January 1, 2008

Cabaran mustadafin mendepani pemerintah

Mustadafin di sini adalah golongan lemah yang mencabar penyelewengan, salah guna kuasa dan kezaliman pemerintah (mustakbirin). Pencabar baik daripada kalangan politik, NGO atau orang awam berlandaskan peruntukan perlembagaan dan hak kemanusiaan. Cabaran mengundang risiko yang tinggi yang kadang-kadang menuntut pengorbanan nyawa, cedera, ditangkap dan merengkok dalam penjara. Untuk membicarakan topik di atas, peristiwa-peristiwa yang memuncak berlaku pada September 2007 di dalam negara amat sesuai dijadikan kes dan perbandingan.

Sebagai contoh seperti `Tragedi Batu Burok` di Kuala Terengganu, yang tercetus dari kehadiran pendengar bertujuan mengikuti penerangan daripada `Bersih` bagi menuntut agar pilihan raya berlaku secara telus, `Insiden Babi di Melaka` yang ternakan babi di sana mencemarkan alam sekitar dan tuntutan penduduk setempat agar dilupuskan ternakan babi di tempat mereka. Perarakan Peguam-Peguam di Putrajaya yang menuntut agar diadakan penyiasatan terhadap klip video yang berkaitan dengan salah laku di dalam perlantikan perjawatan perundangan negara dan yang bersifat futuristik `Himpunan Raksaksa 100,000 Rakyat Jelata` bakal diadakan di Kuala Lumpur.

2. Hak rakyat dalam negara demokrasi

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia menjamin rakyatnya bebas bersuara, menyampaikan pendapat, berhimpun dan berpersatuan. Peruntukan ini sesuai dengan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (Perkara 20 & 21) yang dihormati oleh semua pihak di dunia (30 perkara) yang juga diterima pakai oleh PBB (Resolusi 2625 – xxv). Sungguhpun peruntukan-peruntukan di atas berpihak kepada rakyat, tetapi dari segi praktiknya berbagai-bagai akta, halangan dan sekatan bersifat politik dikenakan sehingga peruntukan-peruntukan tersebut sebagai `indah khabar dari rupa` dan rakyat sentiasa berada pada pihak mustadafin.

Mungkin secara demokrasi kemahuan rakyat atau ketidaksetujuan mereka mengenai sesuatu perkara dapat disalurkan melalui parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi tidak semua boleh dibawa ke parlimen/DUN. Berbagai-bagai halangan berlaku. Misalnya wakil yang berada pada pihak pemerintah perlu mempertahankan polisi pemerintah, walaupun sesuatu tuntutan adalah wajar dan apa yang disalurkan melalui pembangkang pasti menghadapi sekatan. Dalam erti kata yang lain rakyat perlu mengambil alternatif yang lain seperti melalui NGO, persatuan dan pakatan secara kolektif menggunakan hak sebagai warganegara, kebebasan bersuara, mengeluarkan pendapat, kebebasan berpersatuan dan berhimpun bagi menyuarakan pendapat, cadangan dan bantahan.

3. Percanggahan terhadap perlembagaan

Untuk menggunakan hak bersuara, mengeluarkan pendapat, berhimpun dan berpersatuan rakyat adalah menghadapi cabaran dan risiko, kerana terpaksa berdepan dengan halangan-halangan. Misalnya peruntukan perkara 10 perlembagaan yang memberi hak kepada rakyat bebas bersuara, berhimpun dan berpersatuan, di sana terdapat percanggahan yang meletakkan rakyat sebagai mustadafin, kerana terdapat dua peruntukan yang menyekat rakyat dari berhimpun 5 orang atau lebih, iaitu pertama peruntukan seksyen 141 panel code yang mentakrifkan perhimpunan dianggap `unlawful assembly` jika terdapat unsur kekerasan terhadap pemerintah, menentang perundangan dan proses perundangan, melakukan kesalahan, merosakkan harta benda dan mengganggu hak dan kebebasan orang lain.

Walau bagaimana perhimpunan dianggap halal (lawful), melainkan pihak berkuasa mengumumkan sebagai haram (unlawful) dengan membuktikan bahawa perhimpunan mengandungi unsur kekerasan yang melibatkan penggunaan senjata. Oleh kerana peruntukan ini kompleks dan sukar dibuktikan pihak polis menggunakannya bersama dengan peruntukan seksyen 27 Akta Polis 1997, iaitu:

Bagi perhimpunan, pertemuan dan perarakan penganjur hendaklah membuat permohonan kepada pegawai polis daerah bagi mendapat kebenaran dan pihak polis setelah berpuashati perhimpunan, pertemuan dan perarakan tidak memudaratkan akan membenarkan dengan syarat-syarat yang perlu dipatuhi. Polis pula berhak menghentikan perhimpunan, pertemuan atau perarakan yang tidak membuat permohonan atau membuat permohonan, tetapi tidak mematuhi syarat-syarat atau melanggar syarat-syarat, bahkan boleh diambil tindakan di atas kesalahan.

Seksyen 27 Akta Polis 1997 adalah bercanggah dengan Peruntukan 10 Perlembagaan yang mengatasi Seksyen 27 Akta Polis 1997 dan boleh dicabar, tetapi peruntukan inilah diguna dan dikehendaki mana-mana pihak yang menganjur perhimpunan, pertemuan dan perarakan membuat permohonan dan mendapat kebenaran.

4. Mustadafin terperangkap

Wujudnya Seksyen 27 Akta Polis 1997 yang bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Negara dan Hak Asasi Manusia 1948 memerangkap golongan mustadafin. Inilah yang berlaku kepada pihak penganjur (Bersih) ceramah yang mencetuskan `Tragedi Batu Burok`. Pihak penganjur mematuhi kehendak Seksyen 27 Akta Polis dengan membuat permohonan kebenaran mengadakan ceramah, tetapi jawapan tidak diberi hingga hampir waktu ceramah. Orang ramai juga terperangkap. Mereka hadir dengan anggapan ceramah berlangsung dan tidak mengetahui ceramah tidak mendapat kebenaran. Mereka sekali lagi terperangkap dengan sekatan-sekatan yang dilakukan polis yang setengah pihak menuduhnya sebagai `perangkap` yang disengajakan bagi kepentingan politik pemerintah. Berlakunya pancutan `water canon`, kerosakan-kerosakan yang berlaku, pembakaran bendera persekutuan yang sengaja diatur ? hingga kepada tembakan peluru hidup dan penangkapan boleh dijadikan bukti dan antaranya mengukuhkan bagi Seksyen 141 Panel Code.

5. Siasatan Suhakam

Dato` Siva Subraniam yang mengetuai siasatan Suhakam dalam sidang media bagi pihak Suhakam pada 9 Oktober 2007 mengutuk polis guna peluru hidup dan dalam siasatannya mendapati berlakunya keganasan polis terhadap orang awam semasa perhimpunan di Batu Burok, Kuala Terengganu 8 September lalu dan menjadi tidak terkawal sehingga berlakunya rusuhan. Walau bagaimana ada pihak yang merasa tidak puas hati terhadap siasatan Suhakam kerana gagal mengadakan siasatan awam, khususnya berhubung dengan kejadian tembak orang awam yang melibatkan penggunaan senjata api dan peluru hidup yang melibatkan dua orang kena tembak, 7 orang cedera dan sejumlah mereka yang ditangkap. Suhakam mendakwa pihaknya tidak mempunyai kuasa kerana kes berkenaan telah dibawa ke mahkamah yang melibatkan seorang individu, iaitu Khair Muzakkir Ali (22) yang hadir dalam perhimpunan. Lagi pula menurut Suhakam, Seksyen 12 Akta SUHAKAM 1999 melarang Suruhanjaya menyiasat aduan perlanggaran Hak Asasi Manusia apabila kes berkenaan sedang dibicarakan di mahkamah.

Jelaslah dari tragedi di atas, orang awam golongan mustadafin menjadi mangsa. Peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia menjamin rakyat bebas bersuara, mengeluarkan pendapat, berhimpun dan berpersatuan, juga Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (perkara 20 & 21) yang diterima pakai PBB (Resolusi 2625 – XXV) adalah ilusi bagi golongan mustadafin, bahkan diperkotakkatikkan oleh pihak berkuasa. Misalnya isu rakyat yang terperangkap dalam `Tragedi Batu Burok` dibesar-besarkan. Mereka diburu melalui siaran media berterusan, sedangkan penembak yang mencederakan orang awam dengan peluru hidup disepikan. Pada hal perkara ini amat penting dipersoal dan dibuktikan. Demikianlah rakyat adalah golongan mustadafin yang boleh diperkotak-katikkan oleh pihak berkuasa. Walau macam mana kesan dari `Tragedi Batu Burok` merosakkan imej Malaysia dari segi kebebasan bersuara, mengeluarkan pendapat dan berpersatuan di mata dunia.

