June 18, 2014

Sesi Perbincangan Meja Bulat Bangi Bandar Ilmu

-->
BBB, 19 Sya`ban 1435 = 17 Jun 214 (Selasa):

Selepas dua kertaskerja Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu dibentang Sesi Perbincangan dibuka dalam masa lebih kurang satu jam 11.00- 1200 tengahari. Seramai 8 orang berkesempatan memberi pendapat. Terawal memberi pendapat ialah Dr. Tajol Ariffin Noordin Pengerusi Kompleks Pendidikan Islam Bangi yang juga Mantan YDP Persatuan Penduduk BBB. Beliau merujuk bahawa pembukaan Bangi mempunyai hubungan rapat dengan UKM. Menurutnya pada tahun 1973 selaku salah seorang AJK pemimpin Pelajar di Kampus UKM Jalan Pantai, Kuala Lumpur beliau dan beberapa pemimpin pelajar melawat tapak Kampus UKM di Bangi menyertai rombongan Tun Razak Canselor UKM ke Upacara Pecah Tanah UKM.  Menurut Dr. Tajol Tun Razak mengharapkan Bangi yang bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan UKM menjadi Bandar universiti seperti Oxford dan Cambrdge dan secara santai Tun Razak menyatakan beliau berhasrat untuk tinggal di Bangi satu masa nanti. Menurutnya tiga perkara disebut Tun Razak. Tun mau Bangi menjadi Bandar Melayu Islam tidak seperti PJ dan Kuala Lumpur. Bangi (UKM) harus menjadi pusat rujukan ilmu dan mampu menyelesaikan isu-isu semasa secara intelektual.


Dr. Tajol Ariffin mau konsep pengajian  bersifat Wakaf Ilmu yang pengajiannya tidak dikenakan yuran dilaksanakan sebagaimana berlaku di Al-Azhar. Merujuk kepada KPI yang beliau menerajui dan berada di Wadi Ilmu, selepas beberapa tahun beroperasi bangunan 3 tingkat yang mengendalikan pengajian Sekolah Rendah Agama, Menengah dan wacana Ilmu terutama pada setiap Sabtu kini sudah terasa begitu sempit dan memerlukan tapak yang lebih selesa. Dengan merujuk kepada Puan Faezah Ketua Timbalan Pegawai Daerah yang hadir, beliau berharap melalui Pejabat Daerah Hulu Langat dapat kiranya diperuntukkan tanah seluas 10 ekar bagi membangun kampus tambahan untuk persekolahan rendah dan menengah bagi KPI.

Merujuk kepada masalah kebersihan di Bangi, beliau menyifatkan BBB adalah `Bandar Kotor`. Beliau tujukan isu kekotoran ini kepada Wakil MPKj yang turut hadir. Katanya, ``Dulu ada dilancar dan diisytiharkan konsep ``Zon Bersih` seperti Zon Satu dan 16`. Beliau mahu semua kawasan di Bangi adalah zon Bersih. Beliau meyebut 15 tahun dahulu ada ditubuhkan Cawangan MPKj di BBB, kemudian ditiadakan. Beliau mau Mini MPKj ini diwujudkan semula di BBB bagi memudahkan penduduk berurusan dan membuat aduan. Beliau mau BBI mengadakan jaringan Ilmu dengan semua universiti keliling Bangi. Pentadbiran BBI haruslah dikendalikan oleh Sekretariat BBI secara rasmi dengan kakitanganya bergaji dengan peruntukan operasi dan gaji paling minimum sebanyak RM5,000 sebulan. Sumbangan boleh didapat dari Adun, Persatuan Penduduk, Masjid-masjid, KPI dan Surau Al-Nur.


Berhubung dengan ketiadaan tanah untuk kompleks pendidikan, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Pengerusi Masjid Sungai Ramal Luar menyebut di Sungai Ramal Luar terdapat 4 ekar tanah yang asalnya diperuntukkan kepada tapak bagi bangunan pendidikan, terletak di bawah MAIS, tetapi akhir-akhir ini tapak tersebut dicadangkan untuk perumahan dan kedai. Beliau mencadangkan agar desakan dibuat agar di atas tanah tersebut didirikan Pusat Pengajian. Menurutnya tanah wakaf ini juga sesuai sama didirikan bangunan perpustakaan untuk penduduk setempat. Sungai Ramal Luar sesuai dijadikan pusat pengajian berindukkan Masjid Sungai Ramal Luar dengan tambahan perpustakaan. Masjid Sungai Ramal Luar yang dulu dikenali sebagai Masjid Haji Mat Saman adalah antara masjid tertua di Hulu Langat (1929). Pada awal 2000 menjadi isu apabila masjid ini hendak dirobohkan untuk diganti dengan yang baharu. Ada pendapat tidak perlu diroboh. Bangunan lama masih kukuh dan adalah bersejarah. Pengarah JAIS pada masa itu Dato` Khusran Munawi termasuk Penulis selaku Adun turut hadir sama berbincang yang akhirnya keputusan diambil mengekalkan bangunan lama sebagai bangunan berkembar bagi menampung tempat solat, khususnya pada hari Jumaat dan juga digunakan sebagai tempat kuliah, pengajaran dan mengaji Qur`an. Projek ini telah dirangka, khabarnya belum dilaksana. Kita sokong didirikan perpustakaan, kalau tak dapat, bangunan lama itu sebahagiannya dijadikan perpustakaan dan pengajian berindukkan masjid dijalankan.


Puan Faezah Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat turut menjawab tentang kedudukan tanah dan skop tugas Pejabat Daerah termasuk mengurus permasalahan kampung tradisional – termasuklah Kampung Sungai Ramal Luar. Berhubung dengan tapak yang ditimbulkan, AJK Masjid mestilah berurus terlebih dahulu dengan MAIS pemilik Tanah Waqaf dan Pejabat Tanah sedia berurusan menyelesaikan tapak tanah berkenaan. Beliau juga menyatakan kekesalan, dalam masa hasrat menjadikan Bangi Bandar Ilmu permasalahan sampah sebahagian daripadanya oleh kerana tidak ada `civic minded` di kalangan penduduk. Kempen kesedaran perlu dilakukan untuk membersih minda bagi membersih persekitaran, katanya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment