahawa, walaupun hamba mempunyai daya ikhtiar dan membuat pilihan, tetapi perbuatan manusia adalah terhad. Yang menentu sebenar dan yang berhak hanya Allah Subhanahu wa Ta`ala semata-mata.  Pada manusia hanya ikhtiar.
Tidak ada perbezaan antara aqidah dan tasawuf mengenai persoalan tawakkal.

Sekian