Seperti pada tahun-tahun yang lepas, setiap kehadiran bulan Ramadan PAS Serdang membuat persediaan menyambutnya dengan pengisian ibadat dan kegiatan kebajikan. Berbulan-bulan sebelumnya telah dimesyuaratkan. Pada tahun ini kegiatan sedemikian mhau dipertingkatkan dan perasmiannya, kalau dapat dilakukan oleh pemimpin Pusat. Maka berbulan sebelumnya pihak pimpinan Serdang mengamanahkan Lajnah Kebajikannya untuk mendapatkan pimpinan Pusat dan tarikh bersesuaian. Alhamdulillah setelah dihubungi dan diikuti dengan surat rasmi Al-Fadhil Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS bersetuju merasmikan pelancaran `Bulan Kebajikan PAS Serdang` pada 28 Syaaban 1428 bersamaan 10 September 2007. Bertambah gembira lagi apabila Dr. Lo`lo` Haji Ghazali ahli jawatan kuasa pusat atas kapasitinya sebagai Pengerusi Lajnah Kebajikan Pusat dapat turut serta.
Menurut perancangan, oleh kerana pelancaran melibatkan pelan kerja ahli-ahli parti pada bulan Ramadan al-Mubarak, maka pertemuan ini terhad kepada ahli-ahli Jawatakuasa dan ketua-ketua cawangan saja dan jemputan dibuat kepada mereka. Namun secara tidak disangka pada malam 8 September berlaku `Tragedi Batu Burok` yang mengakibatkan peristiwa berdarah. Berikut dari penembakan gas pemedih mata dan semburan air terhadap orang awam yang berhimpun secara aman polis telah menembak beberapa das peluru hidup dan mengenai seorang awam bernama Suwandi Abdul Ghani (37) menembusi paru-parunya, manakala seorang lagi, iaitu Muhamad Azman Aziz (21) mengenai lehernya. Suwandi yang dalam keadaan kritikal dipindahkan dari Hospital Kuala Terengganu ke Hospital Kubang Krian, Kelantan. Berpuluh-puluh lagi tercedera, termasuk empat parah. dan 23 daripada mereka ditangkap.
2. Maklumat
Maklumat `Tragedi Batu Burok` ini sebenarnya boleh diikuti sejak pada Ahad 9 September melalui internet. Berikutnya semua akhbar membawa berita berkenaan yang antaranya pada `front page` pada 10 September. Secara tidak langsung berita hangat ini menarik orang ramai sekitar Serdang dan Hulu Langat untuk turut hadir ke Majlis Pelancaran `Bulan Kebajikan` PAS Serdang yang perasminya al-Fadhil Ustaz Nasharuddin sebagai Timbalan Presiden PAS. Al-Fadhil tentulah amat mengetahui mengenai tragedi berdarah itu. Lantaran itu kehadiran pendengar di luar jangkaan mencecah 1,500 orang. Mereka datang lebih untuk mendengar maklumat `first hand` Tragedi Batu Burok daripada Ustaz Nasharuddin sendiri. Jadi majlis perasmian sekadar alu-aluan dari YDP PAS Serdang dan menggariskan kegiatan sebulan Ramadan PAS Serdang, manakala Dr. Lo`lo` menggariskan polisi Lajnah Kebajikan Pusat dan kegiatan-kegiatan. Menurut beliau Lajnah Kebajikan menjadi lebih penting lantaran PAS sendiri mau memprojekkan imejnya sebagai `Parti Kebajikan`. Oleh itu lajnah-lajnah kawasan diminta mempertingkatkan komitmen kebajikan masing-masing.
3. Tragedi Batu Burok
Kehadiran Ustaz Nasharuddin ke Bangi adalah selepas beliau sendiri menghadiri mesyuarat tergempar di Pejabat PAS Pusat di Kuala Lumpur pada 9 September membincangkan `Tragedi Batu Burok`. Beliau pulang dari Kota Bharu pada paginya setelah melawat Saudara Suwandi di Hospital di Kota Bharu mangsa tembakan polis di dalam tragedi Batu Burok.