6. Perbandingan

Dalam bulan September 2007 yang sama terdapat dua lagi insiden menunujuk perasaan yang melibatkan polis, tetapi cara polis menanganinya adalah berlainan. Insiden yang dimaksudkan ialah Penunjuk Perasaan Penternak Babi di Melaka, khususnya di Alor Gajah (Paya Mengkuang, Bukit Beruang, Man Lok, Londang dan Bukit Tinggi). Dalam insiden berkenaan polis tidak mengambil tindakan kekerasan dan tidak menggunakan senjata api walaupun kepada babi ! Bukan saja tidak mengambil tindakan terhadap penunujuk-penunjuk perasaan dari penternak-penternak babi, tetapi juga berlaku rundingan dan tolak ansur terhadap isu pencemaran babi di kawasan di atas yang mengganggu ketenteraman penduduk, khususnya orang Islam.

Jumlah babi lebih kurang 150,000 ekor dirunding, agar dikurang dan dipindahkan dari Melaka hingga tinggal dalam lingkungan 50,000 sahaja di tempat ternakan asal. Tolak ansur juga berlaku bagi tarikh perlaksanaan pengurangan dari 4 September hingga 19 September. Orang bertanya jika `Insiden Babi` di Melaka dapat diselesaikan dengan cara rundingan dan aman, mengapa cara yang sama tidak berlaku di Terengganu. Dalam hal ini Suhakam dalam siasatan melalui Sivaratnam berpendapat, bahawa jika dibenarkan perhimpunan aman, maka `Tragedi Batu Burok` tidak berlaku. Insiden Babi di Melaka ini selain menjadi bahan joke dan perli, ada tuduhan yang melihat tafsirannya dari segi politik. Pihak berkuasa sanggup mengambil tindakan kekerasan terhadap mereka yang terperangkap dalam `Tragedi Batu Buruk` kerana mereka orang Melayu yang dianggap lemah dan ketinggalan, tetapi dapat dimanipulasi bagi keuntungan politik pemerintah.

Media-media kerajaan digunakan bagi memburukkan parti lawan, sedangkan kekerasan pihak polis tidak ditimbulkan. Berlainan dengan `Insiden Babi`, kerajaan sangat bimbang dan terpaksa berhati-hati terhadap penternak babi dari kalangan orang Cina, kerana sebarang tindakan kekerasan yang diambil terhadap penternak-penternak babi berkenaan, bererti pihak berkuasa berdepan dengan masyarakat Cina di Negara ini keseluruhannya. Dalam masa semakin terhakisnya keyakinan orang-orang Cina terhadap pemerintahan sekarang dan orang Cina terkenal bijak menggunakan kuasa mengundi, maka tindakan kekerasan mengundang risiko kepada makin berkurangnya sokongan masyarakat Cina terhadap pemerintahan sekarang di dalam pilihanraya akan datang. Oleh itu pihak berkuasa sangat cermat di dalam urusan dengan orang-orang Cina dan mengelak dari melakukan sebarang kekerasan. Pihak `mustadafin` di dalam `Insiden Babi` ini ialah rakyat tempatan, khususnya Melayu yang lemah, yang walaupun janji jumlah babi dikurangkan dari tempat mereka, tetapi mereka tidak dapat mengelak dari terus menghidu bau busuk dan pencemaran berterusan di tempat mereka.

7. Secara professional

Satu insiden lagi berlaku pada bulan September ialah tunjuk perasaan yang dinamakan `Perarakan Untuk Keadilan` oleh kalangan peguam dan aktivis sejumlah 2,000 orang dari bangunan `The Palace of Justice` ke Pejabat Perdana Menteri sejauh 3.5km. di Putrajaya pada 26 September 2007. Perarakan dilakukan bagi mendesak kerajaan melantik satu Suruhanjaya Diraja menyiasat tentang klip video yang menunjukkan seorang peguam kanan sebagai broker berunding dengan seorang hakim kanan bagi perlantikan hakim-hakim. Perarakan juga menuntut agar dibersihkan badan kehakiman dari kurupsi. Cara polis mendepani tunjuk perasaan ini amat berlainan dari `Tragedi Batu Buruk` atau `Insiden Babi` di Melaka.

