April 27, 2010

Pas Selangor Memerlukan Islah Dan Tajdid Bagi Mengukuhkan Kedudukan

BBB, 11 Jamadil Awal 1431 = 26 April 2010 (Isnin):

Keputusan pilihanraya P094 Hulu Selangor diketahui, walaupun banyak perkara boleh dipertikai, tetapi kita perlu menangkap isyarat dengan cepat. Pihak BN pasti akan menggunakan kemenangan sebagai senjata bagi mereka mara ke hadapan secara lebih agresif bagi menawan Selangor pada pilihanraya ke 13 mendatang. Kesedaran dan bertindak lebih awal secara bijaksana amat penting sehingga jangan sampai keputusan menjadi tsunami perubahan bagai mengulangi peristiwa pilihanraya 2004.

Bagi Pas sebagai ahli dalam komponan Pakatan Rakyat tidak dapat melepas diri dari kesan kekalahan pilihanraya tersebut, apa lagi kita memang mengambil bahagian yang aktif bagi memenangkan PKR sebagai ahli Pakatan. Sudah tentu Pakatan Rakyat di Selangor perlu bermuhasabah dan mengambil pendekatan bijaksana bersifat pro-aktif bagi memulih wibawa dan kepercayaan rakyat terhadap pakatan.

Bagi Pas yang sejiran sehalaman, ibarat berlakunya gempa yang merosakkan perumahan jiran dan Pas turut mengalami kegoncangan bersiri sejak sebelum pilihanraya lagi, khususnya bagi negeri Selangor, seharusnya memikirkan, bukan saja kaedah-kaedah pencegahan dari kegoncangan, tetapi bermuhasabah bagi memperkasakan Pas secara islah dan tajdid hingga mampu tegak berdiri andainya berlaku gempa dan selamat mendepani andainya berdepan tsunami..

Apa persepsi masyarakat di Selangor terhadap Pas setakat ini ? Pas sebanarnya makin meningkat diri dari segi kualiti dan bertapak di hati umat dan dipercayai oleh bukan muslim. Ciri utama menonjolnya Pas ialah `AMANAH` yang menjadi jenamanya di tengah kepelbagaian parti. Ciri ini perlu dipertahan, dipertingkat dan disebarluaskan. Dengan AMANAH turut berlindung sama di bawah khemah perjuangan Pas secara selesa oleh mereka yang bukan Islam. Sesungguhnya ianya diperkukuhkan lagi dengan prinsip dan dasar Pas yang tidak bercanggah dengan sifat universal seperti keadilan, demokrasi dan kemanusiaan.

Kepercayaan yang diberi oleh masyarakat dengan jenama yang makin menyerlahkannya adalah asset penting bagi Pas dan hendaklah diambil kesempatan oleh Pas Selangor bagi mengislah dan mentajdid segala pendekatan dan kegiatan bahkan menambah usaha yang sedemikian ke peringkat maksimum. Melalui islah dan tajdid Pas hendaklah berusaha melebarluaskan jenama, bahawa Pas dengan AMANAH dan UNIVERSALnya menjadi parti lebih diterima semua kaum. Slogan. "PAS for All" hendaklah benar-benar dipraktik dan tercermin di dalam berbagai kegiatan kemasyarakatan, pembelaan keadilan, hak asasi dan memelihara bumi sama ada bersifat tempatan, maupun antarabangsa sehingga dilihat Pas adalah BERAMANAH, UNIVERSAL dan PEMBELA.

Peluang diberi kepada Pas mentadbir di Selangor sepatutnya diambil bahagian oleh Pas secara aktif dengan menekankan AMANAH dan UNIVERSALnya sehingga dilihat mampu dan berwibawa di dalam mentadbir dan menjaga kepentingan parti dan masyarakat. Kita berharap dengan kewibawaan parti mentadbir, Pas dan pentadbir-pentadbir dihormati dan dipatuhi sehingga tidak timbul pengabaian dan tidak hormat oleh agensi dan jabatan. Mereka yang diberi AMANAH oleh parti hendaklah menjalankan tugas dengan AMANAH dan berdedikasi sama ada pada peringkat Negeri, Daerah, kerajaan tempatan, agensi-agensi dan institusi-institusi.

Ahli-ahli Pas yang memenangi pilihanraya pada peringkat Dewan Negeri dan Parlimen seharusnya telah menunujukkan kewibawaan mereka selaku wakil rakyat dan menambahkan kewibaan di dalam memberi khidmat bakti kepada masyarakat secara AMANAH, tanpa mengira kaum dan kedudukan. Di dalam berkhidmat Pas hendaklah sentiasa bersedia dengan ujian pilihanraya. Oleh kerana AMANAH dan kewibawaannya sewajarnya kelak tidak timbul pertikaian bagi mengekalkannya di mana tempat mereka bertanding. Namun adalah dipertikaikan sejauh mana fungsi Pas di dalam menerima hak dan peruntukan bagi kawasan-kawasan yang ditandingi, walaupun perkara ini telah ditimbulkan berkali-kali dengan pengakuan dibuat, tetapi hingga kini tidak dilaksanakan. Ini merugikan Pas, bahkan mencerminkan kelemahan Pas di dalam menuntut haknya di samping hak-hak yang lain yang sepatut diberi kepadanya.

Separuh perjalanan telah berlalu. Apakah Pas begitu selesa ? Kita kira pastinya tidak. Pas hendaklah mengekalkan persahabatan dan dalam masa yang sama memperkukuhkan kedudukan. Dengan pegangan akidah yang kukuh serta AMANAH Pas hendaklah meningkatkan prestasi dengan mengislahkan diri, mentajdidkan pendekatan dan memperkukuhkan kedudukan di tengah masyarakat dan di mata rakyat. Rasulullah membawa perutusan dengan AMANAH dan Kita hendaklah menjunjung AMANAH. Ketahanan dalaman memperkukuhkan luaran, insya Allah mampu menghadapi ujian.

Sekian.

1 comment:

  1. Bagi saya PAS Selangor malahan PAS Malaysia patut duduk berbincang didalam PAKATAN terutama sekali dengan PKR bagaimana nak tarik pengundi2 Melayu utk undi PAKATAN waktu PRU 13 nanti..adakan satu task force khusus yg menyeluruh yg disertai pimpinan grasroot Melayu di seluruh Malaysia..ajak pemuda2 Melayu dan warga Emas yg masih benak dengan UMNO..sedarkan mereka..letakan matlamat menubuhkan lebih banyak cawangan PAS dan cabang PKR di kawasan pendalam dan majoriti Melayu..jika matlamat PAKATAN untuk menghapuskan kemiskinan dan pembahgian kekayaan negara sama rata tidak akan tercapai jika sasaran utama majoriti org Melayu masih lagi boleh ditidurkan dengan mimpi2 palsu oleh UMNO!!Ingat kerajaan PAKATAN tidak akan stabil tanpa ada sokongan majoriti org Melayu..cthnya Kerajaan PAKATAN Perak..Kerajaan Perak sudah tentu tidak akan tumbang jika majoriti Kerusi Melayu dimenangi oleh PAS ataupun PKR!Ini bukan pemerhatian perkauman tapi hakikatnya mana2 kerajaan di dunia ni tidak akan stabil jika sokongan dari komuniti majoriti.pru13 adalah peluang terakhir PAKATAN untuk menumbangkan UMNO..gagal kali ni, bermakna bersabarlah tunggu 50 tahun lagi!

    ReplyDelete