January 24, 2013

Ke JAIS-MAIS Urus Soal Masjid Al-Umm

Shah Alam, 9 Rabiul Awwal 1434 = 21 Januari 2013 (Isnin):



Sebagaimana diputuskan dalam Mesyuarat AJK Induk Masjid Al-Umm pada hari ini beberapa AJK akan pergi ke JAIS dan MAIS bagi menguruskan keperluan-keperluan yang dikehendaki bagi pembinaan Masjid. Pemergian pada hari ini adalah lanjutan bagi pemergian kami ke MPKj pada 11 Januari 2013 Jumaat Petang bagi mendapat kelulusan plan (berlaku perubahan dari apa yang pernah kami datang sebelumnya). Respond dari YDP Dato`Hasan Nawawi bersama dua orang pegawainya, iaitu En. Shaari dan En. Johari amat positif. Kelulusan mungkin dapat diselesaikan dengan cepat dengan syarat telah mendapat kelulusan (tandatangan) dari pihak JAIS pada plan yang disediakan, juga mendapat persetujuan dari Pihak Jabatan Mufti, di bangunan MAIS berhubung dengan Penetapan Arah Kiblat. Kehadiran kami pada pagi ini adalah bertujuan untuk menyelesaikan keperluan-keperluan berkenaan.


Kami datang seramai 5 orang, iaitu Adun Bangi Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm, Tuan Haji Mohd Nor bin Haji Yasin Bendahari, Haji Raja Fuaddin Raja Ahmad AJK (Arkitek), Tuan Haji Abdul Rahman Daud AJK (Penyelaras) dan Nik Muhammad Adham Nik Anuar (Setiausaha Kerja). Kami datang bukan sekadar membawa plan, tetapi bersama dengan gambaran Masjid Al-Umm yang bukan saja gambaran dari atas, tetapi pandangan dari sisi bahagian menghadapi Kiblat (belakang) yang kelihatan lebih lengkap dan pandangan bahagian masuk (hadapan) yang lebih jelas. Walau bagaimana gambaran ini tidak menampakkan aras bawah. Masjid ini adalah tiga tingkat. Aras Tengah sebagai ruang jamaah, manakala bahagian atas untuk jamaah muslimat dan ruang bagi solat Jumaat, jika aras bawah telah penuh, manakala ruang bawah, ialah untuk digunakan bagi ruang persidangan, bengkel, seminar bahkan untuk disewa bagi Majlis Perkahwinan, termasuk pentas tempat aqad dan pentas bagi mempelai dan keluarga. Lihat gambaran pelan bagi semua aras.


Pemergian kami ke JAIS bertujuan untuk menemui Datuk Pengarah JAIS Datuk Haji Marzuki atau sekurang-kurangnya menemui Ustaz Zaki Pegawai di JAIS, kami disambut baik oleh pegawai, bahkan Adun diminta menandatangani buku Pelawat. walau macam mana Datuk Marzuki menghadiri Mesyuarat Sambutan Maulid Ar-Rasul pada peringkat negeri, termasuk Ustaz Zaki. Walau bagaimana Tuan Haji Fuaddin mengamanahkan bahan kepada kenalannya untuk mendapat tandatangan Datuk Pengarah atau kalau cukup dengan tandatangan dari Puan Farah atau Encik Jefri bahagian Pengurusan Masjid.


Dari Bangunan JAIS kami turun ke Bangunan MAIS, bahagian Jabatan Mufti bagi mendapat Surat Pengesahan bagi membolehkan pihak Arkitek Cerana Design menguruskan Pengesahan Arah Kiblat yang pihak Jabatan Mufti akan turun ke Tapak Masjid Al-Umm pada satu tarikh yang akan ditentukan.Kehadiran kami di Pejabat Mufti disambut baik oleh Pegawai di Pejabat - Encik Hadhari dan kakitangan. Surat yang kami mohon disediakan pada waktu kehadiran kami. Sementara menunggu surat berkenaan siap kami diberi kursus ringkas oleh beberapa pegawai di Jabatan Mufti Selangor mengenai perkiraan arah kiblat.


Sebuah jadual Arah Kiblat dibahagi-bahagikan kepada kami. Menurut En. Hadhari, ``Penentuan Arah Kiblat tidak perlu menunggu matahari betul-betul berada di garis khattulistiwa dan matahari betul-betul di atas Kaabah, iaitu sebanyak dua kali setahun, (28 Mei & 16 Julai), tetapi ukuran arah Kiblat dapat di ukur dan dikira bila-bila masa.

Jadual Kiblat bagi negeri Selangor telah dikira bagi semua tarikh satu tahun – mulai Januari hngga Disembar dan setiap hari bagi setiap bulan, bahkan sebanyak 90 tempat diperturunkan arah Kiblat.

Ukuran induk diambil bahagian paling utara negeri Selangor, iaitu Kampung Gedangsa, iaitu kedudukan Latitud 03 44 00 Longitud 101 24 00 dan arah Kiblat 292 darjah 17 mm 21 ss. Bagi kawasan lain berdasarkan ukuran Gedangsa ditambah menurut perubahan hari (tarikh). Bagi Bangi Januari & November ditambah 10 dan berubah kepada tambahan 7 bagi bulan Februari dan Oktober. Tempat-tempat lain boleh diikuti sifir jadual yang disediakan. Perkiraan juga boleh dibuat dari selatan, misalnya di Bangi, maka makin ke utara makin ditolak darjah dari segi kedudukan.


Sedikit sebanyak kami memahami kaedah perkiraan, walaupun dalam masa tak sampai setengah jam. Kami tidak saja diberi kursus pendek, tetapi dibekalkan dengan jadual, buku dan majalah. Terima kasih.

Sekian.

No comments:

Post a Comment