Sekeping tanah seluas 11 ekar
Sedia berpelan terlakar
"Tanah Rekreasi Bandar Baru Bangi"
Sekian lama ditunggu
Milik rakyat itu menjadi kenyataan
Tiba- tiba pecah berita
YAB Khir Toyo dan Exco
Buat keputusan mencanggahi harapan
Melalui mesyuarat bil. 6/2002
Bertarikh 5 Mac 2002
'Tanah Rekreasi' bertukar fungsi
Kepada perumahan bercampur
Bagi kediaman dan perniagaan
Tanah diberi kepada Bestarama syarikat kroni.
Perampasan 'Tanah Rekreasi Bandar Baru Bangi'
Membangkitkan kemarahan rakyat
Dan ADUN Kajang membawa mandat
Bantahan melalui ucapan di Dewan
Tanggal Julai 15,2002
Lantas pihak berkenaan berhelah
Mengabui rakyat dengan projek konon
'Council Home' untuk rakyat miskin
PKNS dan MPKj menjadi lindungan
Sedang ada sesuatu yang menyalahi tatacara
Kerana tiada plan struktur dipamerkan
Tiada broser atau perspektif dikeluarkan
Tiada arkitek dan kontraktor tertera
Semuanya misteri bagi penduduk Bandar Baru Bangi.
Yang nyata tiba-tiba
Mulai pertengahan September
Beberapa boldozer merayap
Meranap pohon-pohon hijau
Merah tanah melukakan hati
Penduduk Bandar Baru Bangi
dan burung-burung bersarang
Sayu terbang dari kehijauan menghilang
Tanah Rekreasi Bandar Baru Bangi
Janji yang tidak ditepati
Berubah kepada rumah pangsa
10 blok lapan tingkat
Bukan untuk rakyat miskin
Tapi bersifat komersial
Mengutamakan keuntungan
Dari kepentingan awam.
Bagi penduduk Bandar Baru Bangi
Jika tanah mau dibangunkan
Ada yang lebih utama
Bagi kepentingan bersama
Bandar Baru Bangi
Perlukan tambahan sekolah menengah
Atau Kompleks Islam sebagaimana dijanjikan
Di sini tiada Dewan Orang Ramai
bagi kegiatan masyarakat dan berbagai amal
Bahkan di sini lebih sesuai didirikan
Majlis Perbandaran Hulu Langat
Menggantikan MPKj yang nama itu
Sudah tidak relevan
Kerana khidmatnya bukan saja untuk Kajang.
Kita bantah pencerobohan
Hijau kawasan dimusnahkan
Kita tidak mahu lihat
Longgokan batu-bata menyakitkan mata
Lantas di sini
Akan berganda pertambahan penghuni
Mengundang gejala sosial
Memasalahkan sistem lalulintas
Menghilangkan ketemteraman
Dirindui penduduk bandar Baru Bangi
Sepatutnya di sini sebuah Taman Rekreasi
Untuk dinikmati Penduduk Bandar Baru Bangi.
15 Syaaban 1423
22 Oktober 2002
Dr. Shafie Abu Bakar
Dewan Undangan Negeri Selangor
Shah Alam
No comments:
Post a Comment