Menurut Ustaz Nasharuddin majlis penerangan yang sepatutnya diadakan di Batu Buruk pada malam 8 September itu merupakan siri penerangan yang diadakan oleh BERSIH, iaitu Badan Gabungan Tuntutan Pilihanraya Bersih dan Adil dianggotai oleh NGO dan wakil-wakil Pembangkang. BERSIH dilancarkan penubuhannya di Parlimen pada November 2006. Penerangan mengenai tuntutan BERSIH diadakan di Dewan Kg. Attap Kuala Lumpur pada 10 November 2007. Berikutnya diadakan di Pulau Pinang dan juga di Kota Bahru. Kehadiran BERSIH ke Kuala Terengganu menjadi ketakutan luar biasa bagi Umno, kerana dari segi psikologi dan bawah sedar Umno menyedari mereka memenangi pilihanraya 2004 di Terengganu secara tidak jujur ! BERSIH datang men’torture’ jiwa mereka `Dosanya menipu` dan `Halalkah kuasa dan habuan bulanan yang mereka terima !`.
Kebimbangan bertambah, seminggu sebelum BERSIH datang, Ijtimak HIMPIT (Himpunan Pendukung Islam Terengganu) diadakan secara besar-besaran di Rusila Marang. Pada hari itu (Jumaat 31 Ogos 2007), jalan-jalan di Marang hingga ke Kuala Terengganu jem, kerana dibanjiri ratus ribu mereka yang datang dan 23 ekor lembu ditumbangkan untuk jamuan. Selama ini cakap-cakap rakyat hilang keyakinan terhadap Umno di Terengganu masih dipersoalkan. Kini pertanda-pertanda memperlihatkan. BERSIH datang menambah derita jiwa. Sikap dan kebimbangan Umno Terengganu selama ini dipendam, kali ini kebimbangan itu tak dapat ditahan, sebab itu tindakan menggunakan kekuasaan melalui Polis Diraja Malaysia perlu diambil.
4. Menurut Aturan
Menurut Ustaz Nasharuddin BERSIH memohon permit dari pihak Polis untuk mengadakan penerangan, walaupun pentas dan ceramah akan berlangsung di dalam kawasan rumah milik persendirian. Tempat ini bukan asing dan ceramah-ceramah sering diadakan di sini sebelumnya. Pihak Polis enggan mengeluarkan permit, walaupun rundingan dibuat hingga ke saat-saat akhir. Mereka merobohkan pentas. Oleh kerana tindakan polis ini pihak penganjur memang tidak bercadang untuk meneruskan penerangan dan mereka yang terlibat dengan penerangan bertamu dengan tuan rumah setelah berunding dengan polis yang cuba menggugat dan mengugut untuk menahan mereka, termasuk Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu Dato’ Mustafa Ali. Namun orang ramai tidak mengetahui keadaan sebenarnya. Mereka terus berhimpun dalam jumlah antara 300- 400 orang. Mulai 8.30 malam FRU mulai masuk menembak gas pemedih mata dan menyembur air. Perkecohan berpanjang hingga ke tengah malam. Dalam masa tersebutlah berlaku penembakan peluru hidup dan penagkapan !
5. Yang Dipersoalkan
Dalam ucapannya yang mengambil masa lebih kurang satu jam itu Ustaz Nasharuddin mempersoalkan:
a) Mengapa sesudah ceramah penerangan tidak dilangsungkan, pihak polis terus kekal berada di lokasi tempat ceramah, sekiranya pihak polis berundur, maka tidak berlaku provokasi dan infiltrasi pihak polis berpakaian awam di tengah orang awam dan tidak berlaku peristiwa berdarah itu.
b) Mengapa pihak polis menggunakan peluru hidup terhadap orang ramai yang tidak bersenjata. Menurut aturan dalam keadaan terdesak pihak polis seharusnya menembak ke atas sebagai amaran terhadap orang ramai, tetapi pihak mangsa cedera di dada menembusi paru-paru yang hampir meragut nyawanya. Tidakkah ini perbuatan yang boleh ditakrifkan tindakan sengaja dengan niat membunuh ? Walau bagaimana ini terpulang kepada mahkamah yang dapat menentukannya.
c) Sesudah Hospital Kuala Terengganu di dalam negeri yang diperintah BN tidak mempunyai peralatan yang dapat merawat Saudara Suwandi dan terpaksa dihantar ke hospital di Negeri Kelantan yang diperintah PAS, mengapa perjalanan misi menyelamat Saudara Suwandi mengambil masa yang begitu panjang. Perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu pada kebiasaannya mengambil masa dua jam, tetapi perjalanan bagi menyelamatkan Saudara Suwandi yang dalam kritikal dan faktor mengejar masa terlalu amat penting dilengah-lengahkan dan mengambil masa empat jam.
