April 6, 2010

Rasa Kemanusiaan Membawa Kepada "Masih Ada Yang Sayang"

Kompleks PKNS BBB, 18 Rabiul Akhir = 3 April (Sabtu):


Bermula dengan kerja sebagai Jururawat di hospital dan merawat berbagai-bagai pesakit, setengahnya uzur tak berkemampuan, bahkan kurang upaya membawa keinsafan dan menyentuh rasa kemanusiaan Hajjah Cik Yong dan tumbuh di dalam minda dan jiwanya untuk membela golongan kurang bernasib baik sedemikian. Sehabis usia kerjanya dan bersara beliau bersama-sama kawan-kawannya seperti Cik Kuniswaran dan beberapa kawan lain menubuhkan rumah kebajikan PDK (Pemulihan Dalam Komuniti). Iaitu dengan menyewa dua unit bangunan di alamat No. 9, Jalan Timur, Taman Seri Jeluk, Kajang. Penubuhan bermula pada tahun 1992. Dari jumlah penghuni dari kalangan yang kurang upaya pada peringkat permulaan hanya beberapa orang. kini jumlah penghuni Kurang Upaya PDK Sungai Jeluk seramai 110 orang terdiri dari lelaki dan perempuan dewasa, muda remaja dan anak-anak yang kurang upaya. Usaha oleh Hajjah Cik Yong dan kawan-kawannya diiktiraf dan PDK Sungai Jeluk menjadi salah sebuah PDK terkenal di Hulu Langat dan ianya merupakan salah sebuah dari 37 buah PDK yang berkhidmatr dan menabur bakti di Negeri Selangor dan sama mendapat bantuan dari Kerajaan melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat yang ditanggung oleh negeri dan Persekutuan.


Masalah yang dihadapi oleh PDK Sungai Jeluk ialah premis yang terhad dan kurang selesa. Sejak awal 2000 yang lepas usaha dilakukan bagi mendapat sebahagian dari tanah lapang berdekatan untuk didirikan bangunan, tetapi oleh kerana polisi tanah lapang yang telah digezetkan tidak boleh digunakan untuk bangunan, maka permohonan sedemikian tidak boleh diterima. Walau macam mana pihak PDK Sungai Jeluk masih berusaha untuk mendapatkan bangunan yang sesuai dan mencari dana bagi membeli bangunan bagi menampung permohonan yang makin bertambah. Atas hasrat ini salah satu pendekatan, selain dari mendapat menderma terus, ialah pihak Pentadbir PDK Sungai Jeluk menyewa ruang legar PKNS dan disewakan ruang ini dalam masa terhad (dua minggu) bagi penyewa-penyewa berniaga. Dari bayaran sewaan peniaga-peniaga dan pembayaran penyewaan kepada PKNS, maka keuntungan dimasukkan ke dalam Tabung Dana PDK Sungai Jeluk.


Menurut Puan Kamsiah Jais Pengerusi PDK, "Al-Hamdulillah, penyewa-penyewa ruang niaga, tidak bermasalah sewa ruang, walaupun sedikit mahal, kerana mereka tahu, sewaan sebahagiannya masuk kepada tabung kebajikan PDK Sngai Jeluk."


Pada hari ini diadakan Karnival Amal PDK Sungai Jeluk Kajang dengan tujuan di samping mencari dana, ialah untuk masyarakat mengetahui tentang PDK Sungai Jeluk, apakah kegiatan yang dilakukan dan bagaimana operasi rumah kebajikan dijalankan. Untuk itu pagi ini diadakan majlis pelancaran yang dirasmikan oleh Tuan Haji Adnan bin Abu Bakar Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor. Turun Hadir ADUN Bangi sebagai jemputan, Puan Kamsiah Jais Pengerusi PDK, Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat, Puan Siti Hajar, Puan Noraini Abdul Rahman, Hajjah Che Yong, Cik Kuniswaran dan rakan-rakan.

Dalam ucapan perasmiannya Tuan Haji Adnan Abu Bakar memaklumkan, bahawa Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM462,000 sebagai grant pentadbiran PDK Hulu Langat, iaitu bagi PDK Sungai Jeluk yang mempunyai serama 110 penghuni dan PDK Semenyih yang mempunyai seramai 66 penghuni, pertunjukan carnival hari ini merupakan sebahagian dari kegiatan pemulihan penghuni-penghuni PDK Sungai Jeluk baik dari segi fizikal dan oral. Mereka mengadakan gerak-gerak badan dan anggota dan bercakap, termasuk menyanyi. Ramai yang membantu kegiatan dengan cara sukarela, termasuklah pelajar-pelajar dari berbagai pusat pengajian tinggi. Pada hari ini mereka juga turut sama menjayakan pertunjukan. Dengan mendidik dan memulih mereka dengan kasih sayang, diharap mereka boleh berdikari dan tidak tersisih dari masyarakat.


Selepas majlis perasmian En. Adnan, ADUN, Dr. Tajul dan tamu-tamu sama mengiringi En. Adnan melawat gerai-gerai dan menyampaikan surat pengesahan kepada penyewa-penyewa gerai. Gerai terdiri dari gerai pakaian, buku, kraftangan, cenderahati dan berbagai-bagai lagi. Orang ramai diharap dapat menghulur simpati bagi menjayakan usaha-usaha murni ini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment