Pendahuluan
Kehadiran Ogos, penulis mendepani tiga sambutan. Paling utama ialah Sambutan Kemerdekaan Kali Ke 50, Sambutan 20 Tahun Harakah dan 30 Tahun Bandar Baru Bangi. Sambutan-sambutan yang diadakan wajar untuk mengingati dan menilai perjalanan lalu untuk dihayati dan diteladani bagi memperbaiki dan menghantar harapan masa depan. Walau bagaimana `Sambutan` kadang-kadang begitu cair dan boleh dimaksudkan antaranya `Perayaan`, `Publisiti dan Kesempatan` bahkan `Penyelewengan`. Merdeka pula mungkin diterjemah mengikut kamus politik sempit yang bersifat sepihak, terhad dan mempromosi parti politik tertentu.
Sambutan 50 Tahun Merdeka
Tidak ada siapa dari rakyat Malaysia sebenar yang lahir dan bertumpah darah di bumi ini tidak mencintai Malaysia yang dikasihi. Kemerdekaan Negara tentulah dijunjung tinggi dan ulang tahun kemerdekaan sama dihormati. Tetapi tepatkah ulang-ulang tahun kemerdekaan selama ini disambut ? Apakah arah dan matlamat? Ada tendensi memperlihatkan sambutan seharusnya murni bertukar kepada makna budaya `perayaan`. Substen dan fakta kemerdekaan tenggelam dan yang menonjol ialah tambahan-tambahan baharu untuk mewajarkan kepentingan, ulangan penampilan, hiburan, suka-sukaan dan berlalu dengan berakhirnya tempoh `sambutan` sementara menunggu `perayaan` tahunan berulang.
`Perayaan`, teristimewa 50 tahun kemerdekaan selaku `perayaan` digembar-gembur media letronik sebelum Ogos menjelang lagi dengan berbagai slot yang berhubung dengan kemerdekaan. Media cetak juga turut sama memberi ruang berhubung dengan kemerdekaan. Suasana sambutan telah bertukar dan menjadi budaya `perayaaan`. Pejabat-pejabat kerajaan, premis swasta, institusi, bangunan perniagaan rumah kediaman dan jalan-jalan berhias dengan bendera Persekutuan dan Negeri.
Kenderaan juga turut memasang dan mengebar bendera. Ada yang menganjurkan sukan dan pertandingan-pertandingan.. Puncak bagi sambutan ialah `Perbarisan Hari Kemerdekaan` di Ibu Negara yang dihadiri Pemimpin Tertinggi Negara, Perdana Menteri dan ahli-ahli Kabinet yang disaksi rakyat jelata baik secara langsung atau disiarkan melalui media letronik dan diikuti media cetak.
Sambutan adalah lebih bersifat ulangan dan `perayaan` yang sudah bersifat klisye dan hilang sentuhan dan rangsangan. Mungkin kita masih mencari-cari dan gagal meletakkan matlamat dan sasaran yang sebenar yang mau dicapai dari ulangan `perayaan`. Kita gagal menghurai dan mentafsir model contoh tokoh-tokoh yang kita kata pejuang kemerdekaan sebagai modal insan yang menjadi qudwah hasanah bagi rakyat dan masyarakat, kita masih gagal menampilkan episod-episod indah, dramatik dan kualitatif dalam perjuangan kemerdekaan yang dapat menggerakkan daya juang, ketahanan, kewajaan mental dan jiwa masyarakat di dalam menghadapi ujian dan persaingan (Contoh kekalahan berterusan pasukan bola sepak Negara di dalam pertandingan peringkat regional dan lebih jauh lagi pada peringkat internasional), kita gagal merumuskan gagasan merdeka yang dapat menyuntik dan membentuk `minda, jiwa dan raga merdeka` yang mempunyai daya juang yang tinggi, berdikari dan berjaya sebagaimana orang Jepun dan Korea umpamanya.
Apa yang dihayati dari kemerdekaan khususnya bagi masyarakat Melayu ialah perayaan, suka-sukaan, hiburan dan kadang-kadang melalaikan. Orang Cina tidak begitu tertarik dengan pesta-pestaan dan perayaan, tetapi mereka terus memanfaatkan waktu dengan bekerja dan terus bekerja.
Penyelewengan
Sebenarnya kita sengaja memiskinkan episod perjuangan kemerdekaan Negara yang sebenarnya kaya, tetapi dihad dan mengulang-ulang tayang hanya kepada episod `Penentangan Terhadap Malayan Union`. Mengapa ? Kerana inilah satu-satunya kejayaan bermakna bagi UMNO sesudah ianya ditubuhkan (1946). Dalam kata yang lain `perayaan Kemerdekaan` adalah perayaan UMNO, ia merupakan publisiti dan kesempatan bagi UMNO mempamer dan menonjolkan diri sebagai jaguh pejuang kemerdekaan dengan meminggir dan menggelapkan episod parti lawan.