d) Mengapa Saudara Suwandi yang mengalami cedera parah itu digari kedua tangannya sebagai penjenayah semasa dibawa ambulan ke Kota Bharu dan diiringi oleh patrol car. Semasa di hospital di Kota Bharu juga sebelah tangan Saudara Suwandi terus digari. Beliau bukannya penjenayah, tetapi adalah mangsa tembakan polis yang sepatutnya tidak berbuat demikian.
e) Mengapa pihak Hospital sejak di Kuala Terengganu lagi tidak membenarkan keluarganya menemui beliau di dalam masa yang begitu kritikal ?
f) Ustaz Nasharuddin juga mempersoalkan gambar yang disiarkan oleh akhbar-akhbar tentang pembakaran bendera Negara oleh seorang yang memakai topi keledar dan tidak jelas identiti, tetapi dikatakan dilakukan pihak pembangkang. Mungkin perkara ini sengaja ditaja dan dilakukan pihak tertentu (mungkin polis atau anasir berniat jahat) bagi menjatuhkan imej parti pembangkang. Perkara ini perlu disiasat bagi mempastikan kebenarannya.
Menurut Ustaz Nasharuddin, dalam masa operasi memindahkan Saudara Suwandi dari Hospital Kuala Terengganu ke Hospital Kota Bharu, pihak pimpinan PAS telah mengarah ahli-ahli PAS menunggu dan menyambut ketibaan Saudara Suwandi melalui ambulans yang membawanya untuk memberi sokongan dan semangat jihad terhadapnya.
6. Tindakan
Menurut Ustaz Nasharuddin, pihak polis telah bertindak secara tidak profesional dan menyebabkan hilang penghormatan kita terhadap mereka. Beliau mempersoalkan kredebiliti polis dan bertanya mengenai cadangan agar mengadakan Suruhanjaya Memperbaiki Perjalanan Polis Diraja yang telah sekian lama dicadangkan, apakah ianya diwujudkan atau tidak. Cadangan itu telah begitu lama dan diputuskan di Parlimen. Kalau polis mereka yang dilatih patuh kepada arahan pimpinan, keputusan yang dibuat Parlimen lebih-lebih lagi patut dipatuh dan dilaksanakan tanpa lengah-lengah. Kementerian Dalam Negeri adalah bertanggungjawab dan harus menjawab persoalan berkenaan. Janganlah timbul tuduhan perkara yang mengenai orang lain segera dilakukan, tetapi apabila mengenai batang hidung sendiri enggan dan dilengah-lengahkan. Ingatlah insentif telah diberi dan gaji telah dinaikkan !
Menurut Ustaz Nasharuddin pihak PAS bukan saja akan mengambil tindakan undang-undang dan laporan polis telah dibuat, tetapi akan membawa perkara yang berhubung dengan Tragedi Batu Buruk ini ke SUHAKAM (perkara ini telah dibawa dan pihak SUHAKAM akan menyiasat secara telus), bahkan akan mendedahkannya kepada dunia melalui berbagai-bagai saluran. Pihak PAS akan memberi penerangan pada perhimpunan pada peringkat Pusat dan negeri. Antaranya pada perhimpunan yang akan diadakan di Rusila pada 14 September ini dan siaran akan dipancarkan langsung dari sana untuk diikuti seluruh dunia.
7. Pelan Dirancang
Banyak pihak yang melihat bahawa `Tragedi Batu Burok` adalah sesuatu yang mungkin dirancang oleh pihak pemerintah sebagai strategi politik bagi melemahkan pihak pembangkang, khususnya PAS di negeri Terengganu. Dalam keadaan gelombang kesedaran rakyat di Terengganu sedang bangkit, rakyat menyedari kemenangan BN di Terengganu secara tidak jujur, menyedari janji mengatasi kemiskinan dan pengangguran tidak dapat ditunaikan, bahkan Terengganu kembali kepada paras no. 2 negeri termiskin di Malaysia. Menyedari projek-projek mega tidak menguntungkan rakyat, tetapi menguntungkan kroni dari pihak luar, bimbang rakyat akan membalikkan arus menentang Umno dan BN, kebangkitan ini perlu disekat. Pihak pemerintah yang sejak akhir-akhir ini atas desakan NGO dan parti pembangkang mengendurkan sedikit sekatan-sekatan ceramah dan kebebasan bersuara, tetapi untuk negeri Terengganu, nampaknya pihak pemerintah tidak dapat berlembut, mengekang kemarahan dan kebimbangan, lantas dilahirkan di dalam Tragidi Batu Burok yang amat buruk itu.
