Pembukaan
Tak sampai 24 jam selepas Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Badawi memberi amaran kepada Bersih penganjur perhimpunan 100,000 rakyat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, bahawa ``Saya Pantang Dicabar`` melalui ucapan penggulungan Persidangan Agung Umno di PWTC pada petang Jumaat 9 November dan mau pihak penganjur jangan berdegil dan jangan meneruskan perhimpunan, maka cabaran bersambut dan berjawab dengan himpunan kuning membanjiri Kuala Lumpur dengan jumlah melebihi seratus ribu (dijangka 130,000). Amaran keras Pak Lah ini merupakan puncak dari amaran-amaran yang dibuat sebelumnya oleh antaranya Ketua Polis Bandaraya Dato' Zul Hasnan Najib Baharudin dan diikuti Ketua Polis Negara Dato' Musa Hassan yang memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan yang disifatkan oleh mereka sebagai 'perhimpunan haram' kerana tidak mendapat kebenaran dari Polis. Bukan setakat amaran dan ugutan, bahkan ada gesaan dari pihak-pihak yang amat tidak menyenangi perhimpunan agar mereka yang menyertai perhimpunan ditangkap!
Berikutan amaran demi amaran melalui media letronik dan cetak yang dimonopoli pemerintah itu memang ada kebimbangan kalau-kalau ianya mempengaruhi orang ramai, khususnya pendokong Bersih daripada turun ke perhimpunan 100,000 pada tarikh dan tempat yang ditetapkan. Apa lagi usaha untuk menggagalkan bukan setakat larangan dan ugutan, tetapi usaha mensabotajnya juga dilakukan, misalnya mereka mengelirukan orang ramai dengan mengatakan bahawa perhimpunan diubah ke Stadium Bukit Jalil, bahkan beberapa hari sebelum tiba masa perhimpunan mereka melakukan tektik kotor dengan menyebarkan beberapa risalah yang mengaitkan kononnya perhimpunan merupakan persekongkolan dengan rancangan Yahudi dan Nasrani melalui IFC yang tidak ada kaitan dengan perhimpunan. Mereka mengaitkan dengan ABIM dengan mengeluarkan kenyataan palsu atas nama Setia Agung ABIM – Khairul Ariffin Moh Munir yang tidak menyetujui mengadakan perhimpunan, tetapi kenyataan ini dinafikan oleh pihak ABIM. Kedua-dua kenyataan di atas disebarkan di dalam dua bahasa - Melayu dan Inggeris. Mereka juga menyebarkan risalah bergambar yang kononnya dalang-dalang menganjur perhimpunan dan CD yang memburukkan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Antara risalah ini dilonggokkan di halaman Pejabat Pas Serdang pada malam Isnin 5 November dan sebahagian dibawa kepada penulis oleh penyokong PAS dari tempat-tempat ditemuinya di sekitar Bangi untuk makluman dan tindakan penulis.
Bagi mempastikan komitmen Serdang yang membuat pengakuan kepada pihak negeri dalam mesyuarat bulanan untuk menghantar peserta Serdang ke perhimpunan di bawah seribu, maka mesyuarat kawasan menjelang perhimpunan diperkukuhkan oleh Pemuda yang diberi tanggungjawab mengepalai peserta perhimpunan dari Serdang bukan seribu, tetapi 2,000! Beliau telah menunjukkan komitman yang tinggi bersama Setiausaha kawasan membanci peserta-peserta, bahkan hingga malam terakhir (9 November) beliau masih lagi menghantar baju Bersih bermotorsikal ke cawangan-cawangan yang belum lagi menerimanya. Beliau tiba ke rumah penulis hampir jam 12.00 tengah malam sebagai destinasi terakhir menghantar baju Bersih untuk AJK kawasan yang belum menerimanya.
Rombongan dari Serdang tidaklah sehebat, segigih dan sesukar dari rombongan-rombongan dari pantai timur, utara dan selatan yang menghadapi sekatan demi sekatan dan rampasan demi rampasan (baju Bersih) oleh pihak polis. Pengorbanan mereka amat tinggi. Mereka datang melalui bas, berkereta, kereta api dan bersendiri. Tetapi bagi kami yang dekat dengan Kuala Lumpur adalah memalukan jika tidak mempastikan kehadiran Serdang dengan jumlah yang dijanjikan. Sebagaimana diputuskan pemergian adalah berbagai cara mengikut tindakan cawangan. Ada yang menaiki bas, berkereta, bermotorsikal dan menaiki komuter. Penulis sendiri dengan beberapa teman yang menjemput penulis menaiki komuter melalui Hentian Kajang. Sebagai menurut panduan Abu Urwah (Sdr. Saari Sungib) dalam Harakahdaily kami berpakaian ringkas dan membawa hanya baju Bersih (kuning) yang dimasukkan ke dalam poket seluar dan sebelah lagi dimasukkan sebotol air minum. Kami sengaja tidak membawa payung, walaupun hari dijangka hujan, kerana payung boleh ditakrifkan sebagai senjata bila berdepan dengan polis menurut Sdr. Saari Sungip. Kami memang bersedia untuk berhujan-panas di dalam perarakan dan perhimpunan. Seorang sahabat sebagai jurufoto kawasan, hanya membawa kamera kecil untuk mengelak dari rampasan polis jika terjebak di dalam sebarang insiden.
Pertembungan Antara Demokrasi dan `Penafian Hak Oleh Pemerintah
Dari awal lagi pihak Bersih sebagai penganjur perhimpunan dan pihak pemerintah berdiri dan berpegang pada prinsip yang berlainan. Bagi Bersih berpegang pada peruntukan Perlembagaan - Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia menjamin rakyatnya bebas menyuarakan pendapat, berhimpun (secara aman) dan berpersatuan. Peruntukan Perlembagaan Malaysia mengenai Hak Asasi dan Kebebasan Bersuara dan Berpersatuan ini selari dengan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (30 perkara) yang diterima pakai oleh PBB dan menjadi undang-undang antarabangsa. Manakala pihak pemerintah yang sering menegaskan bahawa Malaysia adalah Negara Demokrasi sebenarnya dari segi amalannya menafikan bahawa Malaysia sebagai Negara demokrasi. Ini terbukti dari amaran oleh Perdana Menteri dan juga amaran serta ugutan yang dikeluarkan oleh seperti Ketua Polis bandaraya Dato' Zul Hasnan Najib Baharudin dan Ketua Polis Negara sendiri Tan Sri Musa Hassan. Pihak Pemerintah dan Polis lebih berpegang pada Seksyen 27 Akta Polis Diraja Malaysia yang menghendaki sebarang perhimpunan perlu mendapat permit polis yang boleh membenar atau menyekat atau menarik keizinan diberikan jika difikirkan perlu. Jadi Negara kita adalah lebih bersifat Negara Polis!
Pada pagi perhimpunan, kami yang bertolak dari Hentian Komuter Kajang 10.45 dengan penumpang yang bersesak-sesak, sudah tentulah sebahagian daripada mereka untuk sama ke perhimpunan, tiba sedikit lewat, iaitu jam 11.30 kerana tersekat-sekat. Kami tiba di Hentian Kuala Lumpur dan berhasrat menyambung perjalanan dengan menaiki LRT ke Masjid Jamek, tetapi dimaklumkan perkhidmatan LRT ditangguhkan. Lantaran hari hujan, kami menyusuri terowong dari bangunan Daya Bumi yang bahagian bawahnya kotor dan kurang terurus ke Masjid Negara. Di bahagian permukaan dan anjung terowong ke Masjid Negara sedia dibanjiri peserta-peserta yang sebahagian besar mereka dari kawasan utara seperti dari Kedah, Perlis dan Perak. Dalam keadaan hari hujan mereka terkandas di situ kerana pintu masuk ke Masjid Negara ditutup dan dikawal oleh polis. Kami yang juga berhasrat ke masjid turut berlindung di anjung terowong. Walau bagaimana semangat kami meningkat, bila melihat Sdr. Mat Sabu sebagai Pengarah Perhimpunan tiba dan berlindung di bawah 'Hentian Menunggu Bas'. Saya sendiri mendekatinya dan bersalam. Beliau pada masa itu sedang bersarapan roti (mungkin baru menjamah makanan dari pagi ke tengah hari itu) yang dibekal oleh salah seorang peserta himpunan. Memandangkan beliau makan roti tanpa air, saya menyerahkan botol air dari poket seluar saya kepadanya.
