January 15, 2008

Turun Padang` Bermesra Dengan Masyarakat





Jalan Reko, 3 Muharram 1429 = 12 Januari 2008, Pas Kawasan Serdang telah menganjurkan satu Majlis Ramah Mesra dengan masyarakat setempat di Dewan Orang Ramai, Jalan Reko, Kajang, mulai jam 5.00 hingga 7.00 petang. Sebelumnya pada sebelah paginya lebihkurang 50 sukarelawan turun padang mengedarkan maklumat dan jemputan kepada penduduk di taman-taman perumahan di sekitar Jalan Reko. Walaupun pada sebelah petang hari tersebut hujan, tetapi majlis dapat dihadiri lebih kurang 100 orang penduduk dari taman-taman berkenaan. Amat menggalakkan majoriti yang hadir adalah dari kalangan masyarakat India. Tamu istimewa yang dijemput hadir pada petang itu ialah Dr Mujahid Yusof Rawa Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang juga merupakan Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, En Lee Kim Sin Timbalan Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat Hulu Langat dan En. S. Arutchelvam Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia yang dalam proses pendaftaran. Sebelum interaksi dan ramah mesra berlangsung antara penduduk setempat dengan pimpinan dan ahli-ahli dari Pas Serdang, PKR Serdang dan Hulu Langat termasuk ahli-ahli dari Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) majlis dimulakan dengan ucapan-ucapan.

Memulakan majlis Dr. Shafie Abu Bakar selaku YDP Pas Serdang dan selaku tuan rumah mengalu-ngalukan kehadiran kepimpinan dan masyarakat terutama dari kalangan masyarakat India. Menurut Dr. Shafie Pas mengutuk tindakan kerajaan meng-ISA-kan lima orang pemimpin Hindraf, kerana ianya bercanggah dengan prinsip demokrasi dan menyokong tuntutan membasmikan kemiskinan tanpa mengira kaum. Dr. Shafie juga mengingatkan masyarakat dengan berbagai-bagai isu yang melanda Negara, tetapi tidak dapat ditangani dengan memuaskan oleh pemerintah seperti kenaikan harga barang, masalah keselamatan, gejala sosial dan krisis perundangan Negara. Dr Shafie berharap penduduk di DUN Bangi dapat memberi sokongan kepada Pas dan berjanji jika mandate diberi kepada Pas, wakil yang dipilih akan menjadi wakil yang aktif di DUN Selangor membawa masalah rakyat, membela mereka, mengkritik dan mengemukakan cadangan pro-aktif bagi kepentingan negeri dan rakyat negeri Selangor. Wakil Pas juga berusaha memberi khidmat kepada masyarakat di Bangi secara jamaah dan kolektif. Adalah menjadi Misi dan Visi Pas Serdang untuk menjadikan Bangi sebagai Bandar Ilmu, Masyarakat Sejahtera dan Prehatin.

Dr. Mujahid bercakap tentang salah tanggap masyarakat selama ini terhadap Pas yang menyebabkan masyarakat bukan Islam memandang serong terhadap Pas. Perjuangan Pas adalah sama dengan parti-parti politik yang lain dari segi menegakkan demokrasi, mempertahan nilai kemanusiaan dan membela masyarakat yang tertindas. Pas menghormati hak dan kebebasan beragama. Untuk mendekatkan kefahaman masyarakat terutama yang bukan Islam terhadap Pas dan Islam, maka Pas menggalakkan pertemuan dan dialog antara kaum. Ramah mesra yang diadakan pada hari ini, menurutnya salah satu cara menambahkan kefahaman masyarakat. Satu mekanisme lagi kata Dr. Mujahid yang merupakan Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Pusat itu menyatakan Pas mewujudkan `Kelab-Kelab Penyokong Pas` pada peringkat nasional, negeri, Kawasan dan cawangan. Beliau berharap di Serdang juga wujud `Kelab Penyokong Pas` dan menggesa para hadirin, khususnya dari masyarakat India dan Cina dapat menyertai kelab tersebut.

En. Lee Kim Sin yang lebih mesra dipanggil Cikgu Lee yang merupakan Calon PKR pilihanraya Dun Kajang (Mac 2004) bercakap bahawa ada kesedaran yang tinggi di kalangan masyarakat sekarang maukan perubahan di dalam pemerintahan. Orang Cina yang tidak senang dengan situasi keselamatan dan perjalanan undang-undang yang menggugat peluang perniagaan menurutnya paling kurang 60% akan mengundi pembangkang, manakala orang India selepas berlakunya perhimpunan dan penangkapan terhadap pimpinan Hindraf turut maukan perubahan dan inginkan pemerintahan yang lebih adil dan saksama. Beliau menyeru penduduk di sekitar Bangi memberi sokongan kepada calon dari BA bagi membawa misi perubahan.

Encik Arutchelvan menekankan orang India tidak bermusuh kepada siapa. Yang kita tentang ialah ketidakadilan, khususnya terhadap pekerja-pekerja dan maukan pembelaan yang adil diberi terhadap mereka. Kita juga menentang perkauman termasuk terhadap Umno yang menggunakan unsur ini bagi memenangi pilihanraya. Kita menentang perobohan kuil sebagaimana juga perobohan yang dilakukan terhadap surau dan masjid.

Selepas ucapan-ucapan yang disampaikan, para hadirin beramah mesra dan bertukar-tukar fikiran dengan pemimpin-pemimpin dan para hadirin sambil itu mereka dijamu secara buffet nasi lemak dan kuih muih. Ramah mesra berlangsung selama lebihkurang satu jam – jam 6.00- 7. 00 petang. Terpancar kemesraan dan rasa puashati di wajah kalangan hadirin yang menjayakan pertemuan..

No comments:

Post a Comment