8. Implikasi Tragedi
Pihak PAS, khususnya di Terengganu, biarpun bukan penaja ceramah penerangan, tetapi BERSIH, namun PAS perlu berhati-hati di dalam menangani `Tragedi Batu Burok` yang lebih dikaitkan kepadanya ini. Sebagai sesuatu yang mungkin dirancang pihak pemerintah mengharapkan peristiwa ini menjadi `set back` kepada pembangkang. Ianya diharap terutama PAS akan terpukul mundur. Mereka akan terus mengeksploitasi peristiwa melalui media, bahawa PAS penaja huru hara `militan`, biarpun pada hakikatnya merekalah yang menaja dan mencetus huru-hara. Pihak luar juga akan mengambil kesempatan selari dengan pendirian mereka selama ini. Pendekatan bagi menentang eksploitasi mereka hendaklah dilipatgandakan. Rakyat, khususnya di Terengganu perlu diberi penerangan sejelas-jelasnya, agar mereka tidak keliru dan dikelirukan. Bahkan jadikan Tragedi Batu Buruk ini sebagai katalis baru yang lebih menggerakkan tsunami rakyat yang akan menenggelamkan kembali Umno-BN di pantai Terengganu.
Pada dasarnya kesedaran rakyat terhadap hak-hak mereka kini semakin tinggi dengan adanya gerakan-gerakan di bawah kepimpinan NGO seperti BERSIH dan badan-badan yang seumpama dengannya yang turut disertai parti pembangkang. Tercetusnya `Tragedi Batu Burok` merupakan pertentangan antara tuntutan hak dari rakyat terhadap pemerintah. Hak dan kebebasan mereka untuk bersuara, hak mereka menggunakan media dan mendapat liputan media secara bebas serta hak mereka membuat pemilihan juga secara bebas. Realitinya negara Malaysia jauh ketinggalan dari segi kebebasan bersuaru daripada 139 negara, Malaysia dulu berkedudukan pada tempat ke-117 dan kini makin menurun kepada ke-119. Malaysia ketinggalan jauh dari Jepun, Korea Selatan dan Hongkong, bahkan terkebelakang dari Indonesia.
Tindakan dari BERSIH akan menggugat pihak pemerintah dari mengongkong hak-hak rakyat. PAS perlu bersama dengan gerakan seperti ini dan yang seumpamanya bagi menegakkan hak dan keadilan rakyat. Hak bagi rakyat bagi mendapat nikmat dari hasil petroleum yang dikeluarkan dari perut buminya. Hak bagi rakyat mendapat pembangunan yang memberi faedah kepada rakyat, hak bagi rakyat mendapat kerja dari projek yang dikendali oleh anak-anak tempatan, bukannya di datangkan dari luar, mengaut keuntungan dan membawa keluar dari Terengganu. Hak bagi rakyat membina identitinya sendiri, tetapi tidak bejat dengan masalah akhlak dan moral yang sengaja ditaja untuk melalaikan rakyat, terutama anak-anak muda.
9. Kesimpulan
Iklim politik di Terengganu makin berubah dan panas. Semua pihak menyedarinya. Pihak berkuasa yang menguasai Terengganu akan menyekat perubahan ini dari berpihak kepada pihak lawannya dari pembangkang – PAS. Tragedi Batu Burok salah satu sekatan untuk menahan dan dieksploitasi. Banyak lagi kejutan-kejutan dan tindakan yang dicetuskan oleh pihak berkuasa. Kebijaksanaan amat dituntut bagi menangani kejutan-kejutan dan tindakan oleh pihak pemerintah. Usaha menyedarkan rakyat sekarang lebih meluas dan tuntutan agar hak dan kebebasan mereka diberi dan dihormati makin tinggi. Terengganu diharap sama masuk dan bergerak bersama arus kesedaran ini dan rakyat diharap akan lebih bijaksana dan berstrtegi di dalam menentukan masa depan.
Sekian.
Bangi,
02 Ramadan 1428 = 14 September 2007. (lanh)
No comments:
Post a Comment