April 30, 2010

MPKj Berada Pada Kedudukan (Rating) Keempat Di Kalangan PBT Di Selangor

Kajang, 15 J. Awal = 29 April (Khamis):

MPKj berada pada kedudukan keempat di kalangan PBT-PBT, iaitu berada selepas MPSJ dan mencapai taraf 4 Bintang yang melayakkan MPKj menerima hadiah RM200,000 bagi membina sebarang mercu tanda di kawasan MPKj. Demikian dimaklumkan oleh Y.Bhg. Dato' Tarmidi bin Haji Omar Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor ketika menyampaikan ucapan perasmian "Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MPKj" bagi Tahun 2009 di sini petang ini. Beliau mengucap tahniah di atas kejayaan yang dicapai. Beliau berharap dengan anugerah diterima menaikkan semangat dan motivasi bagi yang menerima dan menjadi contoh dan teladan diikuti bagi yang belum menerima. Pengeluaran Hadiah Cemerlang tidak boleh melebihi 8 % dari kakitangan jabatan. Beliau menggesa MPKj berusaha untuk mencapai taraf lima bintang pada masa akan datang. Beliau juga mengumumkan bahawa Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini juga di`rating` oleh Kerajaan Persekutuan juga bertaraf empat bintang..


Y.Bhg. Dato' Tarmidi bin Haji Omar seterusnya memaklumkan MPKj mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh. Pada masa beliau pernah menjadi YDP MPKj akhir 1990an (selama 8 bulan), MPKj hanya mempunyai simpanan duit dari developer sebanyak antara 20 hingga 30 juta, tetapi MPKj sekarang mempunyai sebanyak RM100 juta dengan surplus sebanyak RM8 juta, manakala wang deposit sebanyak RM60 juta. Beliau berharap MPKj akan lebih banyak membuat kutipan cukai pada masa akan datang dengan itu banyak membuat pembangunan.


Manakala Y.Bhg. Dato' Hasan Nawawi bin Abdul Rahman YDP MPKj ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya menyatakan, seramai 40 orang kakitangan dan pekerja MPKj pada kali ini menerima Anugerah Cemerlang, iaitu hanya 5% dari jumlah kakitangan dan pekerja yang berjumlah seramai 850 orang, di samping penghargaan kepada 3 orang kakitangan yang bersara dan 2 orang yang meninggal dunia. Prestasi bagi yang menerima anugerah adalah dinilai selama tiga tahun yang melibatkan lebih dari 300 kriteria.


Anugerah Cemerlang adalah acara tahunan yang diberi biasanya tidak lewat dari setengah tahun pertama selepas tahun dinilai. Hadir pada petang ini ialah Y.Bhg. Dato' Tarmidi bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri dan isteri, Dato' Hasan Nawawi Abdul Rahmana YDP MPKj dan isteri, YB Dr. Shafie Abu Bakar Ahli Dewan Negeri Selangor - Bangi, YB EN. Lee Kim Sin Ahli Dewan Negeri Selangor kawasan Kajang, Tuan Haji Abdullah Marjunid Timbalan YDP MPKj, Ahli-ahli MPKj dan kakitangan MPKj. MPKj hingga kini berusia hampir 15 tahun (sejak 1997), sebelumnya bertaraf Majlis Daerah Hulu Langat. Sejak dinaikkan taraf seramai 6 orang YDP telah berkhidmat di MPKj Kajang iaitu, En. Yusof Badul, En. Yusof Judin, Dato' Tarmidi, Dato' Khusrin, En. Zainal dan Dato' Hasan Nawawi. Sebelum ini MPKj bertempat di bangunan Bekas Pejabat Daerah Hulu Langat yang telah berpindah di Bangi. Sejak 2007 berpindah ke Bangunannya sendiri kini. Dengan kemudahan bangunan dan bertambah kakitangan prestasi MPKj semakin meningkat dan kini mencapai taraf 4 bintang.


Menurut Dato' Hasan kawasan di bawah pentadbiran MPKj berkembang pesat, terutama Kajang dan Bangi. Pertambahan penduduk hitung panjang seramai 22,000 setahun. Sekarang penduduk Kajang berjumlah 100,000 , manakala keseluruhan Hulu Langat mendekati 1.5 juta. Oleh karana kawasan pentadbiran MPKj maju menyebabkan ramai mereka yang datang ke kawasan Kajang dan Bangi, Kita perlu menyediakan keselesaan bagi mereka dan menyediakan pekerjaan.


Anugerah yang diterima oleh 40 orang adalah dari 12 jabatan di bawah MPKj, iaitu Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan, Penilaian dan Pengurusan Harta, Khidmat Pengurusan, Kejuruteraan, Perancangan Pembangunan, Perbendaharaan, Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan,Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam, Pesuruhjaya Bangunan dan tiga jabatan kontrek.

Anugerah-Anugerah disampaiakan oleh Y.Bhg. Dato' Tarmidi dan Dato' Hasan Nawawi. Cabutan bertuah menjadikan majlis meriah diadakan dan hadiah-hadiah disampaikan kepada mereka yang bertuah.

Sekian.

Kalian Menghadapi Ujian Dan Pergulatan: Kami Membahagi Simpati & Kasih Sayang

(Jalan Reko – Kajang Utama, 10 J.Awal = 24 April, Sabtu):

Pada kehidupan bertaburan rezeki
Sama dinikmati dari kurniaan Ilahi
Tetapi ramai dari insan malang
Menghadapi tragedi luar dugaan
Banjir, tanah runtuh, gempa, kebakaran
Sebahagian tersepit dicelah kehidupan
Merintih di bawah paras miskin tegar
Ibu tunggal mengadu hilang pergantungan
Anak yatim menangis tanpa pembelaan
Orang kurang upaya dengan kelemahan
yang sakit terus di pembaringan
Semuanya mohon simpati
Menggugat kemanusiaan
Menyayat perasaan.




Aku Wakil Rakyat yang darinya diharap
Pembelaan, pembangunan dan bantuan
Tertimbus dan lemas dengan mohonan
Berbaur ihsan dan kasih sayang
Terlampau besar dariku simpati
Terlalu kecil dariku dapat diberi
Atas dasar simpati dan kasih sayang
Kutetap turun mengunjungi
Menatap wajah muram
Basah mata dengan harapan
Mencair rasa ihsan.

Seperti hari ini kami datang
Atas kunjungan kebakaran
Rumah pangsa 25 Mac lalu
Dengan 4 keluarga mangsa
Kami membahagi simpati
Dengan sejumlah kewangan
Diharap meringankan beban.




Dengan mengarak simpati
Kami menuju ke gobok usang
Bertempat di Kajang Utama
Menghuni seorang ibu tunggal
Ditinggal suami terperangkap dadah
Menanggung empat anak
(pucat kekurangan zat)
Dengan pendapatan minimum
Seorang tak bersekolah
Oleh lewat pendaftaran
Memerlukan pengurusan
Kedatangan kami tentunya
Sedikit membahagi simpati
Membawa kelegaan sementara
Sedangkan awan hitam terus berarak
Menabur duka ke atas mereka
Meraih simpati dari kita
Adalah cabaran untuk dibela.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,

14 Jamadi Awal 1431
29 April 2010.

April 29, 2010

Penutupan SPIES Keluarga di Bandar Baru Bangi

SRAI, BBB, 9 J. Awal = 24 April (Sabtu):


Seminar SPIES Keluarga di sini berlangsung dari sebelah pagi hingga ke petang. Dimaksud SPIES Keluarga, iaitu ibu bapa dibawa bersama mengikuti seminar berkenaan. Walaupun begitu ada sesi diasingkan ibu bapa dari anak-anak, iaitu pelajar-pelajar di Sekolah Rendah Agama Integrasi di sini. Kehadiran ibu bapa berjumlah lebih kurang 100 orang. Seminar SPIES ini adalah anjuran dan menjadi jenama bagi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa Arab & al-Quran (PUSBA) sebagai penyampai seminar.


Turut sama dalam Majlis Tuan Haji Mohd. Zawawi bin Mughni dari PUSBA, Ustazah Haslina Guru Besar Sekolah Rendah Agama Integrasi Bandar Baru Bangi, Cikgu Ali sebagai Penyelaras dari Sekolah dan penyampai-penyampai seminar berdasarkan modul yang disediakan.


Pendekatan yang digunakan berdasarkan bahan seminar, iaitu bermula dengan mengenali apa itu SPIES (Spiritual, Physical, Intelectual, Emotional dan Social) bagi ibu bapa dan anak-anak, manakala slot dua diperkenalkan kepada ibu bapa topik, Formula ibu bapa cemerlang, Kenali Diri, manakala slot bagi anak-anak, Formula Pelajar Cemerlang, Kenali Diri. Slot dan topik ketiga bagi ibu bapa ialah Formula Ibu Bapa Cemerlang 1, Membina Kecerdasan Intelek, manakala bagi anak-anak ialah Formula Pelajar Cemerlang: Rahsia Potensi Diri. Bagi slot dan topik keempat bagi ibu bapa ialah topik Formula Ibu Bapa Cemerlang 2: Teknik Komunikasi Berkesan, manakala bagi anak-anak, Formula Pelajar Cemerlang: Membina Minda Cemerlang.


Pada sebelah petang ibubapa dan anak-anak disekalikan. Mereka dikehendaki mengikuti topik lima iaitu "Ibu Bapa Mithali: Mengurus Emosi", diikuti dengan "Introspektif dengan Plan Tindakan dan rumusan".

ADNS Bangi dalam ucapan penutupnya, berterima kasih kerana menjemput ADNS. Beliau mengingatkan bahawa dengan mengikuti Seminar Keibubapaan dan pelajar, buka bererti tuan-tuan dan puan-puan para ibu bapa dianggap tidak berilmu, kerana ibu bapa di Bangi pada keseluruhannya adalah dari kalangan inteleks. Perkara yang dikemukakan kepada ibu bapa mungkin antaranya sudah sedia di dalam makluman tuan-tuan dan puan-puan. Seminar adalah bersifat ingat mengingat. Sesungguhnya dengan ingat mengingat dapat memberi manfaat dan memberi kesedaran lebih tinggi kepada ibu bapa terutama di dalam memberi tumpuan dan bimbingan kepada anak-anak bagi mendorong mereka kepada kecemerlangan. Di dalam kehidupan moden dan kurang kesempatan bagi ibu bapa memberi perhatian kepada anak-anak, maka dengan Seminar yang diikuti memberi peringatan dan gesaan kepada ibu bapa menyediakan masa-masa berkualiti bersama dan membimbing anak-anak.

Bagi memupuk syakhsiah dan akhlak anak-anak memerlukan situasi keluarga dan environment yang kondusif dan baik. Semoga dengan mengikuti Seminar memberi peringatan dan tindakan ibu bapa berusaha menyediakan keperluan berkenaan kepada anak-anak, bahkan bersama mereka mewujudkan suasana keluarga bahagia dan rumah merupakan syurga bersama. Dengan penyediaan ini memungkinkan bertumbuhnya potensi yang ada pada anak-anak menjadikannya sebagai anak yang cemerlang yang terpancar dari keluarga cemerlang, seterusnya memberi saham kepada masyarakat cemerlang.

Tanggapan dan pemerhatian ADNS, bahawa ibu bapa berpuashati dengan seminar yang diikuti, lantaran itu ibu bapa setia menunggu dan mengikuti seminar dengan tekun hingga ke penghujung. ADNS berharap dengan melalui Seminar yang diikuti akan mengubah suasana keluarga menjadi lebih baik yang memungkinkan lahirnya anak yang cemerlang.

Sekian.

Persiapan Menerima Kematian

Surau al-Umm, BBB, 9 J. Awal = 24 April (Sabtu):

Kesibukan atau lalai, kadang-kadang menjadi kita lupa tentang kepastian, bahawa kematian pasti datang mengunjungi diri. Bila berlaku kematian seperti pada keluarga, tetapi tidak ada di kalangan keluarga yang sepatutnya mengambil tindakan menjelang kematian dan sesudah kematian. Lantaran semuanya mengharapkan kepada orang lain melepaskan tuntutan kifayah. Misalnya kepada imam atau ustazah yang ada. Jika tidak, mungkin bermasalah untuk mencari mereka yang faham dan dapat menguruskan. Sebaik-baik pengurusan adalah oleh keluarga sendiri. Misalnya kematian seorang bapa diurus jenazahnya oleh anak-anak lelakinya sendiri, begitu juga kematian seorang ibu diurus jenazahnya oleh anak-anak perempuannya. Dengan demikian penghormatan dan aib yang mungkin berlaku tersimpan rahsia di kalangan keluarga. Bahkan mengimami sembahyang jenazah lebih aula dipimpin anak lelaki si mati, sekiranya ada yang berkelayakan dari anak-anak si mati.


Atas kesedaran ini pihak Surau al-Umm Seksyen Satu Bandar Baru Bangi di bawah kepimpinan Muslimat yang terdiri dari Puan Hajah Mu'minah, Hajah Aminah dan Hajah Kamariah telah mengambil keputusan menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah selama dua hari berturut-turut, iaitu dari 24 - 25 April (Sabtu dan Ahad) bertempat di Surau al-Umm. Guru yang dijemput bagi mengendalikan kursus ialah Ustazah Arbaiyah, iaitu seorang Guru yang berpengalaman menguruskan jenazah, khususnya di Hospital Kajang dan juga di pelbagai tempat. Kursus ini ditaja oleh Kolej Komuniti Hulu Langat bagi hari pertama dengan biayaan dari JAIS, manakala hari kedua ditanggung ahli. Ahli Dewan Undangan Negeri Bangi menampung segala keperluan dan peruntukan yang lain. Seorang pegawai dari Kolej Komuniti Hulu Langat, iaitu Encik Shahrum dihantar bagi memantau perjalanan kursus dan penyertaan. Kehadiran adalah menggalakkan. Sejumlah 50 orang mendaftar, termasuk peserta-peserta luar dari kawasan 1/3.


Pada pagi hari pertama Ahli Dewan Negeri dijemput menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan kursus. ADNS mengucapkan terima kasih menjemputnya untuk merasmikan kursus dan mengucap tahniah kepada Ahli Jawatankuasa yang dapat menarik kehadiran yang agak ramai. Menurut ADNS, Kerajaan Negeri Selangor memang menggalakkan surau dan masjid mengadakan berbagai-bagai kegiatan dan kursus yang diadakan pada hari ini memberi manfaat kepada muslimat, khususnya sebagai persediaan menghadapi peristiwa kematian yang mungkin berlaku kepada keluarga dan jiran tetangga. Sekurang-kurangnya kita dapat menunaikan tuntutan fardu kifayah di dalam menyelenggarakan jenazah.

Menurut ADNS di kawasan 1/3 Seksyen Satu, masih tidak ada penyelenggara jenazah muslimat. Dengan kursus yang diadakan pada hari ini sekurang-kurangnya dapat menyediakan penyelenggara tempatan dari kalangan muslimat setempat. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Kolej Komuniti Hulu Langat yang menaja kursus dan kepada Ustazah Arbaiyah yang menyampaikan kursus. Pihak ADNS Bangi bersukacita dapat bersama mengambil bahagian di dalam membantu keperluan bagi melaksanakan kursus yang dijalankan. ADNS sedia membantu peruntukan-peruntukan bagi kegiatan-kegiatan bermanfaat yang lain.


Difahamkan Ustazah Arbaiyah menyampaikan kursus secara teori dan praktikal dan menceritakan pengalaman-pengalamannya di dalam menguruskan mayat. Peserta kursus juga diminta untuk berlakon sebagai si mati dan dilakukan proses pengurusan jenazah terhadap dirinya.

Sekian. Terima kasih.

April 28, 2010

Grand Opening of SACC That Bangi Likes to Have One

Shah Alam, 12 J. Awal = 27 April (Tuesday):

HIS Royal Highness Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah al-Haj Ibni al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah al-Haj today launched the Grand Opening of Shah Alam Convention Centre here. Together to welcome Baginda were YAB Tan Sri Dato' Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor, Y. Bhg. Tuan Othman bin Haji Omar General Manager PKNS, members of State Assemblymen and Parliament, Selangor State Government Servants and Cooperates.


YAB Menteri Besar in his speech congratulated the board of directors, management and employees of SACC as well as Perbadanan Negeri Selangor (PKNS) for their success to elevating Shah Alam to the eyes of the world. Dato' Menteri Besar said, "SACC is developed with the mission to fulfill the needs of MICE (Meetings, Incentives, Conventions & Exhibitions) industry which is one of the key contributors in the Selangor tourism industry with the development of this convention Centre."

Before that in his welcoming speech Y.Bhg. Tuan Othman bin Haji Omar General Manager of PKNS said that:, "For the first time, we have a fully equipped convention centre that will mark the birth the new chapter in the development of Shah Alam." Tuan Othman remarked, "Being in existence since 1964, PKNS is the developer of 11 integrated townships including Shah Alam, that we have come a long way. From low cost houses and now this pretigious project. PKNS extremely proud with this achievement. The Convention Centre is on a 2.5 acres land. It was built in 2006 and completed in June 2009, with a total development costing RM66 million. It opened its doors for business when soft-launched in August 2009.


Tuan Othman added, "I believe that SACC will be at par with other international convention centre. We look forward to the day when Shah Alam Convention Centre becomes an international landmark, thus making Selangor, especially Shah Alam recognized as one of the international venue for any event !"


Meanwhile, Bangi as a town of science and knowledge and considered second town well planned aftar Shah Alam needs such a convention centre. That was raised during the visit of YAB Tan Sri Dato' Menteri Besar to KUIS (22 June 2008) and launched the slogan that Bangi Bandar Ilmu. A Bangi Convention Centre is very important to cater the need of people and intellectuals populated the town. The community of universities in Bangi and its surrounding, researchers, culturists and students need such Convention Centre. For that purpose Bangi State Assemblyman and Chairman of Bandar Baru Bangi People Association had met Controller of PKNS in Bandar Bangi last year and discussed the proposal of Convention Centre in Bandar Baru Bangi. We proposed the Bangi Convention Centre to be built near Tasik Cempaka infront of the Bangi Library and in fact beside the PKNS Building. That area is in the centre of Bandar Baru Bangi and one of the beautiful place that attracted people especially during the weekend. As Bangi is a town of intellectual at the most southern part of Selangor near the KLIA and Putrajaya a Convention Centre here could attracted intellectuals, tourists, students and visitors during the conventions here. They could visit here many universities, research institutions and the people here.


We hope the Government of Selangor and PKNS would considered that Bangi Convention Centre (BCC) as one of the tops priority to be implement in the near future – Insha Allah.

Thank you.

April 27, 2010

Pas Selangor Memerlukan Islah Dan Tajdid Bagi Mengukuhkan Kedudukan

BBB, 11 Jamadil Awal 1431 = 26 April 2010 (Isnin):

Keputusan pilihanraya P094 Hulu Selangor diketahui, walaupun banyak perkara boleh dipertikai, tetapi kita perlu menangkap isyarat dengan cepat. Pihak BN pasti akan menggunakan kemenangan sebagai senjata bagi mereka mara ke hadapan secara lebih agresif bagi menawan Selangor pada pilihanraya ke 13 mendatang. Kesedaran dan bertindak lebih awal secara bijaksana amat penting sehingga jangan sampai keputusan menjadi tsunami perubahan bagai mengulangi peristiwa pilihanraya 2004.

Bagi Pas sebagai ahli dalam komponan Pakatan Rakyat tidak dapat melepas diri dari kesan kekalahan pilihanraya tersebut, apa lagi kita memang mengambil bahagian yang aktif bagi memenangkan PKR sebagai ahli Pakatan. Sudah tentu Pakatan Rakyat di Selangor perlu bermuhasabah dan mengambil pendekatan bijaksana bersifat pro-aktif bagi memulih wibawa dan kepercayaan rakyat terhadap pakatan.

Bagi Pas yang sejiran sehalaman, ibarat berlakunya gempa yang merosakkan perumahan jiran dan Pas turut mengalami kegoncangan bersiri sejak sebelum pilihanraya lagi, khususnya bagi negeri Selangor, seharusnya memikirkan, bukan saja kaedah-kaedah pencegahan dari kegoncangan, tetapi bermuhasabah bagi memperkasakan Pas secara islah dan tajdid hingga mampu tegak berdiri andainya berlaku gempa dan selamat mendepani andainya berdepan tsunami..

Apa persepsi masyarakat di Selangor terhadap Pas setakat ini ? Pas sebanarnya makin meningkat diri dari segi kualiti dan bertapak di hati umat dan dipercayai oleh bukan muslim. Ciri utama menonjolnya Pas ialah `AMANAH` yang menjadi jenamanya di tengah kepelbagaian parti. Ciri ini perlu dipertahan, dipertingkat dan disebarluaskan. Dengan AMANAH turut berlindung sama di bawah khemah perjuangan Pas secara selesa oleh mereka yang bukan Islam. Sesungguhnya ianya diperkukuhkan lagi dengan prinsip dan dasar Pas yang tidak bercanggah dengan sifat universal seperti keadilan, demokrasi dan kemanusiaan.

Kepercayaan yang diberi oleh masyarakat dengan jenama yang makin menyerlahkannya adalah asset penting bagi Pas dan hendaklah diambil kesempatan oleh Pas Selangor bagi mengislah dan mentajdid segala pendekatan dan kegiatan bahkan menambah usaha yang sedemikian ke peringkat maksimum. Melalui islah dan tajdid Pas hendaklah berusaha melebarluaskan jenama, bahawa Pas dengan AMANAH dan UNIVERSALnya menjadi parti lebih diterima semua kaum. Slogan. "PAS for All" hendaklah benar-benar dipraktik dan tercermin di dalam berbagai kegiatan kemasyarakatan, pembelaan keadilan, hak asasi dan memelihara bumi sama ada bersifat tempatan, maupun antarabangsa sehingga dilihat Pas adalah BERAMANAH, UNIVERSAL dan PEMBELA.

Peluang diberi kepada Pas mentadbir di Selangor sepatutnya diambil bahagian oleh Pas secara aktif dengan menekankan AMANAH dan UNIVERSALnya sehingga dilihat mampu dan berwibawa di dalam mentadbir dan menjaga kepentingan parti dan masyarakat. Kita berharap dengan kewibawaan parti mentadbir, Pas dan pentadbir-pentadbir dihormati dan dipatuhi sehingga tidak timbul pengabaian dan tidak hormat oleh agensi dan jabatan. Mereka yang diberi AMANAH oleh parti hendaklah menjalankan tugas dengan AMANAH dan berdedikasi sama ada pada peringkat Negeri, Daerah, kerajaan tempatan, agensi-agensi dan institusi-institusi.

Ahli-ahli Pas yang memenangi pilihanraya pada peringkat Dewan Negeri dan Parlimen seharusnya telah menunujukkan kewibawaan mereka selaku wakil rakyat dan menambahkan kewibaan di dalam memberi khidmat bakti kepada masyarakat secara AMANAH, tanpa mengira kaum dan kedudukan. Di dalam berkhidmat Pas hendaklah sentiasa bersedia dengan ujian pilihanraya. Oleh kerana AMANAH dan kewibawaannya sewajarnya kelak tidak timbul pertikaian bagi mengekalkannya di mana tempat mereka bertanding. Namun adalah dipertikaikan sejauh mana fungsi Pas di dalam menerima hak dan peruntukan bagi kawasan-kawasan yang ditandingi, walaupun perkara ini telah ditimbulkan berkali-kali dengan pengakuan dibuat, tetapi hingga kini tidak dilaksanakan. Ini merugikan Pas, bahkan mencerminkan kelemahan Pas di dalam menuntut haknya di samping hak-hak yang lain yang sepatut diberi kepadanya.

Separuh perjalanan telah berlalu. Apakah Pas begitu selesa ? Kita kira pastinya tidak. Pas hendaklah mengekalkan persahabatan dan dalam masa yang sama memperkukuhkan kedudukan. Dengan pegangan akidah yang kukuh serta AMANAH Pas hendaklah meningkatkan prestasi dengan mengislahkan diri, mentajdidkan pendekatan dan memperkukuhkan kedudukan di tengah masyarakat dan di mata rakyat. Rasulullah membawa perutusan dengan AMANAH dan Kita hendaklah menjunjung AMANAH. Ketahanan dalaman memperkukuhkan luaran, insya Allah mampu menghadapi ujian.

Sekian.

April 26, 2010

Naratif Kunjungan Ke Pusat-Pusat Mengundi

Hulu Selangor, 10 J. Awal = 25 April (Ahad):


Adalah tarikh membuang undi
Pilihanraya kecil P94 Hulu Selangor
Kami membuat keputusan mengunjungi
Sebanyak pusat dapat di kejar

Pagi selepas rasmikan gotong royong
Kami bergegas ke lokasi terawal
Pertama Pusat Bukit Beruntung
Hangat pertentangan PKR-BN terkawal.


Kami bergerak ke Pusat Bukit Teratai
Kedua pihak dimeriah orang India
Grassroot kepada PKR teramai
Hanya pegawai dan elit kepada BN saja.

Lokasi ketiga berpusat di Sungai Buaya
Tempat BN memberi habuan seribu
Bakinya disempurna jika BN berjaya
Tidakkah SPRM mengira rasuah itu ?

12.30 di Serendah kami tiba
Jumpa dengan Ean dan Fauziah
Di sini pengundi Cina nyata
Beri sokongan tiada masalah.


1.30 berada di pusat Ulu Yam Baru
Beri semangat pada petugas-petugas
Bersalat jamaah Zohor di masjid di situ
Sebelum bergerak berada secara ringkas.

Kunjungan keenam di Yam Lama
Pengundian di Pusat SRJKC Choong
Kedua pihak nampaknya sederhana
Tidak agresif menarik penyokong.


Pusat ketujuh di Batang Kali
Berderet jem dengan kenderaan
Kedua pihak hangat bersuara tinggi
Ejek-mengejek menyebab pertengkaran.

Ziarah kelapan di Pekan Rasa
Menerima hadir YB Ronnie Liu
Sokongan pada Pakatan nampak nyata
Walaupun keseluruhan belum tentu.

Kunjungan ke 9 Kg. Melayu Rasa
YAB Menteri Besar bersama datang
Sokongan di sini tak begitu nyata
Kehadiran YAB meningkat peluang.

Ziarah ke sepuluh di Kuala Kubu Baru
Pengundian di Sekolah Ampang Pecah
Di sini kedua pihak agresif menyerbu
Campurtangan polis dapat mencegah.

Jam 4.30 di Sijantung Kalumpang
Kawasan Cina dalam kawasan pekan
Sebelah menyebelah bertengkaran
Meskipun tegang ada yang melucukan.

Masa sedikit kunjungan ke 12 berbaki
Kami bergegas ke pengundian di Titiwangsa
Bertembung dengan Kamalnathan di sini
Di dalam berkejar berakhirnya masa..


Di sini berkesempatan tamatnya lawatan
Salat Asar berjamaah di Surau Hidayah
Pengakhiran memanjatkan doa mohonan
Kemenangan jua hendaknya dari Allah.

Malam ini jam 9.00 selepas pulang
Berita tidak berpihak menguji tabah
Perlu muhasabah dengan kekhilapan
Tiada noktah perjuangan di jalan Allah.

Bandar Baru Bangi,

Shafie Abu Bakar.

April 25, 2010

Bersama Rentak Memuncak Dan Thrill Pilihanraya Hulu Selangor

BBB, 8 – 9 Jamadil Awal = 23 April (Jumaat dan Sabtu):

Ahli-ahli PAS adalah ibarat "Tentera Simpanan" yang sentiasa bersiap siaga dan sedia menerima arahan pada bila-bila masa. Demikianlah bagi pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor, PAS menurut modes operandi biasa menghantar bantuan tenaga dan material ke lokasi pilihanraya dari peringkat tertinggi membawa kepada peringkat grassroot. Bagi pilihanraya kecil Hulu Selangor, ahli-ahli PAS diperingatkan PAS adalah bertaraf membantu menurut arahan PKR yang dipersetujui bersama bertanding di Parlimen Hulu Selangor. Atas dasar ini PAS dari peringkat Pusat, Negeri dan Kawasan menghantar petugas-petugas secara bertahap dari peringkat atas ke bawah ke lokasi-lokasi yang ditentukan. Demikianlah PAS Serdang menghantar pasukannya bertempat di Kalumpang bagi muslimin, manakala bagi muslimat di Rasa dan Taman Samudera.

Namun apabila isyarat kecemasan diterima dari Setiausaha Agung dan arahan diterima supaya menurunkan "Bala Bantuan Tambahan" kepada jumlah tujuh ribu orang. Serdang yang telah sedia menghantar pasukannya bersilih ganti menggerak agar "Bala Bantuan Tambahan" dihantar segera.

Mulai pagi Jumaat 23 April, bukan saja ahli, tetapi kakitangan pejabat ADNS Bangi diperturunkan sepenuhnya hadir ke Kalumpang, manakala ADNS Bangi beserta Saudara Azizi mengiringi Pasukan Nisa' dari pejabat dan kawan-kawan mereka ke lokasi baru yang belum dikunjungi sebelumnya. Mereka diiringi ke sempadan negeri Selangor dan Perak, bahkan masuk ke Bandar Tanjung Malim bertanyakan lokasi penginapan dan operasi mereka. Setelah berkali-kali bertanya dan membuat hubungan, ternyata tempat penginapan mereka di Taman Samudera. Namun apabila tiba, dimaklumi tempat itu terlampau penuh dan diminta ke lokasi di jalan ke Kalumpang. Dengan mengikuti seorang pemandu jalan bermotosikal kami tiba ke sebuah kedai makan yang di atasnya penempatan muslimat. Kami masih ragu untuk meninggalkan muslimat yang mereka adalah tenaga pekerja di Pejabat ADNS Bangi, walaupun sudah diberikan kunci. Penempatan itu kosong, kerana dimaklumkan pasukan muslimat dari Kelantan telah pulang pada petangnya. Sehinggalah datang seorang muslimat tempatan yang juga terlibat dengan penempatan muslimat di situ, barulah kami rasa yakin dengan keselamatan dan Muslimat membawa barang-barang ke atas dari kereta mereka. Mereka dikehendaki esok bergabung dengan muslimat di Taman Samudera yang sesak dengan muslimat dari pelbagai tempat.

Selesai urusan, aku dan Azizi bertolak ke Markas bagi Serdang di Kalumpang. Setelah sembahyang jamak, kami bertolak ke satu lokasi dekat Gumut, berceramah kepada sejumlah lebih kurang seratus orang masyarakat India di situ. Ceramah dikendalikan oleh penceramah-penceramah dari kalangan orang India, manakala aku turut berceramah menerangkan tentang konsep Pakatan Rakyat, fungsi dan praktik Kelab Penyokong dan apa yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor dan meminta mereka mengundi calon Pakatan Rakyat - Zaid Ibrahim.

Apa yang unik pada malam ini menyusuri ceramah-ceramah, masyarakat India di sini dihidangi dengan nasyid di dalam bahasa India. Pasukan nasyid khas ini dibawa dari Shah Alam. Pasukan nasyid yang dikenali dengan "Salam" terdiri dari tiga penasyid, iaitu Zaidi, Azhar dan Fadhli. Mereka membawa 4 lagu dalam bahasa India. Antaranya mereka menyanyikan lagi "Ooli Thedal" yang bermaksud "Mencari Cahaya". Mereka diberi tepukan gemuruh oleh pendengar dari kalangan masyarakat India, bahkan nyanyian terpaksa diulangkan atas permintaan. ADNS Bangi bertanya kepada beberapa orang India, tentang sebutan penasyid berkenaan. Mereka berkata adalah tepat. Pasukan ini pernah ke Chinnai India berlatih dan membuat pertunjukan.


Sementara itu pada Sabtu 24 April ini, setelah melaksanakan program-program di Bangi yang telah diatur, ADNS Bangi bersama Saudara Azizi bergegas ke Perumahan Pangsapuri Seri Kembangan Seksyen 7 Bandar Bukit Beruntung menyertai YB Saudara Iskandar Abdul Samad Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan menjalankan program kemasyarakatan di kawasan Pangsapuri tersebut bersama dengan pembantu-pembantunya dan masyarakat setempat. Turut hadir sama YB Dr. Halimah Ali Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, juga hadir, Datin Paduka Alinah Ahmad Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan ahli-ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor. Pada Hari "Pangsa Pura Bersih" ini berbagai-bagai kegiatan diadakan seperti peraduan melukis bagi kanak-kanak, sukan bagi kalangan belia dan dewasa serta pertandingan gubahan di kalangan ibu. Hadiah-hadiah pemenang dan hadiah kepada kalangan miskin dan warga mas disampaikan oleh YB Iskandar.


Sekian.

April 24, 2010

DYMM Sultan Selangor Rasmikan Masjid Manba`il Ulum

Cheras Jaya, 08 J. Awal = 23 April (Jumaat):


Jam 1.00 hari ini Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sultan Selangor merasmikan Masjid Manba'il Ulum Cheras Jaya. Dalam Ucapan Perasmian Baginda bersyukur dapat hadir merasmikan Masjid Manba'il Ulum yang tersergam Indah. Titah Baginda Masjid amat penting bagi umat Islam beribadah, belajar, mengadakan kegiatan kemasyarakatan dan menghubung silaturrahim antara sesama umat Islam. Sebaliknya Baginda tidak mau masjid dijadikan tempat berdemonstrasi dan perkara negatif yang lain. Baginda juga mau pegawai-pegawai masjid patuh pada aturan, tidak membenarkan mereka yang tidak bertauliah mengajar dan berceramah serta membawa fahaman yang bercanggah dan boleh membawa pecah belah masyarakat. Baginda mengharapkan pegawai-pegawai masjid menjaga masjid yang indah dengan baik seperti menjaga kebersihan dan mengekalkan keindahan kawasan sehingga kekal menarik. Menurut Baginda Kerajaan mengeluarkan peruntukan berjuta ringgit, sebab itu hargailah Masjid dan makmurkanlah Masjid dengan berbagai-bagai kegiatan yang bermanfaat.

Sementara itu Dato' Haji Mohamed Khusrin bin Haji Munawi Pengarah JAIS, ketika merafak sembah dan menyampaikan ucapan alu-aluan menjunjung kasih di atas kesudian DYMM Tuanku Sultan merasmikan Masjid Manba`il Ulum pada tengahari tersebut.

Menurut beliau Masjid Manba'il Ulum bermula dari sebuah Madrasah yang didirikan pada tahun 1987 yang ketika itu berharga RM38,000, iaitu hasil sumbangan dari penduduk di Cheras Jaya dan pada tahun 1995 dinaik taraf membolehkan Surau Manba`il Ulum didirikan sembahyang Jumaat. Pertambahan penduduk dari taman-taman perumahan yang wujud memerlukan sebuah masjid.


Masjid yang baru dirikan tidak jauh dari tapak surau lama, iaitu terletak di Batu 11, Taman Cheras Jaya di atas tanah Lot 27910, seluas 2.6 ekar. Pembinaannya bermula 12.12.2004 dan penggunaannya bermula dari 28.8.2006 yang dapat memuatkan jamaah seramai 2,500 orang. Harga pembinaannya ialah RM5,331,684.28.


Pada majlis ini DYMM Tuanku Sultan diiringi oleh Tan Si Dato' Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor, Pembesar-Pembesar Negeri dan Daerah Pengarah Jais dan pegawai-pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid serta rakyat merasmikan Masjid dan menandatangani plag perasmian serta menunaikan sembahyang Jumaat bersama rakyat jelata. Sembahyang Jumaat diimami oleh Sahibus-Samahah Dato` Seri Utama Diraja Haji Tamyiz Mufti Kerajaan Negeri Selangor yang juga membaca khutbah.

