April 7, 2010

Cintailah Buminda Kita (Sempena 40 Tahun Hari Bumi)

Buminda yang kita huni
Adalah rumah bersama kita
Kurniaan Maha Esa
Mari kita awasi dari kerosakan
Di sini seharusnya kita huni secara aman
Sama mencari rezeki Tuhan
Melanjutkan zuriat turunan.

40 tahun Hari Buminda
Sedar kita tentang pancaroba manusia
Sedang 15 abad lalu
Al-Qur`an mengingatkan
Yang merosakkan buminda
Tidak lain dari tangan-tangan manusia
Yang begitu kasar dan ganas
Melakukan kerosakan di darat di lautan
Mabuk dengan kekuasaan
Sanggup meletupkan atom beracun
Melakukan kerosakan
Manusia terus diancam
Dengan kuasa nuklear
Kemusnahan tiada tara.

Kehidupan yang seharusnya aman
Terancam berbagai racun pencemaran
Sampah sarap di luar kawalan
Mengotori ruang dan laman
Sungai-sungai mengalir jernih
Pekat hitam dengan kotoran
Meracun hidupan
Pasak bumi gunung ganang
Digegar hilang keimbangan
Bukit bukau mengukuhkan
Ditarah runtuh membahayakan
Bumi subur indah menghijau
Bertukar hutan-hutan batu berjejar
Penghuni terkepung kesesakan
Oleh lalu-lintas di luar kawalan
Meningkatkan kemalangan
Asap kenderaan meracun udara
Punca utama pencemaran
Mengancam kesihatan
Ozon makin menipis
Meningkatkan kehangatan
Membakar hidupan.

Oleh hidup moden
Fungsi rumah tangga makmal susila
Dihakis global komunikasi maya
Anak-anak lebih menggemari
Makanan segera berchemical
Bukan dari air tangan ibunda
Mengubah tabiat mereka
Kasar dan hilang sensitiviti manusiawi
Tegang tiada ketenangan
Robot hidup diprogramkan
Hilang manis dan kebahagiaan.

Kafarah kehidupan
Lalai dengan kesenangan
Lebih mementingkan nafsu
Lupa pada kesederhanaan
Tanpa kewaspadaan
Tiba-tiba penyakit menyerang
Obesiti kencing manis
Darah tinggi serangan jantung
HIV, H1 N1 bala mendatang
Ancaman pupusnya kehidupan.

Cintailah Buminda kita
Kembalikan keaslian yang hilang
Kita rindu pada hijau tumbuhan
Lembut sejuk mata memandang
Kita damba pada jernih larian
Sumber hidup tanpa keracunan
Kita mesra dengan bersih udara
Menyedutnya segar dan nyaman
Kita teroja dengan keheningan
Damai dalam dakapan alam
Kita tafakkur hening cipta
Pada keagungan Maha Esa
Buminda menatang kita mesra
Sama-samalah kita jaga pelihara.

Shafie Abu Bakar,

Bangi

22 Rabiul Akhir 1431
07 April 2010.

1 comment:

  1. Salam YB,
    Menarik sajak ni. Izinkan saya berkongsi dgn pengunjung-pengunjung resam-melayu.com.

    Tkasih dari resam-melayu.com

    ReplyDelete