Polis sebenarnya berdepan dengan golongan intelektual dan yang pakar dengan bidang perundangan. Mereka bukan sebagai rakyat marhain dan sengkek sebagaimana di Terengganu dan Melaka. Sebarang tindakan provokatif, apa lagi tindakan kekerasan seperti menggunakan peluru hidup di Terengganu akan menjadi senjata makan tuan kepada pihak pemerintah. Kesannya bukan saja bersifat tempatan, tetapi akan heboh keseluruh dunia. Sebab itu tiada sebarang gangguan dilaku polis terhadap perarakan. Hasil dari tuntutan ini Panel Penyiasat ditubuhkan (bukan Suruhanjaya Diraja) yang terdiri dari tiga tokoh berkelayakan, iaitu Bekas Ketua Hakim Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor yang mengetuai panel, Pengerusi Badan Khidmat Negara Tan Sri Lee Lam Thye dan Mantan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shanker.

Panel ini sehingga kini masih dalam proses menyelesaikan tugas yang diamanahkan. Apa yang hendak ditekankan di sini para peguam dan hakim-hakim adalah mereka yang memahami tentang peruntukan perlembagaan, khususnya hak kebebasan bersuara, mengeluarkan pendapat dan hak berhimpun secara aman. Sebab itu mereka tidak berani diapa-apakan oleh polis. Mereka mencapai objektif, tidak sebagaimana nasib yang diterima golongan mustadafin, disebalik di sana ada tuduhan liar dari Tan Sri Nazri Aziz sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, bahawa para peguam bertindak menurut budaya pembangkang dan menuduh bahawa apa yang dikatakan `Krisis Perundangan` sebenarnya adalah hasil kerja pembangkang. Dengan kata yang lain kita mau wujudnya kesedaran tinggi rakyat tentang hak-hak mereka di dalam mewarnai pentadbiran dan pemerintahan Negara sebagaimana peguam-peguam berkenaan. Sebagai ingatan jua sebarang perundingan dengan polis, majlis dan perhimpunan yang boleh mengundang kehadiran polis perlu bersedia dengan peguam-peguam.

8. Ujian 10 November

Tercetusnya `Tragedi Batu Burok` pada 8 September ialah diakibatkan oleh tindakan polis yang tidak profesional kerana didalangi di belakangnya oleh tangan kekuasaan. Mereka menghalang tujuan murni penganjur iaitu `Bersih` dan rakyat yang maukan kefahaman tentang perjalanan pilihan raya secara bersih. Episod tuntutan pilihan raya secara bersih akan berulang dengan gelombang terbesar, iaitu `Perhimpunan Raksasa 100,000 Rakyat Jelata` yang mustadafin di Kuala Lumpur bagi menuntut SPR mengendalikan pilihan raya yang bakal diadakan dalam masa terdekat dijalankan secara bersih. `Perhimpunan Raksasa 100,000 Rakyat Jelata` ini adalah sebagai puncak dari kempen Bersih di berbagai tempat di negara ini memberi kefahaman kepada rakyat akan perjalanan selama ini yang tidak telus dan menuntut agar pilihan raya akan datang dijalankan secara telus dan adil.

Cadangan mengadakan `Himpunan Raksasa 100,000 Rakyat Jelata` ini nampaknya mulai menghangatkan suasana dan SPR mulai panas punggung dan mencari helah dan muslihat bagi melindungi kebimbangan. SPR mulai mengatur strategi, mencari isu dan mengambil tindakan menyerang, antaranya kononnya penolong pendaftar sementara (PPS) SPR melakukan penyelewengan dengan memindahkan pengundi-pengundi keluar tanpa keizinan. Perkara tersebut sebenarnya tidak timbul, kerana PPS diberi kuasa hanya untuk mendaftar pengundi baru dan PPS tidak boleh mendaftar pengundi ke tempat lain dari alamat yang tertera di dalam Mykad pengundi. Memang berlaku kekeliruan pada peringkat permulaan PPS dilantik dan antara mereka mendaftar kembali mereka yang telah mendaftar mengundi dengan tujuan untuk mengundi menurut alamat pada Mykad mereka.

Setelah nama-nama sedemikian dihantar ke SPR ditolak dan SPR terpaksa memanggil mereka kembali untuk penjelasan dan borang baru secara bersiri dan lebih teratur dikeluarkan., kerja PPS berikutnya lebih licin. Adalah menjadi tugas SPR membuat semakan dan membetulkan yang silap. Mereka sebenarnya lebih bersifat menolong kerja-kerja mendaftar SPR yang tidak pernah selesai itu dengan elaun yang minimum. Jika PPS bermasalah, tidak perlu dijadikan isu dan diheboh-hebohkan di dalam media, tarik saja kebenaran yang diberi kepada semua PPS. SPR hendaklah menyelesaikan tugas mendaftar yang tidak pernah dibereskan itu dan jangan menyalahkan orang lain, kerana ini adalah tugas hakiki SPR. Di samping penyerangan di atas, untuk meredakan kebimbangan SPR membuat janji dan jaminan bahawa pilihan raya akan datang akan berlangsung secara bersih, tapi bolehkan ini dipercayai?

Sebenarnya ada perkara-perkara yang lebih serius perlu diberi perhatian oleh SPR seperti dakwaan DAP tentang kemasukan dan pertambahan luar biasa pengundi baru di Ipoh, penyesuaian sempadan yang menyebabkan beribu pengundi bertukar DUN mengundi seperti berlaku bagi pengundi Kajang yang dimasukkan ke Bangi, usaha memasukkan pengundi luar di Kelantan dan Terengganu, pengeluaran dan kemasukan pengundi dari satu kawasan ke kawasan yang lain dilakukan tangan ghaib tanpa diketahui empunya diri dan penggunaan kad pengenalan bekas pegawai polis oleh pengundi lain dan sebagainya.

9. Kemungkinan

Kita percaya `Perhimpunan Raksasa 100,000 Rakyat Jelata` akan membawa kesan positif terhadap tuntutan agar pilihan raya akan datang dijalankan secara telus dan adil. Jika janji perjalanan pilihan raya akan datang tidak juga telus dan adil `Perhimpunan Sejuta Rakyat` pula perlu diadakan bagi menuntut perombakan, pembaikan dan meletakkan SPR pada kedudukan sepatutnya. Apakah kemungkinan tindakan yang akan dilakukan oleh polis terhadap `Perhimpunan Raksasa 100,000 Rakyat Jelata` di Kuala Lumpur nanti? Paling tidak ada dua kemungkinan, bahawa perhimpunan (dijangka di Stadium Merdeka?) dibenarkan oleh polis secara aman.

Melalui perhimpunan hadirin mendengar ucapan dan tuntutan dan perwakilan dari Bersih akan dibenar menyerahkan memorandum kepada pihak berkuasa. Kedua dengan jumlah polis yang ramai dan persediaan peralatan yang lengkap polis mengadakan sekatan yang berkemungkinan berlakunya kekacauan dalam perhimpunan, kerana adanya provokasi dan gangguan pihak berkuasa dan polis atau oleh anasir-anasir yang tidak diingini dengan rakyat mustadafin terperangkap dan menjadi mangsa berdarah dan sebagainya. Penangkapan-penangkapan berlaku, tetapi diharap kemungkinan ini tidak akan berlaku.

Jika kemungkinan kedua berlaku, maka sebagaimana `Tragedi Batu Burok` menjadi salah satu faktor penilaian yang menjatuhkan ranking Malaysia dari segi kebebasan bersuara (press) dari ranking 92 daripada 168 negara (2006) kepada 124 daripada 169 negara (2007), iaitu rekod terburuk yang pernah dicapai Malaysia, maka sebarang salah urus dengan `Perhimpunan Raksasa 100,000 Rakyat Jelata` akan lebih menjatuhkan imej Malaysia di mata dunia dan menurunkan lagi ranking Malaysia yang mungkin ke taraf sama dengan Myanmar! Menteri Penerangan Malaysia Zainuddin Maidin tak perlu menafikan ranking yang diterima Malaysia hasil dari tindakan dan sekatan yang dilaku oleh pihak berkuasa Malaysia sendiri.

10. Kesimpulan

Rakyat berhak bersuara, mengeluarkan pendapat, berhimpun dan berpersatuan, tetapi hak ini disekat oleh pihak berkuasa melalui peruntukan percanggahan undang-undang bagi menjamin kuasa dan pemerintahan. Tetapi walau apa pun rakyat berhak menggunakan hak-hak tersebut dan pihak berkuasa patut menghormati hak-hak rakyat dan berurus dengan mereka secara profesional hingga tidak berlakunya insiden-insiden yang tidak diingini.

Dari segi hakikatnya rakyat tidak menyerahkan semua kuasa kepada perwakilan melalui undi dalam pilihanraya secara mutlak. Sebab itu jika mereka menyeleweng, tidak amanah dan zalim, rakyat secara kolektif berhak menarik balik amanah yang diberi atau dirampas untuk diamanahkan kepada mereka yang lebih baik. Sebab itu pemerintah jangan bersikap mustakbirin dengan mengkesampngkan hak-hak mustadafin.

Sekian,

Bangi, 11 Syawal 1428, 23 Oktober 2007 – lanh

No comments:

Post a Comment