Pengerusi Pertama Madrasah Manba'il Ulum ialah Tuan Syed Abu Dzahir. Beliaulah yang memilih nama Madrasah pada permulaan dibangunkan dengan nama Madrasah Manba`il Ulum yang bermaksud Tempat Pancaran Ilmu. Kini Masjid Manba'il Ulum dipimpin oleh sebuah Ahli Jawatankuasa yang dipimpin oleh Nazir yang dilantik, iaitu Tuan Haji Azman Idris. Imam I ialah Ustaz Ahmad Fauzi bin Dahalan, Imam II Tuan Haji Md Nah bin Abdullah dan Imam III Ustaz Ahmad Nawai bin Sabaruddin. Bilal I Tuan Haji Mohd Nasri bin Abdul Hamid, Bilal II Ustaz Ahmad Faiz Amini bin Salleh, manakala Siak I En. Mohd Yusoff bin Mohamad dan Siak II En. Eman bin Hj. Sa'arani.


Kita berharap Masjid Manba'il Ulum terus dimakmurkan dengan kegiatan ibadah, keilmuan dan kemasyarakatan – Insya Allah.

Sekian.

April 23, 2010

Kalumpang Dan Gumut: Apa Erti?

Anekdot:
Pada petang Ahad 18 April, kami tiba di Kuala Kubu dengan tujuan menghadiri jemputan Pelancaran Geleri Seni Dan Sastera, di Kuala Kubu Baru. Sepetang kami mencari dan bertanya tempat yang akan diadakan Pelancaran pada malam itu, tapi tak ketemu. Setelah sembahyang Asar di Masjid Kuala Kubu, kami ke Markas Serdang (bersama 3 UPU yang lain) di Kalumpang. Di Markas ini kami dapat kerjasama dengan Cikgu Soroso. Kami dibawa mengenali kawasan operasi bagi Kawasan Serdang dari Kalumpang membawalah ke Gumut menaiki kereta. Dalam perjalanan, sebagai orang tempatan beliau memperkenalkan kawasan, kawasan putih, hitam dan juga kelabu. Latar belakang penduduk. Beliau mengenali setiap penduduk dan menerangkan kecenderungan mereka. Ini bagi memudah dan menjadi panduan untuk kami meraih undi.
Dalam perjalanan aku bertanya, "Cikgu memang asal orang di sini ?"
"Memang saya orang sini dan terlibat dalam gerakan parti sejak berumur 15 tahun," jawabnya.
"Tidak ada tekanan dari pihak atasan?" tanyaku. "Ada", katanya, "Banyak kali ditukar, tapi dikeliling kawasan yang membolehkan saya berulang dari rumah," katanya.
"Kita tidak boleh tunjuk rasa takut tentang kebenaran perjuangan", tambahnya.
"Oleh kerana kita cekal, akhirnya mereka tak kisah," tegasnya.
"Cikgu, Apa erti Kalumpang ?," tanyaku.
Entahlah jawabnya, "Ada dikatakan nama bagi pokok buah," jawabnya.
"Ada pokok itu di sini ?"tanyaku lagi.
"Cakap orang, tapi saya tidak melihat pokoknya," jawabnya.

Dalam perjalanan, kami sampai ke Kampong Gumut yang papan tanda bagi nama kampong tersebut berada di tepi jalan, tapi kampungnya tersorot masuk ke dalam.
Sambil beliau menerangkan tentang latar dan kependudukan serta kecenderungan penduduk, sekali lagi aku bertanya.
"Apa pula makna Gumut yang jadi nama kampong di sini?"
Beliau menjawab, "Nama ini kami warisi dan tidak tahu maknanya,"
Keinginan untuk mengetahui erti Kalumpang dan Gumut melekat di mindaku. Apabila aku pulang ke Bangi. Ketika di pejabat aku membuka Kamus Dewan bagi mengetahui erti kedua-dua istilah tersebut.
Dari Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007, halaman 715 dan 722, aku dapati istilah:

Kelompang bererti kulit telur yang tidak berisi, atau kosong (tidak berisi) juga bererti kecewa, hampa.
Kelompangan bererti keadaan kosong, kekosongan.
Kelempung, kelumpung juga bererti sejenis tumbuhan.
Aku membuat kesimpulan Kalumpang adalah seerti di atas, berlaku perubahan sebutan kerana dipengaruhi dialek tempatan – semuanya memaksudkan kepada sejenis tumbuhan.
Aku juga mencari dari segi istilah 'Gumut'. Tiada kedapatan dalam Kamus Dewan. Istilah yang ada ialah:
Gomok bereerti Katak yang buncit atau Kuih yang dibuat dari jagung, kacang atau beras (halaman 480).
Gumuk, gumukan bererti Bukit Kecil.
Sememangnya Kampung Gumut ini berlatarbelakangkan bukit-bukit kecil yang mensempadankan negeri Selangor dengan Perak.
Aku mengambil kesimpulan istilah Gumut adalah berasal dari Gumuk, terjadi perubahan kepada sebutan Gumuk kepada Gumut oleh pengaruh dialek tempatan.

Pada tengahari 21 April 2010 (Rabu), aku berada lagi di Pekan Sijantung, Kalumpang. Sementara menunggu YAB Menteri Besar Selangor tiba bagi menyampaikan peruntukan bagi Sekolah-Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK C) di sini. kami bercakap-cakap dengan Speaker Dewan Negeri Selangor, penduduk tempatan, Guru-Guru Besar atau Pengerusi-Pengerusi PIBG atau Wakil-Wakil mereka. Dalam percakapan timbul lagi tentang istilah Kalumpang.

Menurut Tuan Speaker, orang-orang Cina di Kalumpang, lebih suka menyebut Kalumpang dengan istilah 'Lumpang' sahaja, kerana lumpang (Lompang) memberi erti Singa dan juga Keemasan. Sedangkan Lumpang atau Lompang bagi istilah bahasa Melayu ialah Kosong atau sesuatu yang kosong berada di antara yang lain.
Secara bergurau aku katakana.
"Kalumpang yang selama ini lompang (kosong) dari bantuan (SRJK C), hari ini dilompangi (singa dan keemasan) dengan bantuan (peruntukan bagi Sekolah-sekolah) dari Kerajaan Pakatan Rakyat.

Buah ketapang buah gucil
Sama-sama masam rasanya
Kalumpang dan Gumut terpencil
Terkenal dengan pilihanraya.

Dari Bangi ke Kuala Kubu
Dua jam masa perjalanan
Kami ke mari berhala tuju
Sokongilah Kerajaan Pakatan

Di Masjid Kuala Kubu kami berhenti
Rehat seketika selepas sembahnyang
Dua tahun Pakatan Rakyat membukti
Adil, telus, demokratk, berkebajikan.

Sekian.

April 22, 2010

Sukan PASTI Bina Sahsiah Pererat Ukhuwwah

Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi, 2 Jamadil Awal = 17 April (Sabtu):


Pasti Serdang bagi kali kelima mengadakan Pesta sukan antara PASTI Kawasan. Kali ini Pasti Kawasan memilih Sukan Bola Sepak bagi lelaki dan Bola Jaring bagi anak-anak perempuan. Tempat yang asalnya sepatutnya diadakan di padang KUIS telah dipindah ke Padang Awam, Taman Tasik Cempaka, kerana tempat ini lebih terbuka dan mempunyai kemudahan-kemudahan.