Lebih kurang sejam berlegar antara anjung terowong dan ruang terbuka yang dibasahi hujan renyai-renyai, muazzin mengumandangkan azan. Secara sepontan kumpulan berkenaan bergerak secara bersesak-sesak dari berbagai-bagai penjuru termasuk penulis dan sahabat-sahabat meluru ke pintu pagar masjid yang disekat polis. Alhamdulillah polis tidak menghadang kemasukan dan pintu terbuka. Kami ke Masjid Negara dan sempat berjamaah menunaikan fardu zohor. Selepas sembahyang sunat saya ke hadapan dan mendapati kelompok kepimpinan parti tertinggi sedang berbincang dan mengatur strategi.
Dua situasi berbeza dari tindakan berbeza
Mulai jam 2.30 jamaah mendapat isyarat untuk mulai bergerak dan dari halaman masjid takbir Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! bergema berulangkali mengikut pimpinan yang mengulanginya dan banjir kuning yang kebanyakan mereka menukar baju kepada baju kuning semasa di masjid membanjiri jalan raya menuju ke Istana Negara. Tidak ke Dataran Merdeka, kerana disekat polis. Perhimpunan dan perjalanan adalah aman. Mereka bergerak secara teratur dengan takbir dipimpin Sdr. Mat Sabu dengan disulami ungkapan Bersih! Bersih! Bersih!. Bersih SPR!, Bersih buku daftar! Bersih pilihan raya!. Bersih! Bersih! Bersih! Bersih dari rasuah! Bersih dari kezaliman! Bersih dari penipuan! Sekali sekala juga bergema ungkapan reformasi berulangkali. Dalam masa yang sama berlaku tsunami kuning yang dari berbagai penjuru - termasuk yang bukan dari Masjid Negara juga peserta-peserta dari kaum Cina India meneggelami jalan raya menuju ke Istana. Perjalanan memakan masa lebih kurang sejam yang akhirnya bertembung bahagian pangkalnya dengan FRU berhadapan dengan pintu pagar untuk ke istana, manakala perbarisan melebar dan memanjang bagai tiada penghujung dan pengakhir. Saudara Mat Sabu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan diikuti Sdr. Anwar Ibrahim memberi ucapan ringkas
Satu situasi lagi berlainan jadinya. Ianya bermula di Masjid Jamek Kuala Lumpur. Peserta-peserta juga masuk sembahyang zohor berjamaah, tetapi mereka ini, tidak sebagaimana di Masjid Negara, mereka disekat dari keluar dari kawasan masjid, manakala yang di luar dikepung dan di pancut dengan water canon serta ditembak dengan gas pemidih mata. Setengah mereka tertangkap yang jumlah tertangkap berbeza-beza dari 25 kepada 40 dan ada yang mengatakan lebih dari seratus. manakala yang dapat meluluskan diri dapat sama menuju ke Istana Negara, manakala sebahagian dari mereka tidak berkesempatan bersama ke Istana Negara. Pendek kata keadaan tidak tenteram akibat dari hasil tindakan polis. Himpunan menuju Istana Negara melebihi seratus ribu (130,000) berlaku dalam keadaan aman, lantaran ianya tidak diganggu polis, tetapi himpunan di Majid Jamek dan sekitaran yang lebih kecil berlaku kekacauan, kerana polis bertindak mengganggu. Termasuk gangguan helikopter bagi menenggelamkan ucapan ungkapan dan slogan.
Perhimpunan 100,000 yang puncaknya tiba di hadapan Istana Negara yang dipimpin Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan kemudian disertai Dato' Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan lain-lain pimpinan adalah berjaya dan mencapai objektif dengan puncaknya ialah penyerahan memorandum kepada wakil Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agung. Sebagaimana perarakan dari Masjid Negara ke Istana Negara dalam keadaan aman, maka perarakan bersurai secara aman.
Tidak Menyentuh Persoalan Pokok
Reaksi utama berhubung perhimpunan 100,000 rakyat, ialah dari Perdana Menteri sendiri, bahawa pilihan raya adalah saluran bagi penganjur dan peserta perhimpunan. Menurutnya selama ini rakyat telah memberi mandat kepada BN yang terus berkuasa memerintah. Untuk mendapat kekuasaan mana-mana pihak hendaklah menyertai pilihan raya yang menjadi pemilihan rakyat. Reaksi ini tidak turun kepada objektif dan persoalan pokok, ianya adalah seperti penerusan dengan apa yang telah berjalan. Bagaimana pihak lawan BN untuk memenangi pilihan raya sedang SPR diperalat oleh pemerintah dan menggunakan berbagai cara yang tidak wajar bagi memenangi pilihan raya. Perdana Menteri tidak menyentuh dan tidak telus juga tidak bersedia untuk menilai dan memperbaiki perjalanan SPR supaya lebih bersih, telus dan adil. Misalnya antaranya tuntutan menggunakan dakwat penanda bagi yang sudah mengundi, pembersihan daftar pemilih, menghapuskan pengundi pos dan akses kepada media. Dengan membisu dari persoalan pokok, iaitu membaiki SPR itu sendiri, memberi makna sememangnya SPR alat BN dan mereka selesa dengan situasi dan kedudukan SPR yang menguntungkan mereka dan tidak bersedia merubah dan memperbaikinya..
Membersih gugatan?
Perhimpunan 100,000 adalah berjaya dan mencapai objektif. Kalau tidak berjaya masakan pihak pemerintah merasa terpalit dan berusaha menafikannya. Pihak pemerintah dan media-medianya, terang-terang membohongi rakyat dengan mengatakan jumlah peserta perhimpunan dikatakan 2,000 kadang-kadang dikatakan 4,000 (sama dengan tenaga polis yang dikerahkan?) dan dikatakan juga 10,000. Jumlah sebenar melibihi 100,000 (dijangka 130,000). Ini tidak termasuk mereka yang mau datang, tetapi disekat polis dalam perjalanan.
Untuk memburukkan imej perhimpunan Perdana Menteri hasil dari cetusan pertanyaan wartawan, semasa di Penampang Sabah (11 November) telah menuduh bahawa pemimpin di dalam Bersih cuba menyeret DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke dalam kancah politik. Kita berpendapat rakyat tidak mudah untuk menerima bulat-bulat tuduhan Dato' Seri Abdullah. DYMM Seri Paduka bukan saja Pelindung bagi pemerintah dengan menunaikan tugas-tugas rasmi kerajaan, tetapi juga pelindung bagi semua rakyat jelata. Baginda berhak menggunakan kekuasaan dan kemahuan Baginda menurut kesesuaian dan perkenan Baginda atau perkenan bersama Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu melalui Persidangan Raja-Raja. Sebagai contoh sebagaimana dilaporkan oleh media di Singapura, pemerintah mau menyambung kontrek Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sebagai Ketua Hakim Negara, tetapi tidak mendapat perkenan.