Ianya dijadikan bahan kempen bagi UMNO-BN untuk kepentingan pilihanraya ke 12 yang bakal berlangsung. Untuk sambutan sejumlah RM200 juta diperuntuk oleh kerajaan dan setiap kawasan parlimen diperuntukkan RM30,000 untuk sambutan secara tidak langsung diambil kesempatan mempromosikan parti pemerintah bagi kepentingan pilihanraya. Sebenarnya berlaku kurupsi dan penyelewengan di dalam menampilkan sejarah kemerdekaan Negara. Pihak berkenaan tidak jujur dari segi keilmuan dan sejarah. Dari segi hakikatnya sejarah tidak mendustai diri. Fakta-fakta tegak berdiri bersamanya. Mengapa sejarah kemerdekaan Negara dikontotkan. Perjuangan kemerdekaan dikerat dan bermula dengan episod Malayan Union dan tokoh-tokoh menonjol hanyalah Datuk Onn dan Tengku Abdul Rahman ? Inikah saja pejuang-pejuang kemerdekaan ?
Tokoh Perjuangan
Sebenarnya kita mempunyai sejarah cukup panjang dan tak kurang gemerlapnya jika dihurai dan digilap. Mereka lebih hebat berjihad memperjuangkan kemerdekaan dengan darah dan air mata, bahkan nyawa. Pergerakan kemerdekaan dapat disusurgalur dari awal abad ke 20 yang dicetuskan oleh pelajar-pelajar al-Azhar seperti Syeikh Ahmad al-Fatani, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syed Syeikh al-Hadi, termasuk guru dari Makkah seperti Syeikh Abbas Taha. Mereka menerima pengaruh pembaharuan dari Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Reda. Dari pengaruh majalah al-Imam mereka menghasilkan majalah Jam`iyatul Khairiyyah, Seruan Azhar dan pilihan Timor semasa di Mesir yang kesemuanya berbau gerakan politik pembaharuan.
Bila mereka pulang ke tanah air mereka bergerak membawa pembaharuan melalui tulisan dan melalui institusi pendidikan seperti melalui Madrasah al-Mashhur al-Islamiyyah (1919) Pulau Pinang yang antaranya melahirkan pelajar-pelajar seperti Syeikh Abu Bakar al-Ashari dan Burhanuddin Hilmi, manakala melalui pendidikan madrasah juga melahirkan tokoh-tokoh sepert Syeikh Abu Bakar Baqir yang mengasas Ma`had Ihya` al-Syarif Gunung Semanggol (1934), Madrasah al-Masriyyah, Bukit Mertajam (1906) yang diasaskan oleh Syeikh Salleh Masri melahirkan pelajar seperti Haji Ahmad Fuad yang mengasaskan persatuan Ulama SeMalaya yang kemudian bertukar kepada PAS. Madrasah di sini menjadi Pejabat Agung PAS terawal. Banyak lagi madrasah-madrasah yang berjasa yang melahirkan pejuang-pejuang pembaharuan yang mereka semuanya terhasil dari pendidikan keislaman.
Penentangan & Pemberontakan
Sejak dari awal abad 20 British mulai campur tangan ke negeri-negeri Melayu. Umpamanya Pahang British mulai campurtangan sejak akhir abad ke 19 yang menyebabkan bangkitnya penentangan berlamaan dari pahlawan-pahlawan Pahang seperti Tok Gajah, Datuk Bahaman dan Mat Kilau. Mereka bergerak antara Tembeling dan Hulu Terengganu dan mendapat bantuan dari Terengganu dan juga Kelantan. Di Terengganu sendiri semasa dengan gerakan penentangan di Pahang ini, apabila British mau campurtangan di Terengganu Sultan Zainal Abidin III (M. 1918) seorang Alim dibantu seorang pembesar ulama Syed Abdul Rahman bin Muhammad yang terkenal sebagai Tuan Paloh yang turut membantu Pahang berkeras tidak membenarkan British campur tangan di Terengganu. Selepas kemangkatan sultan dan ulama, campurtangan di dalam politik pentadbiran berlaku di Terengganu hingga mencetuskan pemberontakan Tani yang dipimpin oleh Haji Abdul Rahman Limbong.