Menurut Tuan Haji Shahronizam Pengerusi PASTI kawasan, penyertaan PASTI-PASTI pada kali ini amat menggalakkan dalam mana 21 Pasti mengambil bahagian. 18 daripada Pasti tersebut mengambil bahagian dalam pertandingan bola sepak dan 16 pasukan dalam bola jaring. Menurut Haji Shahrulnizam, Pesta Sukan kali ini diadakan dengan agak besar-besaran, adalah sempena menjelangnya 25 tahun usia Pasti.

ADNS Bangi, dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur kepada Allah Pasti kini berusia 25 tahun dan dalam masa tersebut Pasti telah membuktikan ianya adalah pendidikan terbaik bagi anak-anak pada peringkat pra-sekolah. Jenama Pasti telah diyakini dan diharap ianya semakin mantap dan berwibawa. Dalam usia 25 tahun telah ramai keluaran pasti berjaya di dalam pelajaran yang ramai dari mereka menyambung pelajaran pada peringkat pengajian tinggi sama ada di dalam atau luar Negara. Bahkan sebahagian dari mereka sudah berkhidmat di dalam berbagai-bagai bidang kerjaya dengan dedikasi dan amanah sebagai sebahagian dari nilai-nilai yang ditanam sejak mereka belajar pada peringkat Pasti. ADNS menggesa supaya pihak Pasti Pusat dan Tempatan membina profil anak-anak yang keluar dari Pasti, memonitar dan menjadikan mereka yang berjaya sebagai contoh teladan bagi anak-anak yang sedang belajar dan bakal belajar di Pasti. Mereka boleh dijadikan asset yang mana dari mereka boleh diambil fikiran bagi perkembangan pendidikan Islam kepada bidang dan ruang yang lebih luas.

Pendidikan Pasti sudah tentulah mementingkan pendidikan yang bersifat holistic yang melibatkan minda, rohani dan jasmani. Pendidikan dan pembinaan semua ini seharusnya bersifat berterusan. Pendidikan minda dan rohani memanglah merupakan agenda yang utama, tetapi mungkin kita melihat pendidikan jasmani sebagai sesuatu yang remeh dan tidak penting. Sebenarnya jasmani sebagai kenderaan yang membawa diri bergerak di tengah masyarakat. Kalau jasmani tidak sihat, memasalahkan diri, bahkan memasalahkan dari pembinaan minda dan rohani. Sebab itu pendidikan jasmani juga haruslah bersifat berterusan, bukan semata-mata setakat memasuki pesta dan pertandingan. Pendidikan jasmani hendaklah termasuk penjagaan dari segi makan minum, dari segi halal dan haram dan dari segi sihat dan sakit. Pepatah ada berkata, `Akal yang sihat berada pada tubuh badan yang sihat`. Bahkan kelangsungan hidup kita dan segala kegiatan adalah bergantung pada kesihatan diri. Sebab itu pendidikan jasmani hendaklah selari dan bersifat berterusan sebagaimana pendidikan akli atau minda dan rohani.


Melanjutkan pandangannya ADNS bergembira dari interaksi yang berlaku antara petugas-petugas, guru-guru, ibu bapa dan anak-anak. Ini adalah merupakan antara hikmat yang timbul dari Pesta Sukan yang diadakan. Pertemuan antara pasti tidak mudah diadakan seperti melalui sukan, begitu juga antara ibu bapa dengan guru-guru dan petugas-petugas. Ini mengeratkan hubungan antara keluarga Pasti yang seharusnya dipupuk secara berterusan. Dengan interaksi sedemikian meningkatkan kerjasama antara Pasti dan ibu bapa dan juga dengan pihak pentadbir.


Melalui Sukan Pasti yang yang diadakan pada hari ini dan yang lain-lain kita dapat menanamkan semangat berlumba-lumba secara sihat di kalangan anak-anak. Semangat perlumbaan sihat ini penting bagi kemajuan anak-anak di dalam menghadapi pelajaran, bahkan di dalam perkhidmatan dan kehidupan mereka. ADNS Bangi mengakhiri ucapan dengan harapan sukan yang dianjurkan berjalan dengan baik, mencapai objektif dan mendapat rahmat dan keredhaan dari Allah.


Pada majlis ini ADNS Bangi berkesempatan mencabut nombor-nombor bertuah dan menyampaikan hadiah-hadiah.


Sekian. Terima kasih.

April 21, 2010

SRJK Cina (YOKE Min) Pekan Bangi Dapat Peruntukan RM20,000

Sijantung, Kalumpang, Hulu Selangor, 05 J. Awal = 20 April (Selasa):


Pada hari kedua (Selasa 13 April) Persidangan Dewan Negeri Selangor baru-baru ini, pada waktu rehat antara jam 1.00–2.30 tengahari semua ADNS yang kawasan mereka mempunyai Sekolah SRJK Cina dijemput ke mesyuarat di Bangunan Annex membincangkan peruntukan bagi sekolah-sekolah berkenaan yang terdapat di Selangor. ADNS Bangi turut hadir. Bila senarai Sekolah diedarkan, ADNS Bangi mendapati satu-satunya SRJK Cina di Dewan Negeri Selangor (DNS), Bangi, iaitu SRJK Cina Yoke Min, Pekan Bangi tidak terdapat dalam senarai. ADNS Bangi segera bertindak memohon supaya dimasukkan Sekolah tersebut di dalam senarai. Tapi ada jawapan bahawa borang permohonan dari Sekolah berkenaan tak sampai. Walaupun borang tidak sampai, tapi difahamkan sekolah berkenaan telah menghantar borang permohonan. Sebab itu ADNS Bangi mendesak Pengerusi pada masa itu YB Teresa Kok memasukkan juga SRJK Cina Yoke Min ke dalam senarai. Dalam rundingan yang dibuat dan dalam menilai jumlah peruntukan dilulus kepada setiap Sekolah, ADNS memohon agar peruntukan bagi SRJK Cina Yoke Min bagi memperbaiki infrastruktur dan melengkapkan perpustakaan sebanyak RM30,000, namun dalam rundingan peruntukan diluluskan sebanyak RM20,000. Walau bagaimana dengan jumlah ini kita patut bersyukur kepada Allah di atas kelulusan jumlah tersebut. Berikut dari itu ADNS membuat hubungan dengan pihak Sekolah Yoke Min supaya menghantar maklumat yang diperlukan kepada secretariat. Pada hari ini ADNS Bangi datang ke Majlis Penyampaian Bantuan Pembangunan Fizikal, bagi merai dan mengucap tahniah kepada SRJK Cina, khususnya SRJK Cina Yoke Min, Pekan Bangi.


Majlis pada hari ini yang bermula jam 2.00 petang disempurnakan Penyampaian Bantuan oleh YAB Tan Sri Dato' Sri Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor. Turut hadir ke majlis ini Tuan Speaker YB Teng Chang Khim, exco-exco YB Dr. Halimah Ali, YB Teresa Kok, YB Iskandar A. Samad, YB Ronnie Liu, YB Elizabeth Wong dan YB Ean Yong, manakala ADNS yang turut sama hadir meraikan ialah ADNS Bangi Dr. Shafie Abu Bakar, YB Ng Suee Lim, YB Gan Fei Mei dan YB Manoharan


Dalam ucapannya YAB Menteri Besar menyatakan. Selangor mementingkan "Education for all". Kita mau rakyat Selangor pandai tidak kira Cina, Melayu dan India. Bila pandai boleh kerja dengan baik. Beri faedah pada negeri dan Negara. YAB mengatakan, "Jangan takut pada orang pandai. Jangan sekat peluang mereka." tambah YAB, "Bila orang pandai dan cerdik, mereka pandai pilih, macam mereka pilih calon Pakatan Rakyat pada 2008. Saya harap rakyat pada hari mengundi 25 April pandai pilih Pakatan Rakyat yang terbukti membela rakyat. Kita perintah Selangor dua tahun sudah berbeza dari BN perintah 50 tahun. Selama ini mereka tidak beri perhatian pada Sekolah Cina, India dan Sekolah Agama. Sekarang kita beri perhatian.dan bantuan."

YAB meminta rakyat bekerja kuat. "Dulu rakyat mohon tanah, sekarang kita turun dan lihat, mana yang layak dapat tanah, kita beri tanah. Ada orang BN tak perlu kerja kuat dapat untung dan kaya raya. Sekarang kita mahu rakyat kerja dengan kerja kita dapat untung."

Terdahulu daripada itu YB Dr. Halimah Ali Exco Pendidikan. Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan dalam ucapan alu-aluan menyatakan, "Pada hari ini sebanyak 39 buah SRJK Cina mendapat bantuan dari jumlah peruntukan sebanyak RM4 juta. Bantuan yang diberi bukan kerana pilihanraya Hulu Selangor, kerana peruntukan ini sudah lama disediakan dan ianya bukan untuk SRJK Cina sahaja, tetapi juga untuk SRJK Tamil (RM4 juta) dan Sekolah Agama (RM6 juta)." Menurut Dr. Halimah, tugas memberi peruntukan sepatutnya di bawah Kerajaan Pusat, tetapi oleh kerana Kerajaan Pusat mengabaikan seperti SRJK Cina, maka Kerajaan Negeri Selangor yang prihatin membantu SRJK Cina, di samping SRJK Tamil dan Sekolah Agama. Sekarang Kerajaan Pusat makin teruk, bukan saja tak bantu, tapi bantuan ke sekolah-sekolah biasa terpaksa dipotong. Ini menjejaskan prestasi guru, pelajar dan Sekolah. Dr. Halimah mengumumkan pada 26 Jun sebagai Hari Ilmu. Pada hari itu akan dilancarkan gerakan membaca Perdana di Tasik Shah Alam. Beliau menjemput orang ramai hadir bersama.

Dalam Majlis Penyampaian Bantuan Bangunan Fizikal SRJK Cina Negeri Selangor Tahun 2010 itu semua perwakilan Sekolah turut hadir menerima sumbangan dari YAB Dato' Seri Menteri Besar Selangor.

Sekian.

April 20, 2010

Turun Padang Ke Tempat-Tempat Aduan

Bangi, 04 Jamadil Awal = 19 April (Isnin):

11.00 pagi keluar bersama saudara Shahrum ke rumah En. Ahmad Nasrun bin Haji Mohd Sharif beralamat di No. 10, Lorong 6A/6, Seksyen 16, 43650 Bandar Baru Bangi berhubung dengan aduan kebocoran rumahnya sejak lebih setahun lepas. Salinan surat yang ADNS Bangi terima secara fax daripada En. Ahmad (salinan) pada 6 April 2010 yang dihantar kepada Penolong Setiausaha (Aduan) Bahagian Koporat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan, Tkt. Bawah Bangunan SSAAS, 40503 Shah Alam menyatakan kebocoran rumahnya akibat jiran membuat kerja ubahsuai (sejak awal Disember 2008). Surat ini menyebutkan sebelumnya Pegawai-Pegawai dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Perbandaran Kajang telah melawat ke rumah En Ahmad pada Isnin 5 April, 2010 jam 2.45 petang. Salinan surat difaxkan kepada ADNS Bangi ini dan di sk kepada Ketua Setiausaha Bahagian Koporat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan sk juga kepada Ketua Setiausaha Kepada YAB Dato` Menteri Besar Selangor, Pejabat Menteri Besar Selangor. Dengan penerimaan salinan surat berkenaan pada ADUN bermakna setakat ini tindakan membaiki belum diambil oleh pihak-pihak yang menerima aduan.

Oleh kerana perkara ini diangkat ke atas, pada hari menerima surat ini (6 April) ADNS meminta Setiausaha Kerja ADNS mengatur tarikh dan masa pertemuan dengan pengadu (Tuan Rumah), maka pada hari ini (Isnin 19 April) ADNS Bangi turun dan En. Ahmad dan keluarga membawa ADNS dan Saudara Shahrum melihat tempat bocor di ruang tamu, bilik tidur, bahkan hingga ke bahagian belakang rumah. ADNS berjanji akan membawa pekerja melihat dan insya Allah memperbaiki agar tidak lagi berlaku kebocoran.



Selepas sembahyang asar pada petang hari ini ADNS keluar dengan pekerja (Haji Jamil) yang telah dihubungi sebaik ADNS pulang dari rumah En. Ahmad untuk datang melihat tempat yang bocor. Tapi sebelum ke rumah En. Ahmad ADNS Bangi bersama Haji Jamil Ke Sekolah Agama Pekan Bangi terlebih dahulu meminta Haji Jamil untuk membaiki kerosakan saluran najis di Sekolah tersebut. Daripada 10 tempat buang air besar, hanya 2 boleh digunakan oleh murid-murid perempuan dan satu saja dapat digunakan oleh murid lelaki yang jumlah muridnya melebihi 300 orang. 7 buah daripadanya rosak. Kerosakan ini diadu kepada ADNS Bangi semasa datang merasmikan mesyuarat agung PIBG Sekolah tersebut pada 28 Mac 2010 yang lepas. Haji Jamil selepas memeriksa tempat membuat kesimpulan awal, saluran najis tersumbat oleh kerana penutup besi tempat kumbahan dicuri dan budak-budak memasukkan batu-batu dan berbagai lagi ke kumbahan yang tak tertutup, menyebabkan tersekat larian air dan najis. Tempat kumbahan walaupun berpagar boleh dimasuki ke dalam. Beliau bersedia datang esok dengan pekerjanya untuk membaiki. Guru Besar Sekolah Agama Pekan Bangi ini Puan Noraini juga minta ADNS Bangi memperbaiki atap kantin yang bocor. Kami bersama pergi melihat tempat yang bocor dan insya Allah bersedia membaikinya.



Pulang dari Pekan Bangi, ADNS Bangi bersama Haji Jamil singgah di rumah En. Ahmad, sekali lagi En. Ahmad membawa kami, khususnya Haji Jamil melihat tempat bocor di ruang tamu dan terpaksa juga membawanya melihat tempat bocor di bilik tidur. Haji Jamil meminta tangga dan menaiki ke bombing rumah dan memeriksa tempat bocor. Menurutnya saluran air yang dibuat selepas pengubahsuaian rumah sebelah dan pengubahsuaian rumah En. Ahmad (tambah ruang tamu) dipasang tidak betul. Beliau menjangkakan akan memperbaikinya lusa (Rabu), selepas ke Sekolah Agama. Kami pulang dan ADNS membekalkan sejumlah wang buat permulaan untuk Haji Jamil membeli barang-barang keperluan pada peringkat awal. ADNS berharap semoga kesemua aduan ini dapat diselesaikan dengan memuaskan semua pihak. Insya Allah.


Sekian.