Begitu juga rakyat amat memandang tinggi dan makin berkeyakinan terhadap institusi Raja yang memperlihatkan bahawa institusi Raja tidak semestinya terikat dengan kehendak pemerintah, tetapi bebas mengeluarkan pendapat dan pandangan sebagaimana dilakukan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah, Sultan Negeri Perak yang mengkritik badan kehakiman yang banyak masalah dan mengutarakan cadangan-cadangan yang Baginda sendiri adalah pakar perundangan dan pernah menjadi Ketua Hakim Negara di Negara ini. Dalam hubungan tuntutan rakyat yang menuntut agar pilihan raya dijalankan secara adil dan bersih DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu melalui Persidangan Raja-Raja Melayu berhak untuk tidak meluluskan keizinan pembubaran dan mengadakan pilihan raya jika difikirkan sememangnya ianya tidak berlaku secara bersih, telus dan adil.
Dalam usaha memperkecilkan perhimpunan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghujah bahawa pihak BN lebih dari mampu untuk menghimpun penyokong-penyokong lebih dari apa yang dianjur oleh Bersih. Sememangnya, tetapi apa maknanya? Apa yang nak dituntut kerana segala kekuasaan di tangan. Mereka boleh saja datang beramai-ramai secara pesta-pestaan. Polis tidak akan adakan sekatan dan halangan, walaupun tidak dimohon permit. Mereka boleh datang dengan kapal terbang atau disponsor kenderaan, tambang, makan minum dan ada elaun dan tinggal di hotel-hotel. Mereka boleh memenuhi padang dan bandar sebebas-bebasnya. Tidak seperti rakyat mustadafin lagi marhain, mereka berusaha secara bersendirian menaiki bas atau menumpang kenderaan, mendepani berbagai-bagai sekatan, terdampar di kaki lima bangunan dan berlindung di masjid, sanggup menghabiskan kewangan yang tak seberapa dengan meninggal kerja kerana ada tujuan, mendesak pilihan raya dijalankan secara bersih telus dan adil! Demikian semangat, jihad dan manisnya perjuangan!
Orang yang paling marah yang dapat dilihat dari memek muka dan cara bercakap ialah Zainuddin Maidin Menteri Penerangan Malaysia. Beliau mengecam Al-Jazeera yang menyiarkan 'Perhimpunan 100,000' secara canggih, menuduhnya sebagai berpihak dengan mengambil pandangan dari pihak pembangkang dan tidak mengambil pandangan dari pihak kerajaan. (Beliau mau Al-Jazeera melaporkan berita sebagaimana RTM!). Paling beliau marah apabila tindakan polis, khususnya di sekitar masjid Jamek Kuala Lumpur, dikaitkan dengan kekerasan seperti yang berlaku di Myanmar dan Pakistan. Sepatutnya beliau belajar dan memahami betapa jauhnya mutu dan pendekatan Al-Jazeera dan RTM. Cara Zainuddin menjawab wawancara Al-Jazeera dikecam banyak pihak dan disifatkan memalu dan mengaibkan Malaysia dan dipersoalkan kelayakannya sebagai Menteri Penerangan Malaysia. Kini Zainuddin menuduh perhimpunan sebagai militant dan mencampuradukkan tayangan murahan antara peristiwa di Batu Burok dan tunjuk perasaan di Pakistan.
Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Seri Nazri Aziz memperli perhimpunan sebagai datang dari mereka yang kecewa yang menjangka mereka tidak akan menang di dalam pilihan raya akan datang dan bila memasuki pilihan raya dan kalah boleh dijadikan 'smoke screen' yang boleh menyalah dan alasan bagi kekalahan. Menurut beliau, melalui pilihan raya parti pembangkang juga memenangi negeri seperti Kelantan dan sebagaimana juga pernah memenangi Terengganu, di samping memenangi kerusi-kerusi parlimen dan kerusi-kerusi negeri. Tanpa menerima wujudnya kepincangan di dalam perjalanan pilihan raya beliau menegaskan kononnya tidak ada cacat celanya perjalanan pilihan raya yang berlangsung selama ini.
