January 5, 2008

MEREKA CEROBOH DAN ROBOH

MEREKA CEROBOH DAN ROBOH

(Buat Haji Abdul Karim Monim Dan Mereka Yang Cuba Bertahan)

9.00 pagi itu
Handphoneku berbunyi
Segera panggilan minta datang
Rumah di Simpang Balak dirobohkan
Aku bergegas pergi
Sambil menghubungi kawan-kawan
Menemani menghadapi keadaan.

Tiba di Simpang Balak
Ada roadblock
Terpaksa kutinggalkan kenderaan di pinggiran
Dan masuk melalui lorong
Untuk tiba ke lokasi.

Di kawasan perumahan
Simpang Balak
Yang 15 ekar tanah diambil
Dibanjiri pegawai kakitangan
Pejabat Tanah Hulu Langat,
MPKj, Polis, SILK,TNB, PUAS
Dan penguatkuasa-penguatkuasa
Kurang lebih seratus orang
Dengan kereta, lori dan boldozar
Menceroboh dan meroboh
Tanah dan rumah
Tanpa ihsan.

Kulihat
Haji Abdul Karim Monim
Yang sejak satu setengah tahun bertahan
Bersama asalnya 25 keluarga besar
Tidak akan menyerahkan tanah pusaka
Dan rumah-rumah dibina
Memohon tanah mereka dielak
Dari menjadi mangsa jalan SILK

Hari ini paling berat menanggung beban
Selepas satu satu anak buahnya
Tak tahan menerima tekanan
Mengalah mengosong dan meroboh
Rumah-rumah sendiri
Menerima pampas an tidak setimpal
Mencari lindungan persis setinggan.

Mimpi dan angan-angan
Moyang hingga dirinya
Mewarisi generasi
Mempertahankan tanah dan rumah pusaka
Anak cucu berkediaman
Di laman yang selesa
Hari ini berkecai
Berdepan traktor
Lori-lori MPKj
Dan penguatkuasa mengancam
Meroboh rumah tanpa kesihan.
Berdepan situasi
Aku mengingati janji Menteri Besar
Akan mengkaji pampasan
Setelah diadakan pertemuan
Dibangkitkan dalam DUN
Dan juga di parlimen.

Manakah jawapan ?
Mereka berdusta cakap
Sedikit tidak berubah
Dari harga tidak munasabah
Tanah gantian entah bila
Rumah tawaran juga tiada.

Di bawah tekanan dan juga ancaman
Haji Abdul Karim mengalah pada keadaan
Akhirnya menandatangani penerimaan
Dan mula dari saat itu
Barang-barang rumah diangkut ke balairaya
Sementara mencari rumah sewa
Mengalir dari matanya
Air mata duka
Angannya nak mati
Di dalam rumah sendiri
Terbang bersama mimpi.


Simpang Balak
15 Jamadil Awal 1424
15 Julai 2003

No comments:

Post a Comment