Campurtangan British juga berlaku di Kelantan mulai 1903 dan diperkukuhkan dengan Perjanjian Bangkok (1909) antara British dengan Siam. Ini mencetuskan pemberontakan yang dipimpin oleh Haji Mat Hassan Munas murid Syeikh Ahmad al-Fatani yang terkenal sebagai Tok Janggut yang juga mempunyai pertalian dengan pahlawan-pahlawan Pahang. Sebagai mengambil tindakan balas terhadap British yang sedang menyerang kerajaan Khilafah Uthmaniyyah dan menjajah Kelantan dan mengenakan cukai taksiran tanah Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya menyusun strategi menyerang British di Pasir Putih Kelantan pada 19 April 1915 menyebabkan tentera British berundur ke Kota Bharu dan pasuukan Tok Janggut menguasai Pasir Putih. Engku Besar Jeram diangkat menjadi Raja dan Tok Janggut sendiri menjadi Perdana Menteri sebelum Tok Janggut dikalahkan British dan disula pada 24 Mei 1915.
Penentangan juga berlaku di Perak apabila British menguasai negeri itu, J.W. Birch dibunuh oleh Tok Sagur dan pembantu-pembantu menyebabkan Sultan Abdullah yang dituduh bersyubhat dibuang negeri dan Datuk Maharajalela, Datuk Sagor, Pandak Induk dan Sepotom dihukum. Penentangan juga berlaku di Naning oleh Dol Said, di Negeri Sembilan penentang dipimpin oleh Datuk Syahbandar dan Yamtuan Antah Negeri Sembilan, manakala di Selangor oleh Raja Mahadi, di Sarawak oleh Syed al-Mashhur, Abdul Ghafur, Banting dan Asun dan di Sabah oleh Mat Salleh dan Antanum. Demikian beberapa contoh penentang penjajahan. Tentu ramai dari pengikut-pengikut mereka tidak dapat disebutkan di sini.
Organisasi Politik
Melihat dari segi organisasi politik, UMNO amat baharu berbanding dengan gerakan dan pertubuhan politik sebelum dan semasanya seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) 1937, Kongres Melayu SeMalaya (1939), Pembela Tanahair (PETA) 1943, Kesatuan Rakyat Indonesia Merdeka (KRIS) 1945, Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) 1945, Angkatan Pemuda Insaf (API) 1945, Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA) 1947, Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) 1947, Hizbul Muslimin (1948). Dalam masa yang lebih kurang sama lahirnya Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Barisan Tani Se Malaya (BATAS), SEBERKAS, Pemuda Redikal Melayu (PERAM),Gerakan Angkatan Muda (GERAM), All Malayan Council Joint Action (AMCJ) dan PAS (1951). Dalam kata yang lain banyak pertubuhan politik sebelum UMNO dan semasa yang menyaingi UMNO (1946) dalam memperjuangkan kemerdekaan..
Pemimpin
Dari segi pemimpin begitu ramai lahir mereka yang memimpin organisasi-organisasi politik di atas seperti Ahmad Fuad, Burhanuddin Himi, Ibrahim Ya`kob, Abu Bakar al-Baqir, Maulana Abdullah Noh, Ishak haji Muhammad, Ahmad Bustamam, bahkan termasuk gerakan kiri seperti Rashid Maidin, Abdullah CD, Chen Peng dan Shamsiah Faqih dan tentulah ramai lagi pejuang-pejuang bersama mereka. Dalam perkembangan politik mutakhir dan semasa sungguhpun pihak UMNO-BN berkuasa dan memerintah Negara ini bersama dengan Perdana-Perdana Malaysia dari Tunku Abdul Rahman, Tun Haji Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir dan Datuk Seri Abdulllah Badawi dengan kabinet masing-masing bukan bererti mereka saja mewarnai politik Malaysia.
Golongan pembangkang, walaupun mereka tidak menikmati faedah sebaik kalangan pemerintah mereka juga adalah mempunyai peranan didalam membina, mengkritik, mencadang dan melaksanakan kebaikan-kebaikan bagi faedah rakyat. Sebab itu tokoh-tokoh politik mutakhir dan semasa wajar di beri hak dan kedudukan di dalam peta perjuangan dan kedudukan politik Malaysia. Mereka seperti Ahmad Fuad, Haji Abbas, Burhanuddin Hilmi, Asri Muda, Yusof Rawa, Ustaz Fadhil, Nik Aziz, Haji Hadi, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Abdul Rahman Ya`kob, Ahmad Bustamam, Wan Azizah, Syed Hussein dan pembangkang-pembangkang yang lain.