Banyak lagi reaksi tentang perhimpunan 100,000 yang kebanyakannya tidak begitu bernilai dan tidak perlu diberi perhatian, tetapi yang amat negatif dan paling tidak beradab ialah tuduhan Khairy Jamaluddin bahawa mereka yang menyertai himpunan sebagai 'beruk' dan meminta polis menangkap mereka dan tuduhan Azalina Othman Said Menteri Belia dan Sukan yang menyifatkan mereka yang menyertai perhimpunan sebagai 'dayus'. Kita kira penggunaan dua istilah berkenaan meranapkan reputasi dan imej kedua-dua mereka pada pandangan masyarakat.
Walau bagaimanapun dari berbagai-bagai reaksi pihak pemerintah, memperlihatkan kebimbangan mereka terhadap perhimpunan yang menggugat mereka. Sememangnya perhimpunan merupakan reaksi rakyat kedua terbesar selepas tunjuk perasaan terhadap pemecatan Datuk Seri Anwar tahun 1998 dahulu. Kebimbangan perhimpunan melakar kembali penentangan dan penolakan terhadap pemerintah menghantui pihak pemerintah. Sememangnya berbagai ugutan dan sekatan akan dilakukan bagi membendung seperti penentangan 1998 berlaku kembali sedekad kemudian - 2008! Antaranya polis akan mengambil tindakan mahkamah terhadap mereka yang melibatkan kanak-kanak ke dalam perhimpunan sebagaimana tindakan mahkamah diambil terhadap mereka yang dituduh terlibat di dalam peristiwa di Batu Burok dan mungkin banyak lagi tindakan yang akan dilakukan bagi membendung kebangkitan 2008! Mereka tidak memperdulikan dunia luar sedang memerhati dan menilai tahap demokrasi dan hak asasi manusia yang sedang terhakis di Malaysia.
Tindakan lanjutan
Kejayaan bersih menganjur perhimpunan 100,000 rakyat menyebabkan pihak pemerintah dari setinggi-tinggi hingga kepada menteri-menteri berusaha menolak, mengecam dan mengancam perhimpunan agar rakyat tidak terpengaruh. Cabaran telah berjawab, tetapi kejayaan sebenarnya belum tercapai, sementara menunggu tuntutan di dalam memorandum diambil tindakan pihak Bersih yang didukung NGO-NGO dan parti-parti politik seharusnya tidak terhenti dari meneruskan agenda dan tindakan antaranya:
Bersih hendaklah memperkukuhkan solidaritinya dengan menambahkan sokongan dan mengatur strategi serta tindakan masa depan.
* Memperluaskan skop perjuangan Bersih tidak setakat menuntut Bersih di dalam pilihan raya, tetapi Bersih dari rasuah! Bersih perundangan! Bersih keadilan! Bersih pentadbiran! Bersih pemerintahan! Bersih kewangan! Bersih dari nepotisme dan kroni! Bersih persekitaran! Bersih dari gejala sosial! Bersih dari gangsterisme! Bersih dari pemerasan tawkey judi! dan berbagai lagi.
* Mengatur gerak gempur bagi menyedar dan membangkitkan sokongan rakyat terhadap berbagai penyelewengan pemerintahan BN dan menjelaskan perjuangan Bersih. Misalnya mengadakan konvensyen Bersih pada peringkat utara, tengah, selatan, timur, Sabah dan Sarawak dan dipuncaki Perhimpunan 200,000 menjelang pilihan raya.
* Mewujudkan front politik berflatform Bersih yang dianggotai parti-parti politik dan NGO dan memasuki pilihan raya bagi mengalahkan BN. Pemimpin NGO yang berminat bertanding diberi laluan melalui parti-parti politik yang bersesuaian dengan mereka. Bersih berjanji akan menjalankan pemerintahan secara 'Bersih' jika diberi mandat.
* Mewujudkan Dana Bersih bagi semua kegiatan Bersih dan mewujudkan pasukan peguam yang kuat yang akan mengambil tindakan mahkamah bagi pihak Bersih dan mempertahankan Bersih dari tindakan mahkamah dari pihak lawan.
Sekian. Allahu Akbar!
Bangi,
05 Zulkaedah 1428
15 November 2007.
No comments:
Post a Comment