March 14, 2012

YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang & Exco Kebajikan Turun Ke Lokasi Banjir


Hulu Langat, 20 Rabiul Akhir 1433 = 13 Mac 2012 (Selasa):



Dalam Sidang Akhbar di sini, YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Presiden Pas mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang segera memberi pertolongan dan bantuan kepada mangsa banjir di Hulu Langat, terutama Pas. Menurut TG, kita lebih bersegera berdasarkan pengalaman dan kerana kita tidak seperti pihak Kerajaan dan BN lebih terikat dengan protocol dan lambat turun memberi bantuan. Beliau bersyukur kepada Allah, walaupun ramai yang menjadi mangsa banjir, tetapi tidak ada kemalangan jiwa. Beliau juga berterima kasih kepada Jabatan-jabatan dan NGO-NGO yang turut sama membantu seperti Yayasan Salam dan Persatuan Buddhist Suci yang juga turun membantu. Tuan Guru berharap mangsa banjir bersabar. Menurut TG dengan adanya bantuan-bantuan dapat menolong mangsa kembali kepada kehidupan yang normal. Sidang akhbar berkenaan dilakukan selepas TG menunaikan salat Asar di Masjid Sungai Serai yang juga mengalami banjir sehingga 6 kali dalamnya dalam masjid, Serentak dengan itu TG melancarkan derma bagi membantu mangsa banjir.


Sebelum daripada itu TG melawat kawasan banjir di Ampang yang juga merupakan kawasan yang teruk dengan banjir yang berlaku pada 8 Mac lepas. TG tiba di Hulu Langat jam 3.30 petang dan dibawa ke Markas Gerakan Bantuan Pas di Bangunan Dato` Nazir dan diberi taklimat oleh Tuan Haji Mat Jan Bin Sulong Penyelaras kawasan Dun Dusun Tua. Saudara Mat Jan memaklumkan beberapa kawasan yang teruk dilanda banjir di Hulu Langat ialah Sungai Serai, Rantau Panjang, Seri Nanding, Semungkis dan Bukit Raya. Ini merupakan banjir terbesar sejak 1976. Pihak Markas mengadakan 6 bilik gerakan di enam bahagian. Menurutnya pada hari banjir jalanraya ditutup kerana banjir hingga jam 11.00 pagi. Menurutnya lagi sukarelawan memasak untuk 3.000 orang dan mengagihkannya kepada mangsa-mangsa banjir.


Selepas mengikuti sesi Taklimat di Dewan Dato` Nazir berhampiran Masjid Batu 14 itu, TG diiringi melawat kawasan kedai di bahagian lembah Batu 14. TG menemui pekedai-pekedai yang terdiri dari kalangan orang Cina dan mendengar keterangan dari mereka tentang banjir yang berlaku di tempat mereka. Sebahagian daripada pekedai-pekedai agak terkejut tanpa disangka kedai mereka menjadi tempat lawatan TG. Sebahagian dari pekedai-pekedai masih membersih dan membaiki kerosakan yang berlaku di kedai mereka. Selepas melawat beberapa buah kedai di sini dan pekedai-pekedai keluar dari premis kedai mereka kerana memberi penghormatan kepada TG yang juga menyampaikan cenderamata terhadap mereka, TG di bawa ke satu lagi lokasi yang teruk dengan banjir ialah di Semongkis.

Perumahan yang teruk mengalami banjir ini telah kami lawati pada Ahad 11 Mac lepas. Tuan Guru melawat ketiga-tiga tuan rumah yang rumah mereka di tepi sungai. Kereta teksi rumah paling tepi sungai dihanyat air ke dalam sungai dan masih belum dikeluarkan. Rumah ke dua ialah rumah Dewi Fadhilah, ayahnya yang juga ditemui Tuan Guru dan menyampaikan cenderahati baru pulang dari membuat Umrah pada hari ini. Turut diziarah tuan rumah yang satu lagi yang semuanya gembira dengan lawatan TG. Setelah berada lebih kurang 20 minit di sini TG meminta diri dan dibawa menziarah ke Sungai Serai salah satu lokasi yang paling teruk dan paling ramai dengan mangsa banjir. Kiri kanan jalan masih mempunyai kesan banjir dan barang-barang yang rosak berkaparan dan mana-mana yang dibersih dijemur di laman-laman rumah. TG kemudian bersolat Asar di Masjid Sungai Serai sebelum Sidang Akhbar yang mengakhiri lawatan TG.

Sementara itu pada petang ini juga pihak Kerajaan Negeri yang diwakili YB Puan Hajah Rodziah Binti Ismail Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi turun ke Hulu Langat untuk menyampaikan bantuan dari peruntukan kerajaan negeri, difahamkan berjumlah RM231,000. Menunggu kehadiran beliau ialah YB Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, Puan Norfaezah Biti Omar Timbalan Pegawai Daerah Hulu Langat (Pembangunan), Ketua-Ketua Kampong. Beberapa pegawai Polis juga turut serta untuk menjaga keselamatan – terutama kewangan. Adalah difahamkan, mereka yang bakal menerima bantuan mangsa banjir adalah berdasarkan pada bancian yang telah dibuat oleh penghulu dan ketua-ketua kampong yang jumlah mangsa ialah dalam lingkungan 500 keluarga.

Sekian.

No comments:

Post a Comment