January 11, 2013

Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor Lancarkan Dua Buah Buku - Bangi Bandar Ilmu & Gagasan Bangi Di Bangi

BBB, 23 Safar 1434 = 06 Januari 2013 (Ahad):


Pada hari Lawatan Ke Tapak Masjid Al-Umm BBB (6 Januari 2013 Ahad), Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor berikutan dari ucapan beliau sempena Lawatan Tapak, Mesra Rakyat dan Kenduri Kampung, maka pada akhir ucapan Dato` Menteri Besar melancarkan dua buah buku dan menandatangani kedua buah buku berkenaan sebagai perasmian pelancaran. Buku berkenaan ialah:

1) Bangi Bandar Ilmu (2012)
2) Gagasan Bangi (2012)

Kedua buah buku mempunyai kaitan rapat dengan Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor.


Buku pertama Bangi Bandar Ilmu dihasilkan selepas Y.A.B. Dato` Menteri Besar melancarkan motto `Bangi Bandar Ilmu` di KUIS pada 22 Jun 2008. Buku ini mula diterbit dengan permulaannya diedarkan kepada Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor pada 26 Mac 2012 yang bersidang dari 19 – 27 Mac 2012.Y.A.B. menulis Prakata – Perutusan Menteri Besar sebagai penulisan permulaan bagi buku ini.

Buku Bangi Bandar Ilmu dihasilkan bagi memenuhi wawasan Bangi Bandar Ilmu yang menjadi Motto bagi Bangi yang dengan itu juga memenuhi Motto Dun Bangi, iaitu ``Anda Memberi Mandat, Kami Memberi Khidmat – Bangi Bandar Sejahtera, Aman, Berilmu dan Prihatin.`` Lebih dari itu Motto-Motto berkenaan menuju kepada `Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur` yang antaranya boleh didekati dengan Gagasan Pesurat dan Teori Takmilah di dalam membina Tamadun dan Peradaban umat.


Buku Bangi Bandar Ilmu dihasilkan tiga tahun selepas pelancaran Bangi Bandar Ilmu oleh Dato` Menteri Besar Selangor, Kandungannya tentang latar belakang , sejarah BBB dan perkembangan, konsep Bandar Ilmu, Perasmian Bangi Bandar Ilmu, Kegiatan keilmuan, Sambutan 30 tahun Bangi Bandar Ilmu, Peranan Surau dan Masjid dalam menyemarakkan keilmuan di BBB, Institusi Pendidikan, Penyelidikan dan Latihan di Bangi, Tokoh-tokoh Keilmuan di Bangi dan Pemikiran Bangi.

Pada level kedua buku Bangi Bandar Ilmu adalah pernyataan dan komitmen Dun Bangi bagi memenuhi janji kepada rakyat Dun Bangi dalam mana dijanjikan Sejahtera dan Aman yang dapat dicapai melalui kehidupan yang harmoni misalnya melalui ibadat dan kerohanian. Di Bangi terdapat 104 buah surau dan 6 masjid. Melalui masjid dan surau diadakan kegiatan beribadat, pendidikan dan kemasyarakatan. Pengajaran-pengajaran keislaman berlaku di semua surau. Pendidikan dapat diikuti anak-anak melalui 10 SRA Kerajaan dan berbagai Pendidikan Swasta yang ditubuh oleh NGO-NGO, surau-surau dan orang perseorangan. Adun Bangi misalnya memperuntukkan 20% dari peruntukan tahunan kepada keagamaan (Islam). Dengan kesedaran tinggi terhadap nilai keagamaan, maka didapati masyarakat hidup dalam sejahtera. Bagi kesejahteraan dari segi ekonomi Bangi juga menyediakan berbagai perkerjaan yang berkait dengan keilmuan, industri, perniagaan dan berbagai perkhidmatan. Penekanan yang diberi keutamaan selepas keagamaan ialah terhadap pendidikan. Berbagai galakan, bimbingan dan insentif kepada pelajar diberi. Bahkan peruntukan kedua tertinggi ialah terhadap pelajaran, iaitu 18% dari peruntukkan. Bantuan diberi kepada peringkat Tadika, rendah, menengah bahkan universiti. Kita berbangga dengan banyaknya universiti. Pusat Penyelidikan dan Latihan di Dun Bangi yang menjadikan Bangi Bandar Ilmu. Kita juga berbangga dengan warga Bangi yang kebanyakan terlibat dengan keilmuan. Kita membimbing pelajar bahkan memberi insentif kepada pelajar berjaya dan membantu yang mempunyai peluang berjaya, Mereka diharap mencapai kemajuan lebih baik bagi menggantikan generasi Tua. Adun juga prihatin terhadap masyarakat yang diterjemahkan kepada amalan-amalan kebajikan seperti membantu keluarga miskin, kemalangan, warga emas dan berbagai-bagai kegiatan kebajikan. Maka kedudukan peruntukan bagi kebajikan ialah 15%. Dengan tiga bidang utama (Islam, pendidikan dan Kebajikan melebihi separuh lebih dari peruntukan = 53%). Manakala peruntukan yang lain seperti perusahaan, kemasyarakatan, sukan, Antara kaum, Rekreasi, pemuda-nisa` dan sebagainya adalah selebih dari peruntukan utama di atas. Dari satu segi segala kegiatan yang dilakukan bukan bertujuan setakat mau mengisi janji sebagai Bandar Sejahtera, Aman, berilmu dan Prihatin (Berkebajikan), tetapi menepati pendekatan Gagasan Pesurat yang juga merujuk kepada Ilmu mau membina masyarakat intelektual yang membawa generasi sebagai masyarakat bertamadun. Dari satu segi nilai keagamaan yang tertanam dalam jiwa mesyarakat, rasa kemanusiaan yang insaf dari kemiskinan, kesusahan hidup, bahkan pemupukan rasa kemanusiaan dari karya-karya puisi adalah merupakan himpunan yang mebangkitkan rasa kemanusiaan dan kehalusan yang seni yang dapat membina peradaban dan Tamadun ummah.

Jika buku Bangi Bandar Ilmu boleh disifatkan rangka pendekatan dari dalam yang dilihat oleh pemikir dan sekaligus sebagai pengamal dan disifatkan sebagai Pandangan Orang Pertama, maka buku kedua Gagasan Bangi yang diedarkan awal 2013 adalah pandangan orang kedua yang berlainan angle dan pendekatan. Buku Gagasan Bangi ialah hasil peraduan menulis esei dan puisi peringkat tinggi yang dianjurkan sempena 3 tahun Bangi diisytiharkan sebagai Bandar Ilmu. Tempoh peserta menulis ialah dari 22.6.2011 hingga akhir tahun tersebut (2011). Penyampaian Hadiah kepada pemenang ialah pada 22.6.2012 yang tarikh tersebut merupakan Hari Ilmu bagi Dun Bangi.


Adalah satu yang membanggakan peserta-peserta yang memasuki pertandingan semuanya lulusan universiti Dalam dan Luar Negara. Tajuk-tajuk esei sengaja disusun bagi keperluan sebuah buku. Antara tajuk ialah Konsep Bandar Ilmu di luar negera sebagai panduan bagi Bangi Bandar Ilmu, Bangi Bandar Membangun berpaksikan pusat pengajian dengan masyarakatnya berbudaya keilmuan, Mengisi dan merealisasikan Bangi Bandar Ilmu, Ruh pelaksanaan dan cadangan langkah-langkah strategic, Memupuk masyarakat berilmu di Bangi sehingga menjadi Bandar dan Negara Sempurna (Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur), Bangi Bandar Ilmu, Peranan Berbagai Agensi dan Institusi Di Sekitar Bangi Bagi membina imej Bangi Bandar Ilmu.

Peraduan dapat menarik antaranya pelajar Ph.D yang sedang menuntut di London memenangi Hadiah Kedua (Tiada yang layak bagi Hadiah Pertama). Kini pelajar berkenaan menjadi pensyarah di Universiti Malaya dalam bidang sains. Antara pemenang dan penerima hadiah ialah Pensyarah di KUIS, pelajar yang sedang membuat Ijazah Master, guru dan berbagai profession. Manakala tajuk-tajuk puisi adalah lebih bebas dan antara pemenang hadiah pertama ialah penyair yang pernah memenangi hadiah Sastera Malaysia/Perdana lebih dari sekali, manakala sebahagian dari yang memenangi peraduan puisi ialah penulis-penulis muda yang berpotensi untuk berkembang maju. Buku Gagasan Bangi adalah pelengkap bagi Bangi Bandar Ilmu yang mencermin sebagai pandangan pihak kedua yang dapat dimanfaatkan bagi memperkasakan Bangi Bandar Ilmu. Pandangan dan cadangan dapat diterjemahkan kepada realiti bagi perkembangan Bangi pada masa hadapan. Lebih dari itu ianya dapat membantu melengkapkan rangka pendekatan dan penilaian bagi Gagasan Pesurat dan Teori Takmilah, khususnya dari hasil penulisan puisi dalam rangka membina Tamadun dan Peradaban Ummah bagi Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur yang Bangi adalah merupakan Mini Negara berkenaan.


Adun berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana berjayanya diterbitkan kedua-dua buku ini adalah dari peruntukan negeri Selangor. Buku Bangi Bandar Ilmu adalah peruntukan dari Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan dalam mana Y.B. Dr. Halimah Ali selaku Exco memperuntukkan sebanyak RM24,000 sehingga buku ini dapat diterbitkan dengan versi mewah, 300 daripada 2,000 diterbitkan secara kulit tebal, manakala Hadiah-Hadiah yang dikeluarkan dari peruntukan Adun. Buku Gagasan Bangi juga memakan peruntukan RM15,000 (cetakan biasa) 2,000 naskhah bagi hadiah dan Majlis Penganugerahan juga adalah dari peruntukan Adun. Oleh kerana kedua-dua buku ini menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri (termasuk peruntukan bagi Adun), maka ianya tidak dijual, sebaliknya diberi percuma kepada perpustakaan, jabatan, institusi-institusi, pemimpin-pemimpin dan orang-orang perseorangan yang difikirkan bersesuaian.

Sekian.

No comments:

Post a Comment