January 2, 2013

Hari Akhir Sebelum `Back To School` Agih Beg

Sungai Ramal Dalam, 18 Safar 1434 = 01 Januari 2013 (Selasa):


Hari ini hari akhir sebelum anak-anak kembali bersekolah esok hari. Dalam dua minggu terakhir ini, sejak beg-beg Sekolah dari Kerajaan Negeri Selangor dihantar ke Pejabat Khidmat Masyarakat Adun, maka program-program pengagihan beg diatur, termasuk bersama dengan program-program yang lain. Pada hari ini sebelum Sekolah dibuka esok sengaja diatur program penyampaian beg sekolah dan bagi hari ini ialah bertempat di Balai Raya Sungai Ramal Dalam, tidak jauh dari bangunan Masjid di kampung tersebut.


Majlis yang bermula dari jam 11.00 pagi itu dihadiri oleh antaranya Encik Lateb Manan Ketua Kg. dan Ketua JKK Sungai Ramal Dalam, En. Ali Azhar AJK JKK, saudara Azizi, saudara Shahrum, ibu bapa, murid-murid dan pelajar-elajar yang diraikan.


Dalam ucapan alu-aluan Tok Lateb berterima kasih di atas kehadiran Adun dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor yang memberi sumbangan beg sekolah yang ini bukannlah kali pertama, tetapi sumbangan dilakukan setiap tahun dan biasanya diagihkan di Balai raya di sini. Beliau memaklumkan jumlah beg yang diagihkan pada hari ini ialah sebanyak 80 buah beg. Beliau berharap penerimaan beg ini menjadi kemegahan bagi murid-pelajar dengan adanya logo kerajaan negeri dan diharap memberi semangat kepada murid dan pelajar belajar dengan bersungguh-sungguh lagi.


Adun Bangi yang diminta berucap dan merasmikan majlis, mengucap terima kasih kepada semua yang hadir bagi menjayakan majlis dan tahniah kepada anak-anak yang terpilih menerima beg. Adun memaklumkan bahawa beg ini adalah sebahagian dari pemberian kerajaan negeri. Ada beberapa lagi pemberian untuk anak-anak belajar. Misalnya kerajaan negeri mewujudkan tabungan Tawas bagi anak-anak yang lahir di Selangor selepas 2008. Akaun Tawas membolehkan anak-anak menggunakannya bila menyambung pengajian kelak. Kerajaan negeri juga menyediakan Skim Si Kembar dalam mana anak-anak yang berdaftar dengan Tawas diberi insentif datang berbelanja di Pasar-pasar raya, Kerajaan negeri juga menyediakan Skim Tunas dalam mana anak-anak yang berdaftar belajar pada peringkat pra-sekolah seperti di Tadika, Pasti dan sebagainya dibayar yuran oleh kerajaan Negeri secara terus kepada pentadbir Tadika & Pasti. Selain daripada itu kerajaan Negeri Selangor juga menyediakan peruntukan bagi pelajar-pelajar yang masuk universiti dan boleh memohon pinjaman dari Kerajaan negeri tanpa faedah dan jika pelajar mencapai keputusan baik, maka pinjaman ditukar kepada biasiswa. Kerajaan juga memberi air percuma yang menggunakannya di bawah 20 meter padu. Bagi rakyat Selangor yang mau berniaga, maka individu berkenaan boleh memohon skim pincaman yang dikenali dengan Skimsel dan juga Mimbar.


Adun juga menyebut sebelum datang ke Majlis beliau sengaja meronda Sungai Ramal Dalam melihat jalan-jalan yang siap diturap. Adun menyatakan bahawa hampir semua jalan di Sungai Ramal Dalam diturap. Kata Adun, ``Sungai Ramal Dalam adalah kampong yang paling banyak menerima projek pembaikan jalan oleh kerajaan Negeri dan peruntukan Maris bagi kerajaan negeri. Dengan banyak jalan yang diturap pergerakan penduduk menjadi lebih selesa.

Selepas perasmian, maka Adun bersama Tok Manan mengagihkan beg-beg kepada nama-nama yang dipanggil. Turut sama dibahagikan ialah Kalendar Adun Bangi 2013, kotak warna (disumbang Tok Ketua Kampung). Selepas pengagihan sumbangan diadakan upacara bergambar beramai-ramai.


Sementara itu pada malam tadi seawal jam 8.00 malam Adun ke Balai Komuniti, Bangi Indah Bangi bagi mengagihkan beg-beg di sana. Hadir sama ialah Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang yang juga Ahli MPKj, Tuan Haji Mazwan Johar, Timbalan YDP dan juga Ahli MPKj, Tuan Haii Sukaimi Rasmi, Setiausaha Pas Kawasan. Oleh kerana Adun mempunyai program mesyuarat di tempat lain, maka Adun berucap ringkas dengan isinya adalah antaranya sebagaimana Adun cakapkan di atas.


Kami berpakat tugas mengagihkan beg kepada 90 orang penerima dibahagi tiga antara Adun, Ustaz Shafie Ngah dan Tuan Haji Mazwan. Adun menyampaikan 30 beg terawal kepada 30 pelajar yang terpilih dan selepas itu pembahagian diteruskan oleh mereka berdua dan Adun bertolak untuk pulang bermesyuarat berkenaan pembinaan Masjid Al-Umm di Bandar Baru Bangi. Sebelum bermula majlis jamuan makan malam disediakan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment