May 27, 2014

Persepsi Terhadap Kepimpinan Luah Perasaan Spontan

-->
BBB, 26 Rajab 1435 = 26 Mei 2014 (Isnin):

Berhubung dengan tuntutan mendirikan Universiti Kebangsaan sejak zaman kemerdekaan yang sepatutnya makin mudah, tetapi banyak mendapat halangan.
Perlaksanaan bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dan kebangsaan yang sepatutnya terlaksana selepas 10 tahun kemerdekaan, tetapi tertangguh oleh hujah dan tentangan pihak petualang bahasa yang naïf. Rencana pengarang Dewan Bahasa Mac 1965 mencatat:


``Pendapat2 atau lebeh tepat jika dikatakan alasan2 yang sengaja di-chari2 untuk menentang pelaksanaan bahasa Melayu sa-bagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal mulai 1967 nampak-nya terus menerus di-kemukakan. Alasan2 lama bahasa Melayu tidak lengkap, buku2 dalam bahasa Melayu tidak ada, guru2 bahasa Melayu tidak cukup dan ramai pegawai2 kerajaan yang tidak mengerti bahasa Melayu nampaknya sudah basi dan tidak dapat di-tegakkan lagi. Oleh kerana itu penentang2 bahasa Melayu menchari alasan2 baharu. Dan oleh kerana mereka sedar bahawa alasan2 itu lebeh bersifat sentiment politik atau sentiment perkauman maka di-usahakan pula mendapatkan orang2 dari luar, seperti Prof. Fitsgerald untuk membantu mereka menguatkan alasan2 tersebut.`` (Rencana Pengarang, Bahasa Kebangsaan Dengan Alasan-Alasan Baharu, Dewan Bahasa, Jil. IX, Bilangan 3, Mac 1965: 97). Perjuangan menegakkan bahasa kebangsaan dan rasmi mengundang tunjuk-tunjuk perasaan dari pengajian tinggi, institusi bahasa, persatuan-persatuan pelajar dan pelajar-pelajar.


Usaha mendirikan Universiti Kebangsaan juga mendapat tentangan daripada pemerintahan kerajaan pada masa itu yang di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman dan Khir Johari Menteri Pelajaran pada masa itu menyebabkan berlakunya tunjuk-tunjuk perasaan dan penentangan dari rakyat membawalah kepada pelajar dan pejuang-pejuang bahasa menyebabkan kerajaan akhirnya tunduk dan mengumumkan akan mendirikan Universiti Kebangsaan (Matlamat Universiti Kebangsaan 1970, Dewan Masyarakat, April 1969:6-27 & 47).


Namun masyarakat menyedari keengganan pemerintahan yang diketuai Tunku Abdul Rahman, bahkan sikap beliau yang tidak meyakini kemampuan Universiti Kebangsaan Malaysia berterusan, walaupun beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri. Keraguan beliau terus terbawa misalnya di dalam ruangan tulisan beliau di dalam Star `As I see it`` yang dianggap menjejaskan imej Universiti Kebangsaan dan menyebabkan lebih 1,000 orang pelajar UKM menunjuk perasaan membantah kenyataan Tengku pada 18 Julai 1978.
(Siswa UK Bantah Kenyataan Tengku, dlm. Citra Cemerlang 30 Tahun UKM, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2000: 34-35).


Walaupun pengumuman mendirikan Universiti Kebangsaan diumumkan pada akhir pemerintahan Tunku, tapi rakyat dan pejuang-pejuang bahasa dan Universiti Kebangsaan melihat kejayaan mendirikan Universiti Kebangsaan adalah dari hasil perjuangan berbagai-bagai lapisan rakyat dan kejayaan mendirikan Universiti Kebangsaan adalah pada zaman Tun Razak semasa Negara di bawah pemerintahan MAGERAN dengan Menteri Pelajaran yang tegas, iaitu Tun Haji Abdul Rahman Yaakub. Semasa mereka penubuhan Universiti Kebangsaan berjalan lancar. Mahasiswa Universiti Kebangsaan tertambat kasih di atas jasa Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Tun Abdul Rahman Yaakub selaku Menteri Pelajaran dan hadir sama semasa perasmian Universiti pada 18 Mei 1970. Tetapi apabila Tun Abdul Rahman Yaakub berundur dari Kementerian Pelajaran dan dikehendaki memimpin Sarawak demi kepentingan politik, secara spontan mahasiswa Universiti Kebangsaan meluahkan tunjuk perasaan, hingga Tun Abdul Rahman Yaakub datang sendiri ke Universiti Kebangsaan menenangkan mereka.
Bagi peristiwa dalam dekad pertama usia UKM ini penulis mencatat dalam kumpulan puisi Madu Ilmu:

Bapak Kami

Bapak
Institusi yang kau diri
Dari keping-keping cita bangsa
Belum erat tegaknya di persada
Dan gema ikrar yang kami sumpahi
Masih bergema di dada kami.

Kini
Berita yang kami terima
Tentang menginjaknya bapak
Melemah denyut-denyut nadi.

Bapak
Sejak berkibar panji-panji
Dari lonjakan tangan-tangan bangsa
Kami telah labuhkan kepercayaan
Pada teluk hati murnimu.

Kalau pagar-pagar duri
Hanya benteng-benteng pemisah kami
Percayalah
Dengan angkuh kan kami rempuh
Untuk menjulangmu menjulang cita bangsaku.

Bapak
Api yang kau nyalakan
Terus berbara di dada ini
Mengobor terus perjuangan suci

Universiti Kebangsaan Malaysia
8 Julai 1970

(Madu Ilmu, 1999: 162).

Atas rasa kasih sayang dan semangat perjuangan, sesungguhnya apabila Tun Abdul Rahman Yaakub tiba ke Kampus Universiti Kebangsaan di Jalan Pantai, Kuala Lumpur terjadi demonstrasi sponton dalam mana beliau diserbu dan meminta kepastian. Peristiwa pertama kali berlaku demonstrasi di Universiti Kebangsaan ini juga turut dirakam Penulis:

Demonstrasi

Bapak pejuang
Dasar Pelajaran dan Bahasa Kebangsaan
Sejak warta menerpa
Bahawa undurmu dari berjuara
Dada kami luka dengan rasa.

Ini kami tidak sabar
Dengan kocak rasa
Mau luahkan segala
Dalam demonstrasi ini
Kami serumu seru semangatmu
Dalam lagu
Dari pagi ke condong mentari.

Kami tau
Jiwamu jiwa kami berpadu
Kami tiada puas pada restu beralas
Kami tunggumu kami tunggumu.

Berita terbangmu ke mari
Dalam sehari memberi erti
Betapa besarnya hajat kami
Betapa luhurnya bapak kami.

Pagi-pagi
Awan tinggi meninggi
Memayung rasa sebak di dada
Tibamu disambut dengan pilu
Bila berpadu
Kami mengerti perjuanganmu
Tapi kami mau jaminan
Bahawa semangatmu terus dinyalakan.

Universiti Kebangsaan Malaysia
9 Julai 1970.

(Madu Ilmu, 1999: 161).

Kehadiran Tun Abdul Rahman Yaakub ke Universiti Kebangsaan menemui siswa-siswa yang menunjuk perasaaan kerana tidak puas hati berundurnya beliau dari Menteri Pelajaran kerana memimpin Sarawak yang politiknya tidak stabil pada masa itu akhirnya diterima mahasiswa-mahasiswi dengan janji menggembirakan bahawa Tun Razak Perdana Menteri Malaysia bersetuju menjadi Canselor Pertama Universiti Kebangsaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment