Sungai Langat tenang mengalir
Hanyut bersama sampah sarat
Selamat diucap sekalian yang hadir
Sama mengungguli sejarah setempat.
Mudik ke hulu menjala sepat
Dapat seekor si anak tapah
Muzium Insitu di Kuala Langat
Jejak sejarah Sultan memerintah
Ke Puncak Jugra mari memanjat
Melihat darinya indah pandangan
Semadi di sini Sultan Abdul Samad
Transisi Melawati, Jugra ke Kelang.
Terima kasih kepada Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim kerana sudi meluangkan masa merasmikan Muzium Insitu Jugra.
Muzium adalah menjambatani antara silam ke kinian. Muzium Insitu Jugra adalah salah satu jambatan kekinian menulusuri ke kesilaman yang menjadi salah satu fakta yang mengukuh sejarah dan identiti Selangor.
Muzium Insitu Jugra, Kuala Langat adalah penemuan melalui ekskivasi archeology runtuhan di kaki Bukit Jugra yang bangunan ini pernah dijadikan `Rumah Pasung` atau Balai Polis yang kini dijadikan Muzium Insitu Jugra yang merupakan salah satu Muzium Daerah. Fungsi `Rumah Pasung` ini bukan setakat rumah kawalan, tetapi juga sebagai penjara dan mahkamah mini.
Rumah Pasung yang dijadikan Muzium ini dibina pada tahun 1878 oleh Kapten Harry Charles Shers, Pegawai Polis British dalam bentuk 2 tingkat. Bahan binaan adalah dari batu granit 4 segi pada bahagian bawah dan kayu pada bahagian atas.
Bangunan `Rumah Pasung` ini bukanlah secara terasing, tetapi kewujudannya bersama wujudnya Istana, Pejabat Daerah, rumah-rumah pemerintah, pegawai-pegawai dan pekerja-pekerja. Ternyata pada pertengahan abad ke 19 lokasi di sini adalah sebagai Pusat Pemerintahan Kesultanan Melayu Selangor, selepas Kuala Selangor, khususnya di bawah pemerintahan Sultan Sir Abdul Samad dan mempunyai sistem pentadbiran yang teratur. Pemerintahan di sini (Kuala Langat) berterusan hingga pemerintahan berpindah ke Kelang pada tahun 1882.
Muzium Insitu Kuala Langat sebagai Balai Polis dan sebagai lokap digunakan hingga apabila Penjara Pudu dibina (1890). Fungsinya sebagai Balai Polis Kuala Langat berterusan hinggalah Balai Polis Baru dibuka di Teluk Datuk pada tahun 1929.
Konservasi bangunan mulai dilakukan pada bulan Februari 2002. Konservasi adalah mengikut:
Venice Charter (1964)
Australian Burra Charter (1979)
Icomos Burra Charter (1980).Prinsip dan objektif:
a) Baikpulih seni bangunan mengikut yang asal
b) Membaikpulih monument dengan menggunakan bahan di masa asal
c) Memelihara fungsi dan bangunan lama berdasarkan pada garis panduan yang telah ditetapkan
Selepas kajian dibuat terhadap Muzium yang berasal dari Bangunan Balai Polis ini, kajian-kajian yang lain akan diteruskan misalnya membaikpulih rumah tradisional di Kuala Selangor, membuka Muzium Sukan, kemungkinan membuka Muzium Seni Islam Selangor dan sebagainya.Warisan Tradisi Mengukuhkan Jati Diri.
Sekian.
Y.B. Dr.Shafie Abu Bakar,
Adun Bangi, Selangor.
Kuala Langat,
01 Jamadil Awal 1433
24 Mac 2012.
No comments:
Post a Comment