December 17, 2012

Kayuhan KASIH Menghimpun Dana Masjid At-Taqwa, Bukit Mahkota

Bukit Mahkota, Bangi, 02 Safar 1434 = 16 Disember 2012 (Ahad):


Sebagai sebuah Bandar Bukit Mahkota memerlukan sebuah masjid. Tapak sedia ada, tapi memerlukan peruntukan. Permohonan telah dibuat kepada pihak Kerajaan. Khabarnya Masjid di Bukit Mahkota lebih perlu dari jirannya – Bandar Seri Putra, kerana di Seri Putra sudah ada masjid Kampus Kuis (Masjid Al-Azhar). Lantaran itu dikatakan Masjid Bukit Mahkota mendapat keutamaan di dalam Rancangan Malaysia ke 10. Namun hingga kini tiada tanda pembangunan masjid akan dilakukan. Baik di Seri Putra (tidak selesa terpaksa masuk kampus dan kena periksa untuk masuk berjamaah), begitu juga di Bukit Mahkota, masing-masing memohon untuk dinaik taraf surau untuk bersolat Jumaat, di Seri Putra Surau Al-Muhajirin dan di Bukit Mahkota Surau Ar-Raudhah. Sementara itu, di Seri Putra dilantik AJK Pembinaan Masjid yang sudah ada tapak dan dana sudah terkumpul untuk pembinaan. Nampaknya di Bukit Mahkota, oleh kerana tidak pasti bila pembinaan akan dilakukan, maka penduduk melantikkan AJK Pembinaan Masjid yang nama masjid ini sudah diberi, iaitu Masjid At-Taqwa. Maka AJK berkenaan juga berusaha untuk membina masjid, antaranya mengumpul dana.


Antara aktiviti yang diadakan ialah membuka pasar minggu di tepi tapak masjid dan memungut dana dengan berbagai cara. Salah satu aktiviti ialah mengadakan Program Kayuhan KASIH. Pihak AJK telah menemui Adun sebelumnya bagi menjayakan program termasuk keperluan dari segi peruntukan. Kayuhan KASIH ialah singkatan bagi Kayuhan Amal & Sihat (KASIH). Pasukan berbasikal bergerak berkayuh basikal dari destinasi ke destinasi bagi memungut derma di tempat-tempat berkenaan.


Program ini diadakan seawal jam 7.30 pagi dalam mana penduduk dan pengayuh-pengayuh basikal berhimpun di Padang berdekatan Surau Al-Muhajirin, Bukit Mahkota. Hadir di sini pada pagi ini Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, Dato` Hasan Nawawi bin Hasan YDP MPKJ yang datang dengan Kumpulan Berbasikalnya, Ustaz Shafie Ngah dan Tuan Haji Mazwan Johar yang kedua-duanya Ahli MPKj, saudara Aidil Ketua Cawangan, saudara Zulkifli Ambak, Ungku Faisal dan penduduk lelaki perempuan. Pada peringkat permulaan diadakan senam robik dipimpin oleh saudara Aidil. Kemudian pasukan berbasikal berjumlah lebih kurang 50 orang (termasuk pasukan YDP, MPKj). Sebelumnya Adun diminta berucap dan merasmikan Program KASIH. Kemudian memulakan perkayuhan dari padang Surau Al-Muhajirin dan singgah bagi destinasi pertama di Surau An-Nur, Surau di bawah salah sebuah flat di sini. Di sini pihak Pengerusi surau menyampaikan derma kepada Pengerusi AJK Pembangunan Masjid At-Taqwa.


Dari Surau An-Nur Kayuhan KASIH diteruskan menuju ke Tapak Masjid At-Taqwa. Pada setiap pagi Ahad di sini diadakan Pasar Pagi yang menjual keperluan penduduk setempat. Pasar ini didirikan atas inisiatif pihak AJK Masjid. Dari Pasar ini dapat dipungut sewaan tapak dan derma didapati dari penjual dan pengunjung. Pendeknya ianya menjadi sumber mingguan bagi Dana Masjid. Penjual-penjual dan pengunjung-pengunjung pasar nampak ceria dengan kunjungan Pasukan Kayuhan KASIH. Mungkin derma yang didapati di sini lebih dari minggu-minggu yang lain. Selepas destinasi ketiga ini kayuhan agak mencabar dan agak jauh, iaitu dari Tapak Masjid menuju ke Surau Ar-Raudhah, Surau terbesar didirikan pada tahun 2003 dan mendapat keizinan mendirikan Solat Jumaat pada tahun 2005). Kayuhan melalui jalan belakang ( tidak jalan utama untuk keselamatan).


Pada permulaan kayuhan Adun agak biasa, walaupun sering ketinggalan, tapi apabila banyak menaiki bukit dan tanah tinggi, lutut terasa lenguh, walaupun akhirnya selamat tiba di Surau Ar-Raudhah. Semasa turun dari basikal terasa semacam crame dan nak jatuh dan sukar melangkah sebelum keadaan pulih semula (barangkali kerana berkayuh agak jauh setelah bertahun-tahun tidak kayuh basikal. Basikal pula tak seperti basikal biasa. Agak canggih dan boleh dilipat-lipat dan tempat duduk agak kecil).


Di Surau Ar-Raudhah peserta rehat dan minum. Masa yang diambil agak panjang. Di sini Adun menyerahkan satu set table tennis dari peruntukan Adun. Sebelumnya Adun merasmikan dengan bermain tabletennis dengan Ybhg. Dato` Hassan Nawawi. Penyerahan derma juga dilakukan. Semasa di sini Adun dimaklumkan pihak AJK Hari Keluarga dan Sukan Perumahan Ceria, Kajang Utama sedang menunggu dan harus hadir untuk perasmian jam 10.30. Lantaran itu Adun tidak dapat meneruskan fasa seterusnya ke destinasi Rumah Kelab dan pulang kembali di Padang Surau Al-Muhajirin.


Adun dapati aktiviti yang diadakan adalah kreatif, menarik dan menceriakan. Ianya kegiatan exercise yang mencergaskan diri dan meningkatkan kesihatan di samping perhimpunan dapat mengeratkan hubungan kemasyarakatan. Semoga hasrat murni menghimpun dana Masjid At-Taqwa akan terlaksana, ditambah dengan kegiatan-kegiatan secara kreatif yang lain yang mungkin diadakan pada masa akan datang.

Sekian.

2 comments:

  1. Satu masa dahulu, beberapa tahun berdiam di Bandar Bukit Mahkota. Waktu itu, kata orang ia tak ubah seperti tempat jin bertendang. Namun ia damai sentosa.

    Mencari pucuk paku dan kangkung untuk dibuat juadah pastinya kenangan yang tak mungkin dilupakan.

    Kini Bandar Bukit Mahkota sudah mula diberi perhatian dan dibangunkan dengan lebih baik dan maju.

    Semoga ia menjadi sepertimana kembarnya, Bandar Seri Putra.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah.. selalu salah sesorang AJK Kasih 2012 Kami mengucapkan Tahniah dan setinggi terima kasih kpd semua yg terlibat terutama YB Dr Shafie dan Dato Hasan YDP MPKJ yg sama terlibat dlm kayuhan amal ini..

    ReplyDelete