Pendekatan selama ini yang melihat pejuang-pejuang kemerdekaan pada satu permukaan dan mengabaikan permukaan yang lain adalah merupakan kekurangan dan ketidaksempurnaan bahkan penggelapan dan ketidakjujuran bagi sejarah dan perjuangan politik di Malaysia sendiri. Berhubung dengan resolusi Pemuda UMNO yang mencadangkan agar diwujudkan semacam `Institut Patriotisme` di Malaysia dapat dipersoalkan. Antaranya jika apa yang hendak disampai dan dipupuk bersifat berpihak dan satu permukaan, maka ianya dikhuatiri tidak akan mencapai matlamat dan jati diri Malaysia, tetapi lebih bersifat propaganda dari pihak pemerintah bagi mengukuhkan kedudukan dan sokongan rakyat. Ianya merupakan satu lagi projek yang menghabiskan wang rakyat dan merupakan kesinambungan dari PLKN yang kelak bukan saja golongan pemuda, tetapi juga golongan tua akan dikerah dan diwajib hadir kursus di kem doktrinasi dalam usaha mengubah semua minda rakyat bagi menyokong parti pemerintah.
Permukaan Buruk
Sambutan Merdeka yang berlaku dan bersifat perayaan dan hiburan sebenarnya usaha mempamirkan kebaikan dan kejayaan kerajaan disamping menghibur masyarakat dan melalaikan mereka dari menyedari bahawa ada `the ugly side of Merdeka`. Rakyat tidak diberitahu dalam Negara Malaysia Merdeka ini akibat dari hiburan-hiburan nafsu yang berleluasa menyebabkan berlakunya kebejatan moral di kalangan anak-anak sekolah dan muda mudi, wujudnya kumpulan-kumpulan anak muda yang merempit dan samseng, penggunaan najis dadah. Bertambahnya jenayah membunuh, merompak, merogol, peras ugut, meragut dan menipu. Keselamatan tidak lagi terjamin dan rakyat hidup di dalam ketakutan. Kepercayaan terhadap Polis yang sepatutnya menjaga keselamatan makin menurun. Di samping masalah moral meningkatnya rasuah yang menjadi-jadi, perjalanan undang-undang dipersoalkan, tiada telusnya perjalanan demokrasi. Penggunaan akta ISA. OSA, AUKU diterus dan dipersoalkan..
Dari segi ekonomi meskipun Petronas mendapat keuntungan sehingga RM 76 bilion dan TNB 3 bilion berlaku juga kenaikan tol, petrol, cukai taksiran, tariff air dan letrik hingga harga barang-barang dan perkhidmatan meningkat dan berlaku inflasi, Rakyat tertekan dengan kenaikan kos hidup, walaupun berlaku kenaaikan gaji. Rakyat menderita. Sesungguhnya 53% kekayaan Negara ini dikuasai golongan atasan yang merupakan 20% dari penduduk, manakala 13% kekayaan dikuasai oleh rakyat bawahan yang mereka merupakan 40% dari penduduk. Malaysia kini jauh ketinggalan dari Singapura yang perkapita tahunan RM106,000, Korea Selatan RM66,000, Taiwan RM52, 000 dan Malaysia hanya RM21,000. Dengan kedudukan sedemikian jelas memperlihatkan apakah kita makin merdeka atau sebaliknya.
20 Tahun Harakah Sebagai Contoh
Dari satu pihak sambutan 20 tahun Harakah yang bertemakan `20 Tahun Memerdekakan Rakyat` bukan perayaan, tetapi manifestasi tekanan terhadap kebebasan bersuara dan bermedia. Harakah pertama diterbitkan pada 17 Ramadhan 1372H.(1952) dengan gambar Haji Ahmad Fuad pada halaman hadapan bersaiz A4 dengan diikuti beberapa pengeluaran tak berkala. Semasa keluaran tak berkala ini pada tahun 1985 keluaran Harakah dirampas Polis kerana ketiadaan KDN (permit), lalu ditukar kepada bentuk majalah dan berterusan hingga sebanyak 13 keluaran. Harakah memohon permit dan mendapat kelulusan Mac 1987 seminggu sebelum Muktamar PAS ke 33 pada 27 Mac 1987. Perjalanan Harakah tidak tenang, setelah menerbitkan Harakah dua kali seminggu pada 1990 diarah pihak KDN pada tahun 2000 Harakah hendaklah dijual di markas dan pejabat PAS.
Selepas 2000 KDN yang selalu merubah-rubahkan arahan mengarah Harakah di terbitkan 2 kali sebulan berbanding 2 kali seminggu sebelumnya. Ini ditakuti pengaruhnya oleh kerajaan, kerana Harakah menjadi akhbar alternative, khususnya selepas pemecatan Datuk Seri Anwar dari Timbalan Perdana Menteri hingga jualan Harakah melonjak dari 60,000 setiap keluaran kepada 350,000 di era reformasi 1998. Begitulah tiada kebebasan dan sekatan yang dilakukan terhadap Harakah. Hasrat PAS mau menjadikannya sebagai akhbar harian dan harapan ini nampaknya setakat ini tidak menjadi kenyataan. Sekatan ini mencerminkan bahawa demokrasi di Negara ini tidak lengkap dan menggugat kemerdekaan sebenarnya.
30 Tahun Bandar Baru Bangi (BBB)
Sambutan 30 tahun BBB (1977-2007) juga dapat dijadikan contoh di dalam menilai taraf merdekanya Negara. BBB adalah Bandar kembar bersama UKM yang juga dihuni pada 1977. Sebagai kembar hubungan antara keduanya seharusnya begitu rapat sepatutnya sama-sama menyambut 30 tahun BBB yang sedang disambut sekarang. BBB adalah pemangkin bagi kemajuan UKM. Tenaga akademik dan pekerja-pekerja awam kebanyakannya adalah mereka yang tinggal di BBB. Sememangnya mereka yang memajukan UKM. Adalah diharapkan UKM memberi perhatian pada BBB seperti mempromosikan BBB sebagai Bandar Ilmu, sama-sama memberi fikiran bagi menjadikan BBB sebagai Bandar Selamat dan sejahtera.
Apa yang menyedihkan kembar yang asalnya rapat dan erat, tetapi semakin renggang dan terpisah. Warga kampus terpisah dan terpenjara dengan akta-akta. Tenaga akademik tidak bebas bercakap (kecuali dikenal pasti menyokong kerajaan), tidak bebas menulis diakhbar dan bimbang untuk berinteraksi dengan masyarakat luar dan memberi pendapat. Harapan BBB untuk menjadi Bandar Ilmu dengan bantuan, kegiatan dan pandangan dari tenaga akademik tidak tercapai.
Masyarakat luar, khususnya dari BBB menghadapi sekatan untuk ke kampus. Yang bebas keluar masuk kampus dan bebas menggunakan kemudahan di UKM ialah orang-orang politik UMNO-BN. Mereka boleh bersidang dan mesyuarat agung di universiti dengan menggunakan kemudahan universiti. Setiusaha Parlimen bagi Kementerian Pengajian Tinggi boleh mengarah timbalan-timbalan naib canselor membantu pilihanraya dipihak kerajaan..Mahasiswa lebih menghadapi tekanan dan diikat dengan akta AUKU. Mereka tidak bebas bercakap. Aktivis-aktivis mereka diintip dan dikenakan tindakan jika sabit kesalahan.
Pilihan raya kampus mereka tidak telus dan dimanipulasi oleh pihak pentadbiran dan kementerian. Pihak kementerian mengarah timbalan-timbalan naib canselor dan pentadbiran memastikan golongan yang memihak kerajaan mesti menang. Pelajar-pelajar yang cenderung dengan kegiatan Islam ditekan. Jika ada pilihanraya pada peringkat DUN dan Parlimen pelajar-pelajar dipastikan tidak pergi dan menyokong pihak pembangkang, tetapi dialu-alukan untuk bekerja menyokong pihak kerajaan. Demikianlah tidak telus dan terpenjaranya kehidupan para akademik dan pelajar. Mereka sebenarnya terasing dan diasing. UKM dan BBB sungguhpun berdepan mata, tetapi jauh dari hati dan minda. Dimanakah kebebasan akademik dan pelajar. Sesungguhnya kualiti universiti dan pelajar kita makin menurun diakibatkan polisi dan politik pemerintah sendiri..
Kesimpulan
50 tahun merdeka mencabar minda. Dengan sorok sorai dan perayaan makin merdekakah kita sebenarnya ? Jujurkah kita dengan paparan sejarah perjuangan kemerdekaan ? Apakah matlamat sambutan ? Kita harap mulai tahun depan pendekatan dan pengisian diperbaiki, jika masih berpihak mungkin tidak diberi perhatian dan diboikot, lebih-lebih lagi tahun depan anti klimeks sambutan. Mulakan dengan merdekakan minda dan fikirkan, mengambil pendekatan yang adil, berilmu dan berhemah, walaupun kecil, tetapi berfaedah.
Bangi,
11 Sya`ban 1428
24 Ogos 2007.
No comments:
Post a Comment