BBB, 01 Sya`ban 1435 = 30 Mei 2014 (Jumaat):
Sejak tercetusnya berita (Januari 1972) bahawa Bangi menjadi
pilihan bagi kampus tetap UKM, maka berlaku apa yang Penulis sifatkan sebagai
`Fenomena Bangi`. Bermaksud berlaku kejutan, persediaan, tindakan, perubahan
dan penyesuaian bagi merealisasikan Kampus UKM berkenaan serta kesan kepada
warga kampus UKM dan masyarakat di Kajang dan Bangi.
Tanah yang diperuntukkan kepada UKM sebanyak 2,300 ekar
tidak seluruhnya hutan asal yang tidak diteroka. Terdapat kumpulan Orang Asli
yang tinggal di bahagian utama Kampus UKM, manakala terdapat pula orang-orang
Melayu yang tinggal di tepian jalan dari bahagian berdekatan dengan Hentian Keretapi
Sungai Tangkas (kini UKM) memanjang tepi jalan hingga selekoh ke Jalan Dengkel
yang dari Sungai Tangkas hingga ke sini (kiri) termasuk di bawah kawasan Kampus
UKM. Melalui rundingan dan pampasan Orang Asli bersetuju berpindah ke kaki
Bukit Tunggul (kini Bukit Unggul), manakala bagi orang-orang Melayu diberi
pampasan dan lot tanah di Sungai Tangkas. Sebahagian daripada mereka diganti
dengan tanah dan pampasan di Kg. Baharu, Pekan Bangi.
Sementara itu kerja-kerja tanah yang berlangsung mulai tahun
1973 itu menimbulkan kekocohan. Untuk membangun kampus dan mendirikan bangunan
terpaksa dibersihkan bagi tapak-tapak bangunan. Sebenarnya selepas pengumuman
Bangi sebagai Kampus UKM, ramai yang datang melihat dan meninjau. Melihat
kepada kawasan dibersihkan, timbul tuduhan terhadap orang politik berkuasa di
negeri Selangor sebagai mengambil kesempatan mengeluarkan balak-balak sebagai
habuan. Perkara ini menjadi isu kepada Persatuan mahasiswa UKM (PMUKM) yang
turut datang melawat dan mendapati banyak balak-balak dikeluarkan. Ini
menyebabkan pihak PMUKM menganjurkan demontrasi terhadap yang mengambil
kesempatan. PMUKM mau keaslian kampus dipelihara dan tidak memotong pokok-pokok
sembarangan, kecuali jika perlu. Isu ini berlarutan hingga terjadi tuduhan dan
ketegangan dengan orang-orang politik peringkat negeri.
Dari satu segi timbul kesedaran di kalangan tenaga-tenaga pengajar
dan pekerja di UKM dan orang perseorangan luar dari UKM mencari peluang
mendapatkan tanah (membeli) sebanyak mungkin di sekitar Teras Jernang, Sungai
Merab, Sungai Ramal Luar dan Dalam dan juga Bangi yang harga tanah pada masa
itu relatifnya masih murah. Ironinya kesedaran yang sepatutnya timbul dari
pensyarah-pensyarah Ekonomi yang merupakan jabatan di bawah Fakulti Sastera
UKM, tetapi tidak berlaku, sebaliknya pensyarah-pensyarah dari Fakulti Islam
UKM yang banyak membeli tanah baik secara kelompok atau berseorangan di
tempat-tempat yang disebutkan. Mereka menjadikan kawasan yang mereka beli
sebagai kawasan kediaman kelompok dari kawan-kawan terdekat dalam satu fakulti,
terutama Fakulti Islam. Beberapa daripada mereka menjadi penjual-penjual tanah
kepada – terutama kawan-kawan terdekat atau sama seuniversiti, maka ramailah
yang mendapat peluang memiliki tanah. Tetapi ada juga yang menghadapi masalah,
kerana urusan jual beli dan pemilikan tanah berlarutan dan tidak dapat
diselesaikan, bahkan hingga kini. Selain dari itu pihak bersendirian juga
berusaha mendapat tanah untuk tempat kediaman, antaranya dari pemilik-pemilik
asal di kampong-kampung atau membeli tanah dari mereka yang mendapat pampasan
tanah kerana berpindah seperti di Sungai Tangkas, Kampung Baharu dan
sebagainya. Lantaran itu demografi kependudukan di kampung-kampung berdekatan
di Kajang, Bangi dan berdekatan UKM bukan lagi orang asal, tetapi didiami
kepelbagaian penduduk dan berbagai negeri dan tempat.
Selain daripada itu ada kedapatan pengusaha secara individu
`Berniaga Tanah`, iaitu dengan membeli tanah-tanah di kawasan sekitar Kajang
dan Bangi, termasuk Sungai Ramal Luar dan Dalam juga Sungai Merab. Mereka ini
pergi ke kampus UKM, Jalan Pantai sebelum berpindah lagi menemui tenaga-tenaga
pengajar dan pekerja di fakulti-fakulti dan jabatan-jabatan menawarkan
pembelian tanah yang dijanjikan akan dipecah menjadi lot-lot. Satu lot seluas
suku ekar di kawasan-kawasan di atas seharga lebih kurang RM5,000 sahaja. Nilai
pada pertengahan 1970an. Memang peluang untuk beli tanah banyak, tetapi
kebanyakan mereka yang ditawarkan pembelian kurang yakin, apakah tanah-tanah
yang dijanjikan untuk dipecah lot secara individu akan berjaya. Mungkin mereka
mampu untuk membeli, tetapi dihantui oleh kebimbangan berkenaan. Ada yang membeli secara
tawakkal sahaja. Memang ada yang berjaya, yakni licin urusan, tetapi ada yang
hingga kini tak berselesaian. Itulah risiko terpaksa ditanggung.
Dari segi kediaman, ada tenaga pengajar dan kakitangan UKM
yang sudah bertapak di sekitar PJ dan sebagainya. Jadi ada di kalangan mereka
sanggup berulang-alik bila kampus Bangi dibuka, tetapi ramai daripada mereka,
oleh kerana jauh dan tak larat berulang mencari kediaman tidak jauh dari UKM,
walaupun terpaksa membeli rumah kedua. Untuk lebih selamat daripada membeli
tanah yang entah bila boleh dirikan rumah, maka lebih selamat dibeli rumah dari
syarikat-syarikat pemaju yang mengambil kesempatan dari tenaga-tenaga UKM bakal
berpindah mendirikan rumah. Pada permulaan menjelang perpindahan tenaga dan
pekerja UKM ada dua syarikat perumahan besar yang memajukan pembinaan
perumahan, iaitu PKNS yang sengaja mendirikan Pejabat Pembangunan Bangi di
Taman Mesra, Kajang – pihak pentadbir UKM berurus dengan PKNS terlebih dahulu
dan sebuah Syarikat lagi ialah Metro Kajang yang antara pengasasnya Dato` Lim
Kim Sai . Bekas Menteri Kabinet. PKNS menumpukan pembinaan rumah di Bangi,
manakala Metro Kajang membina rumah seperti di Bukit Mewah dan Bukit Kajang.
Kebanyakan kakitangan UKM memilih perumahan yang dibeli dari dua syarikat
berkenaan, di samping ada syarikat-syarikat kecil lain. Tetapi pada peringkat
permulaan kawasan perumahan Bangi kurang mendapat tarikan, kerana kawasan
dianggap dalam hutan dan agak jauh dari kemudahan. Kawasan ini dianggap rendah
standard dan pembeli-pembelinya dari kelas rendah dan rumah-rumah yang
ditawarkan pada peringkat permulaan 200 buah, harganya memang rendah. Rumah
teres setingkat type B (dua bilik) RM17,000, type A tiga bilik RM20,000, rumah
teres dua tingkat sekitar RM37,000 dan
rumah semi D RM70,000. Sesiapa yang mau memiliki bungalow boleh beli tanah PKNS
di bukit-bukit Bangi seharga antara RM1.50 hingga RM2,00 sekaki persegi yang
pada peringkat permulaan, jarang yang mau beli kerana dianggap mahal. Pada
peringkat permulaan pihak universiti dan PKNS terpaksa mengadakan kerjasama
kempen mengedarkan maklumat kepada tenaga pengajar dan pegawai UKM, termasuk
yang belajar di luar Negara menawarkan rumah untuk dibeli. Tempat yang dianggap
standard dan dikira orang kelas atas, lebih suka beli rumah sekitar Kajang
(Bukit Mewah dan Bukit Kajang) yang antaranya dibina oleh Metro Kajang yang harganya
dianggap lebih standard. Rumah teres dua tingkat sekitar RM50,000, manakala
rumah bungalow dalam lingkungan RM100,000. Jadi ramai tenaga pengajar dan
pekerja UKM membeli rumah sekitar Kajang yang dianggap lebih berstatus,
manakala kelas dianggap rendah membeli rumah di Bangi (Bandar Baru Bangi) yang
amat kurang dari berbagai kemudahan pada peringkat permulaan. Tiada kedai,
tiada surau dan masjid, tiada Sekolah dan tiada sebarang pejabat. Pada
peringkat permulaan untuk ke UKM terpaksa melalui Teras Jernang dengan meretasi
jambatan kayu dan membelok ke kiri ke UKM. Belum ada jambatan berhadapan UKM
yang ada kini. Untuk ke Kajang dari Bandar Baru Bangi terpaksa melalui jalan
tanah merah tidak bertar antara kebun getah dan kelapa sawit melalui jambatan
kayu yang uzur, masuk ke West Country dan membelok ke kiri ke Kajang atau ke
kanan ke UKM.
Perlu diingat pada masa Bangi mula dibuka belum timbul
cadangan membangun KLIA dan Putrajaya. Kajang ialah pekan utama bagi mendapat
segala keperluan harian. Jalan Kajang-Cheras, jalan dua hala dan sempit adalah
penghubung utama ke Kuala Lumpur, manakala untuk ke Seremban adalah dengan
menggunakan jalan lama Kajang – Mantin – Seremban.
Walau bagaimana pembukaan Bangi – Bandar Baru Bangi,
khususnya UKM banyak menggamit kemajuan. Koridur selatan Selangor yang agak
ketinggalan bakal menghadapi kemajuan dan pembangunan besar-besaran.
Sekian.