January 31, 2013

Penghulu & Ketua Kampung Anjur Kem Remaja Gemilang

-->
Masjid As-Salihin, Teras Jernang, 15 Rabiul Awwal 1434 = 27 Januari 2013 (Ahad):


Pagi ini Penghulu & Ketua-Ketua Kampung Mukim Kajang menganjurkan Kem Remaja Gemilang bertempat di Dewan Seminar, Masjid As-Salihin, Kg, Teras Jernang. Adun Bangi dijemput merasmikan. Hadir di dalam Majlis pada pagi ini ialah En. Bahron Zaman Majid, Penghulu Mukim Kajang, En. Shukor Jantan Ketua Kampung Teras Jernang – Tuan Rumah, Tuan Haji Yusof Azudin Nazir Masjid As-Salihin, Teras Jernang, Tuan Haji Ramlan bin Abu Ketua Kampung Sungai Balak, Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampung Sungai Ramal Luar, En. Abdul Hadi bin Husin Ketua Kampung Sungai Tangkas, En. Mohd Khalid bin Hj. Reduan Ketua Kampung Sungai Kantan, En. Mohd Fahmi bin Abdullah Ketua Kampung Sungai Jernih dan En. Lateb Manan Ketua Kampung Sungai Ramal Luar. Turut hadir Fasilitater Cik Suzana Mohd. Said. Pengerusi majlis En. Sulaiman Hashim menjemput Tuan Haji Ramlan Abu membaca doa diikuti dengan Ucapan Alu-aluan oleh En. Bahron Zaman bin Majid. Beliau memaklumkan ini adalah fungsi pertama kegiatan beliau selepas baru dilantik sebagai Penghulu Mukim Kajang. Beliau berterima kasih kerana mendapat kerjasama yang erat dari Ketua-Ketua Kampung Mukim Kajang. Beliau juga melahirkan kegembiraan mendapat sambutan dari pelajar-pelajar yang jumlah mereka yang mendaftar adalah 70 orang. Beliau juga berterima kasih kepada pihak Fasilitater yang diketua Cik Suzana Mohd Said dan pasukannya yang dapat hadir melaksanakan program. Antara pengisian ialah ``Knowing me knowing you`` menurut perspektif Islam, Akrab Persahabatan (Sayangi keluarga, sahabat dan masyarakat, dan Kini & Hijrah. Beliau juga memaklumkan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil akan disampaikan oleh Puan Norfaizah bt. Omar Ketua Penolong Pegawai Daerah, Hulu Langat.


Adun Bangi dalam Ucapan Perasmian mengucapkan syabas kepada Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung yang mengambil inisiatif mengadakan Kem Remaja Gemilang 2013 menandakan caknanya pihak Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung kepada anak-anak buah dan masa depan generasi muda. Seingat Adun inilah pertama kali program yang seumpama ini dianjurkan oleh pihak Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung Mukim Kajang. Penganjuran Kem Remaja Cemerlang ini adalah bersesuaian bahkan bertepatan dengan hasrat dan aspirasi Bangi Bandar Ilmu.

Kepada anak-anak Adun mengingatkan, bahawa anak-anak adalah kesayangan ibu bapa dan harapan masa depan. Pada anak-anak ditumpahkan kasih sayang dan pengorbanan agar anak-anak menjadi orang yang berguna. Adun mengingatkan, bahawa masa umur anak-anak sekarang antara 6 – 18 tahun adalah masa yang paling penting, terutama pengisian dengan ilmu pengetahuan. Ibarat menanam pokok dari bijih benih untuk menjamin tumbuh subur dan segar perlu dijaga, dibaja dan disiram, agar tumbuh subur dan akhirnya melahirkan buah. Demikian anak-anak tempoh masa anak-anak adalah tempoh yang penting yang perlu disiram dan disuburkan dengan ilmu pengetahuan secara bertahap, sebagaimana yang dilalui anak-anak. Sebarang pengabaian terhadap ilmu pengetahuan dan pendidikan akan merugikan anak-anak. Kerugian akan lebih terasa bila tiba tempoh umur anak-anak akan berkhidmat kelak. Dari kalangan anak-anak ramai yang akan mencapai kecemerlangan pelajaran, mendapat pekerjaan yang baik dan berkedudukan tinggi. Sekiranya anak-anak abaikan ilmu pengetahuan dan tidak mendapat kerjaya yang baik, kekesalan akan timbul pada masa itu. Sebab itu pada peringkat permulaan ini, masa masih ada anak-anak perlu menanamkan azam untuk belajar bersungguh-sungguh. Pada hari ini insya Allah pihak motivater dan pasukannya insya Allah akan mencetuskan kesedaran dan semangat anak-anak menuju `Titian Kejayaan`. Selamat mengikuti Kem Motivasi dan sekali lagi terima kasih kepada semua pihak. Dengan lafaz:


Bismillahir Rahmanir Rahim


Adun merasmikan Kem Remaja Cemerlang 2013 dengan mendoakan semoga Allah memberi Hidayah dan tauqikNya kepada semua. Insya Allah.


Sekian.

No comments:

Post a Comment